Utusan Online - Keluarga
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Keluarga |
Posted: 12 Feb 2014 09:10 PM PST Oleh HASHNAN ABDULLAH Harta wakaf perlu diurus secara bersepadu untuk kepentingan semua. - Gambar hiasan HARTA wakaf, sama ada harta tak boleh alih atau boleh alih, tidak akan habis kerana manfaat atau pulangan daripada penggunaan harta itu akan berterusan sampai bila-bila, walaupun pemilik asalnya telah lama meninggal dunia. Selaras dengan itu, tujuan berwakaf seperti yang telah digariskan dalam al-Quran dan sunnah tidak hanya tertumpu kepada wakaf khas seperti pembinaan masjid, kubur atau sekolah agama semata-mata. Hakikatnya, wakaf boleh diperluaskan kepada aktiviti-aktiviti yang bukan sahaja memperkasakan kedudukan ekonomi umat Islam, malah turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi sesebuah negara. Bayangkan tanah wakaf di Malaysia yang nilai keseluruhannya kini melebihi RM60 juta, jika dapat diurus dan ditadbir dengan baik oleh pihak yang diamanahkan, sudah pasti ia mampu menjana ekonomi negara pada masa depan. Persoalannya sejauh manakah mereka yang diamanahkan atau pewaris, mampu merealisasikan impian pewakaf berikutan wujudnya pelbagai kekangan dalam melicinkan pentadbiran harta wakaf? Situasi ini juga mengundang rasa was-was dalam kalangan pemberi wakaf (al-waqif) dan keseluruhan ummah terhadap perlaksanaan pengurusan harta berkenaan. Ditambah dengan wujudnya senario di mana masih banyak tanah yang diwakafkan terus terbiar walaupun lokasinya cukup strategik untuk pembangunan umat Islam daripada segi ekonomi, pendidikan atau tujuan sosial lain. Ini secara tidak langsung, turut menambahkan lagi persepsi negatif terhadap pengurusan harta wakaf. Demikian ditegaskan Prof. Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Noor Inayah Yaakub. Beliau merujuk kepada pemberi wakaf (al-waqif) sendiri yang lebih cenderung mewakafkan harta mereka untuk kubur, sekolah atau masjid sahaja. Yang dekat di hati al-waqif ialah wakaf hartanah mempunyai tujuan amat terhad iaitu kepada pembinaan masjid, sekolah atau kubur semata-mata, walhal jika harta wakaf diurus selia dengan berhikmah ia memberi kesan ke atas pembangunan ekonomi umat Islam. Pelbagai cabaran Sebenarnya, terdapat pelbagai cabaran berkaitan pengurusan harta wakaf yang sekali gus telah merencatkan pembangunan ekonomi umat Islam dan ini membawa impak kepada keseluruhan ekonomi, pendidikan dan sosial negara. Perkara ini jarang diketengahkan," katanya sewaktu ditemui di UKM, Bangi baru-baru ini. Beliau juga adalah Ketua Program Penyelidikan Wakaf Pendidikan di bawah dana Kementerian Pendidikan, Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS) bagi tahun 2013-2015. Dr. Noor Inayah bersama seramai 50 orang penyelidik daripada pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia telah mengkaji pelestarian dana wakaf dalam pendidikan tinggi Malaysia. Menyentuh mengenai permasalahan berkaitan pengurusan harta wakaf , jelas beliau antaranya adalah kekurangan dan ketiadaan data maklumat wakaf, harta tanah wakaf yang ada kalanya bersaiz kecil dan kedudukannya yang berselerak dan tidak teratur. Katanya, walaupun beberapa usaha dan langkah telah diambil, tetapi penekanan terhadap kepentingan mewujudkan satu sistem gabungan bersepadu tentang nilai harta wakaf kurang diberi perhatian sebagai satu agenda pembangunan ekonomi umat Islam di negara. Sumbangan pelbagai pihak untuk mewujudkan satu sistem pengurusan data hartanah wakaf ini amatlah wajar supaya data harta wakaf, nilai, lokasi dan keluasannya yang kita peroleh adalah tepat dalam membantu negara mengatasi masalah pengurusan harta wakaf ini," katanya. Dr. Noor Inayah berkata, ada hartanah wakaf yang telah melebihi satu tempoh masa yang agak sukar untuk dikenal pasti objektif pemilik asal tanah itu. Pemilik asal tanah itu sudah lama meninggal dunia dan tujuan tanah itu diwakafkan oleh arwah tidak diketahui mungkin kerana ketiadaan saksi atau warisnya. "Malah ada kalanya niat al-waqif yang telah meninggal dunia itu tidak jelas tentang tujuan wakafnya dan ini menyukarkan ahli waris melunaskan amanah tersebut. Jika berlaku percanggahan tujuan, sama ada untuk diwakafkan atau sebaliknya, maka sudah tentu tidak ada siapa yang berani mengambil risiko terhadap impian arwah kerana ia melibatkan soal dosa dan pahala dan akhirnya terbiar," katanya. Dr. Noor Inayah berkata, semua pihak harus memikirkan ruang ijtihad dengan melihat bagaimana Islam telah menggariskan penggunaan harta terbiar yang boleh memberikan manfaat kepada semua pihak. Beliau berkata, ketidakfahaman tentang erti wakaf menjadi halangan, sedangkan pengertian wakaf ialah apa-apa harta yang ditahan hak pemberinya ke atas harta tersebut daripada segala urusan jual beli, perwarisan, hibah dan wasiat, di samping mengekalkan sumber fizikalnya. Beliau menambah, ini turut membabitkan prosedur pengurusan yang longgar dan tidak seragam antara negeri-negeri dan pencerobohan tanah wakaf. Ini secara tidak langsung menyebabkan pengurusan tanah wakaf di negara ini menjadi rumit untuk diselesaikan kerana hartanah yang diwakafkan itu melibatkan beberapa peruntukan dalam Kanun Tanah Negara seperti seksyen 4(2),5,76(aa)(i) &(iii), 416C yang kurang difahami ramai. |
Sedekah yang tidak putus pahalanya Posted: 12 Feb 2014 09:10 PM PST Oleh HASHNAN ABDULLAH AMALAN wakaf dalam Islam bukanlah perkara baharu. Galakan berwakaf itu telah dimulakan selepas Rasulullah saw berhijrah dan menjadikan kota Madinah sebagai pusat pengembangan Islam. Pada era awal kebangkitan Islam di Madinah, Rasulullah saw mengalakkan para sahabat menginfakkan harta atau apa sahaja yang sesuai untuk mengembangkan lagi ajaran Islam. Galakan itu sejajar dengan keadaan Islam pada masa itu yang amat memerlukan modal, tanah, kekuatan ilmu dan lain-lain bagi menyebarluaskan ajaran agama, sama ada di dalam atau di luar Tanah Arab. Keperluan itu sejajar dengan firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 32 yang bermaksud: Kamu tidak akan sampai ke martabat paling tinggi dalam darjat pahala untuk masuk ke syurga Allah sehingga kamu menginfakkan harta yang kamu sayang. Menariknya, surah Ali-Imran itu telah mendorong seorang sahabat bernama Abu Talhah untuk mewakafkan sebidang tanah yang mempunyai telaga dan ladang buah tamar yang paling subur di Madinah. Tanah yang terletak di Bairuha itu bukan hanya sangat disayangi oleh Abu Talhah tetapi turut menjadi tumpuan utama penduduk sekitar Madinah. Begitu juga dengan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah r.a yang bermaksud: Setiap amalan yang akan mengikuti si mati adalah amalan-amalan dan kebaikan-kebaikan yang dlakukan ketika dia hidup. Antaranya, ilmu yang disebarkan, anak yang soleh, al-Quran diwakafkan, masjid yang dibina atau rumah untuk anak fakir miskin, air sungai yang diberikan laluan untuk kegunaan orang ramai, sedekah yang dikeluarkan daripada harta ketika dia sihat, hidup. Semua ini akan jadi syafaat di akhirat." Justeru, Pensyarah Kanan, Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Mohd. Izhar Ariff Mohd. Kashim berkata, wakaf itu bukan hanya mendatangkan kebaikan kepada umat Islam tetapi ganjaran pahalanya akan terus dinikmati oleh pewakafnya sehingga hari kiamat. Ia adalah satu sedekah yang tidak putus pahalanya selagi ada orang menggunakannya. Jadi, inilah menjadi galakan kepada umat Islam untuk mewakafkan harta yang paling dia sayang kerana Allah SWT," katanya yang ditemui di pejabatnya, baru-baru ini. Harta wakaf yang pertama dalam Islam adalah Masjid Quba dan yang kedua adalah Masjid Nabawi. Kedua-dua masjid yang terletak di Madinah itu digunakan oleh Rasulullah SAW untuk mengembangkan lagi ajaran Islam, sama ada dalam atau luar Semenanjung Arab. Kita tahu Islam datang dengan wahyu dan untuk menyebarluaskan wahyu itu, Rasulullah SAW memerlukan tempat sesuai yang bukan hanya untuk ibadah tetapi juga urusan keduniaan lain. Jadi, Rasulullah telah memilih untuk membina dua buah masjid iaitu Masjid Quba dan Masjid Nabawi yang masing-masing merupakan tanah wakaf pertama dan kedua dalam Islam itu," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |