Utusan Online - Feminin
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Feminin |
Posted: 11 Feb 2014 10:22 PM PST Oleh MERAN ABU BAKAR Maria menggemari fesyen oleh pereka tempatan. KALAU tidak dipecahkan ruyung masakan dapat sagunya. Kesungguhan dan kerja keras pasti yang mustahil boleh jadi nyata, yang mimpi jadi realiti. Prinsip tersebutlah yang membawa mendorong wanita muda ini, Maria Elmar Ramly, 31, bekerja keras mengejar impian. Apa yang dimilikinya hari ini adalah hasil daripada usaha kerasnya meningkatkan taraf hidup. Menyedari jika diri sendiri tidak mengorak langkah ke arah lebih baik dan menjamin masa depan, tidak mungkin orang lain dapat membantu. Maka, dia nekad 'berhijrah'. Katanya, waktu itu dia sebagai penganalisis di sebuah syarikat teknologi maklumat (IT), namun kerap merasakan pekerjaan tersebut tidak menjamin masa depan. Gaji yang diterima setiap bulan habis dalam masa satu hari bagi melunaskan segala perbelanjaan seperti sewa rumah, ansuran kereta, bil, elaun untuk orang tua, makan minum dan sebagainya. Sehingga pada penghujungnya tidak ada apa yang tinggal untuk disimpan untuk masa depan. Apa yang ada hanyalah penat bekerja dan tekanan yang dihadapi. "Setiap hari saya pulang lewat malam dalam keadaan yang amat penat. Saya langsung tidak mempunyai masa yang fleksibel. Saya terfikir pekerjaan ini mungkin tidak sesuai dengan dan saya tidak mampu meneruskannya lagi. Saya harus melakukan perubahan ke arah yang lebih baik. "Saya berjumpa seorang perunding kewangan yang kemudian menjadi mentor saya.Dialah yang menunjuk jalan kepada saya. "Setelah berfikir panjang, saya berhenti kerja dengan notis 24 jam untuk mengorak langkah pertama sebagai perunding kewangan seperti mentor saya. "Mulanya ingatkan kerja ini senang tetapi ternyata mencabar. Lebih-lebih lagi saya kurang pengalaman dan tidak tahu bagaimana hendak meyakinkan orang. "Setahun saya rahsiakan daripada keluarga kerana tidak mahu mereka risau. Mereka ingat saya masih lagi bekerja makan gaji. "Beberapa bulan pertama sungguh memeritkan. Duit simpanan langsung tidak ada. Pernah saya tidur dalam kereta kerana tidak ada duit untuk membayar sewa rumah. Kemudian saya menumpang di rumah kawan. "Saya gagahkan diri mencari pelanggan. Mujur ada seorang pelanggan yang mahu menukar ejen dan dia bersetuju mengambil saya. Dialah orang pertama yang menjadi pembuka rezeki saya. "Apabila keadaan saya sudah stabil, baharulah saya memberitahu emak mengenai kerja baharu saya ini. "Hari demi hari saya mula berasa seronok dengan kerjaya ini kerana dapat mendidik dan menolong orang melabur dan menyimpan duit. Sebenarnya kaum lain sudah lama mengetahui mengenai dana pelaburan cuma orang Melayu masih takut hendak mencuba. "Tambahan pula saya memang suka berjumpa dengan ramai orang dan pekerjaan sebagai perunding kewangan memberikan kepuasan kepada diri sendiri serta dapat menambah nilai kepada orang lain demi masa hadapan mereka," jelas Maria. Baginya, setiap pelaburan pelanggan, dianggap sebagai amanah dan tanggungjawab yang besar. Ini juga menandakan pelanggan memberikan sepenuh kepercayaan kepadanya untuk menguruskan wang mereka. Bercakap mengenai cabaran, katanya, tidak dinafikan cabaran tetap ada apabila terdapat pelanggan yang tidak percaya melabur dalam dana pelaburan kerana mempunyai pengalaman pahit. Oleh itu, menjadi tugasnya untuk menunjukkan contoh yang baik dan meyakinkan pelanggan. Agensi sendiri Bermula dengan menjadi perunding kewangan peringkat bawah, pencapaian yang diperoleh oleh anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan ini boleh dianggap pantas. Kini setelah lapan tahun, Maria sudah mempunyai agensi perunding kewangan sendiri yang ditubuhkan bersama suami dengan nama Agensi XO Strikers. Maria mengakui dia mengambil risiko kerana memilih Mont Kiara, di Kuala Lumpur, sebagai lokasi pejabatnya kerana ramai rakan menyatakan tempat tersebut mahal. Bagaimanapun, dia berpendapat, walaupun mahal, lokasi tersebut merupakan pusat dagangan yang menjadi tumpuan ramai orang. Jelas isteri kepada Ahmad Refaie Abdul Aziz itu, buat masa ini dia mempunyai 600 orang pelanggan aktif dan sedang berusaha menambah jumlah tersebut. "Kelebihan melabur dalam dana pelaburan ialah seseorang itu dapat menjana keuntungan lebih daripada apa yang diberikan oleh institusi kewangan lain. "Selain itu, individu yang melabur tidak perlu bersusah-payah menguruskan kewangan sendiri kerana perunding yang menguruskan untuk mereka. "Orang ramai tidak perlu bimbang melabur dalam dana pelaburan kerana diiktiraf oleh Bank Negara Malaysia," kata Maria. Menurut ibu kepada puteri tunggal, Kaseh Najla Sofyya, 6, agensinya kini mempunyai 50 orang perunding kewangan yang dilatih dalam bidang tersebut. Mereka terdiri daripada perunding kewangan yang berpengalaman sehinggalah graduan yang baru menamatkan pengajian, ibu tunggal dan mereka yang mempunyai latar belakang profesional. "Di agensi ini, kami perlu melayan dengan baik pelbagai kerenah pelanggan. Sebagai ketua, saya harus mempastikan pelaburan pelanggan berjaya dan setiap seorang mesti komited melaksanakan tanggungjawab. "Setiap minggu saya sendiri akan mengendalikan latihan kepada kumpulan perunding kami yang mengajar mereka bagaimana hendak berkomunikasi dengan pelanggan, kemahiran jualan, motivasi dan maklumat mengenai dana pelaburan. "Sebenarnya sesiapa sahaja boleh menjadi perunding kewangan asalkan mereka berminat dan menunjukkan sifat ingin belajar. Saya amat mengalu-alukan sesiapa yang berminat untuk menjadi perunding kewangan. Bercita-cita tinggi Dididik daripada kecil supaya berusaha sendiri bagi mendapatkan apa yang diingini, Maria amat menghargai didikan kedua-dua ibu bapanya. Menurut anak bongsu daripada empat beradik itu, sejak zaman sekolah lagi ibu bapanya sering memberitahunya bahawa jika hendak sesuatu barang harus menyimpan wang sendiri. "Daripada kecil lagi saya sudah bercita-cita tinggi dan berazam untuk menjadi kaya pada suatu hari nanti. Alhamdulillah kini menjadi kenyataan. Mungkin kerana didikan dan sifat berdikari yang ada pada diri saya. "Saya bersekolah asrama dari tingkatan satu hingga lima. Tamat pengajian sekolah menengah, saya menyambung pelajaran hingga ke peringkat ijazah. Tempoh 10 tahun berjauhan daripada keluarga mendidik saya menjadi kuat. "Bagaimanapun apabila mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke luar negara untuk peringkat sarjana saya menolak kerana sudah terlalu lama berjauhan dengan keluarga, ayah pula ketika itu tidak sihat," ujar bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Persekutuan, Labu, Negeri Sembilan ini. Beri kesedaran Maria amat bersyukur dengan apa yang dimiliki sekarang, kewangan dan kehidupan yang stabil selain masa yang lebih fleksibel. Memiliki kumpulan perunding kewangan yang cekap, pekerjaan yang dilakukan pada masa sekarang tidaklah sesukar seperti dahulu. Dia hanya perlu memastikan perjalanan syarikat berjalan dengan lancar, menjaga hubungan yang baik dengan pelanggan dan mendidik mereka yang ingin menjadi perunding kewangan yang baharu. |
Posted: 11 Feb 2014 10:22 PM PST Oleh Rosmah Dain Felixia Yap teruja menjadi duta produk Butik Neng Geulis. Sejak dari 2010, Neng Geulis telah beroperasi sebagai sebuah syarikat perusahaan hijab dan pakaian wanita muslimah oleh pengasasnya, Abdul Halimi Taifor, 32, dan isterinya, Hadiana Sujadi, 32. Syarikat tersebut mengeluarkan produk-produk hijab dan pakaian terbaharu mengikut peredaran semasa serta cenderung kepada fesyen yang sopan . Perkataan Neng Geulis itu sendiri diambil daripada bahasa Sunda yang membawa maksud perempuan cantik. Pada awal pembabitannya, syarikat tersebut hanya menyertai karnival-karnival yang diadakan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka, seterusnya butik pertama ditubuhkan pada pertengahan tahun berkenaan di The Curve, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor. Menurut Pengurus Butik, Nur Atiqah Zulkifli, 26, memandangkan hijab dan pakaian keluaran butik ini terus diminati serta mendapat sambutan hangat termasuk dalam kalangan orang kenamaan dan artis tempatan mendorong pihak syarikat membuka cawangan di The Strand, Kota Damansara. "Bukan itu sahaja, memandangkan permintaan yang menggalakkan dari dalam dan luar negara, kami telah mewujudkan sebuah portal maya sebagai platform pembelian secara dalam talian iaitu www.nenggeulis.com.my. "Selain itu, kami juga mempunyai bengkel dan pereka fesyen yang berdaya cipta mengikut perkembangan hijab dari semasa ke semasa. Pihak kami tidak mengimport produk dari luar negara bertujuan mengawal kualiti fabrik dan jahitan serta menyesuaikan produk dengan ciptaan-ciptaan terbaharu," jelasnya. Butik ini tutur Nur Atiqah, turut menjual selendang, turban, tudung segera dan pelbagai jenis inner yang kesemuanya direka cipta berpandukan moto 'sopan dan menawan' dengan harga yang berpatutan. Selain itu, setiap produk melalui proses kawalan kualiti yang ketat dan diberi jaminan selama setahun. "Ini bermakna, kami akan menawarkan pembaikan jahitan secara percuma selama dalam tempoh jaminan produk, selain menawarkan perkhidmatan custom made bagi semua keluaran bagi kepuasan pelanggan. Pelantikan Felixia Yap Menurut Nur Atiqah lagi, semenjak awal pembabitan butik ini dalam melayani permintaan pelanggan, pihaknya sentiasa teruja untuk membantu dan menyokong wanita yang baru berjinak-jinak untuk berhijab. "Antara keresahan dan dilema yang sering mereka luahkan adalah kesukaran mereka untuk bergaya, bimbang penerimaan masyarakat sekeliling dan isu tiada keyakinan diri setelah berhijab," katanya. Menurutnya, selaras dengan kemahuan masyarakat dan perkembangan bisnes, Neng Geulis telah melantik Felixia Yap sebagai duta produk butik ini, bermula Januari lalu. Jelas Nur Atiqah, kemunculan model ini yang berhijab memberi impak besar dalam usaha butik menarik lebih ramai kaum Hawa untuk tampil berhijab. "Perubahan beliau sebagai model antarabangsa dan kemudian berani tampil berhijab biarpun belum beragama Islam diharap dapat menyuntik semangat kepada golongan wanita untuk tampil menawan menggayakan hijab. "Pelantikan Felixia ini merupakan promosi hijab kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan kepercayaan," katanya yang memberitahu pelantikan itu diadakan dalam satu majlis memperkenalkan duta butik berkenaan pada pertengahan bulan lalu kepada rakan-rakan media, dan pelanggan-pelanggan butik itu. Pada majlis itu turut diadakan demonstrasi pemakaian hijab, pemberian kad-kad keahlian kepada pelanggan-pelanggan, dan cabutan bertuah. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Feminin To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |