{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Kota

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Kota


3,550 PATI, 30 majikan ditahan

Posted: 08 Feb 2014 10:17 AM PST

ALOYAH Mamat (kanan) memeriksa dokumen pendatang asing pada Ops 6P Imigresen di Plaza GM, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 8 Feb. - Sebanyak 3,550 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan sejak Ops 6P Bersepadu dilancarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bermula 20 Januari lalu sehingga semalam.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Aloyah Mamat, untuk tempoh sama juga, seramai 30 majikan ditahan atas kesalahan menggaji warga asing tanpa permit.

"Sepanjang tempoh itu, sebanyak 438 operasi dijalankan melibatkan 5,600 pegawai dari pelbagai agensi penguat kuasa dan seramai 16,000 warga asing telah diperiksa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, tangkapan tertinggi melibatkan warga Indonesia iaitu seramai 1,400 orang, Myanmar (537), Bangladesh (451), Nepal (264 orang) dan lain-lain seramai 239 orang.

Sementara itu, bagi majikan, Aloyah berkata, 22 majikan ditahan adalah warga Malaysia, Indonesia (4), Bangladesh (3) dan Nepal (1).

Kesemua mereka ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai Ops 6P yang dijalankan di Bangunan GM, Chow Kit, di sini hari ini.

Dalam operasi terbaru itu, seramai 200 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan antaranya tidak mempunyai dokumen, tinggal lebih masa dan memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) yang tidak diiktiraf.

"Masing-masing berasal dari Indonesia, Pakistan, Thailand dan Myanmar dan kesemua mereka akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan dan tindakan susulan," ujarnya.

Operasi itu disertai oleh 220 penguat kuasa termasuk polis, Jabatan Pendaftaran Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Kementerian Kesihatan.

Letak jawatan ADUN Kajang, tindakan PKR rugikan rakyat - Saravanan

Posted: 08 Feb 2014 10:17 AM PST

SHAH ALAM 8 Feb. - Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah mengabaikan pengundi di DUN Kajang selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari parti itu, Lee Chin Cheh meletak jawatan tanpa sebarang sebab pada bulan lalu.

Naib Presiden MIC, Datuk M. Saravanan berkata, beliau sangat tidak bersetuju dengan tindakan PKR itu kerana bukan sahaja mengabaikan pengundi di DUN tersebut, tetapi juga merugikan rakyat.

Katanya, mengikut tradisi, sesuatu pilihan raya kecil hanya akan diadakan jika Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) meninggal dunia atau uzur dan bukan semata-mata untuk menyelesaikan masalah politik parti.

"Saya juga tidak faham kenapa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu bertanding di DUN Kajang dan terus terang saya katakan, dari segi politik saya amat tidak bersetuju dengan tindakan beliau itu.

"Namun, keputusan untuk bertanding di DUN Kajang itu adalah hak beliau," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Perwakilan Tamil Kapagam Malaysia di sini, hari ini.

Saravanan yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan dalam pada itu berkata, MIC Selangor telah bersedia untuk menggerakkan jentera mereka melancarkan kempen untuk pilihan raya kecil DUN Kajang yang akan diadakan pada 23 Mac ini.

"Saya telah dimaklumkan oleh MIC negeri bahawa mereka telah bersedia untuk melancarkan kempen dan sebaik sahaja calon Barisan Nasional (BN) diumumkan, MIC akan mengatur satu strategi untuk memenangi hati pengundi di DUN Kajang.

"Saya yakin rakyat, terutamanya di Kajang sudah cukup matang untuk menilai apa yang baik untuk mereka dan saya juga berharap rakyat dapat menilai dan membuat keputusan yang boleh menyampaikan mesej bukan sahaja di DUN Kajang, tetapi di seluruh negara, bahawa jangan ambil kesempatan,'' katanya.

Mengulas tentang calon BN di DUN Kajang, Saravanan berkata, BN sentiasa membuat keputusan sebulat suara dan meskipun mengikut tradisinya ini adalah kerusi MCA, tetapi jika pucuk pimpinan BN membuat keputusan sebaliknya, maka semua jentera akan mematuhinya dan bekerja atas konsep semangat BN.

IRM bantu golongan kurang upaya sambut Tahun Baharu Cina

Posted: 08 Feb 2014 10:17 AM PST

KUALA LUMPUR 9 Feb. - Walaupun aktiviti kemanusiaannya digerakkan atas nama Islam, namun Islamic Relief Malaysia (IRM) tetap prihatin terhadap golongan bukan Islam termasuk memberi bantuan kepada golongan kurang upaya sempena Tahun Baharu Cina.

Hari ini, IRM menyampaikan bantuan kepada 27 penghuni Persatuan Rumah Amal Murni Kajang dekat sini bersempena perayaan masyarakat Cina itu.

Pengarah Negara IRM, Ir. Zairulshahfudin Zainal Abidin berkata, melalui program dinamakan 'Share The Joy', para penghuni rumah tersebut turut berasa kemeriahan sambutan perayaan tersebut.

"Majoriti penghuni rumah amal ini adalah kaum Cina yang kebanyakannya mengalami masalah mental seperti sindrom down. Ada yang telah ditinggalkan ahli keluarga masing-masing.

"Program ini bertujuan meraikan sambutan Tahun Baharu Cina bersama-sama mereka, kita tidak mahu mereka rasa seolah-olah terbuang dan tidak dihargai," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Persatuan Rumah Amal Murni Kajang, Poon Swee Hang.

Program 'Share The Joy' dihadiri lebih 10 sukarelawan IRM diserikan dengan tarian singa dan tarian naga di samping pemberian hamper serta cadar kalis air kepada setiap penghuni rumah tersebut.

Sementara itu, Zairulshahfudin berkata, walaupun kebelakangan ini pelbagai isu sensitif yang terjadi di tanah air, namun perkara tersebut tidak menghalang niat murni IRM meneruskan misi kemanusiaan.

"Isu-isu seperti penghinaan agama, kaum dan sebagainya boleh mewujudkan ketegangan antara kaum. Program seumpama ini diibaratkan sebagai satu langkah kecil bagi mengukuhkan semula ikatan antara tanpa mengira bangsa, agama dan kaum," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat