Utusan Online - Dalam Negeri
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Dalam Negeri |
- Pengayuh solo semakin hampiri misi takluki Semenanjung
- SukaGuam nasihat empat beradik tidak ke Sweden
- Perak Man 'kembali' ke tempat asal
Pengayuh solo semakin hampiri misi takluki Semenanjung Posted: 15 Feb 2014 02:40 AM PST KOTA BAHARU 15 Feb. - Pengayuh solo warga emas Wan Hashim Wan Mahmood, 68, kini semakin menghampiri misinya menjelajah Semenanjung setelah tiba di Taiping, Perak, hari ini. Bapa kepada enam anak itu memulakan misinya bermula 26 Januari lepas dan kini sudah berbasikal sejauh 1,400 kilometer, merentasi negeri Kelantan, Terengganu, Johor, Singapura, Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Selangor dan kini berada di Perak. "Alhamdulillah kini saya rasa lebih bersemangat dan sudah bersedia untuk menakluki negeri-negeri di utara," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini. Wan Hashim berkata, beliau terharu apabila mendapat sambutan meriah daripada orang ramai termasuk Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Penjara Malaysia yang banyak membantunya. "Saya terharu mereka sanggup meluangkan masa untuk mengadakan majlis pelepasan dan ada diantara mereka mengiringi saya berkayuh basikal untuk beberapa kilometer," katanya. Wan Hashim berkata, beliau akan meneruskan kayuhannya ke Pulau Pinang, Kedah dan Perlis mulai esok. - BERNAMA |
SukaGuam nasihat empat beradik tidak ke Sweden Posted: 15 Feb 2014 02:35 AM PST KLUANG 15 Feb. - Empat anak pasangan Azizul Raheem Awaluddin dan Shalwati Norshal dinasihati tidak kembali ke Sweden andai mereka dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan ibu bapa mereka. Sebaliknya, kata Pengerusi SukaGuam, Datuk Khairul Anwar Rahmat, pihak pendakwaan Sweden boleh menghantar wakil mereka ke Malaysia untuk mengambil keterangan empat beradik berkenaan. "Rekod keterangan terdahulu anak-anak mungkin akan dicabar kerana mungkin keterangan anak-anak ini adalah under duress," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Sepagi Bersama Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, di sini hari ini. Katanya wakil SukaGuam akan ke Stockholm dalam masa terdekat bagi memberi sokongan kepada pasangan Malaysia itu. Azizul Raheem dan Shalwati didakwa di mahkamah daerah Stockholm pada 10 Feb lepas atas tuduhan mengasari dan mencabuli integriti anak-anak mereka dalam beberapa insiden sejak September 2010 hingga Disember tahun lepas. - BERNAMA |
Perak Man 'kembali' ke tempat asal Posted: 15 Feb 2014 02:17 AM PST LENGGONG 15 Feb. - Selepas 24 tahun, rangka manusia prasejarah paling lengkap, Manusia Perak atau Perak Man yang asli dipamerkan kepada orang ramai di tempat asal dia ditemui. Rangka asli manusia tertua di Malaysia itu kini ditempatkan di Galeri Arkeologi Lenggong Kota Tampan di sini. Sambutan `kepulangan' Perak Man yang diadakan di galeri berkenaan memberi makna tersendiri kepada lebih 1,000 tetamu yang terdiri daripada pelancong, pelajar dan penduduk setempat. Malah, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang merasmikan majlis tersebut mengakui, perasaannya tersentuh apabila melihat rangka asli manusia purba itu kembali ke tempat asalnya. "'Kepulangan' Perak Man merupakan detik yang cukup bersejarah buat semua khususnya masyarakat Lenggong, juga bagi saya sendiri yang merupakan anak Lenggong. "Mulai hari ini, buat pertama kali rangka asli Perak Man dipamerkan di tempat ia ditemui di Lenggong setelah disimpan di Muzium Negara. "Apa yang kita lakukan ini (membawa pulang Perak Man ke Lenggong) merupakan keputusan yang cukup penting dan tepat untuk masyarakat di sini melihat rangka asli Perak Man," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |