Utusan Online - Selatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Selatan |
- Penghantaran 41 pelajar ditangguh
- Usaha mensejahterakan rakyat
- MPHTJ atur pelbagai program dekati komuniti
Penghantaran 41 pelajar ditangguh Posted: 11 Jul 2013 12:05 PM PDT Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL Mohamad Hasan SEREMBAN 11 Julai - Seramai 41 orang pelajar tajaan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) yang sepatutnya berlepas ke Mesir pada 13 Julai ini bagi mengikuti kursus pengajian Bahasa Arab di Pusat Bahasa Nil, ditangguhkan pemergian mereka sehingga keadaan kembali tenang. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, berikutan itu kursus bahasa yang sepatutnya berlangsung di Kaherah bagi tempoh hampir dua bulan akan disambung di negeri ini sebelum mereka melaporkan diri di Universiti Al Azhar serta beberapa lagi universiti di Jordan dan Maghribi. ''Apabila keadaan kembali tenang dan mendapat maklum balas daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), kita akan menghantar semula pelajar ini ke Mesir, Jordan dan Maghribi. ''Ketika ini semua universiti khususnya di Mesir sedang bercuti sehingga September dan kita mengharapkan pada waktu itu suasana bergolak di negara terbabit akan kembali pulih," katanya di sini kelmarin. Kesemua pelajar tajaan bagi sesi 2013 dijadualkan menyambung kursus Bahasa Arab di Mesir selepas mengikuti program sama di negeri ini melalui MAINS sebelum melaporkan diri di universiti apabila sesi pembelajaran dibuka September ini. Ketika ini terdapat seramai 195 pelajar tajaan MAINS di negara bergolak itu selain 65 orang pelajar persendirian yang sedang mengikuti pelbagai bidang pengajian di Universiti Al Azhar. Mohamad yang juga Pengerusi MAINS menegaskan, agensi dan kerajaan negeri ini sedang memantau perkembangan di Mesir dan mempunyai prosedur operasi standard (SOP) jika berlaku sebarang kejadian luar jangka di kawasan penempatan pelajar dari negeri ini. ''Pelajar tajaan MAINS dan pelajar persendirian dari negeri ini mempunyai rekod. Kita akan menghubungi segera jika keadaan semakin buruk. Rumah Negeri Sembilan di Mesir akan kita jadikan pusat pengumpulan pelajar jika krisis bertambah buruk. Bekalan makanan di situ boleh menampung keperluan sehingga tiga bulan. Di situ juga disediakan pengawal keselamatan," tegasnya. Mohamad menasihatkan ibu bapa supaya menghubungi anak mereka di Mesir dan memujuk mereka supaya balik ke tanah air ketika ini kerana universiti sedang bercuti sehingga bulan September. ''Memang buat masa ini tiada keperluan untuk membawa mereka balik kerana tempat berlakunya krisis itu jauh dari Rumah Negeri Sembilan, tetapi eloklah pelajar yang sudah habis peperiksaan dinasihatkan balik ke tanah air dan jangan terlibat dalam mana-mana demonstrasi di negara berkenaan. Apabila keadaan pulih pada September nanti, mereka bolehlah menyambung semula pelajaran," kata beliau. Pada masa sama, Mohamad menasihatkan ibu bapa supaya tidak terlalu bimbang keadaan anak mereka di Mesir kerana MAINS sentiasa berhubung dengan sekretariat Rumah Negeri Sembilan untuk mendapatkan maklumat berhubung keselamatan pelajar. |
Posted: 11 Jul 2013 12:05 PM PDT Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR Roslan Md. Taha (empat dari kiri) bersama jurutera serta kontraktor melawat kerja-kerja menyiapkan projek menaik taraf Jalan Seremban - Kuala Pilah dekat Paroi dan persimpangan bertingkat menghubungkan Jalan Senawang-Lebuhraya Kajang Seremban di Seremban, baru-baru ini. SEREMBAN 11 Julai - Penyediaan kemudahan awam dan infrastruktur di Negeri Sembilan secara cekap, efisien dan holistik sememangnya menjadi salah satu dasar utama kerajaan negeri dalam usaha mensejahterakan rakyat. Perkembangan itu jelas dapat dibuktikan khususnya melalui pelaksanaan projek pembangunan pelbagai kemudahan yang menyeluruh meliputi aspek penempatan, jalan raya, bekalan air dan elektrik serta pengangkutan awam secara berterusan. Terbaharu projek menaik taraf Jalan Seremban-Kuala Pilah dekat Paroi dan persimpangan bertingkat menghubungkan Jalan Senawang - Lebuhraya Kajang Seremban (Lekas), dekat sini yang menelan belanja RM118 juta dilihat mampu menyelesaikan masalah trafik. Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Datuk Ir. Dr. Roslan Md. Taha berkata, projek yang dijangka siap menjelang Mac tahun depan itu bertujuan mewujudkan rangkaian jalan yang selamat, selesa dan cekap kepada pengguna. ''Pada masa sama projek ini juga bertujuan bagi mengatasi masalah kesesakan dan pertambahan jumlah trafik yang kian meningkat di kawasan terbabit. ''Berdasarkan kajian, kadar trafik dari Lekas boleh mencapai 35,000 kenderaan, Seremban (18,000), Kuala Pilah (17,000) dan Senawang (21,000) setiap hari yang melalui kawasan terbabit," katanya. Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika melakukan lawatan khas ke tapak projek berkenaan di sini baru-baru ini. Jelas Roslan, kadar trafik itu adalah pada hari biasa dan jumlahnya meningkat dua kali ganda pada hujung minggu manakala empat kali ganda pada musim cuti serta perayaan. ''Oleh yang demikian apabila projek ini siap ia bukan sahaja dapat menampung pertambahan kadar trafik, malah dapat menyuraikan trafik secara cekap dari arah Lekas, Seremban, Senawang dan Kuala Pilah. ''Secara ringkasnya, projek ini adalah bagi menggantikan persimpangan lampu isyarat dengan pembinaan persimpangan bertingkat di laluan terbabit, justeru kenderaan tidak perlu berhenti dari mana-mana arah,'' ujarnya. Tambah beliau, projek yang melibatkan syarikat kontraktor NS Construction Sdn. Bhd. itu kini berada pada tahap 77 peratus siap. ''Saya amat berpuas hati dengan perkembangan projek ini kerana jika mengikut jadual sebenar sepatutnya berada pada tahap 65 peratus siap. ''Tetapi apa yang penting kita sentiasa memantau serta memastikan kualiti kerja wajar diutamakan demi keselamatan pengguna kelak," ujarnya. Mengulas lanjut berhubung cabaran projek berkenaan, Roslan memberitahu, usaha itu melibatkan penstabilan cerun di Taman Desa Jaya berhampiran tapak projek yang menelan kos yang agak besar. ''Di samping itu, kerja naik taraf persimpangan bertingkat ini tidak melibatkan penutupan jalan sedia ada. Oleh itu pelan pengurusan trafik yang menyeluruh diberi penekanan dan kerjasama semua pengguna jalan diperlukan serta mematuhi papan-papan tanda arah dan keselamatan. ''Pada masa sama, kita juga melakukan penjajaran semula Sungai Paroi sepanjang 2.5 kilometer dan melebarkan sungai berkenaan daripada lima meter kepada 16 meter. ''Kita juga telah membina sistem penahan tebing jenis Wellguard sepanjang sungai berkenaan seperti yang diminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri," katanya. |
MPHTJ atur pelbagai program dekati komuniti Posted: 11 Jul 2013 12:05 PM PDT MELAKA 11 Julai - Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) akan mengadakan pelbagai program kemasyarakatan sempena sambutan Ramadan tahun ini dalam usaha memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan mendekati komuniti. Yang Dipertuanya, Sapiah Haron berkata, terdapat tujuh program bersama komuniti akan dilaksana antaranya pengagihan bubur lambuk, majlis berbuka puasa dan membeli pakaian raya bersama anak-anak yatim, melawat penghuni Rumah Seri Kenangan (RSK) Cheng dan penyampaian sumbangan kepada keluarga miskin. "Objektif utama sempena bulan Ramadan ini ialah mengimarahkan bulan yang penuh keberkatan di samping membantu masyarakat kurang bernasib baik. "Ini secara tidak langsung memberi sedikit keceriaan dan kegembiraan kepada mereka untuk bersama-sama menjalani ibadat puasa," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program pengagihan bubur lambuk anjuran bersama MPHTJ dan Bayou Lagoon Park Resort di Melaka Mall, di sini semalam. Yang hadir sama, Pengerusi Resort, Datuk Seow Cho Thoy dan Pengurus Besarnya, Anthony Wee. Sapiah berkata, sebanyak 3,000 bungkus bubur lambuk diagihkan kepada orang ramai dan pengguna jalan raya dalam program itu yang mana pertama kali diadakan sehari sebelum umat Islam berpuasa. Dalam pada itu, tambahnya, hanya terdapat dua tempat bagi pasar dan bazar Ramadan di kawasan pentadbiran MPHTJ tahun ini melibatkan sebanyak 200 peniaga. "Kita mengasingkan pasar dan bazar Ramadan iaitu bagi penjualan makanan di Kota Fesyen MITC yang dibuka pukul 3 petang hingga 7 malam manakala bazar untuk penjualan pakaian di Melaka Mall bermula pukul 4 petang hingga 12 tengah malam," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |