Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
Segamat daerah perintis Kospen Posted: 14 Feb 2014 11:13 AM PST Oleh MOHAMED SAARI SEGAMAT 14 Feb. - Kementerian Kesihatan memilih daerah ini sebagai perintis program Komuniti Sihat Perkasa Negara (Kospen) bermula Oktober tahun lalu melibatkan 70 sukarelawan dari enam buah kampung di daerah ini. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, kesemua sukarelawan terdiri daripada ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) yang dilatih untuk menjalankan pemeriksaan saringan kesihatan kepada masyarakat setempat. "Hasil pemeriksaan terhadap 1,297 penduduk berusia 18 tahun ke atas di enam kampung tersebut mendapati, 54 peratus mempunyai masalah berat badan berlebihan sementara 76 peratus mempunyai masalah berkaitan tekanan darah manakala 41 peratus mempunyai paras gula dalam darah berlebihan. "Mereka yang dikenal pasti berisiko tinggi menghidapi penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti tekanan darah tinggi, diabetes dan masalah jantung akan dibawa untuk membuat saringan kedua iaitu rawatan daripada pihak hospital," katanya dalam ucapan perasmian Kospen di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Paya di sini semalam. Menurut Subramaniam, langkah awal menjaga kesihatan serta amalan gaya hidup sihat sangat mustahak kerana Malaysia merupakan negara yang mempunyai peratusan populasi dewasa tertinggi menghidapi masalah obesiti, diabetes dan hipertensi di rantau Asia. Tambahnya, Kospen merupakan pendekatan terbaik yang dilaksanakan kerajaan dalam menangani beban penyakit NCD yang semakin meningkat melalui usaha meningkatkan kesedaran untuk membudayakan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat. Beliau yang juga Ahli Parlimen Segamat berkata, inisiatif Kospen yang dimulakan bersama Kemas akan dipanjangkan kepada agensi-agensi kerajaan yang lain seperti Rukun Tetangga agar capaian aktiviti saringan kesihatan dapat dilaksanakan secara meluas pada masa depan. "Namun masyarakat juga harus mempunyai kesedaran serta tanggungjawab terhadap penjagaan kesihatan diri sendiri dan keluarga dengan mengamalkan gaya hidup sihat agar menjadi contoh kepada anak-anak dengan harapan tingkah laku tersebut menjadi amalan seharian sehingga hari tua mereka. "Kejayaan mengurangkan penyakit NCD bukan sahaja memberi manfaat kepada individu itu sendiri tetapi turut dapat mengurangkan perbelanjaan kerajaan yang diperuntukkan merawat penyakit tersebut dalam jangka masa panjang," katanya lagi. |
Karnival Amal Media Johor 2014 meriah Posted: 14 Feb 2014 11:13 AM PST MOHD. Fauzi Ishak (belakang, empat dari kiri) bersama para pemenang peraduan mewarna kanak-kanak sempena Karnival Amal Media Johor 2014 di Dataran Bandaraya Johor Bahru, semalam. JOHOR BAHRU 14 Feb. - Lebih 2,000 pengunjung memeriahkan Karnival Amal Media Johor 2014 yang dianjurkan buat pertama kali di Dataran Bandaraya Johor Bahru di sini hari ini. Presiden Kelab Media Johor (KMJ), Mohammad Fauzi Ishak berkata, karnival sehari itu diadakan bagi mengumpul dana bantuan untuk disalurkan kepada ahli serta mereka yang kurang bernasib baik. Menurutnya, usaha mengumpul dana itu diperolehi menerusi hasil gerai jualan yang dibuka oleh KMJ dan kutipan sewaan tapak. "Karnival itu juga satu platform untuk mengeratkan lagi hubungan petugas media massa di negeri ini dengan masyarakat setempat," katanya ketika ditemui di sini hari ini. Beliau berkata, karnival yang berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 10 malam itu dipenuhi pelbagai program selain car boot sale yang disertai 40 pengusaha dan pengamal media massa yang bertugas di negeri ini. Dalam program itu juga tambahnya, pertandingan bola sepak jalanan dan peraduan mewarna kanak-kanak turut diadakan. Sehubungan itu Mohammad Fauzi berharap program tersebut dapat diteruskan pada masa akan datang. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |