{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Pendidikan

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Pendidikan


Pelajar ejen pelihara alam sekitar

Posted: 16 Feb 2014 10:48 AM PST

Sufaat Tumin

Tugas pelajar murid pada hari ini bukan sahaja terikat mengikuti pembelajaran di sekolah tetapi memikul tanggungjawab lebih besar memastikan kepentingan alam sekitar terpelihara dan memastikannya dapat dinikmati oleh generasi akan datang.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Operasi Pendidikan), Datuk Sufa'at Tumin berkata, golongan itu perlu menjadi penggerak utama dalam menjalankan program pemuliharaan alam sekitar sebelum diperluas kepada komuniti setempat.

"Menjaga kepentingan alam sekitar merupakan tanggungjawab semua pihak dan persepsi masyarakat bahawa peranan itu hanya digalas pihak berkuasa wajar diperbetulkan demi mengelak berlakunya kemusnahan bumi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan program Cabaran Baru Toyota Eco Youth (TEY) yang turut dihadiri Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ismet Suki di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Sebanyak 16 buah sekolah menengah di seluruh negara menyertai program kali ke-14 anjuran UMW Toyota Motor itu yang menawarkan hadiah wang tunai RM10,000 untuk juara, RM7,000 tempat kedua dan RM5,000 tempat ketiga.

Program berbentuk kesedaran tentang alam sekitar itu merupakan acara tahunan sejak 2001 dan diadakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan.

Di bawah program TEY, sekolah yang menyertainya diberi tempoh selama tujuh bulan untuk mempersembahkan tugasan berkaitan alam sekitar di kawasan sekolah atau kawasan berdekatan dan melakukan analisis terhadap isu berkaitan selain mengemukakan cadangan serta langkah-langkah pencegahan.

Menurut Sufa'at, usaha badan- badan bukan kerajaan dan pihak korporat seperti UMW Toyota Motor menganjurkan program pemeliharaan alam sekitar Cabaran Baru Toyota Eco Youth (TEY) amat bertepatan dengan usaha menggerakkan golongan remaja terlibat dalam program seperti itu.

Hal ini kerana, katanya, apa sahaja perbuatan seperti membuang sampah, membuat pembakaran terbuka, mengotorkan sungai pasti memberi impak buruk kepada alam sekitar yang akhirnya manusia juga menanggung kerosakan tersebut.

Ismet Suki

"Sebarang keputusan dan tindakan yang diambil hari ini akan memberi kesan kepada generasi akan datang, begitu juga dengan sebaliknya, jika tidak ada apa-apa tindakan yang perlu diambil hari ini, ia akan turut memberi kesan kepada masalah alam sekitar pada masa depan,'' tegasnya.

Selain itu, beliau berkata, usaha pihak berkenaan menganjurkan program tersebut dilihat mampu mengubah tanggapan individu dan masyarakat terhadap kepentingan memelihara alam sekitar malah turut selari dan diberi penekanan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

Beliau menegaskan bahawa setiap keindahan alam semulajadi yang dinikmati hari ini adalah hasil daripada tanggungjawab generasi terdahulu memelihara alam sekitar namun khazanah tersebut tidak mampu bertahan jika generasi hari ini dan akan datang tidak memelihara kepentingan alam tersebut.

Sementara itu, menurut Ismet, pihaknya telah menaikkan nilai hadiah wang tunai pada cabaran tahun ini bertujuan untuk merangsang dan membakar semangat murid serta guru yang menyertai program berkenaan sekali gus diharap dapat merangsang mereka untuk menjana idea kreatif yang memberi manfaat kepada komuniti.

"Ketika kami memulakan program ini dulunya bertujuan untuk melahirkan juara eco atau ejen perubahan dan kesedaran alam sekitar di peringkat sekolah.

"Namun, dengan kesungguhan dan usaha murid sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kami pula mahu meluaskan penglibatan dalam program TEY terhadap komuniti sekitar pula,'' katanya.

Usaha itu, ujarnya, bagi memperkasakan murid dalam meningkatkan kemahiran berfikir secara kritikal melalui penerapan kaedah penyelesaian masalah lapan peringkat yang dipelopori oleh Toyota dengan harapan murid yang terlibat dapat menjadi penggerak kepada perubahan menjaga alam sekitar.

SK Setiawangsa perintis Program Makanan Sihat

Posted: 16 Feb 2014 10:48 AM PST

Ruslan Madon memantau pelaksanaan Program Makanan Sihat pada waktu rehat di SK Setiawangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pelaksanaan Program Makanan Sihat hasil inisiatif Sekolah Kebangsaan (SK) Setiawangsa dan Kementerian Kesihatan wajar dipuji kerana dapat mendidik murid mengambil makanan yang sihat dan seimbang untuk mengelakkan jangkitan penyakit atau masalah obesiti.

Guru Besar Cemerlang sekolah itu, Ruslan Madon berkata, dalam program yang masih di peringkat rintis ini, murid yang terlibat diberi makanan yang sihat dan seimbang dari segi keperluan piramid makanan beserta air minuman.

"Ibu bapa yang memilih untuk memasukkan anak masing-masing mengikuti program ini perlu membayar RM3 sehari dan bayaran dibuat secara bulanan.

"Murid yang terlibat perlu mengambil makanan pada waktu rehat di tempat duduk khas di kantin sekolah untuk memudahkan pemantauan dan pengumpulan data," jelasnya ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pengumpulan data dilakukan oleh seorang pegawai pemakanan daripada Kementerian Kesihatan yang ditempatkan di sekolah itu.

Data yang direkodkan antaranya termasuklah berat murid, kehadiran ketika waktu makan dan baki makanan yang tidak dihabiskan.

Menurut Ruslan, penempatan Pegawai Pemakanan ini amat membantu terutama dalam memastikan pelaksanaannya tidak memberi beban tugas tambahan kepada guru.

"Malah, Pegawai Pemakanan ini diberi kebenaran untuk mengajar tentang bidang pemakanan dalam kelas Pendidikan Jasmani dan Kesihatan," ujarnya.

Di samping itu, kata Ruslan, pegawai berkenaan turut memberi khidmat nasihat dan runding cara dalam aspek pemakanan sihat bukan sahaja untuk murid malah meliputi semua warga sekolah.

"Warga sekolah turut dididik mengenai pemakanan sihat melalui maklumat berkaitan kandungan kalori makanan dalam poster dan sampel makanan yang diletakkan di kantin sekolah," tambahnya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah (Pemakanan), Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan, Nor Azah Ahmad berkata, pakej makanan yang disediakan dalam program ini seimbang dari segi kandungan karbohidrat, protein dan sumber air.

"Pemantauan dilakukan bermula daripada proses penyediaan makanan sehingga siap dihidang oleh pengusaha kantin sekolah.

"Hal ini bagi memastikan makanan yang disediakan bersih, seimbang, sihat dan selamat dimakan," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat