{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Keluarga

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Keluarga


Cinta sejati Iron Lady

Posted: 14 Feb 2014 11:13 AM PST

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL

KELUARGA besar pasangan Maznah Abdul Hamid dan Shaheen Mirza Habib.

KISAH cinta Iron Lady, Datuk Maznah Abdul Hamid dan suaminya, Datuk Shaheen Mirza Habib, paling sesuai dijadikan contoh serta iktibar buat pasangan suami isteri zaman kini.

Pasangan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kewangan Kumpulan Securiforce itu mendirikan rumah tangga ketika Maznah berusia 23 tahun, manakala Shaheen, 26 tahun.

Mereka bertemu secara kebetulan apabila Shaheen mencari sahabatnya di sebuah pangsapuri di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Pertemuan itu tidak berlalu begitu sahaja kerana tunang rakan baik Shaheen, rupa-rupanya tinggal serumah dengan Maznah.

"Saya seorang gadis desa dari Kampung Ayer Hitam, Jerlun, Kedah, yang memulakan kerjaya sebagai guru bahasa dan penterjemah di Kuala Lumpur.

"Pada sebelah malam, saya mengikuti kelas perniagaan kerana cita-cita saya untuk menjadi usahawan.

"Pada masa yang sama, suami juga mengikuti kelas malam di bangunan yang sama. Dia ambil jurusan perakaunan. Sejak perkenalan tersebut, ada masanya beliau menemani saya balik ke rumah dengan berjalan kaki," imbas Maznah tentang perkenalan pertama dengan suami yang juga rakan kongsi perniagaannya.

Dibesarkan dalam keluarga yang dilanda perceraian seawal usianya lima tahun lagi, Maznah mengakui memang pada awalnya, dia berasa takut untuk membina rumah tangga.

Namun setelah berkenalan dengan Shaheen, persepsi beliau berubah, apatah lagi melihat kebaikan, kesungguhan, keikhlasan dan sikap bertanggungjawab yang sungguh tinggi ada dalam diri lelaki itu.

"Paling tidak boleh dilupakan adalah ketika Kampung Baru dilanda banjir. Saya langsung tidak boleh keluar dari rumah sewa.

"Shaheen sanggup mendayung sampan semata-mata untuk menghantar makanan kepada saya setiap hari.

"Itu antara yang membuatkan saya jatuh hati dan setuju untuk mengahwininya setelah empat tahun berkenalan," kata Maznah.

Mungkin ramai yang menyangka pasangan itu dilahirkan dalam keluarga senang dan kaya sehingga dia berupaya menjadi seorang usahawan berjaya.

Sangkaan tersebut salah sama sekali, sebaliknya beliau dan suami mula membina perniagaan pada hujung tahun 1980 iaitu kira-kira setahun selepas perkahwinan mereka yang bertarikh 11 Mac 1979.

Bermodalkan RM5,000 hasil tabungan sebagai guru bahasa, pasangan sejoli itu memulakan perniagaan membekalkan pengawal keselamatan dengan hanya lima anggota.

"Masa itu hidup kami susah betul, tidak dapat apa-apa pinjaman dari bank dan tiada siapa mahu bantu. Daripada rumah batu, kami pindah ke rumah setinggan di Kampung Tengah, Bukit Belacan, Ampang.

"Di situ tiada kemudahan air dan elektrik, memang penuh kedaifan yang menduga kesabaran kami yang baru berumah tangga.

"Saya bersyukur ditemukan jodoh yang baik sebagai sahabat dan rakan niaga. Bayangkan sudah 35 tahun, kami bekerja dalam syarikat yang sama, namun masih dapat mengekalkan persahabatan dan keharmonian rumah tangga," sampuk Shaheen yang lebih banyak mendiamkan diri sebaliknya membiarkan isteri menjawab segala soalan.

Dalam pada itu, Maznah mengakui tiada satu perkahwinan pun yang sempurna, namun mereka berusaha menjadi insan yang terbaik demi kerukunan rumah tangga.

"Kalau bergaduh..., biasanya seorang bersuara, seorang lagi akan senyap mendengar. Tidak perlu menjawab walaupun kita tahu, itu bukan salah kita terutama ketika dia sedang marah.

"Apabila sudah 'tenang' barulah berbincang. Suami akan hormat kepada isteri apabila isteri berdiam diri dan memahami kelemahan serta kemarahannya.

"Suatu 'rahmat' yang kami berdua belajar ketika hidup susah adalah semangat dan usaha keras, tanpa putus asa. Kebal emosi dan minda menjadi begitu kreatif, inovatif untuk mencipta kejayaan dan kebahagiaan bersama.

"Kami menjadi pasangan yang lebih sabar, saling memahami, menghormati dan saling mempercayai," katanya.

Sebelum berkahwin lagi, menurut Maznah, mereka cuba mengikat perjanjian, iaitu 'berkahwin hanya sekali seumur hidup. Inilah jodoh yang telah ditentukan Ilahi, maka harus menjayakan ikatan perkahwinan ini sedaya upaya dan sepenuh hati.

Bagi pasangan itu, tiada ungkapan 'cerai' dalam kamus perkahwinan. Ini kerana perceraian adalah sesuatu yang amat 'mendukacitakan' dan 'bala' bagi anak-anak.

"Antara kami tiada siapa yang lebih hebat dan bijak dalam rumah tangga kerana masing-masing mempunyai kekuatan dan kelemahan.

"Kekuatan suami, kelemahan isteri..., kelemahan suami, kekuatan isteri. Untuk itu, kita harus menggemblengkan dua kekuatan itu untuk mencipta kejayaan dan kebahagiaan, bukan 'bersaing' sesama sendiri," tegasnya.

Pasangan bahagia ini dikurniakan lima cahaya mata iaitu Nur Sharmila, 34, Shahril Reza, 33, Nurul Shaheem, 29, Mohd Shafiq Azim dan Mazreen Shanim, 22.

Mengahwini lelaki yang dibesarkan dengan budaya berbeza, Maznah mengakui ada cabarannya yang tersendiri.

"Shaheen memang rapat dengan ahli keluarganya yang merupakan segala-gala baginya. Setelah kami memiliki rumah sendiri, semua ahli keluarga mertua duduk bersama kami. Ibu bapa, adik beradik dan ibu bapa saudara tinggal di bawah satu bumbung.

"Memang berbeza rasanya bila rumah dihuni bersama ibu bapa kerana terasa akan keberkatannya. Anak-anak saya juga membesar dikelilingi saudara mara. Bagi saya, itu satu pengorbanan.

"Untungnya apabila orang tua duduk sama, setiap kali saya ke luar negara untuk belajar, berkursus atau berniaga, saya tidak risau akan anak-anak kerana diawasi oleh keluarga walaupun ada orang gaji. Akhirnya anak kita akan membesar dan terdidik dengan agama dan budaya yang sihat," katanya.

Dalam pada itu, Maznah melahirkan rasa dukacita melihat rumah tangga sekarang yang 'rapuh' dengan pasangan menyerah kepada takdir dan mengambil 'mudah' terhadap alam perkahwinan.

Katanya, sepatutnya setiap perkahwinan itu perlu sentiasa dibajai dan dilaksanakan mengikut syariat Islam, bukan sebaliknya.

Tambahnya, pasangan suami isteri juga perlu mengharmonikan dan mengekalkan sesebuah perkahwinan kerana mereka adalah role model kepada anak-anak.

"Berkahwin adalah sesuatu yang mudah, tetapi untuk mengekalkan perkahwinan itu adalah sesuatu yang amat sukar, tetapi bukan mustahil," ujar beliau mengakhiri bicara.

'Suami bagi saya barang kemas palsu'

Posted: 14 Feb 2014 11:13 AM PST

TIDAK semua wanita bernasib baik mendapat suami yang baik, berjawatan tinggi dan boleh bergantung hidup sampai ke hujung nyawa.

Ada yang bahagia, ada yang derita. Namun dalam mencari pasangan hidup, setiap orang mesti berhati-hati, bimbang menjadi mangsa lelaki penipu.

Apa yang berlaku kepada wanita yang menghadapi situasi ini? Berpisah atau teruskan hidup berumah tangga dengan lelaki yang tidak bertanggungjawab itu?

Aza (bukan nama sebenar) ada cerita yang ingin dikongsi dengan pembaca setelah suami yang dinikahi rupanya seorang penipu.

Begini kisahnya:

"Saya berusia 27 tahun, bekerja di sebuah bank dan baru mendirikan rumah tangga dengan seorang lelaki bernama Mirul (bukan nama sebenar) yang mendakwa dia seorang pengurus sebuah syarikat insurans.

"Perkenalan kami bermula semasa saya menghadiri satu majlis keraian anjuran tempat kerja saya bersama kawan-kawan. Melihat kejujurannya untuk berkawan, saya terima dengan hati terbuka.

"Alhamdulillah, dia serasi dengan saya. Hubungan kami berjalan selama enam bulan sebelum dia melamar saya. Kerana sudah jatuh cinta dan yakin dia lelaki terbaik untuk melindungi saya hingga ke akhir hayat, saya menerimanya untuk menjadi teman hidup saya.

"Saya tidak pernah bertanya lanjut tentang pekerjaannya, di mana dia tinggal dan latar belakang keluarganya. Malah, keluarga saya juga suka kepada Mirul kerana kebaikannya.

"Lamarannya diterima oleh keluarga. Persiapan kahwin berjalan lancar. Cincin pertunangan, hantaran dan gelang sebagai hadiah membatalkan air sembahyang juga dibeli oleh Mirul sendiri tanpa membawa saya.

"Seminggu sebelum majlis pernikahan dan setelah kad jemputan diedarkan, Mirul memberitahu saya wang hantaran untuk saya terpaksa digunakan untuk urusan perniagaannya yang sedang mengalami masalah.

"Masih lagi mempercayainya, saya akur dengan segala alasan yang dia beri, mujur ibu bapa juga faham. Saya terus berdoa dan berharap selepas ini tidak ada lagi masalah yang timbul sebelum kami disatukan.

"Pada hari bahagia kami, keluarga Mirul juga datang dari kampung tanpa ibu bapanya yang dia beritahu saya sedang uzur. Majlis menyambut menantu tidak diadakan kerana kata Mirul, mahu selesaikan semuanya di rumah saya.

"Saya faham, mungkin faktor kewangan dan kesihatan ibu bapanya menghalang dia buat kenduri di kampungnya. Majlis berjalan seperti dirancang. Alhamdulillah.

"Seminggu selepas kahwin, saya mula bekerja. Mirul masih di rumah kerana katanya dia masih bercuti. Saya gembira dia masih cuti sebab sekurang-kurangnya dia boleh menyesuaikan diri dengan keluarga saya kerana kami tinggal bersama ibu bapa saya atas permintaan mereka.

"Seminggu kemudian, Mirul masih tidak pergi bekerja, saya juga pelik sebab tak kan dia cuti kahwin sampai dua minggu, sedangkan kami tidak merancang untuk pergi berbulan madu. Apabila saya tanya, katanya dia telah berhenti kerja di tempat lama kerana tidak tahan dengan tekanan kerja. Dia berjanji akan mencari kerja lain.

"Hampir sebulan Mirul tidak bekerja. Sepanjang masa itu, Mirul hanya menghantar dan mengambil saya dari pejabat. Dalam kereta, dia tidak banyak cakap. Saya mula perasan ada yang tidak kena.

"Bila saya tanya kenapa tidak keluar mencari kerja, dia marah-marah dan berkata saya berkira dengannya. Saya juga cuba mengujinya dengan meminta wang belanja dengan alasan, saya kehabisan wang semasa kenduri sementara menunggu gaji.

"Dia mula mengamuk dan mengugut akan keluar dari rumah. Saya tidak mahu kecoh-kecoh dan mahu selesaikan masalah ini dengan baik. Lalu saya ajak dia berbincang tetapi dia enggan dan meminta saya jangan lagi mengungkit tentang pekerjaannya.

"Esoknya, saya mendapat idea. Saya hubungi salah seorang kenalan lamanya di pejabat. Saya kenal kawannya itu. Kami berjumpa dan saya terus ceritakan apa yang berlaku selepas kami kahwin.

"Alangkah terkejutnya saya apabila dimaklumkan, Mirul tidak bekerja di tempat tersebut. Dia hanya buat kerja sambilan yang disuruh majikannya di sebuah syarikat penghantar surat.

"Kawannya itu menceritakan segala-galanya kepada saya. Katanya, Mirul sebenarnya tidak ada kerja tetap, dia buat semua kerja bergantung pada ihsan kawan-kawan yang dia kenal. Dia minta maaf sebab terpaksa bersubahat dengan Mirul masa kami kahwin dahulu.

"Amirul juga suka bercakap bohong dan mereka-reka cerita. Dia suka pinjam duit orang tetapi tidak dibayar. Dia juga tidak ada keluarga dan semasa majlis pernikahan saya dahulu, yang datang semuanya kawan-kawan dia yang ada di Kuala Lumpur.

"Kawan itu juga mencadangkan saya ke kedai emas untuk mengesahkan sama ada cincin dan rantai tangan yang diberinya kepada saya semasa majlis pernikahan dahulu tulen atau palsu.

"Sekali lagi saya terkejut, sebak dan sedih dengan apa yang Mirul lakukan. Memang sah barang kemas yang diberikan kepada saya adalah palsu, padanlah dia tidak mahu membawa saya bersama.

"Saya menangis sepanjang hari mengenangkan apa yang Mirul buat kepada saya, tergamak dia menipu saya sampai macam ini sekali. Saya harus melakukan sesuatu. Saya perlu selesaikan hal ini segera.

"Dalam perjalanan balik ke rumah, saya hanya mendiamkan diri. Mirul nampak resah dan bertanya saya kenapa. Saya tidak menjawab tetapi meminta dia bersabar sehingga sampai di rumah.

"Malam itu, saya bongkar segala rahsia Mirul kepada ibu bapa saya. Mirul terkejut dengan apa yang saya ceritakan kepada ibu bapa saya. Bapa saya hilang sabar dan menghalau dia dari rumah sebab saya bercakap dengan bukti.

"Ibu turut menangis dan meraung mengenangkan apa yang menimpa saya. Ibu sangat sedih kerana anak sulungnya diperlakukan sedemikian rupa. Mana lagi nak tanggung malu dengan saudara mara dan kawan-kawan. Namun saya pasrah, saya katakan kepada ibu bapa saya, ini ujian Allah untuk saya, saya reda.

"Sejak itu, Mirul tidak muncul lagi. Saya ke pejabat kadi untuk memfailkan perceraian dengan alasan saya ditipu dan Mirul tidak memberi nafkah zahir dan batin kepada saya selama kami bernikah selama enam bulan. Dengan bantuan seorang sepupu, saya berjaya dalam kes tersebut.

"Alhamdulillah, segala-galanya telah selesai tetapi saya masih trauma dengan kejadian itu. Walaupun reda dengan ketentuan Ilahi, jauh di sudut hati, masih ada parut lukanya.

"Mujur ibu bapa dan keluarga menyokong saya. Sedih duka saya mereka sama-sama rasa. Saya pasrah dengan kejadian ini dan berharap wanita dan gadis di luar sana supaya berhati-hati apabila mencari calon suami.

"Siasat latar belakang mereka terlebih dahulu, jangan main yakin dengan berdasarkan cinta sahaja. Ini pengajaran berguna untuk saya. Walaupun malu dengan saudara mara dan keluarga, saya kena kuat dan tabah.

"Saya mohon ditukarkan ke tempat lain selepas kejadian itu. Saya mahu mencari ketenangan untuk meneruskan kehidupan saya. Doa saya agar Allah mudahkan hidup saya dan temukan jodoh yang baik-baik yang boleh membimbing saya di dunia dan akhirat," begitu kata-kata akhir Aza sebelum menamatkan ceritanya.

Aduh, sedih saya dengar cerita Aza. Saya turut bersimpati dengan apa yang Aza alami.

Alhamdulillah, Aza seorang yang tabah dan kuat semangat. Calang-calang wanita pasti akan menjadi murung dengan tragedi ini.

Ingatlah, lelaki yang hendak dijadikan teman ke akhir hayat adalah mereka yang boleh menerima kekurangan dan kelebihan anda di samping membimbing anda ke jalan yang diredai Allah SWT.

Mengakhiri catatan, pesanan telus daripada saya, dunia ini berpusing mengikut masa dan ketika. Satu masa anda berada di dalam kesedihan, akan tiba masanya putaran itu singgah untuk memberi anda kesenangan dan kebahagiaan.

Salam

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat