Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Minta JKR baiki segera jalan
- JHEV peruntuk RM11,000 baik pulih rumah bekas anggota tentera
- Penggiat seni perlu diberi penghargaan
Posted: 01 Jul 2013 12:41 PM PDT oleh SAMSUL BAHARI MOHAMED Seorang penduduk menunjukkan salah sebuah lubang di atas jalan raya berhampiran Kampung Kuala Gris, Kuala Krai, semalam. KUALA KRAI 1 Julai - Penduduk Kampung Sungai Sam meminta pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) menurap segera jalan menuju ke Jelawang berhampiran Kampung Kuala Gris yang dibiarkan rosak sejak sekian lama sehingga mengancam keselamatan pengguna. Beberapa penduduk yang ditemui memberitahu, jalan tersebut hanya ditabur batu kerikil oleh pihak berkenaan dan keadaan menjadi buruk apabila lubang terbentuk semasa hujan. Malah, tinjauan Utusan Malaysia ke kawasan tersebut mendapati jalan yang rosak hanya ditabur batu kerikil tanpa diturap dan apabila hujan kembali rosak serta boleh membahayakan pengguna. Seorang penduduk, Nor Hakim Mohamed Nor, 20, melahirkan rasa kesal dengan sikap lepas tangan JKR itu yang gagal membaiki kerosakan di jalan tersebut meskipun kerosakan itu dikatakan telah lama berlaku. "Jalan berlubang tetapi, pihak berkenaan hanya datang menabur batu kerikil menyebabkan kerosakan semakin teruk dan amat berbahaya kepada pengguna. "Ini merupakan laluan alternatif menuju ke bandar Jeli dan Gerik, maka jalan itu perlu dibaiki segera demi keselamatan pengguna," katanya ketika ditemui di sini hari ini. Seorang lagi penduduk, Aziah Mahmud, 34, memberitahu, dia yang sering menunggang motosikal mengambil anak bersekolah di Kuala Gris nyaris terbabas semasa melalui jalan tersebut yang dipenuhi dengan batu kerikil. "Jika waktu malam, kawasan tersebut sangat gelap dan ini boleh mengundang padah kepada pengguna. "Kerosakan ini telah lama berlaku dan sepatutnya pihak berwajib segera membaikinya, jangan menunggu ada yang maut baharu bertindak," katanya. Harapan sama disuarakan oleh seorang pengguna, Azman Ismail, 24, yang berharap pihak JKR segera menurap jalan tersebut demi menjamin keselamatan orang ramai terutama penunggang motosikal. "Jika kerosakan pada jalan ini tidak dibaiki segera, mungkin akan ada yang maut. Jangan biarkan kejadian itu berlaku baharu kita nak bertindak. JKR perlu bertindak segera sebelum insiden lebih buruk berlaku," katanya. |
JHEV peruntuk RM11,000 baik pulih rumah bekas anggota tentera Posted: 01 Jul 2013 12:41 PM PDT TUMPAT 1 Julai - Impian bekas anggota seorang tentera, Che Jaafar Che Abdullah, 48, untuk hidup selesa di samping keluarga akhirnya tercapai apabila permohonan baik pulih rumahnya mendapat kelulusan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia menerusi Program Membaiki Rumah, Strategi Lautan Biru (NBOS) Ke-7. Che Jaafar sebelum ini tinggal di sebuah rumah usang bersama isteri dan tiga anaknya, melahirkan rasa terharu dengan kelulusan tersebut. Beliau berkata, bantuan tersebut akan membolehkan mereka sekeluarga hidup dalam suasana lebih sempurna setelah kerja baik pulih rumahnya siap sepenuhnya nanti. "Insya-Allah dengan siapnya kerja baik pulih ini nanti kami boleh tinggal di sebuah rumah yang selesa seperti orang lain yang sememangnya menjadi impian kami selama ini. "Dengan sekadar kerja kampung, saya tidak mampu membaik pulih rumah yang uzur ini. Tiada apa yang boleh saya katakan melainkan memanjatkan rasa syukur kepada Allah. Ini membuktikan keprihatinan kerajaan untuk membantu kesusahan rakyat," katanya ketika ditemui di sini semalam. Kerja baik pulih rumah tersebut dilakukan oleh seramai tujuh anggota tentera dari Kem Desa Pahlawan, dekat sini hampir seminggu lalu dan dijangka siap dalam tempoh dua minggu lagi. Sementara itu, Pengarah JHEV Kelantan dan Terengganu, Mejar Abu Bakar Siddik Sulaiman berkata, sebanyak RM11,000 diperuntukkan untuk membaik pulih setiap rumah bekas anggota tentera menerusi program tersebut. "Sementara itu, bagi pembinaan rumah baharu pula diperuntukkan sebanyak RM45,000 setiap sebuah," katanya semasa melawat kerja-kerja baik pulih rumah tersebut. Menurutnya, JHEV Cawangan Kelantan dan Terengganu menerima kira-kira 300 permohonan bina rumah baharu dan baik pulih daripada bekas anggota tentera di bawah program berkenaan. Bagaimanapun jelasnya, setakat ini, hanya 27 buah rumah bina baharu dan 11 untuk dibaik pulih melibatkan dua negeri tersebut diluluskan dengan peruntukan kira-kira RM1.336 Juta. Dalam pada itu, Abu Bakar meminta balu bekas tentera di Kelantan dan Terengganu supaya mendaftar dengan Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) bagi memudahkan urusan pengagihan bantuan yang disediakan persatuan. Antara kemudahan yang diberi kepada balu dan bekas anggota tentera yang berdaftar dengan PBTM termasuklah bantuan sara hidup, persekolahan, kemasukan ke pusat pengajian tinggi dan bencana alam. |
Penggiat seni perlu diberi penghargaan Posted: 01 Jul 2013 12:41 PM PDT KUALA TERENGGANU 1 Julai - Penggiat seni di negeri ini perlu diberikan penghargaan yang sewajarnya bagi memastikan industri seni dapat terus bertahan dan diwarisi zaman-berzaman. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd. Jidin Shafee berkata, jika industri seni itu 'mati', secara tidak langsung identiti sesuatu bangsa juga akan 'mati' bersama. "Saya fikir sudah sampai masanya kerajaan negeri memberikan penghargaan sewajarnya kepada golongan ini yang banyak menabur bakti kepada masyarakat selama ini. "Saya juga berharap dapat berjumpa dengan semua penggiat seni di negeri ini bagi membincangkan hala tuju masa depan mereka selain menimbang kemungkinan menggabungkan kekuatan sedia ada bagi membentuk satu persatuan seni yang lebih kukuh," katanya. Beliau ditemui pemberita selepas majlis Apresiasi Penggiat Seni 2013 peringkat negeri yang julung-julung kali diadakan di Restoran Paradise Deluxe, Jalan Pasir Panjang di sini malam tadi. Yang hadir sama Pengarah Kanan Sektor Dasar dan Perancangan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Mohammad Adnan Hamzah serta Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) negeri, Zaifri Husin. Sebanyak tiga anugerah seni diperkenalkan iaitu Anugerah Penggiat Seni Negeri Terengganu, Anugerah Pendukung Seni Negeri Terengganu serta Anugerah Bakat Muda Negeri Terengganu. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |