{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Timur

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Timur


Ayam tak laku tapi harga mahal

Posted: 13 Jul 2013 09:51 AM PDT

Oleh HAPIZAH AZIZ
utusankelantan@utusan.co.my

Sarimah Ramli menunggu orang ramai membeli ayam jualannya di Pasar Besar Siti Khadijah, Kota Bharu, kelmarin.

KOTA BHARU 13 Julai - Kenaikan harga ayam segar di beberapa pasar utama di negeri ini dikatakan berpunca daripada tindakan orang tengah menaikkan harga menjelang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri nanti.

Tinjauan Mingguan Malaysia di Pasar Rantau Panjang, Pasir Mas dan Pasar Besar Siti Khadijah Kota Bharu mendapati, para peniaga memberikan alasan yang sama apabila ditanya mengenai kenaikan harga tersebut.

Seorang peniaga di Pasar Rantau Panjang, Suria Ibrahim, 38, berkata, harga yang ditetapkan oleh pembekal agak tinggi dan mereka terpaksa menjualnya dengan harga yang mahal kepada pengguna.

Katanya, peniaga yang mendapat bekalan terus daripada ladang akan dapat menjualnya dengan harga yang lebih murah kerana tidak melalui 'orang ketiga'.

"Mahu atau tidak saya terpaksa menaikkan harga ayam ini dan sejak kenaikan ini, permintaan semakin menurun, saya hanya mampu menjual 10 ekor ayam sehari jika dibandingkan sebelum ini berpuluh ekor sehari.

"Malah peniaga warung yang juga pelanggan tetap, saya jual dengan harga yang lebih rendah," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.

Sementara itu, Zainun Jusoh, 57, berkata, dia terpaksa menjual ayam mengikut harga pasaran bagi mengelakkan kerugian yang besar.

Wanita yang menjalankan perniagaan tersebut sejak 20 tahun lalu itu berkata, dia tidak mempunyai pilihan kecuali mendapatkan bekalan daripada orang tengah.

"Sejak seminggu lalu, harga borong juga naik dan saya terpaksa mengikut harga pasaran dengan menjual pada harga RM8 sekilogram kerana saya tidak mempunyai modal yang besar bagi mendapatkan bekalan terus daripada ladang," katanya.

Sarimah Ramli, 44, pula berkata, dia terpaksa 'menyembunyikan' harga ayam segar daripada pengguna bagi menarik pembeli.

"Kebanyakan pelanggan tidak akan membeli ayam segar sekiranya saya memberitahu harga RM8 sekilogram.

"Setiap ayam ini saya akan timbang lebih awal, jadi apabila pembeli mahu membeli, saya akan beritahu terus harga bagi seekor yang lazimnya sekitar RM12 sehingga RM14," katanya yang menjalankan perniagaan di Pasar Siti Khadijah.

Dalam pada itu rakannya, Semah Mamat, 63, berkata, dia menjual kira-kira 50 ekor ayam kepada pelanggannya setiap hari.

"Selalunya saya akan menjelaskan kepada pelanggan mengenai kenaikkan harga ini dan ada di antara mereka dapat menerima, tetapi ada juga yang tidak dapat menerima, bagaimanapun kebanyakan pelanggan sudah sedia maklum mengenai perkara itu.

"Sekiranya keadaan ini berterusan, saya perlu membuat sesuatu keputusan sama ada mahu meneruskan perniagaan atau berhenti berniaga dengan masalah yang dihadapi," katanya.

SMK dan SK Kuala Besut sertai program Brain Bee

Posted: 13 Jul 2013 09:51 AM PDT

BESUT 13 Julai - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut dan Sekolah Kebangsaan Kuala Besut turut dipilih untuk pelaksanaan Brain Bee yang bertujuan meningkatkan minat pelajar dalam bidang sains dan teknologi.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, program integrasi Kementerian Pendidikan dan Universiti Sains Malaysia (USM) Kelantan itu bagi merealisasikan proses pemikiran aras tinggi dalam kalangan pelajar.

"Menerusi program itu nanti, Kelab Neurosains bakal ditubuhkan di sekolah berkenaan yang akan memperhebat dan memperkasakan pendidikan sains termasuk mata pelajaran Fizik, Kimia dan Biologi,'' katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Jom Cakna Otak anjuran Pusat Minda Besut di Tadika Imtiaz Besut Kampung Raja di sini hari ini.

Menurutnya, sebelum ini menerusi Program Jaringan Industri dan Masyarakat USM itu, program tersebut diperkenal di Sekolah Menegah Sains Tengku Muhammad Faris Petra (SMSTMFP) Pengkalan Chepa dan Sekolah Kebangsaan Cempaka 3, Kota Bharu, Kelantan.

Selepas kejayaan itu katanya, dua sekolah lagi dipilih untuk menyertai program tersebut serentak dengan penubuhan Kelab Neorosains iaitu Sekolah Kebangsaan Seri Cempaka dan Kolej Sultan Ismail Kota Bharu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Besut berkata, program itu telah membantu menjana pemikiran pelajar dan perkembangan positif tersebut terbukti apabila pencapaian A dalam mata pelajaran sains telah meningkat dalam kalangan pelajar.

Menurutnya, pelajar yang menyertai program itu dan menganggotai Kelab Neurosains di sekolah mereka, kini mampu berfikir lebih kritis dan kreatif yang merupakan satu kelebihan sebagai seorang pelajar.

Idris berkata, secara tidak langsung kejayaan itu boleh membantu meningkatkan minat dan kecenderungan pelajar dan masyarakat dalam bidang sains dan teknologi dengan lebih cepat yang kini di berada tahap 29 peratus.

MAIK peruntuk RM2.4 juta bagi pendidikan anak asnaf

Posted: 13 Jul 2013 09:51 AM PDT

KOTA BHARU 13 Julai - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) memperuntukkan sebanyak RM2.4 juta bagi tajaan pendidikan membabitkan anak-anak golongan asnaf di negeri ini.

Timbalan Yang Dipertua MAIK, Datuk Kamaruddin Mohd. Zin berkata, tajaan pendidikan tersebut membabitkan program peringkat sijil, diploma, A-Level.

"Tajaan ini membabitkan seramai 122 pelajar dan daripada jumlah tersebut seramai 90 pelajar tajaan akan menyambung pengajian peringkat diploma di Kentucky Fried Chicken Holding Malaysia Bhd. (KFCH).

"Sebanyak 30 pelajar lain akan mengikuti pengajian peringkat sijil jurusan automotif di Kuantan, Pahang, manakala selebihnya menghadapi persediaan untuk mengambil ujian A-Level," katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Tambahnya, selain mendapat tajaan, mereka akan turut ditawarkan peluang pekerjaan sejurus tamat pengajian dalam bidang masing-masing.

Kamaruddin memberitahu, tajaan tersebut membuktikan kesungguhan MAIK dalam melonjakkan lagi mutu pendidikan dalam kalangan anak-anak golongan asnaf di negeri ini.

Katanya, bidang pendidikan merupakan salah satu aspek penting yang perlu diberikan perhatian kerana dapat menjamin masa depan pelajar.

"Hasrat kita ialah mahu melengkapkan anak-anak golongan asnaf dengan segala ilmu pendidikan agar mereka dapat menggunakannya bagi mengubah masa depan keluarga.

"Inilah satu salah pendekatan yang digunakan oleh pihak kami dalam membantu anak-anak golongan asnaf," ujarnya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat