Utusan Online - Politik
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Politik |
Najib: Waythamoorthy sepatutnya berunding sebelum letak jawatan Posted: 14 Feb 2014 11:13 AM PST KUALA LUMPUR 14 Feb. — Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengesahkan beliau telah menerima surat peletakan jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waythamoorthy pada Isnin lepas. Bagaimanapun Perdana Menteri berkata, Waythamoorthy tidak berjumpa dan berunding dengannya terlebih dahulu sebelum berbuat demikian. "Saya menghormati dan menerima keputusan beliau serta mengucapkan selamat berjaya dan mengharapkan yang terbaik untuk usaha beliau di masa hadapan. "P. Waythamoorthy mungkin mempunyai pendekatan yang berbeza, namun beliau sepatutnya berjumpa dan berunding dengan saya terlebih dahulu sebelum mengumumkan peletakan jawatannya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Najib berkata, keputusan Pengerusi Hindraf itu untuk meletakkan jawatan setelah memeterai perjanjian persefahaman dengan Barisan Nasional (BN) bagi memajukan lagi agenda masyarakat India, adalah mendukacitakan. "Bagi menjayakan persefahaman ini, P. Waythamoorthy seharusnya menyesuaikan diri dalam sistem pentadbiran kerajaan dan menjalin kerjasama bagi mendapatkan konsensus untuk melaksanakan program kerajaan. "Saya ingin menegaskan bahawa selaras dengan pendekatan saya membentuk kerajaan yang mudah didekati dan sentiasa memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan, kita akan melaksanakan program pembangunan sosioekonomi kepada kaum India sebagaimana kita lakukan untuk kaum-kaum yang lain," kata Perdana Menteri. Dalam satu kenyataan Barisan Bertindak Hak Penganut Hindu (Hindraf) pada Isnin lepas, Setiausahanya, P. Ramesh berkata, Waythamoorty memutuskan untuk meletak jawatan kerana mendakwa kerajaan BN gagal mengotakan janji, biarpun menang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tahun lepas. Waythamoorthy dilantik sebagai senator dan timbalan menteri selepas PRU-13. Sebelum itu, Hindraf memeterai perjanjian persefahaman dengan kerajaan pada 18 April untuk berusaha menyelesaikan isu sosioekonomi melibatkan masyarakat India. — BERNAMA. |
Tarikh PRK DUN Balingian belum diketahui Posted: 14 Feb 2014 11:13 AM PST LUNDU 14 Feb. - Timbalan Perdana Menteri memberitahu, beliau belum pasti bila Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian akan diadakan ekoran peletakan Tan Sri Abdul Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri Sarawak. Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana belum ada sebarang pengumuman berhubung perkara itu dibuat oleh mana-mana pihak setakat ini. "Saya tak tahu sama ada pilihan raya DUN Balingian akan diadakan serentak dengan Kajang. Belum ada apa-apa pengumuman (mengenainya) oleh calon atau wakil kita. Jadi, kita tunggulah (bila tarikh diumumkan)," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menunaikan solat Jumaat dan menghadiri Majlis Berambeh (Kenduri Rakyat) di Masjid Darul Taqwa di sini hari ini. Muhyiddin mengulas mengenai kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof kepada Utusan Malaysia hari ini yang mengatakan bahawa suruhanjaya itu bersedia mengadakan PRK Balingian serentak dengan PRK DUN Kajang yang dijadualkan 23 Mac depan. Abdul Aziz berkata, keputusan tersebut bagaimanapun bergantung kepada tarikh kekosongan kerusi penyandangnya, Abdul Taib. Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, segala keputusan sama ada PRK Balingian diadakan serentak dengan PRK Kajang adalah urusan SPR. "Itu urusan SPR, kita tak boleh campur urusan," ujarnya Ditanya mengenai khabar angin bahawa Kabinet Persekutuan akan dirombak dalam masa terdekat ini, beliau berkata, tidak tahu tentang perkara itu kerana keputusan membuat rombakan Kabinet adalah bergantung kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |