Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Tindakan tegas ke atas peniaga
- Muhyiddin solat Jumaat bersama rakyat di Masjid Al-Jamhuriah
- 100 anggota JHEAT pantau kaki ponteng puasa
Tindakan tegas ke atas peniaga Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB KOTA BHARU 12 Julai - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kelantan akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga ayam lebih tinggi berbanding harga siling yang ditetapkan. Pengarah Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Sharuddin Jalil berkata, pihaknya akan sentiasa memantau perkembangan itu di pasar seluruh negeri bagi memastikan peniaga tidak sesuka hati menaikkan harga ayam sehingga membebankan pengguna terutama sepanjang Ramadan. Beliau berkata, sejak Operasi Harga 2013 (Ops Harga) dilancarkan 6 Julai lalu, pihaknya sehingga kini masih belum menerima aduan mengenai tindakan peniaga menaikkan harga ayam. "Kalau ada laporan mengenai kenaikkan harga ayam, kami akan melakukan tinjauan dan sekiranya mendapati peniaga sengaja menaikkan harga ayam tindakan akan diambil. "Mereka akan diambil tindakan di bawah Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 yang boleh didenda maksimum sebanyak RM100,000 atau tiga tahun penjara bagi kesalahan pertama atau kesalahan kedua atau berikutnya RM250,000 atau lima tahun penjara," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini mengenai kenaikkan harga ayam secara mendadak di beberapa negeri termasuk di negeri ini. Di Kelantan, tinjauan Utusan Malaysia di beberapa pasar di Kota Bharu khususnya di Pasar Wakaf Che Yeh dan Melor mendapati harga ayam mencecah RM7.50 hingga RM8 sekilogram sejak seminggu lalu berbanding sekitar RM6.50 sekilogram sebelum ini. Tambah Sharuddin, pihaknya memandang serius perkara itu dan akan menjalankan siasatan di kedua-dua pasar yang dilaporkan. "Kita tidak akan membiarkan peniaga sesuka hati menaikkan harga barangan tanpa alasan kukuh. Sekiranya bertindak demikian mereka perlu menunjukkan surat sebab," katanya. Sementara itu, Sharuddin menyeru peniaga tidak mengambil kesempatan semata-mata mahu mengaut keuntungan lebih terutama pada bulan Ramadan ini. "Sehingga kini bekalan ayam mencukupi dan tidak ada sebab mengapa peniaga perlu menaikkan harga ayam," katanya. |
Muhyiddin solat Jumaat bersama rakyat di Masjid Al-Jamhuriah Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT Muhyiddin Yassin bersalam dengan bapa calon BN, Che Ku Abdul Rahman Che Ku Abdullah (kanan) selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Jamhuriah, Kuala Besut, semalam. Turut kelihatan Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman dan Ahmad Said. KUALA BESUT 12 Julai - Tan Sri Muhyiddin Yassin menunaikan solat Jumaat bersama masyarakat setempat di Masjid Al-Jamhuriah di sini selepas mengiringi calon Barisan Nasional (BN) ke pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut hari ini. Timbalan Perdana Menteri menyertai lebih 500 jemaah menunaikan solat yang diimamkan Jalaludin Shafie, imam yang dibawa khas dari Narathiwat untuk solat sunat tarawih sepanjang Ramadan. Selepas solat, Muhyiddin bersama calon BN bagi kerusi berkenaan, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman meluangkan masa berbual-bual dengan anggota jawatankuasa masjid serta beberapa jemaah. Muhyiddin yang juga Pengarah Pilihan Raya BN bagi PRK itu kemudian bersalaman dengan jemaah sebelum beredar. Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin. Dalam pada itu, Tengku Zaihan ketika ditemui berkata, beliau gembira kerana berkesempatan bersama pemimpin negara dalam usaha mendekati masyarakat secara lebih meluas. ''Saya akan cuba memberikan 100 peratus komitmen ketika turun berkempen sepanjang Ramadan ini. "Alhamdulillah, sebaik sahaja sah menjadi calon, saya akan cuba membantu menyelesaikan masalah penduduk Kuala Besut terutamanya golongan petani dan nelayan. "Sambutan yang saya terima setakat ini juga menggalakkan selepas saya pergi ke beberapa tempat sejak diumumkan sebagai calon BN tempoh hari," katanya. |
100 anggota JHEAT pantau kaki ponteng puasa Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT KUALA TERENGGANU 12 Julai - Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan mempergiat operasi membanteras individu tidak berpuasa daripada makan secara terbuka di restoran atau gerai makanan di seluruh negeri ini. Pesuruhjayanya, Datuk Mohd. Rozali Saleh berkata, kira-kira 100 pegawai dan anggota penguat kuasa ditugaskan memantau kegiatan tersebut di kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi golongan itu. Katanya, biarpun tiada rekod dilaporkan tahun lalu, namun JHEAT tetap mengambil serius perkara itu yang nyata memalukan umat Islam dan tidak menghormati bulan mulia berkenaan. "Kita telah kenal pasti kawasan dan tempat yang pada kebiasaannya menjadi lokasi mereka berkumpul dan makan, selain itu kita juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kegiatan ini melaporkan perkara terbabit kepada JHEAT. "Mana-mana individu yang ditahan akan dikenakan denda RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya jika didapati bersalah makan di khalayak ramai sepanjang bulan Ramadan ini," katanya kepada pemberita di sini semalam. Beliau menambah, meskipun sukar mengesan kegiatan kaki ponteng puasa ekoran serbuan yang dijalankan sering diketahui individu terlibat namun pihaknya tetap membuat pemantauan supaya perbuatan itu tidak berleluasa. Jelasnya, tahun lalu, pihaknya menerima banyak aduan daripada orang ramai namun tiada kes dirujuk kepada mahkamah. "Memang sukar menahan mereka yang tidak berpuasa kerana aduan individu membeli makanan tidak boleh disabitkan dengan kesalahan tidak berpuasa kecuali jika mereka makan di restoran atau di tempat terbuka seperti di restoran atau tepi pantai, baru boleh kita tahan. "Tahun lalu, kita dapat kesan ada yang makan di kawasan kubur bagi mengelak dikesan, namun ketika kita membuat serbuan mereka sempat melarikan diri," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |