{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Hiburan

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Hiburan


Usaha N:Sonic melakar nama

Posted:

Usaha N:Sonic melakar nama

Usaha N:Sonic melakar nama

GENRE K-Pop sememangnya digilai oleh pendengar muzik di seluruh dunia, terutamanya dari negara-negara di rantau Asia.

Gerak tari dan kelincahan setiap ahli kumpulan yang terdiri daripada lelaki-lelaki muda ketika melakukan persembahan begitu memukau para peminat yang menonton.

Ditambah dengan raut wajah yang tampan dan polos, sesiapa sahaja mampu tertawan dengan penampilan mereka.

Bagaimanapun, tidak semua kumpulan K-Pop mampu mendominasi pasaran muzik antarabangsa.

Mungkin dengan lambakan muzik yang mempromosikan imej serta gaya persembahan yang agak serupa, ada dalam kalangan kumpulan-kumpulan ini tidak mampu untuk berdiri sama tinggi dengan kumpulan K-Pop yang lain.

Begitulah situasi yang boleh digambarkan oleh kumpulan N:Sonic, sebuah kumpulan yang berasal dari Korea Selatan yang memulakan langkah mengejar populariti dalam dunia hiburan sejak tahun 2011 menerusi lagu We Are Superboys.

Malangnya, kumpulan ini dilihat seperti lesu tanpa sebarang sambutan mahupun promosi.

Lebih mengecewakan apabila tiga ahli kumpulan yang asal, Eunho, Jonguk dan Yunjun membuat keputusan untuk keluar daripada kumpulan itu dan membawa haluan masing-masing.

Berkat kemasukan empat orang ahli baharu, bintang kumpulan itu yang kini dianggotai oleh J-Heart, Black J, Choi Byul, Zion, Sihoo dan Minkee kembali bersinar apabila dapat meluaskan sayap ke Malaysia, khususnya apabila diberi peluang untuk membuat kemunculan istimewa melalui filem Ah Beng: Mission Impossible.

Berpeluang menemu bual enam anak muda itu di Hotel DoubleTree by Hilton, Kuala Lumpur baru-baru ini, mereka jelas teruja dengan kolaborasi yang terjalin antara syarikat pengurusan N: Sonic di Korea, Leon Entertainment dengan pengarah filem tersebut, Silver Chung.


AKSI lincah N:Sonic ketika mengadakan persembahan di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Bukan bintang terkenal

"Kami sangat berbangga kerana diberi peluang untuk membuat kemuncuan istimewa menerusi Ah Beng: Mission Impossible.

"Walaupun ia hanyalah kemunculan untuk babak yang kecil sahaja, namun kami berbesar hati kerana diberi peluang untuk bekerja dengan produksi filem Malaysia.

"Tambahan pula, watak yang kami lakonkan adalah sebagai sebuah kumpulan paling popular di Korea. Jadi, walaupun tidak sepopular mana, peranan itu sudah mencukupi buat kami berenam," kata J-Heart atau nama sebenarnya, Kwon Jae Hwan yang bertindak sebagai ketua kumpulan mewakili ahli-ahli yang lain.

Walaupun mengakui bahawa mereka tidaklah setanding dengan kumpulan-kumpulan K-Pop lain yang telah membina nama di persada antarabangsa, namun peluang yang diberikan untuk berlakon bersama Jack Lim yang memegang watak Ah Beng serta Jeff Chin merupakan suatu pengalaman yang tidak mungkin dilupakan.

"Sewaktu menerima tawaran untuk berlakon dengan produksi di Malaysia, kami berasa sungguh teruja. Lebih-lebih lagi apabila dapat berlakon bersama Jack Lim dan Jeff Chin.

"Kedua-dua mereka sungguh baik dan tidak sombong. Kami sungguh gembira kerana dapat berlakon dengan dua pelakon yang terkenal itu," ujarnya.

Tambah J-Heart, selain dapat berlakon dengan pelakon-pelakon yang hebat, peluang bekerja dengan pengarah Silver Chung merupakan salah satu pengalaman yang tidak mungkin mereka lupakan sepanjang bergelar bintang.

"Silver merupakan salah seorang pengarah yang terkenal di Malaysia. Kami berasa sungguh berbesar hati kerana dapat bekerja bawah arahannya. Mungkin suatu hari nanti, kami dapat bekerja dengannya lagi," kata Silver yang berharap dapat kembali ke Malaysia dan berlakon jika diberikan peluang.

Berbahagi minat

Walaupun pada asalnya mereka mula menempa nama sebagai penyanyi berkumpulan, minat yang mendalam terhadap dunia lakonan sedikit sebanyak mempengaruhi mereka untuk mencuba sesuatu di luar ruang selesa pada masa hadapan.

Melanjutkan perbualan pada sesi temu bual yang diadakan pada petang Jumaat itu, Minkee atau nama sebenarnya, Jun Min Ki jelas begitu tertarik dengan dunia lakonan.

Katanya, selain menyanyi dan menghiburkan peminat dengan suara dan kelincahannya menari di atas pentas, dia juga ingin menceburi bidang lakonan lebih-lebih lagi selepas terlibat dengan Ah Beng: Mission Impossible.


N:SONIC pernah hampir berkubur apabila tiga anggota asalnya bertindak keluar daripada kumpulan ini, namun ia kembali utuh dengan kemasukan empat anggota baharu.


"Saya teringin untuk berlakon sekali lagi kerana dalam filem itu, saya tidak diberi kesempatan untuk berdialog dengan banyak. Justeru, jika diberi peluang pada masa akan datang untuk berlakon filem, pasti saya akan mencuba lagi," katanya.

Berkongsi perancangan lain, Minkee berkata, dia dan Sinhoo bekerjasama dalam sebuah sitkom yang telah memulakan penggambaran pada Januari lalu.

"Saya dan Sinhoo akan berlakon dalam sebuah sitkom yang akan disiarkan di Korea Selatan. Ini merupakan kali kedua saya beraksi di hadapan kamera.

"Bezanya, pada kali ini, saya dan Sinhoo perlu berlakon watak komedi yang lari daripada watak yang kami pegang dalam filem pertama ini," katanya lagi.

Suka Malaysia

Ketika membuat kemunculan istimewa menerusi Ah Beng: Mission Impossible, keenam-enam mereka tidak menjalani penggambaran di Malaysia.

Sebaliknya, kru filem tersebut termasuk para pelakon dan pengarah terbang ke Korea Selatan bagi meneruskan penggambaran di sana.

Justeru, kali pertama N:Sonic menjejakkan kaki ke Malaysia ialah sewaktu produksi filem tersebut mengadakan malam gala tayangan perdana Ah Beng: Mission Impossible di Pavilion, Kuala Lumpur, sehari sebelum temu bual ini berlangsung.

Sewaktu ditanya mengenai Malaysia, J-Heart memberitahu, mereka begitu teruja dengan sambutan menggalakkan yang diterima daripada peminat di sini.

Selain keramahan dan kesudian peminat menerima muzik mereka, keadaan Malaysia yang aman damai juga turut menarik perhatian enam anggota kumpulan itu.

"Sebaik sahaja tiba di sini untuk mengadakan persembahan, kami berasa sungguh terkejut dengan sambutan yang diterima. Peminat di sini sungguh peramah dan bertenaga. Suasana di Kuala Lumpur juga sungguh tenang dan selesa.

"Saat paling mengujakan apabila kami mengadakan persembahan sebelum malam gala tayangan Ah Beng: Mission Impossible. Peminat yang hadir memberikan sokongan yang begitu padu," jelasnya.

J-Heart turut berkongsi, mereka akan muncul dengan album baharu pada musim bunga akan datang serta merancang untuk datang semula ke Malaysia bagi bertemu dengan para peminat.

"Memandangkan kami begitu diterima di sini, kami berharap dapat berkunjung ke Malaysia sebaik sahaja album terbaharu kami dilancarkan pada pertengahan tahun ini," jelasnya mengakhiri perbualan.

Hidung baru Ajai bernilai RM28,000!

Posted:

Hidung baru Ajai bernilai RM28,000!

Hidung baru Ajai bernilai RM28,000!

Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my

AJAI kini muncul dengan single Aduh bersama imej terkininya yang nampak lebih segar dan muda.


IMEJ terbaharu komposer dan penyanyi Ajai mengejutkan banyak pihak. Bukan sahaja tampak lebih muda dengan badannya yang semakin sasa, bahkan hidungnya yang berubah semakin mancung turut meraih perhatian.

Bertemu dalam satu sesi fotografi bersama Kosmo! baru-baru ini, penulis mengamati wajah lelaki yang bakal berusia 40 tahun pada 15 Mac depan ini.

Memang benar, wajah Ajai atau nama sebenarnya, Mohd. Faizal Maas semakin berubah, jika sekali imbas pasti ada yang tidak mengenalinya selain fesyennya yang mengikut trend terkini.

Bakal tampil dengan album kompilasi Republik Ajai dan kini popular dengan lagu Aduh, Ajai tidak melatah mahupun marah apabila diajukan soalan berhubung perubahan imej secara mendadak itu.

Kata Ajai, dia mempunyai sebab yang kukuh untuk mengubah imej dan membedah hidungnya dengan kos RM28,000.

Ikuti temu bual Kosmo! bersamanya.

Kosmo!: Benarkah Ajai membedah hidung kerana ramai berpendapat hidung anda kelihatan lebih mancung berbanding dulu?

AJAI: Memang benar saya menjalani pembedahan menukar batang hidung tetapi bukan untuk kecantikan, sebaliknya keputusan itu diambil selepas tiada jalan penyelesaian terhadap masalah sinus yang saya hadapi.

Mengapakah anda mengambil keputusan drastik untuk membedah hidung?

Sebenarnya sudah berbelas tahun saya menghadapi masalah sinus dan ia semakin kritikal sejak kebelakangan ini. Puncaknya, suatu hari apabila saya bangun daripada tidur saya dapati telinga sebelah kiri saya tidak boleh mendengar apa-apa.

Jadi, saya terus buat pemeriksaan di hospital dan doktor mengesyorkan untuk saya jalani pembedahan hidung supaya masalah yang sama tidak berulang.

Sebelum ini anda tidak pernah cuba rawatan alternatif lain?

Sudah cuba tetapi semuanya tidak membuahkan hasil. Bagi menggelak masalah berlarutan saya makan ubat tetapi doktor kata kalau sentiasa ambil ubat akan merosakkan buah pinggang.

Mahu tidak mahu, saya terpaksa serah diri pada pisau bedah kerana gegendang telinga saya sudah rosak dan sinus saya banyak tersumbat di batang hidung.

Jika saya tidak boleh mendengar macam mana saya mahu cari pendapatan kerana kerja saya memerlukan saya mendengar dengan teliti.

Tidakkah anda kekok dengan pandangan orang terhadap hidung baharu anda?

Saya tidak kisah apa orang nak cakap asalkan saya boleh bernafas dan mendengar dengan selesa. Saya bukan bedah hidung untuk nampak cantik tetapi atas faktor kesihatan. Jika fikirkan balik kos RM28,000 itu bukan murah tetapi saya terpaksa. Sekarang sudah tiga bulan selepas pembedahan, barulah saya dapat biasakan diri dengan hidung baharu ini.

Anda juga kelihatan lebih sasa sekarang. Apakah tujuan anda membina badan, adakah untuk kelihatan muda?

Bagi saya usia hanya sekadar angka, kita tidak perlu membuat diri kita terasa tua. Saya mula konsisten ke gim sejak setahun lalu, tujuan bukannya nak membina otot ketul-ketul tetapi sekadar untuk menjaga kesihatan diri dan badan nampak elok apabila menyarung pakaian. Secara tidak langsung akan nampak lebih sihat dan muda. Selain itu, saya juga terlibat dalam filem Tokan 2 yang memerlukan banyak adegan lawan sebab itu badan saya harus nampak sedikit sasa.

Sebelum ini anda sering menghasilkan lagu yang bertaraf anugerah, tidakkah anda terasa tertinggal apabila mencipta lagu Aduh yang kedengaran seperti lagu Indonesia?

Lagu Aduh itu sepatutnya dimasukkan dalam album solo pertama saya berjudul 4/4 yang akan dikeluarkan pada bulan Jun depan.

Bagaimanapun, album kompilasi saya Republik Ajai keluar terlebih dahulu dan bagus untuk pendengar mengetahui saya ada produk baharu.

Sejujurnya, saya tidak rasa ketinggalan kerana lagu yang saya gelar sebagai genre M-Pop atau Pop Melayu itu mengikut kehendak pasaran.

Kalau pergi ke pusat karaoke, lagu-lagu lama yang jadi pilihan dan itu genre M-Pop. Muzik adalah universal, kita tidak boleh kata itu muzik Indonesia dan ini muzik Malaysia.

Alhamdulillah, lagu Aduh diterima baik oleh peminat, bermakna kajian saya selama empat tahun adalah tepat.

Khabarnya, anda meluaskan sayap seni sebagai pengacara pula kenapa?

Sekadar untuk mencuba sebenarnya, program bual bicara kelolaan saya yang dinamakan Jemput Masak Chef akan mula bersiaran bermula 12 Februari setiap hari Khamis pukul 6.30 petang di TV3.

Pengalaman pertama saya sebagai pengacara sungguh seronok, walaupun berbeza dengan kerja sebagai komposer dan penyanyi.

Sepanjang rakaman, saya tidak diberikan skrip, jadi pandai-pandailah saya bercakap dengan tetamu. Syukur tetamu yang dijemput semua rakan-rakan sendiri seperti Rozita Che Wan dan Zain serta Fasha Sandha dan Jejai, jadi tidaklah rasa kekok sangat.

Nikah Mei, Misha tolak wang dan barang berjenama

Posted:

Nikah Mei, Misha tolak wang dan barang berjenama

Nikah Mei, Misha tolak wang dan barang berjenama

FIROS dan Misha sepatutnya bernikah pada 21 Februari ini, namun menundakan majlis tersebut ke bulan Mei kerana menghormati tempoh edah ibu Misha, Zainab Mat Nor selepas kehilangan suaminya yang juga bapa Misha, Omar Ismail pada November tahun lalu.


"ALHAMDULILLAH, selepas dua kali menunda tarikh pernikahan kami, insya-Allah bulan Mei ini kami akan bernikah," ujar Misha yang ditemui pada majlis minum petang bersama pihak media di Restoran Delicious di pusat beli-belah One Utama kelmarin.

Terpancar kebahagiaan pada wajah wanita berusia 32 tahun itu saat membuat pengumuman tersebut. Turut terasa tempias gembira, tentulah tunangannya, Firos Ezzwan Rossly, 31, yang setia duduk di sebelah wanita kesayangannya itu.

Misha bagaimanapun enggan mendedahkan tarikh pernikahan mereka demi menghormati permintaan ibunya, Zainab Mat Nor, 65, yang mahu tarikh tersebut didedahkan sewaktu kad undangan diedarkan.

Ujarnya: "Sebenarnya, ibu yang mahu saya dan Firos segera berkahwin. Dia juga berpesan bahawa molek kalau kami bernikah pada bulan Rejab yang jatuh pada bulan Mei.

"Jika ikutkan saya, saya belum bersedia untuk berkahwin kerana masih terasa kehilangan arwah bapa saya, Omar Ismail yang meninggal dunia November lalu.

"Namun kata ibu, edahnya pun sudah habis, jadi elok kalau kami segera bernikah selepas dua kali menundakan perkahwinan kami."

Justeru, dalam masa yang singkat, dia dibantu pengurusnya iaitu kakaknya sendiri, Mimie serta keluarga, menguruskan persiapan perkahwinan mereka selengkap mungkin.

Majlis di Kelantan

Tidak mengimpikan sebuah majlis extravaganza, jelas Misha, majlis pernikahan dan resepsinya hanya akan diadakan pada hari yang sama.

"Jika mengikut perancangan, kami akan bernikah dan menjalankan majlis resepsi di Hotel Renaissance, Kota Bharu, Kelantan pada hari yang sama.

"Majlis itu juga hanya akan dihadiri oleh keluarga terdekat dan sangat sederhana demi menghormati permintaan ibu saya. Saya juga tidak akan melakukan majlis resepsi di Kuala Lumpur, kecuali untuk majlis bertandang di kediaman keluarga lelaki di Subang Jaya, Selangor," katanya.

PASANGAN ini mahu melaksanakan majlis mereka dengan serba sederhana.


Ditanya tentang jumlah hantaran yang diminta, ini jawapan Misha.

Tidak mahu wang untuk hantaran. Tidak mahu wang untuk mas kahwin. Tidak mahu barangan berjenama untuk hantaran perkahwinan. Cukup dengan hadiah dari hati yang mampu dijadikan simbolik sempena penyatuan hati mereka.

Itu syarat yang diletakkannya.

Bagi penyanyi Angin Syurga itu, dia lebih menitikberatkan tentang kehidupan selepas berkahwin, berbanding mementingkan soal materi yang mahu dibanggakan untuk tatapan umum.

"Keluarga saya sepakat untuk tidak meminta wang untuk hantaran mahupun mas kahwin saya kelak. Cukup jika ada cenderahati sebagai tanda simbolik penyatuan kami. Itu sudah memadai.

"Namun, kami akan berbalas lima dulang hantaran, yang isinya juga saya syaratkan bukan barangan berjenama. Saya bukan wanita yang materialistik kerana saya pegang pesanan ibu saya bahawa saya perlu memikirkan tentang kehidupan selepas berumah tangga kelak," jelasnya panjang lebar.

Bercakap tentang persiapan perkahwinan yang hanya akan menjelang tiga bulan lagi, ujar Misha, setakat ini, dia sudah melalui 50 peratus proses persiapan untuk hari bersejarah itu.

Katanya, dia hanya menggunakan perkhidmatan rakan-rakan baik untuk melangsungkan majlis tersebut.

Pereka busana, Syaiful Bahrim akan mereka busana perkahwinan mereka manakala TheJoeZakaria pula menyediakan khidmat fotografi dan videografi untuk hari bermakna itu.

Sementara itu, Firos yang ditanya tentang kesetiaannya menanti Misha untuk disunting sebagai isteri berkata, dia mempercayai wanita tersebut sepenuhnya walaupun pernah digosipkan berkahwin dan menjadi isteri ketiga seorang usahawan.

Ringkas jawapannya, namun penuh makna, kata Firos: "Saya percaya Misha sepenuhnya. Sementelah, kami sentiasa bersama, jadi saya juga tertanya-tanya bila dia sempat berkahwin seperti yang digembar-gemburkan itu." - MALIAH SURIP

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat