Utusan Online - Mahkamah
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Mahkamah |
Bapa kelar anak didakwa di Hospital Kajang Posted: 06 Feb 2014 11:07 AM PST Abdul Jalil Salam Muhammad (kiri) hadir untuk membaca pertuduhan ke atas Norazman Mohammad yang dituduh membunuh anaknya di Hospital Kajang, dekat Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN ROY AZIS ABD. AZIZ KUALA LUMPUR 6 Feb. - Seorang bapa yang dikaitkan dengan kes mengelar sehingga mati anak perempuannya berusia tujuh tahun dan mencederakan dua lagi anak perempuannya di rumah mereka di Seksyen 4 Bandar Baru Bangi, hari ini didakwa di Hospital Kajang dekat sini atas tuduhan membunuh anak bongsunya itu, tujuh hari lalu. Norazman Mohammad, 43, mengangguk tanda faham setelah pertuduhan tersebut dibacakan oleh jurubahasa kepadanya di hadapan Majistret Abdul Jalil Salam Muhammad dari Mahkamah Kajang. Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh. Abdul Jalil tiba di hospital berkenaan kira-kira pukul 11.30 pagi sebelum pertuduhan dikemukakan terhadap Norazman di wad 2 hospital berkenaan yang diisytiharkan sebagai kawasan mahkamah. Tertuduh ditempatkan di wad tersebut sejak 30 Januari lalu untuk menerima rawatan akibat cedera di kepala semasa cuba melarikan diri selepas kejadian. Lelaki yang menganggur itu didakwa membunuh Zulaikha menggunakan parang dalam rumah No, 21 jalan 4/9G Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, dekat sini, kira-kira pukul 4 petang, 30 Januari lalu. Dakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, S. Abirami mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati. Norazman juga didakwa atas dua tuduhan lain iaitu cuba membunuh anaknya, Maryam, 10, dan Liyana, 12, sehingga menyebabkan kecederaan di tempat, masa dan tarikh yang sama. Dia mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu yang dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan. Yang turut sama dalam wad berkenaan semasa pertuduhan dibacakan ialah isteri tertuduh, Umi Supya Ismail, 42, dan seorang anaknya serta peguam, Nasar Khan yang dilantik oleh wanita itu untuk mewakili suaminya. Sementara itu ketika ditanya para pemberita di luar hospital, Abirami berkata, tertuduh kini stabil dan akan ditahan sehingga 25 Februari ini untuk sebutan kes dan memastikan kehadirannya di mahkamah. Menurut beliau, pihaknya akan mengemukakan permohonan semasa tarikh sebutan itu agar tertuduh mendapat rawatan psikiatri bagi mendapat laporan kesihatan mental. Dalam pada itu, Umi Supya yang tiba di wad hospital itu kira-kira pukul 10 pagi dilihat pantas menutup mukanya dengan beg setelah menyedari kehadiran para petugas media di ruang legar wad berkenaan. Dia kemudian bergegas memasuki wad itu bagi mengelak ditemu ramah oleh para pemberita dengan diikuti oleh Nasar. Petugas media yang menunggu sejak awal pagi tidak dibenarkan memasuki wad berkenaan semasa pertuduhan dibacakan malah beberapa pemberita yang cuba melihat prosiding itu berlangsung menerusi tingkap berhampiran katil tertuduh turut dihalang oleh seorang lelaki yang kemudian bertindak menutup pintu wad berkenaan. Turut kelihatan berada di ruang legar wad berkenaan ialah beberapa jiran tertuduh. Semasa kejadian tersebut Zulaikha maut selepas dikelar di leher sementara Liyana yang cedera di belakang leher serta putus ibu jari, dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) manakala adiknya, Maryam cedera di belakang kepala dan tangan dirawat di Hospital Kajang. |
'Tuhan Harun' mohon gugur semua pertuduhan Posted: 06 Feb 2014 11:07 AM PST HARUN Mat Saat (berkerusi roda) dikawal anggota polis ketika hadir di Mahkamah Rendah Syariah, Kuantan, Pahang, semalam. - UTUSAN/MAHATHIR ALI KUANTAN 6 Feb. - Ketua pengikut ajaran sesat yang menggelarkan dirinya sebagai 'Tuhan Harun' akan mengemukakan representasi untuk menggugurkan kesemua 10 pertuduhan yang dihadapinya di Mahkamah Rendah Syariah di sini. Harun Mat Saat, 47, yang dikenakan waran tangkap kerana menghilangkan diri sebelum ini dituduh mengikut Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1987 antaranya atas kesalahan menyebarkan ajaran sesat dan menghina agama Islam dengan mengaku sebagai tuhan. Peguam syarie, Abdullah Sidek yang mewakili Harun berkata, permohonan representasi itu akan dikemukakan kepada Ketua Pendakwa Syarie di Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) berikutan masalah kesihatan yang dialami oleh anak guamnya. "Saya berharap pihak pendakwaan meneliti permohonan tersebut dan seterusnya mengetepikan kes ini,'' katanya yang turut memaklumkan beliau baru dilantik mewakili Harun pada hari ini. Harun hadir ke mahkamah hari ini dengan berkerusi roda akibat diserang angin ahmar beberapa bulan lalu. Hakim Syarie, Abdul Wahid Md. Ali kemudian menetapkan 24 April ini untuk sebutan semula kes. Pendakwaan dikendalikan oleh Pendakwa Syarie, Mohd. Fahmi Abd. Jalil. Pada 24 April tahun lalu, Harun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua 10 pertuduhan iaitu menghina agama Islam dengan mengaku diri sebagai 'Tuhan 2013', menyebarkan ajaran sesat Tuhan Harun atau Tuhan 2013 dan mencetak, menerbit serta menyimpan dokumen berkaitan ajaran tersebut. Perbuatan itu didakwa dilakukan di tiga premis masing-masing beralamat A165, tingkat atas Farmasi Ghazali, Lorang IM 16/1, Bandar Indera Mahkota; B36, Tingkat 2, Lorong Seri Teruntum 39, Jalan Bukit Ubi; dan B16-1st Lorong Pandan Damai 2/201 di sini. Pertuduhan-pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 170, 164(1) dan 164(2), Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |