Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
Posted: Wajah baharu Gerak KhasSEJAK ditubuhkan pada 13 Mac 1985, syarikat produksi Skop Production Sdn. Bhd. kerap menerbitkan drama bersiri bercorak kepolisan yang disiarkan di kaca televisyen. Bermula dengan drama bersiri Remang-Remang Kotaraya pada tahun 1986, ternyata syarikat yang diterajui oleh Datuk Yusof Haslam itu menerbitkan lebih banyak drama seperti Debu-Debu Kota, Skuad Khas dan Roda-Roda Kuala Lumpur. Bagaimanapun, yang paling menjadi tumpuan penonton pastinya drama bersiri Gerak Khas yang mula bersiaran di stesen televisyen RTM pada tahun 1999 dan dapat bertahan selama 12 tahun. Namun begitu, program tersebut telah direhatkan siarannya buat sementara waktu pada tahun 2011. Kini selepas tiga tahun, para penonton setia siri televisyen itu akan dapat menyaksikan aksi yang ditampilkan oleh sepasukan anggota polis menerusi musim baharu yang akan mula ditayangkan pada 14 Februari ini. Dalam satu majlis pelancaran yang berlangsung di Bukit Aman, Kuala Lumpur baru-baru ini, Yusof selaku penerbit berkata, atas kejayaan yang diraih berdasarkan sambutan penonton sebelum ini telah mendorong pihaknya kembali menerbitkan drama bercorak kepolisan tersebut. "Saya cukup gembira apabila Gerak Khas mampu bertahan selama 12 tahun dan ia merupakan satu tempoh yang agak panjang. Bukan mudah untuk menghasilkannya kerana ia memerlukan kesabaran dan komitmen yang cukup tinggi. "Apa yang boleh saya katakan, kejayaan yang diraih ini adalah hasil kerja berpasukan yang melibatkan para pelakon serta tenaga kerja di belakang tabir yang berusaha keras menjayakan setiap episod yang diterbitkan," ujarnya. Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari, Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Datuk Norhyati Ismail dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin. ZAHID (berdiri, tengah) hadir pada majlis pelancaran drama bersiri Gerak Khas musim baharu di Kuala Lumpur baru-baru ini. Jelasnya, ketika mula-mula menerbitkan drama bercorak kepolisan tersebut, ia lebih bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap sumbangan yang diberikan oleh anggota polis terhadap tugas menjaga ketenteraman awam. "Menerusi drama sebegini sudah tentu ia dapat memberikan gambaran yang lebih jelas terhadap nyawa anggota polis yang sering menjadi taruhan semasa melaksanakan tugas. "Terdapat beberapa episod yang memaparkan anggota yang terkorban ketika bertugas membanteras jenayah," jelasnya. Namun sejajar dengan peredaran masa, untuk musim yang terbaharu, Gerak Khas sebaliknya akan tampil dengan cerita-cerita yang terkini dan berdasarkan situasi semasa tentang kejadian jenayah yang berlaku sekarang. Jelasnya, sepanjang menerbitkan drama berkenaan, pihaknya mendapat kerjasama yang sangat baik daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), misalnya memberi idea atau maklumat yang diperlukan kepada panel skrip Skop Production untuk menghasilkan sebuah cerita yang menarik. "Untuk musim kali ini, Gerak Khas bukan sekadar memaparkan cerita mengenai tugas-tugas polis. Antara pembaharuan yang dilakukan ialah penekanan terhadap jalan cerita yang berkisar kepada konflik kehidupan keluarga serta permasalahan dalaman yang berlaku dalam kalangan anggota polis. "Tidak ketinggalan, terdapat cerita yang memaparkan isu-isu berkaitan polis seperti rasuah, kegagalan operasi akibat rahsia yang dibocorkan oleh orang dalam, salah guna kuasa dan memukul anggota sendiri," ujarnya. Menceritakan lebih lanjut, untuk musim baharu ini, beliau telah menggabungkan barisan pelakon lama dan baharu. Yusof juga turut kembali dalam barisan pelakon produksi tersebut dengan memegang watak sebagai SAC Datuk Helmi. AFIQ MUIZ (tengah) antara muka baharu yang ditampilkan menerusi Gerak Khas musim terbaharu ini. Antara pelakon yang dipilih untuk membintangi Gerak Khas musim baharu ini termasuklah Norman Hakim, C. Kumaresan, Salina Saibi dan Zabri Ibrahim serta beberapa muka baharu seperti Afiq Muiz, Nizen Ayob, Shanorbiah Shamsir Alam dan Mas Hidzir Khan. Dalam pada itu, Yusof turut ditanya mengenai pemilihan Afiq sebagai salah seorang pelakon utama siri TV tersebut memandangkan sebelum ini pelakon muda itu terlibat dengan kontroversi yang membabitkan kisah peribadinya. Jelas beliau, dia memang sengaja memilih Afiq kerana mahu memberi peluang kepadanya kerana dia berbakat. Malah, dia yakin kemunculan pelakon itu tidak akan menjejaskan imej polis dan drama tersebut. "Apa yang berlaku (terhadap Afiq) lebih kepada perkara peribadi dan saya melihat dirinya sebagai seorang yang sangat berdisiplin ketika bekerja. Saya tidak akan memilih pelakon yang ada terbabit dengan jenayah atau politik," tegasnya. Terharu Salah seorang pelakon utama Gerak Khas musim baharu, Norman Hakim mengakui bahawa dia sangat terharu apabila kembali diberi kepercayaan oleh Skop Production untuk membintangi drama bersiri Gerak Khas. Ujarnya, dia sudah terbabit dalam penerbitan drama tersebut dalam tempoh yang cukup lama iaitu sejak tahun 2003 hingga 2009 sebelum keputusan dibuat untuk merehatkannya. "Apabila dihubungi dan diberitahu tentang tawaran berlakon dalam Gerak Khas, perasaan saya sudah pastinya sangat gembira sehingga bergenang air mata kerana saya begitu sayang dengan drama ini. "Selepas lima tahun saya akhirnya kembali menjayakannya dan ia merupakan salah satu rahmat dan rezeki yang diperoleh pada tahun lalu. Ketika ditawarkan saya tidak mengambil masa yang lama membuat keputusan," ujarnya yang memegang watak sebagai Supt. Haris. Mengulas mengenai Gerak Khas yang kembali diterbitkan, ujar Norman, ia merupakan suatu langkah yang sangat wajar kerana tidak banyak drama berbentuk kepolisan yang diterbitkan di negara ini. Tambah Norman, sebagai sebuah drama bersiri yang mengangkat martabat PDRM pada mata masyarakat, ia boleh dijadikan medium yang paling berkesan untuk memberi gambaran sebenar tentang tanggungjawab yang perlu dipikul anggota polis. SELEPAS tiga tahun berehat, kini Gerak Khas musim baharu kembali menemui penonton di layar kaca. "Kalau diikutkan, bukan mudah membawakan watak sebagai pegawai polis. Ada beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian misalnya penampilan, gaya percakapan dan gerak tubuh perlulah dilihat seperti cara seorang polis yang sebenar. "Perkara sebegini harus diberikan perhatian kerana imej yang dibawa oleh pelakon. Lagipun, saya sendiri terpaksa mengambil masa selama tiga bulan membiasakan diri ketika mula-mula berlakon Gerak Khas dahulu," jelasnya. Cabaran Seorang lagi pelakon yang boleh dikategorikan 'orang lama' dalam drama berisi Gerak Khas, Salina Saibi yang memegang watak sebagai ASP Salina berkata, ia telah memberikan satu pengalaman yang berharga buat dirinya. Menurutnya, sebagai seorang yang gemar melakukan aksi lasak, dia sememangnya sangat menggemari watak sebagai pegawai polis yang dilihatnya agak mencabar buat dirinya selaku pelakon. "Tiada sebarang cabaran besar yang dilalui sepanjang terbabit dalam drama ini, kecuali mengalami beberapa kecederaan yang ringan serta membawakan watak sebagai anggota polis sebenar. "Selain itu, terdapat sedikit perbezaan yang ditampilkan apabila watak saya sudah berkahwin dan menjadi isteri kepada ASP Rosli yang dilakonkan oleh Afiq Muiz. Jalan ceritanya juga banyak bertumpu kepada kehidupan kami sebagai pasangan suami isteri," jelasnya. Tambahnya: "Bekerjasama dengan individu seperti Datuk Yusof Haslam agak menyeronokkan dan beliau seorang individu yang sangat fleksibel." | |
Drama bersiri kepolisan popular Posted: Drama bersiri kepolisan popularOleh RONI HIDAYAT RIDWAN DENNIS FRANZ (kiri) dan Jimmy Smits antara dua pelakon penting siri televisyen, NYPD Blue. JIKA di Malaysia drama bersiri Gerak Khas cukup diminati ramai, terdapat beberapa lagi drama bersiri bertemakan kepolisan luar negara yang popular dan menarik minat penonton. Biarpun menggunakan tema yang sama, tetapi setiap drama tampil dengan jalan cerita yang tersendiri. Menariknya, drama-drama tersebut turut ditayangkan di stesen televisyen di negara ini serta mempunyai jumlah penonton yang agak ramai. Berikut merupakan senarai beberapa buah drama kepolisan yang diterbitkan di luar negara serta popular di seluruh dunia dan mencatatkan jumlah rating yang tinggi setiap kali ditayangkan di kaca televisyen. NYPD Blue Sebuah lagi drama bersiri kepolisan yang pernah ditayangkan di stesen televisyen di Malaysia, NYPD Blue berkisar mengenai tugas anggota polis membanteras kegiatan jenayah yang berlaku di sekitar New York, Amerika Syarikat. Sesuatu yang cukup menarik tentang drama bersiri ini apabila ia diilhamkan oleh bekas anggota polis New York, Bill Clark. Secara kebetulan, salah seorang penerbitnya iaitu David Milch sememangnya mengenali Bill sehingga terhasilnya drama bersiri berkenaan. NYPD Blue mula ditayangkan di saluran televisyen ABC Network pada 21 September 1993 sehinggalah ia berakhir pada 1 Mac 2005. Drama bersiri berkenaan telah ditayangkan sebanyak 261 episod dan pernah menjadi drama bersiri paling panjang yang pernah disiarkan di saluran televisyen tersebut. Antara barisan pelakon yang pernah membintangi drama bersiri berkenaan seperti Andy Sipowicz, Dennis Franz, Jimmy Smits, Danny Sorenson, John Clark Jr. dan Diane Russell. NCIS Sesuatu yang menarik tentang NCIS kerana ia agak berbeza dengan drama bersiri kepolisan yang pernah diterbitkan. Memulakan siaran pada tahun 2003 di saluran televisyen CBS, ia masih lagi diterbitkan sehingga sekarang. NCIS memaparkan cerita tentang sekumpulan ejen khas di bawah Naval Criminal Investigative Service yang ditugaskan melakukan penyiasatan terhadap kejadian jenayah membabitkan anggota Tentera Laut Amerika Syarikat dan Polis Marin. Dibintangi oleh beberapa pelakon hebat seperti Mark Harmon, Sasha Alexander, Michael Weatherly dan Pauley Perrette, drama bersiri berkenaan pernah mendapat undian tertinggi untuk rancangan TV yang paling banyak ditonton di Amerika Syarikat pada tahun 2011. Sehingga kini, NCIS yang diterbitkan oleh David Bellisario dan Avery C. Drewe sudah ditayangkan selama 11 musim. Pada musim pertama, ia diberi judul Navy NCIS, tetapi perkataan 'Navy' digugurkan untuk musim berikutnya dan judul NCIS kekal sehingga sekarang.
Hawaii Five-O Merupakan antara drama bersiri kepolisan terawal yang pernah diterbitkan di Amerika Syarikat, Hawaii Five-O mula ditayangkan di stesen televisyen CBS pada tahun 1968 hingga 1980. Menampilkan beberapa orang pelakon terkenal seperti Jack Lord, James MacArthur, Kam Fong dan Gilbert Lani Kauhi, drama bersiri berkenaan ditayangkan selama 12 musim dengan 284 episod. Ia mengisahkan tentang sekumpulan anggota polis yang menjaga keselamatan dan ketenteraman di Pulau Hawaii. Setelah 30 tahun tidak disiarkan di kaca televisyen, Hawaii Five-O kembali menemui penonton pada tahun 2010 dengan barisan pelakon baharu seperti Alex O'Loughlin, Scott Caan, Daniel Dae Kim dan Grace Park. Rookie Blue Jika di Amerika Syarikat popular dengan drama bersiri Hawaii Five-O dan NYPD Blue, negara Kanada juga tidak kurang hebatnya apabila menghasilkan sebuah drama berjudul Rookie Blue. Pernah ditayangkan di TV2 sekitar tahun 2012, Rookie Blue mengisahkan tentang kehidupan lima orang rakan yang bekerja sebagai anggota polis setelah tamat latihan di akademi polis. Selain berkisar tentang kerjaya yang dilalui sebagai anggota polis, drama bersiri ini dilihat lebih menekankan kepada cerita mengenai kehidupan peribadi yang dilalui oleh setiap watak utama, terutamanya berkaitan kekeluargaan dan persahabatan. Drama yang dibintangi oleh Missy Peregrym, Gregory Smith, Rachael Ancheril, Priscilla Faia dan Eric Johnson sudah mula ditayangkan sejak tahun 2010 dan kini sudah memasuki musim yang keempat. Law & Order Mula diterbitkan pada tahun 1990, Law & Order merupakan sebuah drama bersiri yang diterbitkan Dick Wolf dan ditayangkan di stesen televisyen NBC sebanyak 20 musim dalam tempoh 10 tahun. Sejarah drama bersiri ini bermula apabila Dick mencari ilham untuk menerbitkan cerita yang berkisarkan tentang sistem keadilan pada tahun 1988. Mengikut perancangan awal, tajuknya diberi nama Night & Day dan kemudian diubah menjadi Law & Order. Ditayangkan selama sejam untuk setiap episod, bahagian pertama memaparkan tentang penyiasatan yang dilakukan oleh detektif terhadap kejadian jenayah yang berlaku di sekitar New York. Bahagian kedua lebih berkisar kepada paparan tentang situasi perbicaraan di mahkamah terhadap tertuduh yang didapati bersalah dalam usaha mendapatkan keadilan yang sewajarnya. Salah satu tarikan utama drama bersiri ini sehingga diminati ramai kerana kebanyakan ceritanya berdasarkan kepada kisah benar yang berlaku dan pernah menjadi tajuk utama akhbar. | |
Cuaca ekstrem ancam pelancongan Antartika Posted: Cuaca ekstrem ancam pelancongan AntartikaHELIKOPTER dari kapal pemecah ais Xue Long ini membantu menyelamatkan penumpang kapal Shokalskiy. CABARAN operasi menyelamat sebuah kapal Rusia yang terperangkap di kawasan ais yang padat pada bulan lalu, menunjukkan risiko yang terpaksa dihadapi industri pelancongan benua beku, kata pakar. Antartika antara sempadan terakhir untuk pengembara yang gemarkan cabaran merupakan sebuah kawasan ais glasier, habitat penguin emperor dan diliputi salji putih yang tiada penghujungnya. Bagi penumpang kapal Akademik Shokalskiy, mereka menerima pengajaran bahawa ribut salji, bongkah ais, lautan berbahaya adalah sesuatu yang tidak asing di kawasan paling terpencil di dunia, Antartika selain bantuan berada beribu kilometer (km). "Ia adalah peringatan bahawa kita terpaksa bergelut dengan persekitaran ekstrem sama ada bagi tujuan ekspedisi saintifik atau pelayaran berunsurkan pelancongan," kata pakar peraturan pelancongan Antartika, Daniela Ligget dari Universiti Canterbury New Zealand. Berdasarkan rekod industri, jumlah pelancong ke Antartika meningkat daripada kurang 5,000 pelancong pada tahun 1990 kepada kira-kira 35,000 pengunjung setahun. Kebanyakan pelancong ke Antartika melalui lautan, terdapat pelancong yang membayar melebihi AS$20,000 (RM66,930) untuk sebuah kabin mewah terutama pada bulan November hingga Mac. Terdapat juga pertumbuhan yang sihat dalam perkhidmatan udara walaupun sebuah kapal terbang Air New Zealand DC-10 pernah terhempas pada 1979 di Gunung Erebus sehingga mengakibatkan kesemua 257 penumpang maut. Rekod pertama kapal yang membawa pelancong ke Antartika ialah pada tahun 1958 iaitu Les Eclaireurs dari Argentina yang membawa muatan 100 pelancong. Kerisauan Kerisauan mula memuncak terhadap impak yang dihadapi pelancong ekoran persekitaran Antartika yang berbahaya selain kesukaran pasukan penyelamat menyalurkan bantuan kecemasan. "Antartik unik kerana ia kawasan yang sangat terpencil. Sekiranya berlaku sesuatu terhadap kapal bersaiz besar adalah mustahil untuk pasukan penyelamat memberi bantuan kepada kesemua penumpang dengan pantas," tutur Ligget. HANYA kapal yang membawa kumpulan kecil pelancong dibenarkan mendarat di daratan Antartika. Jarak pasukan keselamatan konvensional begitu jauh, misi menyelamat kapal terkandas sering membabitkan kapal misi saintifik sehingga mengganggu perjalanan kajian mereka. Pengarah Institut Kutub Perancis, Yves Frenot berang apabila kapal kerja-kerja saintifik milik Perancis, China dan Australia di Antartika berubah misi kepada membantu menyelamatkan kapal Shokalskiy. "Tidak ada alasan untuk menetapkan Antartika khas untuk para saintis sahaja, namun industri pelancongan perlu dipantau dan peraturan diketatkan supaya apabila berlaku kejadian yang tidak diingini, pengusaha tersebut boleh dibantu," katanya. Kesukaran yang dihadapi pasukan penyelamat Antartika teruji pada 24 Disember lalu apabila Shokalskiy terperangkap manakala kapal pemecah ais dari China, Xue Long yang memberikan bantuan turut terperangkap. Kedua-dua kapal tersebut berjaya diselamatkan selepas kapal pemecah ais, US Coast Guard, Polar Star menghulurkan bantuan selepas menerima maklumat dari Sydney, Australia. Ligget berkata, Shokalskiy mengembara di kawasan yang jarang dikunjungi para saintis dan pelancong mengakibatkan kapal berkenaan terperangkap di lokasi kejadian. Katanya, kapal persiaran yang diluluskan oleh Persatuan Antarabangsa Operator Pelancongan Antartika (IAATO) kebiasaannya belayar secara berpasangan atau dikenali sebagai 'sistem pasangan' dan sekiranya berlaku masalah salah sebuah daripada mereka boleh memberi bantuan. Hidupan liar Tambahnya lagi, IAATO menjalankan tugas dengan cemerlang dalam usaha mengurangkan impak persekitaran Antartika. "Ia adalah mengenai pemandangan, kehidupan liar dan alam sekitar yang terpelihara dijual kepada pelancong. Menjadi tanggungjawab mereka untuk memelihara keadaan itu," jelasnya. Jurucakap IAATO, Amanda Lynnes memberitahu, kapal pelancong mengambil langkah dekontaminasi yang ketat untuk mengelakkan pelancong mengambil spesies bukan natif atau mikrob di daratan. Ujarnya, kapal yang membawa lebih 500 penumpang tidak dibenarkan mendarat manakala kapal kecil perlu mematuhi beberapa garis panduan sebelum mendarat bagi melindungi flora dan fauna di kawasan berkenaan. - AFP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |