Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
Koperasi kembangkan ekonomi Johor Posted: 08 Feb 2014 10:17 AM PST Oleh MOHAMAD FIKRI ROSLY Mohamed Khaled Nordin membuka pintu sebagai gimik pelancaran Koperasi Usahawan Muda Johor Darul Takzim di Johor Bahru, semalam. - MINGGUAN/RAJA JAAFAR ALI JOHOR BAHRU 8 Feb. - Johor menyambut baik penubuhan lebih banyak koperasi supaya rakyat di seluruh negeri berdaya usaha dalam aspek kehidupan, sosial dan penglibatan dalam bidang ekonomi. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Johor menikmati pertumbuhan ekonomi berterusan dan koperasi adalah instrumen yang berpotensi dalam memastikan rakyat tidak tercicir dan terlepas daripada manfaat yang ada. "Peranan kerajaan adalah menjadi fasilitator dan pemudah cara untuk membangun keupayaan rakyat. Terserah kepada kita sama ada mahu mendapat manfaat daripadanya atau tidak. Pelbagai pendekatan dilakukan bermula dengan menetapkan dasar supaya negara membangun dan maju. "Kita mahu penyertaan masyarakat dalam ekonomi supaya pengagihan dapat dilakukan. Penyertaan bukan sahaja dari segi kemampuan sendiri tetapi secara berkelompok supaya lebih ramai dapat menikmati kemajuan ekonomi termasuk di Iskandar Malaysia," katanya demikan sempena pelancaran Koperasi Usahawan Muda Johor Darul Takzim (KUMJDT), di sini semalam. Yang turut hadir, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Johor, Muridan Elias; Penasihat KUMJDT, Rohazam Shah Ahmad; Pengerusi KUMJDT, Zulkefli Ab. Manan dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Tan Cher Puk. Menurut Mohamed Khaled, koperasi adalah institusi ketiga selepas sektor awam dan swasta yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serta membolehkan anggota mendapat pelbagai manfaat. Atas dasar itu, kata beliau, kerajaan negeri menggalakkan penubuhan koperasi dan kehadirannya pada pelancaran KUMJDT adalah untuk melihat sendiri perihal sebuah koperasi melibatkan penyertaan usahawan muda dari seluruh negeri ini. "Nilai keusahawan, inovasi dan kreativiti adalah penting untuk berjaya dan berdepan segala kemelut dan cabaran yang dihadapi dunia dan masyarakat. Itu sebabnya kita tekankan nilai keusahawanan di kalangan anak-anak kita di universiti. "Nama KUMJDT gah, kita berharap bukan sahaja orangnya tetapi perancangannya juga besar dan hebat supaya memberi manfaat kepada ahlinya serta seluruh negeri. Diharap melalui koperasi ini dapat memaksimumkan manfaat pertumbuhan ekonomi," katanya. Menurut beliau, koperasi tersebut juga dapat memainkan peranan sebagai pemberi pinjaman supaya ahlinya tidak meminjam dengan ah long atau ceti haram. Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut menggalakkan koperasi sedia ada melibatkan diri dalam sektor rantaian nilai dan pemasaran supaya dapat melipatgandakan keuntungan yang akhirnya dapat dikongsi bersama. |
Posted: 08 Feb 2014 10:17 AM PST Abu Bakar Abdullah (dua dari kanan) bersama beberapa penduduk melihat kesan keretakan di belakang rumah berikutan kerja-kerja mengorek dan membina longkang baharu di Taman Sri Lalang, Kota Tinggi, Johor, baru-baru ini. KOTA TINGGI 8 Feb. - Kira-kira 35 keluarga di Jalan Peria, Taman Sri Lalang dekat sini diselubungi kebimbangan tanah mendap berikutan kerja-kerja mengorek dan membina longkang baharu di belakang kediaman mereka lebih sebulan lalu. Penduduk terbabit meminta pihak berkuasa tempatan dan kontraktor yang dilantik perlu bertanggungjawab ke atas kerja-kerja yang diumpamakan sebagai 'tikus membaiki labu' kerana ia dilihat membawa lebih banyak kerosakan dan kerugian. Wakil penduduk, Abu Bakar Abdullah mendakwa, banyak tangga di belakang rumah penduduk dimusnahkan selain mengakibatkan keretakan ketara di bahagian dapur dan bilik air. "Lebih mengecewakan longkang kecil yang sebelum ini menjadi tempat saliran air kumbahan ditutup oleh pihak kontraktor sehingga boleh menyebabkan tanah di sekitar menjadi lembap dan mendap," katanya yang ditemui di sini kelmarin. Suri rumah, Khairi Zurzana Mohamed, 34, memberitahu, dia dan keluarganya tidak dapat tidur lena kerana rumahnya mengalami keretakan yang amat serius malah sentiasa dalam kebimbangan berlakunya kejadian tidak diingin. "Lebih-lebih lagi ketika hendak memasak atau mahu mandi di bilik air, terasa macam bila-bila masa sahaja rumah ini akan runtuh," katanya. Jirannya, Suhana Abd Karim, 35, yang mengalami situasi yang sama berharap pihak berkenaan datang dan lihat sendiri keadaan rumah penduduk di sini yang retak dan semakin condong berikutan kerja-kerja yang dilakukan oleh kontraktor terbabit. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Keselamatan Penduduk (JKKP) di taman perumahan tersebut, Saimin Hairon juga menyokong pandangan penduduk setempat itu. "Saya berterima kasih kepada pihak berkuasa kerana menaik taraf longkang yang dahulunya kecil sehingga mengakibatkan air melimpah apabila musim hujan dan kini tidak lagi. "Tetapi usaha yang baik ini janganlah pula sampai mengabaikan keselamatan dan merosakkan kediaman penduduk," katanya. |
Suara Hati Johor bakal dilancar April Posted: 08 Feb 2014 10:17 AM PST YONG PENG 8 Feb. - Suara Hati Johor, hasil kajian kerajaan negeri berhubung keperluan rakyat negeri ini, akan dikeluarkan seawal bulan April, kata Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. "Suara hati Johor sedang disusun Indeks Petunjuk Prestasi (KPI). Bulan empat atau lima kita akan lancar," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Badan Perhubungan MCA Johor, di sini hari ini. Yang turut hadir, Timbalan Presiden MCA merangkap Pengerusi Perhubungan MCA negeri, Datuk Dr. Wee Ka Siong dan timbalannya yang juga Exco, Datuk Tee Siew Kiong. Suara Hati Johor, satu inisiatif untuk merakyatkan kerajaan, adalah berdasarkan lima perkara iaitu perumahan, keselamatan, agama, infrastruktur dan ekonomi. Kajian itu dijalankan dari 17 Jun hingga 24 Julai tahun lepas membabitkan sembilan penyelidik, tiga pegawai penyelidik dan 70 mahasiswa yang diuruskan oleh Universiti Teknologi Malaysia membabitkan peruntukan berjumlah RM200,000. Terdahulu dalam ucapannya, Mohamed Khaled berkata, Barisan Nasional (BN) Johor bersedia membantu MCA Johor untuk merangka strategi dalam mengembalikan kegemilangannya di negeri itu sekali gus merampas kembali kerusi yang tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Beliau berkata, BN Johor boleh membantu MCA dalam mengembalikan keyakinan kaum Cina kepada parti itu. Menyentuh tentang pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kajang, Selangor, Mohamed Khaled yang juga Pengerusi BN Johor berkata, BN Johor bersiap sedia untuk menghantar jenteranya bagi membantu calon BN dalam pilihan raya kecil itu. - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |