Kosmo Online - Pesona
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Pesona |
Aura kombinasi jenama eksklusif Posted: Aura kombinasi jenama eksklusifOleh KHADIJAH MOHAMAD NOR MULA mengenali jenama telekung Mia Mikhail sejak dua tahun lalu, Amirah Zulkifli, 27, mengakui dia masih setia dengan produk yang ditawarkan oleh syarikat milik anak tempatan itu. Ini kerana telekung yang dihasilkan menggunakan kain berkualiti tinggi, sekali gus memberi keselesaan apabila memakainya ketika menunaikan solat. Eksekutif perundangan kanan di sebuah firma swasta di Kuala Lumpur itu memberitahu, pada mulanya dia hanya membeli telekung tersebut untuk kegunaan sendiri. Namun, apabila menerima respons yang baik daripada keluarga, dia turut membelinya untuk mereka. "Boleh dikatakan saya memang peminat setia telekung jenama Mia Mikhail selepas kali pertama mengetahui produk itu melalui laman web mereka. "Selain menawarkan variasi warna telekung yang menarik, kualiti fabrik juga menepati cita rasa saya," ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini. Malah, menurut Amirah, sewaktu melangsungkan perkahwinannya pada Disember tahun lalu, dia tidak ketinggalan memilih telekung Mia Mikhail untuk dijadikan hantaran. Kolaborasi yang terjalin antara Mia Mikhail dan peruncit kurma premium dari Dubai, Bateel Asia Sdn. Bhd. (Bateel) baru-baru ini turut membuatkan Amirah teruja. "Kerjasama ini agak mengejutkan kerana saya bukan sahaja pelanggan setia Mia Mikhail tetapi amat dekat dengan jenama Bateel yang telah lama dikenali. PRODUK kurma dan coklat premium Bateel yang pelbagai dan enak dilihat mampu memberi kepuasan kepada pelanggan. "Sebenarnya, ibu bapa saya yang memperkenalkan kurma premium itu kerana mereka selalu membelinya sejak tiga tahun lalu. Jadi, kerjasama ini dilihat seperti satu kebetulan," ujarnya tersenyum. Tidak lokek untuk mengeluarkan sedikit belanja untuk mendapatkan produk terbaik, Amirah berkata, secara peribadi, saya rasakan ia satu langkah yang baik untuk kedua-dua pihak menarik lebih ramai pelanggan pada masa akan datang. Gembira Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mia Mikhail, Nik Farhana Nik Mokhtar, 32, melahirkan rasa gembira apabila berpeluang berkolaborasi bersama Bateel. "Saya harap kerjasama ini dapat meningkatkan lagi pasaran telekung Mia Mikhail yang sebelum ini diusahakan secara dalam talian. "Alhamdulillah, sambutan pelanggan semakin menggalakkan sejak memulakan perniagaan ini pada tahun 2011. Walaupun pada awalnya, penerimaan masyarakat terhadap telekung berwarna agak perlahan, tetapi kini ia menjadi trend terutamanya dalam kalangan golongan muda," terang nya. Tambah beliau, telekung-telekung yang dihasilkan menggunakan fabrik likra berkualiti tinggi yang tahan lama di samping kain kapas premium. MERAIKAN raja sehari dengan hantaran istimewa Mia Mikhail dan Bateel pasti memberi pengalaman manis buat pengantin. "Pada masa ini, Mia Mikhail berjaya menghasilkan 5,000 pasang telekung setiap bulan bagi memenuhi permintaan pasaran," kata Nik Farhana yang mengasaskan jenama Mia Mikhail bersama dua adiknya, Nik Nurhidayah, 31, dan Nik Noor Jehan, 30. Koleksi telekung Mia Mikhail pada awalnya hanya mempunyai tujuh warna tetapi kini terdapat lebih daripada 40 warna mengikut rekaan. Harga telekung bermula daripada RM160 hingga RM500 bagi koleksi telekung istimewa buat pengantin. Untuk koleksi telekung pengantin ini, ia dihiasi dengan batu kristal Swarovski yang tinggi nilainya selain penggunaan kain les bagi menyerlah seri telekung tersebut. Dalam pada itu, Pengurus Jenama Kanan Bateel, Aisyah Ahmad, 31, memberitahu, gabungan bersama Mia Mikhail merupakan salah satu cara untuk mempromosikan produk Bateel di Malaysia. "Selaku pengimport kurma dan coklat premium dari Dubai yang mempunyai pelanggan tersendiri, saya yakin kerjasama ini mampu menyuntik elemen eksklusif tambahan.
Hamper istimewa "Kami percaya gabungan hamper yang terdiri daripada kurma dan coklat Bateel bersama keindahan rekaan telekung Mia Mikhail pasti menjadi pilihan hantaran buat bakal pengantin," ungkap Aisyah sewaktu pelancaran hamper eksklusif Bateel dan Mia Mikhail di Pusat Beli-Belah Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini. Antara keunikan produk Bateel ialah kurma organik yang diimport dari Dubai yang mempunyai tekstur yang lebih halus dan enak dimakan. Rasanya juga tidak terlalu manis dan sesuai untuk diambil setiap hari sebagai salah satu makanan sunah Rasulullah SAW. Koleksi hamper istimewa telekung Mia Mikhail dan produk Bateel boleh dimiliki pada harga RM300 hingga RM1,000 mulai bulan ini. Sesuai dengan tradisi dan budaya Melayu, hamper ini disasarkan untuk menjadi penghias dan pelengkap set hantaran untuk pengantin perempuan di hari pernikahan mereka. | ||
Magnum berkongsi rahsia kemewahan Posted: Magnum berkongsi rahsia kemewahanOleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
BERMULA dengan mengagihkan apron kepada setiap peserta, rakan-rakan media kemudian diiringi masuk ke dapur masakan restoran Nathalie's Gourmet Studio di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur untuk mengalami sendiri pengalaman membuat aiskrim mewah, Magnum Gold Parfait. Kira-kira 30 ahli media yang menyertai program memasak Drench Your Palette in Gold itu dibahagikan kepada empat kumpulan. Di atas meja setiap kumpulan, tersusun rapi peralatan memasak seperti pengadun doh, sudip dan kepingan plastik lutsinar. Di sebelahnya, tersedia ramuan-ramuan yang diperlukan untuk membuat hidangan menyelerakan itu seperti coklat cair Belgium, susu coklat segar, gula, kuning telur, krim putar dan serbuk emas boleh dimakan. Chef kulinari yang meraih Anugerah Chef Cemerlang TimeOut KL Food 2011, Nathalie Arbefeuille, memulakan aktiviti dapur dengan menunjukkan cara membuat kepingan rangup coklat yang dihiasi serbuk emas untuk diletakkan di bahagian luar aiskrim. "Anda perlu mengelap plastik lutsinar ini di atas meja besi menggunakan tisu supaya aliran elektrik statik berlaku, sekali gus menyebabkan ia melekat di permukaan meja. "Ini adalah teknik yang sangat penting supaya kepingan plastik ini tidak bergerak ketika anda menyapu lapisan serbuk emas dan coklat pada permukaannya," jelas Arbefeuille sambil meletakkan coklat cair di atas kepingan plastik berkenaan. SELAIN mengajar di hadapan, Arbefeuille (tengah) turut turun ke padang melihat prestasi anak muridnya. Beliau turut memberi peluang kepada peserta mencorakkan kepingan coklat mengikut kreativiti masing-masing. Selepas menyediakan lapan gelungan kepingan coklat Belgium yang sedia untuk dibekukan, kelas kulinari diteruskan dengan penyediaan krim mewah Magnum. Bagaimanapun, menurut chef kelahiran Perancis itu, bahagian yang paling mencabar adalah memastikan suhu dan kelikatan krim seimbang untuk menerbitkan rasa mewah aiskrim Magnum. "Kita perlu menggunakan pengukur suhu semasa mengacau krim ini di atas dapur untuk mengelakkan ia terlebih masak. "Ini adalah proses yang agak rumit, tetapi hasilnya nanti sangat memuaskan," katanya. Kelihatan setiap peserta memberikan tumpuan. Namun, ada juga rakan media yang mengambil kesempatan bergerak seiringan dengan chef berkenaan supaya tidak tersalah langkah. Edisi terhad Melihat keseronokan rakan media menghasilkan aiskrim masing-masing, Ketua Kategori Aiskrim Wall's , Unilever (Malaysia) Holdings Sdn. Bhd. (Unilever), Shawn Tan berkata, kelas memasak tersebut diadakan sempena pengenalan aiskrim Magnum edisi terhad, Magnum Gold. "Selama 25 tahun Magnum telah terkenal dengan identiti rasa aiskrim mewah daripada coklat Belgium yang memberikan nikmat menerusi setiap suapan. "Bagi menghargai pelanggan setia jenama ini, pada tahun ini kami mencipta rasa baharu menerusi varian Magnum Gold yang akan dilancarkan pada masa terdekat," katanya pada program berkenaan.
Tan menambah, aiskrim edisi terhad itu akan berada di pasaran selama setahun. Mengulas mengenai program masakan yang dianjurkan, beliau berkata, ia bertujuan berkongsi rahsia aiskrim terkenal itu dengan menggunakan ramuan-ramuan yang berkualiti tinggi. "Arbefeuille dapat berkongsi cara menghasilkan pencuci mulut premium yang menerapkan elemen keemasan pada Magnum Gold, selain mengetengahkan keistimewaan coklat Belgium yang kurang manis berbanding coklat biasa. "Rakan-rakan media juga boleh berkongsi resipi ini dengan penggemar aiskrim lain, selain lebih memahami kerumitan serta keseronokan menghasilkan aiskrim mewah Magnum," katanya tersenyum. Antara varian aiskrim Magnum di pasaran pada masa ini adalah Classic, Almond, Chocolate Truffle., Choco Cappuccino, Chocolate Brownie dan Strawberry. Pada November tahun lalu, Unilever turut melancarkan rangkaian Magnum Mini. Ia dijual pada harga RM12.90 untuk satu kotak yang mempunyai enam batang aiskrim Magnum bersaiz kecil. | ||
Posted: Sahabat dunia akhiratPERHUBUNGAN bersama rakan ketika di sekolah rendah jarang berpanjangan apabila meningkat dewasa. - Gambar hiasan KEHIDUPAN dunia merupakan dewan kuliah utama yang perlu diamati. Misalnya, saya sendiri berusia lebih 50 tahun hijrah ketika catatan ini ditulis. Lalu saya cuba mengenang tempoh awal kehidupan sebelum bersekolah, namun tiada seorang pun rakan sepermainan yang nama dan wajahnya masih hinggap di minda. Saya terkenang bagaimana kami bermain kejar-kejar, tembak-menembak memakai senapang kayu, gelang getah sebagai pemicu dan berpeluru senduduk. Kedua, ketika di sekolah rendah. Tempoh lima hingga enam tahun bersama rakan-rakan yang begitu akrab sepatutnya membawa banyak nama di minda. Hakikatnya, sekurang-kurangnya buat diri saya sendiri, tiada seorang pun antara mereka masih bersama sebagai rakan keluarga. Sungguh, sesekali bertemu kami masih cuba melakonkan watak di kala usia perkenalan. Kami tidak dapat berbohong. Masa sebenarnya telah mengubah banyak perkara. Ia tidak mungkin jadi begitu. Kemudian kehidupan berasrama di sekolah menengah dan universiti membawa pertemuan kepada ramai rakan yang berbeza watak dan gaya. Persahabatan kelihatan lebih matang dan bermakna. Namun kerjaya, perubahan status bujang kepada berkeluarga dan peningkatan usia juga mencantas begitu banyak hubungan persahabatan. Sekali-sekala kenangan ini menerpa hati dan perasaan. Namun ia tidak mungkin lagi serupa. Masya-Allah...Subhanallah...Allahuakbar. Pusingan lampau kehidupan sentiasa berlaku. Persahabatan datang dan pergi. Alam kerjaya dan ketika usia meningkat di hujung senja menyebabkan kehilangan dan penerimaan rakan-rakan baharu dan lama silih berganti. Namun, ada sesuatu yang pasti betapa mereka yang paling karib sepenuh hati dan perasaan, hanyalah mereka yang paling hampir. Kaum keluarga, anak-anak dan isteri. Akhirnya saya mula mengaku yang kami tinggal berdua suami isteri setelah melalui rutin kehidupan panjang tetapi singkat dan suntuk di dunia. Hubungan akrab Agaknya saya terfikir, hubungan suami isteri yang kelihatan akrab ini terkandung dalam suasana yang diceritakan oleh Allah SWT melalui surah Taaha, ayat 123 yang bermaksud: "Turunlah kamu berdua dari syurga itu, bersama-sama, dalam keadaan setengah kamu menjadi musuh bagi setengahnya yang lain; kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dari-Ku, maka sesiapa yang mengikut petunjuk-Ku itu nescaya dia tidak akan sesat dan dia pula tidak akan menderita azab sengsara." KEHIDUPAN di universiti pasti membawa banyak pertemuan dengan rakan yang berbeza watak dan gaya namun lebih matang. Saya fikir begitu. Ia tidak selalunya benar untuk kesemua manusia. Malah perjalanan kehidupan berbeza-beza. Terdapat manusia yang dikelilingi oleh ramai rakan walaupun mereka sedang menghadapi saat-saat kematian. Terdapat juga mereka ditinggal berseorangan sehinggakan suami atau isteri tiada di samping walaupun antara kedua-duanya masih bernafas. Namun, ada satu pengajaran yang perlu diingat. Semakin hampir tempoh berakhirnya kehidupan di dunia maka kebiasaannya, semakin berkuranglah manusia lain di sisi. Jika ada sekali pun, nilai dan keindahannya tidak mungkin sama ketika usia muda, berkuasa, berpangkat atau berharta. Akhirnya, mereka yang hampir hanyalah mereka yang kasih dan cintakan kita semata-mata kerana Allah. Allahuakbar. Tetapi, ramai yang tidak tahu atau tidak mahu ambil pusing dengan 'dua' sahabat luar biasa yang tidak pernah mahu meninggalkan diri kita di kala senang atau susah, muda atau tua, berseorangan atau berjemaah, tidur atau jaga serta sentiasa adil dan saksama. Dua malaikat Allah SWT telah nyatakan hal ini melalui surah Qaf, ayat 17-18 yang bermaksud: "Semasa dua malaikat mengawal dan menjaganya, menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; satu duduk di sebelah kanannya dan yang satu lagi di sebelah kirinya. Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)." Inilah perhubungan luar biasa yang tidak disedari oleh ramai orang yang meneruskan kehidupan sebelum remaja sehingga usia berada pada tahap di hujung senja. Jika mereka sedar, insya-Allah pelbagai perilaku kehidupan harian manusia akan berubah dan berbeza. Malah, jika manusia mengetahui kedua-dua sahabat ini masih bersama ketika dibangkitkan di Padang Mahsyar kelak, maka mereka juga akan berhati-hati ketika di khalayak ramai atau semasa berseorangan. Allah SWT telah menyatakan melalui surah Qaf, ayat 21 yang bermaksud: "Dan (setelah itu) datanglah tiap-tiap orang (ke Padang Mahsyar), disertai (dua malaikat: satu menjadi) pembawa dan (satu lagi menjadi) saksi... Dua. Benar, dua malaikat kiri dan kanan bakal menjadi saksi yang tidak boleh berkompromi dengan apa yang telah dilakukan di dunia. Tidak satu pun tertinggal. Kesemua tercatat dengan jelas dan terang. Mereka tidak meninggalkan kita sebagaimana kaum keluarga, rakan-rakan dan manusia lain yang telah kita lalui sepanjang kehidupan singkat ini. Tidakkah kita mahu berfikir? Kami mohon keampunan-Mu ya Allah. Jumpa lagi minggu hadapan. Moga damai di hati. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Pesona To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |