Kosmo Online
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online |
- Kerajaan Kelantan diminta bantu pesawah hadapi musim kemarau
- Kawasan batu kapur Gunung Tempurung terbakar
- Kanak-kanak maut, ibu parah diserang gajah liar
Kerajaan Kelantan diminta bantu pesawah hadapi musim kemarau Posted: Kerajaan Kelantan diminta bantu pesawah hadapi musim kemarau15/02/2014 10:07pm JELI - Kerajaan negeri Kelantan diminta supaya bersama-sama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani membantu pesawah yang dilihat bakal terjejas teruk akibat musim kemarau sekarang. Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kemarau yang berlaku sejak tiga bulan lepas akan menjejaskan musim penanaman padi berikutan bekalan air yang tidak mencukupi. "Kita harap suatu tindakan diambil untuk menyelamatkan suatu hasil yang besar yang terancam akibat daripada kekurangan air," katanya yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri kepada pemberita semasa menziarah Rezamawati Che Mat Bidin, 37, yang cedera parah sementara anak lelakinya yang berusia tiga tahun meninggal akibat diserang gajah di Ayer Lanas di sini hari ini. Kementerian itu menjangkakan kira-kira 8,000 pesawah di Kelantan akan mengalami kerugian RM90 juta jika masalah penyaluran air ke kawasan sawah mereka tidak diselesaikan segera. Mengulas mengenai serangan gajah liar itu, Mustapa berkata, Jabatan Perhilitan perlu menangani masalah berkenaan. - Bernama |
Kawasan batu kapur Gunung Tempurung terbakar Posted: Kawasan batu kapur Gunung Tempurung terbakar15/02/2014 8:15pm KAMPAR - Kawasan Gunung Tempurung yang mengandungi batu kapur kira-kira seluas empat hektar di Kampung Sungai Siput Selatan di sini terbakar dipercayai akibat panahan kilat sejak petang semalam. Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Ruhisha Haris berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian berkenaan pada 7.49 malam semalam selepas penduduk melihat api dari arah gunung itu. "Dua buah jentera dengan 25 anggota dikejarkan ke kawasan kebakaran dan memulakan operasi pemadaman dengan menggunakan pam angkut berkapasiti tinggi dari kaki gunung. "Setakat ini kebakaran telah berjaya dikawal dan kita sentiasa melakukan pemantauan dari semasa ke semasa supaya api tidak merebak ke kawasan lain," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini. Beliau berkata, bagaimanapun jika api didapati terus merebak, pihaknya akan membuat 'fire break' di kawasan sekeliling bagi memastikan kebakaran tidak merebak ke kawasan gunung yang terletak bersebelahan. "Pam berkapasiti tinggi digunakan memandangkan permukaan gunung yang sangat curam iaitu ada kawasan 80 ke 90 darjah sekali gus mendatangkan risiko dan berbahaya kepada anggota bomba," katanya. - Bernama |
Kanak-kanak maut, ibu parah diserang gajah liar Posted: Kanak-kanak maut, ibu parah diserang gajah liar15/02/2014 7:45pm JELI - Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut manakala ibunya cedera parah selepas diserang seekor gajah liar di sebuah kebun getah di Bukit Perawas, Ayer Lanas di sini, pagi ini. Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintenden Sheik Azhar Sheik Omar berkata, dalam kejadian 10 pagi itu, Wan Aidid Nasrullah Wan Mahmud yang berada dalam raga motosikal, maut selepas tercampak keluar selepas motosikal dirempuh gajah liar itu. "Kanak-kanak itu berada dalam raga motosikal menunggu ibu bapanya yang sedang menoreh getah, gajah itu dilaporkan menyerang ibu mangsa terlebih dahulu," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Ibu mangsa, Rezamawati Che Mat, 37, mengalami kecederaan parah di bahagian kaki dan badan, manakala bapa mangsa, Wan Mahmud Wan Omar, 33, yang berada berhampiran bagaimanapun terselamat sebelum gajah berkenaan beredar dari tempat kejadian. Beliau berkata, penduduk kampung kemudiannya membawa kedua-dua beranak itu ke Hospital Jeli namun kanak-kanak itu dilaporkan meninggal dunia dalam perjalanan. - Bernama |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |