Utusan Online - Utara
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Utara |
- Amaran JAIPs kepada restoran
- Wujudkan pihak berkuasa pelabuhan
- Ibu tunggal dipelawa jadi ahli koperasi usahawan
Posted: 10 Jul 2013 11:30 AM PDT Oleh SHOLINA OSMAN KANGAR 10 Julai - Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) memberi amaran mana-mana premis makanan di negeri ini akan berdepan tindakan undang-undang lebih keras jika didapati melanggar Enakmen Jenayah Dalam Syarak (Pindaan 2012) yang pertama kali dilaksana mulai Ramadan tahun ini. Pengarahnya, Mohamad Sokri Hussin berkata, dengan pindaan undang-undang baharu tahun lalu, premis makanan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan. Bagi kesalahan seterusnya, kata beliau, pengusaha premis makanan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan. "Premis makanan dilarang menjual makanan kepada orang ramai sebelum pukul 2 petang supaya tidak ada orang Islam yang tidak berpuasa mengambil kesempatan makan di khalayak ramai," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Sehubungan itu, Mohamad Sokri berkata, semua premis makanan hanya boleh menjual makanan selepas pukul 2 petang. "Jika didapati premis menjual makanan di bawah masa yang ditetapkan maka pemiliknya kali ini tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang baharu ini," katanya. Beliau berkata, sebelum pindaan itu pihaknya sukar mengambil tindakan ke atas premis makanan sekalipun didapati menjual makanan untuk orang Islam yang tidak berpuasa. Beliau berkata, sebaik sahaja bermula bulan Ramadan pihaknya telah melaksanakan operasi menangkap orang Islam yang makan di khalayak ramai dan premis yang menjual makanan lebih awal dari masa ditetapkan. "Jika boleh kita tidak mahu ada umat Islam yang memalukan agama sendiri sehingga dikenakan tindakan undang-undang," katanya. Beliau berkata, jika ditahan semasa operasi pihaknya tidak akan menerima sebarang alasan sekalipun berkaitan dengan penyakit. "Islam memang memberi kelonggaran menunaikan ibadat puasa untuk golongan tertentu tetapi bukan dengan cara makan di khalayak ramai," katanya. |
Wujudkan pihak berkuasa pelabuhan Posted: 10 Jul 2013 11:30 AM PDT Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN IPOH 10 Julai - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir (gambar) berharap permohonan Perak untuk mewujudkan pihak berkuasa pelabuhan negeri dapat dipertimbangkan sewajarnya oleh Kerajaan Persekutuan. Menurut beliau, setakat ini, kerajaan negeri sudah menerima maklum balas tentang permohonan tersebut, khususnya melibatkan aspek prosedur dan perundangan yang perlu dipenuhi. "Kita dimaklumkan, penubuhan pihak berkuasa pelabuhan negeri ini memerlukan kelulusan Pusat dan mungkin perlu dibawa ke mesyuarat Kabinet dan mendapatkan tandatangan Yang di-Pertuan Agong. "Jadi, proses itu mungkin ambil masa sedikit. Apa pun, kita harap kerajaan dapat beri pertimbangan yang sewajarnya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Perak di sini hari ini. Zambry berkata, perkara tersebut adalah antara yang dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan dan kerajaan negeri membuat ketetapan untuk meneruskan permohonan tersebut kepada Kerajaan Pusat. Beliau berkata, sudah tiba masanya Perak mempunyai pihak berkuasa pelabuhan memandangkan negeri ini turut berada di kawasan pesisir pantai, selain peranannya sebagai kawasan maritim yang semakin penting. "Jumlah pelabuhan juga semakin meningkat sama ada kecil atau besar. Peranan Perak sebagai kawasan maritim amat penting pada masa akan datang dan kita rancang supaya pembangunannya dirancakkan lagi," ujar beliau. Sementara itu, Zambry memberitahu, Kerajaan Pusat menunjukkan maklum positif terhadap cadangan kerajaan negeri untuk mengambil alih pengurusan marina di Pulau Metanggor seperti diajukan sebelum ini. Namun, katanya, beliau berharap perkara itu dapat diperincikan dan diselesaikan secepat mungkin. Kerajaan Perak sebelum ini memohon supaya dibenarkan mengambil alih marina bernilai RM28 juta di Pulau Temenggor yang dianggap projek 'gajah putih' kerana tidak beroperasi walaupun siap sejak tujuh tahun lalu. |
Ibu tunggal dipelawa jadi ahli koperasi usahawan Posted: 10 Jul 2013 11:30 AM PDT BUTTERWORTH 10 Julai - Ibu tunggal di negeri ini yang menjalankan perniagaan dipelawa menjadi ahli Persatuan Usahawan Ibu Tunggal Negeri Pulau Pinang (PUITNPP) bagi membolehkan produk mereka dipasarkan dengan berkesan. Pengerusinya, Roslinda Musa berkata, melalui usaha tersebut, ibu tunggal tidak lagi perlu menagih bantuan daripada mana-mana pihak untuk memajukan perniagaan. Beliau berkata, koperasi akan membantu ibu tunggal memperluaskan bidang perniagaan yang berdaya maju. "Koperasi sendiri akan mewujudkan sebuah pusat jualan usahawan di Taman Selat di sini tidak lama lagi untuk memasarkan produk yang dihasilkan oleh ibu tunggal. "Kita akan kumpulkan produk dan hasil penjualan boleh diagihkan kepada usahawan ibu tunggal terbabit," katanya ketika ditemui di sini hari ini. Roslinda berkata, kebanyakan ibu tunggal mempunyai kemahiran dan mereka boleh menggunakan kemahiran sedia ada termasuk yang ingin memajukan perniagaan dengan lebih baik. Menurut beliau, ibu tunggal yang sudah maju dalam bidang perniagaan boleh menjadi ikon oleh ibu tunggal. Katanya, persatuan juga akan menganjurkan kursus usahawan seperti pembuatan peralatan perkahwinan, jahitan dan sebagainya. Setakat ini, sebanyak 100 ibu tunggal telah menjadi ahli persatuan itu dan 10 peratus daripada mereka berjaya dalam pelbagai bidang perniagaan. Roslinda berkata, ibu tunggal yang mahu menjadi ahli persatuan dikenakan yuran tahunan sebanyak RM20 dan RM5 pendaftaran manakala ahli seumur hidup ialah RM100 seorang. Mereka yang berminat boleh menghubungi beliau di talian 012-4474397 bagi mendapatkan maklumat selanjutnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |