Utusan Online - Dalam Negeri
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Dalam Negeri |
- Imigresen, Wisma Putra tangani isu pendatang Myanmar
- MAHB belum dapat CCC bangunan terminal KLIA2
- Kementerian siasat kes kamera tersembunyi di Hospital Bentong
Imigresen, Wisma Putra tangani isu pendatang Myanmar Posted: 04 Feb 2014 03:23 AM PST PUTRAJAYA 4 Feb. - Jabatan Imigresen bekerjasama rapat dengan Wisma Putra bagi menangani isu pendatang asing Myanmar yang tidak diterima pulang negara asal mereka. Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Alias Ahmad berkata, walaupun pendatang asing itu bercakap dalam bahasa Myanmar dan memang datang dari wilayah berkenaan namun tiada dokumen dikeluarkan kerajaan Myanmar. "Wisma Putra sedang berhubung dengan kerajaan Myanmar untuk menyelesaikan isu ini dan berharap mampu mendapatkan kerjasama kerajaan Myanmar untuk mengeluarkan dokumen perjalanan kepada etnik Rohingya, Chin, Kachin dan Mon," katanya. "Proses penghantaran pulang biasanya akan dibuat dalam masa tujuh hari tetapi ada juga kes penghantaran pulang terpaksa dilanjutkan kerana halangan mengenai dokumen perjalanan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan nota serah tugas hari ini. Tambah beliau, sepanjang tahun lepas kerajaan Malaysia menghantar pulang 45,000 pendatang asing dari pelbagai negara. Sementara itu, beliau berkata, 13 majikan ditahan sepanjang Op Bersepadu 6P yang dijalankan sejak 21 Jan dengan tangkapan 3,000 pendatang asing. "Operasi ini akan dijalankan secara berterusan dan akan berakhir hingga hujung tahun ini atau jika kerajaan telah berpuas hati bahawa isu pendatang asing ini sudah selesai," kata beliau. Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Imigresen Aloyah Mamat akan menggantikan tempat Alias sebagai Ketua Pengarah berkuat kuasa esok. Alias pula akan memulakan tugas sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bermula esok. - BERNAMA |
MAHB belum dapat CCC bangunan terminal KLIA2 Posted: 04 Feb 2014 03:19 AM PST KUALA LUMPUR 4 Feb. - Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) masih belum menerima Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) bagi bangunan terminal KLIA2 daripada syarikat usaha sama (JV) UEMC-Bina Puri, yang dijadualkan pada 31 Januari 2014. Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, MAHB berkata, syarikat akan terus melibatkan diri dengan JV UEMC-Bina Puri bagi tindakan seterusnya berhubung pengeluaran CCC dan permulaan Kesediaan Operasi dan Pemindahan Lapangan Terbang. "Usaha sedang diambil untuk menyokong JV UEMC-Bina Puri ke arah penyiapan bangunan terminal itu bagi membolehkan pembukaan KLIA2 pada 2 Mei 2014, " katanya. - BERNAMA |
Kementerian siasat kes kamera tersembunyi di Hospital Bentong Posted: 04 Feb 2014 03:17 AM PST PUTRAJAYA 4 Feb. - Kementerian Kesihatan memandang serius kejadian tiga buah kamera tersembunyi yang ditemui di dalam tandas anggota kesihatan wanita di Unit Kecemasan, Hospital Bentong. Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian tersebut menjelaskan, pihak pengurusan hospital telah melaporkan perkara itu kepada pihak polis pada 30 Jan lalu bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab meletakkan kamera tersebut. Menterinya, Datuk Seri S. Subramaniam meminta orang ramai agar tidak panik dengan penemuan itu dan membuat pelbagai spekulasi melalui laman media sosial sehingga boleh mengganggu siasatan polis. "Kementerian memberi kepercayaan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat perkara ini dari pelbagai sudut dan tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana anggota kesihatan yang terlibat dalam kejadian tersebut," katanya. - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |