Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Alahan unik SchaDUA minggu lalu menerusi akaun Instagram Awal Ashaari dan Scha Alyahya, pasangan itu mengumumkan berita gembira menantikan cahaya mata sulung mereka. Bagaimanapun, usaha untuk mendapatkan pasangan itu menemui jalan buntu. Baik Awal mahupun Scha masing-masing mengambil keputusan untuk tidak berkongsi lanjut berita gembira itu dengan mana-mana akhbar. Kosmo! baru-baru ini memburu pasangan itu untuk mendapatkan cerita lanjut hal tersebut selepas tamat acara Anugerah Juara Lagu ke-28 di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Secara eksklusif, Scha memberitahu bukan sengaja melarikan diri daripada media tapi dia alah terhadap bunyi deringan telefon kesan daripada alahan kehamilan pertamanya. "Saya tidak boleh dengar bunyi telefon, atas alasan itu juga saya lebih banyak letakkan telefon saya dalam mode senyap. Awal yang duduk bersama saya pun akan 'senyapkan' telefonnya. Sebab itu saya jarang pegang telefon, jawab panggilan mahupun balas mesej," jelas Scha. Alahan Selain itu, Scha turut mengalami alahan teruk terhadap makanan dan solekan hingga tidak mampu bersiap atau keluar rumah sepanjang trimester awal kandungannya. "Saya tidak boleh bersolek sangat dan tidak boleh bersiap, sampaikan saya tidak larat untuk melakukan apapun. Mahu keringkan rambut pun tak boleh. Lebih teruk, saya tidak boleh tengok orang berambut perang, akhirnya saya akan rasa pening dan loya. SCHA dan Awal teruja menanti kelahiran buah cinta sulung mereka. "Sehari dua alahan loya terkena pada Awal juga tapi kembali pada saya sampai muntah teruk. Masa itu saya tidak boleh bekerja atau buat apa-apa pun, mujurlah Muzik-Muzik banyak bercuti. Jadi, saya ambil kesempatan itu untuk berehat. Memang sangat mencabar dan menguji saya sebagai seorang yang baru pertama kali hamil," tambahnya. Malah kata Scha akibat terlalu kerap muntah, badannya mengalami kekurangan air dan perlu mendapatkan perhatian doktor namun simptom itu semakin berkurangan apabila usia kandungan memasuki empat bulan. "Penat masih ada tapi sudah berkurangan. Rasa loya pun sudah tiada, cuma sekarang saya cepat penat. Saya tidak mengidam makanan pelik-pelik, namun kadang-kadang tekak rasa mahu makan macam-macam. Ada masa mahu makan nasi tomato, dendeng, rendang, minum air jagung dan macam-macam lagi," kata Scha tertawa. Kerja berat Atas faktor itu juga Scha kini lebih banyak berehat dan tidak menumpukan perhatian pada lakonan. Bercampur rasa khuatir, prihatin dan berjaga-jaga terhadap usia kandungan yang masih baharu, pelakon itu hanya terbabit dengan promosi produk yang melantiknya sebagai duta. "Memandangkan usia kandungan saya masih baru dan ini pengalaman pertama saya hamil, saya menjadi takut. Saya perlu jaga betul-betul dan pertimbangkan banyak aspek untuk menerima tawaran berlakon atau mengacara. Namun, komitmen lama saya masih teruskan contohnya Muzik Muzik yang hanya perlukan saya sekali setiap minggu. "Ada beberapa produk yang tidak boleh ada imej ibu hamil terpaksa saya tolak sebab tidak bersesuaian. Kebanyakan produk yang melantik saya sebagai duta tidak memerlukan kemunculan saya dalam tempoh yang lama," jelas Scha lagi. Mengimbas kembali detik awal sedar dirinya hamil, dalam nada teruja kata Scha, dia mengetahui khabar gembira itu pada tanggal usia perkahwinannya setahun setengah. GAMBAR imbasan ultrabunyi anak yang dikandung Scha yang dimuatnaik ke dalam Instagram miliknya baru-baru ini. "Saya hamil tepat pada setahun setengah kahwin, bagi saya secara peribadinya tidak rasa jarak masa selepas berkahwin hingga hamil adalah terlalu lama. "Kami tidak menunggu, merancang atau mengharap. Ini semua rezeki. Ramai antara kenalan kami yang sudah lama berkahwin masih tidak punyai anak. Alhamdulillah, ini berkat doa keluarga dan peminat," katanya. Jantina anak Bayi lelaki atau perempuan? Jawab Scha dia tidak meletakkan sebagai jangkaan atau harapan, cukup sekadar anaknya cukup sifat dan sihat. "Saya tidak boleh mengagak, ada yang cakap saya hamil anak lelaki sebab tidak suka bersiap, ada yang cakap anak perempuan sebab perut saya kecil. Untuk anak sulung, saya tidak kisah jantinanya. Awal pun tak cakap apa-apa tapi mungkin dia mengharapkan anak lelaki kerana dia suka menghias atau stailkan seperti dia juga," kongsi Scha. Ujar Scha, dia mendapat tahu dirinya hamil setelah lambat datang bulan dan memeriksa menggunakan alat penguji kehamilan sendirian. Dalam situasi percaya dan tidak, Scha memaklumkan Awal dan pasangan itu membeli lima buah alat penguji kehamilan berbeza jenama. "Tertulis pada alat itu saya hamil tapi saya tidak menangis sebaliknya menggeletar. Biar betul! Apabila detik itu betul-betul terkena pada kita rasa macam tidak percaya. Alhamdulillah, selepas membuat pemeriksaan dengan doktor dan mengesahkan saya hamil, detik itu saya tidak boleh lupakan sampai bila-bila," simpulnya. | |
Jangan cuba tunjuk pandai - Idham Posted: Jangan cuba tunjuk pandai - Idham Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN
SEIRING dengan peredaran teknologi yang berkembang pada hari ini, laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram dijadikan sebagai platform untuk melemparkan sebarang pandangan, idea dan kritikan. Minggu lalu pengarah Ahmad Idham Ahmad Nadzri menerusi laman Twitternya telah meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan kurator akaun Twitter @twt_filem, Ashraff Mokhtar yang dilihat seperti mempertikaikan kehadirannya ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Melaka untuk memberi penerangan tentang pasaran filem Malaysia. Idham yang dihubungi Kosmo! berkata, kurator terbabit yang merupakan seorang pelajar Diploma Komunikasi dan Pengajian Media tidak seharusnya bertindak sedemikian memandangkan dia tidak berpengalaman dalam industri filem tempatan. Mengakui sudah lama mengikuti perkembangan akaun Twitter @twt_filem, dia juga meminta agar pihak yang menjadi pengendali kepada akaun tersebut supaya melantik individu yang lebih berkelayakan menjadi kurator. Kosmo!: Baru-baru ini anda ada membuat kenyataan tentang perasaan tidak puas hati terhadap kurator akaun Twitter @twt_filem. Boleh anda jelaskan lebih lanjut mengenai isu tersebut? IDHAM: Apa yang saya tahu akaun Twitter @twt_filem diwujudkan sebagai platform untuk membahaskan sesuatu perkara membabitkan industri perfileman tanah air dan saya menyokongnya kerana ia memberi suatu petanda yang agak positif. Saya menganggapnya sebagai satu bentuk komuniti yang turut disertai oleh beberapa penggiat filem. Bagaimanapun, kini saya melihat ia dijadikan platform untuk menghentam orang lain. Apakah yang membuatkan anda tidak puas hati dengan kurator berkenaan? Saya tidak berpuas hati kerana kurator yang dilantik itu telah memperlekehkan saya kerana memberi penerangan tentang pasaran filem berbanding menghasilkan filem untuk menang anugerah. Dia tidak boleh tunjuk pandai kerana belum pernah merasai keadaan dan nasib seorang pembikin filem. Jadi, sebagai orang lama dalam industri ini saya berasa terpanggil untuk bersuara 'mengajar' individu yang bersikap mahu tunjuk pandai. Lagipun dia tidak layak bercakap pasal industri filem kerana masih belum tamat belajar dan tiada sebarang pengalaman. Apakah pandangan anda terhadap pelantikan kurator bagi akaun Twitter berkenaan? Pertama sekali, kurator yang dilantik tidak boleh menyebelahi mana-mana pihak, memberikan pandangan yang boleh memesongkan pemikiran pembaca serta menghormati pihak-pihak yang sudah bertungkus-lumus memajukan industri filem. Selain itu, pengendali akaun Twitter berkenaan juga tidak seharusnya melantik budak mentah untuk menjadi kurator kerana masih ramai lagi individu yang lebih berpengalaman luas boleh dilantik. Sekiranya ditawarkan untuk menjadi kurator, adakah anda akan menerimanya? Saya akui masih belum layak lagi kerana tidak belajar tentang filem dahulu, berbanding dengan individu seperti Raja Mukhriz kerana dia turut terbabit dalam perkara-perkara dari sudut teknikal. Selain perbalahan dengan kurator akaun Twitter @twt_filem, anda juga dikritik kerana meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap pekerja di sebuah restoran terkenal dengan mengatakan mereka seperti tidak tahu buat kerja. Ada yang beranggapan tindakan anda itu seperti angkuh. Apakah komen anda berhubung tindakan tersebut? Saya bertindak sedemikian kerana berasa tidak puas hati dengan cara pekerja yang tidak cekap. Selain saya, terdapat beberapa orang pelanggan lain yang melahirkan rasa tidak puas hati terhadap layanan yang diberikan. Tidak dinafikan perkara sebegini akan memberi impak kerana saya dikenali ramai, tetapi tujuan saya apabila langkah sebegini dilakukan ia memberi pengajaran kepada mereka supaya memperbaiki mutu pekerjaan. Lagipun saya tidak komen tentang makanan yang dijual, sebaliknya kualiti perkhidmatan yang diberikan. | |
Posted: Lisa terkesan komen peminat Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN
SEBAGAI pasangan selebriti popular tempatan, baik Yusry atau Lisa Surihani, sudah pasti kisah peribadi selain kerjaya menjadi tumpuan khalayak semasa. Mana tidaknya, majlis perkahwinan pasangan tersebut pada 23 Februari 2012 menjadi salah satu majlis yang diingati ramai sekali gus perkembangan rumah tangga mereka turut menjadi perhatian. Pada tahun yang sama juga pasangan selebriti Awal Ashaari dan Scha Alyahya turut melangsungkan perkahwinan, malah baru-baru ini pasangan itu turut mengumumkan berita gembira bakal menimang cahaya mata tidak lama lagi. Sudah pasti sebagai pasangan yang berkahwin pada tahun yang sama, tumpuan turut diberikan kepada Lisa dan Yusry. Tidak dinafikan ramai yang menantikan berita gembira seperti mana pasangan Awal dan Scha. "Saya tumpang gembira untuk Awal dan Scha mengenai berita tersebut, sudah tentu ramai yang bertanyakan hal yang sama kepada saya atau Yusry. "Apa yang boleh saya katakan semuanya terserah pada rezeki Allah, saya tidak berhak menentukan bila waktunya untuk saya hamil. "Kami tidak putus berdoa agar dimurahkan rezeki untuk menimang cahaya mata sendiri," ujarnya yang ditemui di Hotel Traders, Kuala Lumpur baru-baru ini. Privasi Bagaimanapun kata Lisa, 28, dia terkesan dengan segelintir komen daripada pengikutnya di laman sosial Instagram dan Twitter yang mempertikaikan keadaan tubuh badannya hingga mengundang situasi mengaibkan. "Kalau soalan biasa contohnya bila saya akan hamil mungkin saya boleh jawab, tapi apabila ada yang bertanyakan adakah keadaan badan saya bermasalah rasanya itu sudah melampau. "Tidak perlu saya memberitahu perkara yang saya sifatkan privasi kepada orang ramai, hormatilah saya juga," ujar Lisa lagi. Lisa yang kini sibuk dengan penggambaran filem Cicakman 3 bersama pelakon Zizan Razak bakal keluar menerusi naskhah Dendam Orang Mati yang akan ditayangkan tidak lama lagi. LISA tidak kekok berlakon di bawah arahan suaminya, Yusry. Berlakon di bawah arahan suaminya sendiri, Yusry, tidak timbul sebarang rasa kekok memandangkan masing-masing boleh bersikap profesional ketika di dalam set penggambaran. "Memang pada mulanya sedikit kekok apabila berlakon di bawah arahan suami sendiri tapi karakter yang saya lihat pada Yusry adalah dia berbeza apabila bekerja. "Saya ternanti-nanti juga dia memanggil saya dengan panggilan 'sayang' tapi sepanjang penggambaran dia panggil saya Linda (nama watak dalam Cicakman 3). "Yusry seorang yang serius dan fokus apabila bekerja tapi selepas habis bekerja kami kembali menjadi pasangan suami isteri seperti biasa," kongsi Lisa. Sambung belajar Bagaimanapun Lisa menafikan dia merupakan pelakon eksklusif syarikat KRU Studios selepas berkahwin dengan Yusry. "Mungkin secara kebetulan filem Ular dan Cicakman 3 menggandingkan saya bersama Yusry bekerja di bawah satu bumbung tapi itu secara kebetulan. "Selepas filem Cicakman 3, saya akan terbabit dengan sebuah filem arahan Osman Ali pula. Tidak perlu timbul isu sama ada saya pelakon kegemaran mana-mana syarikat sebab saya terbuka untuk menerima sebarang tawaran daripada sesiapa saja," jelasnya yang turut berduet dengan Yusry dalam single Kekasih Abadi. Ditanya adakah Lisa suatu hari nanti akan mengikut jejak langkah suaminya mengarahkan filem atau drama, jawab Lisa masih banyak yang perlu dipelajarinya. "Untuk menjadi seorang pengarah filem perlu ada keghairahan yang mana tiada dalam diri saya. Saya perlu belajar lebih mendalam lagi mengenai bisnes perfileman kalau mahu duduk di kerusi pengarah. "Memang ada perancangan untuk menyambung pelajaran tapi masa tidak mengizinkan. Kalau sekadar ambil kursus singkat sebulan dua rasanya belum mencukupi malah silibus yang diajar pun sekadar yang asas saja," katanya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |