Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Koperasi teropong peluang ekuiti Posted: 02 Feb 2014 10:13 AM PST MEMPERKASA ekonomi bumiputera sepatutnya tidak hanya bergantung kepada sektor awam dan swasta malahan mampu didukung sektor koperasi sebagai tunjang ketiga ekonomi negara ini. Dengan pendapatan tahunan melebihi RM31 bilion dan nilai aset semasa melangkaui RM100 bilion, kerajaan sepatutnya menggunakan koperasi sebagai alat pemerkasaan ekonomi bumiputera memandangkan keberkesanannya yang terbukti, berpotensi besar dan tiada batasan untuk berkembang. Pengerusi Koperasi Orang Kota Bharu Berhad (Coop-OKB), DATUK SHEIKH AHMAD DUSUKI SHEIKH MOHAMAD dalam wawancara bersama wartawan Utusan Malaysia, RAJMAH HASAN dan SITI AIRUNNISA ALAUI serta jurugambar HALIM KHALID, mengupas kewajaran memberi peluang kepada koperasi membeli saham-saham syarikat milik kerajaan (GLC). Usaha itu mampu memberi manfaat kepada lebih tujuh juta ahli dalam 10,600 koperasi di seluruh negara yang 90 peratus daripadanya ialah bumiputera," katanya. UTUSAN: Boleh jelaskan perkembangan sektor koperasi di negara ini? SHEIKH AHMAD DUSUKI: Sektor koperasi negara kini membangun hampir dua kali ganda berbanding 2008 dengan menyumbang sebanyak RM32 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lepas. Di Malaysia, sebanyak 10,600 koperasi meliputi pelbagai jenis perniagaan seperti perbankan, perladangan, perumahan, pengangkutan, perkhidmatan dan perindustrian telah didaftarkan. Ketika ini, sektor koperasi dimantapkan dengan kekuatan anggota lebih tujuh juta orang yang mempunyai modal dan syer sejumlah RM12.5 bilion serta aset RM106.9 bilion sehingga mampu menjana perolehan RM32.97 bilion dengan kini menyumbang lima peratus kepada KDNK negara. Keadaan itu jelas menunjukkan bahawa gerakan koperasi di Malaysia terus berkembang sebagai sebuah entiti ekonomi yang berupaya memenuhi keperluan pembangunan sosioekonomi negara. Kerajaan sendiri mengiktiraf koperasi sebagai enjin ketiga pembangunan ekonomi negara dan mahu sektor berkenaan menyasarkan sumbangan 10 peratus KDNK menjelang 2020. Selain pengiktirafan itu, apa yang dilakukan koperasi bagi mengekalkan peranan sebagai antara penyumbang terpenting ekonomi negara? Setakat pengiktirafan sahaja tanpa diberi peluang, sudah tentu agak sukar untuk koperasi merealisasikan matlamat berkenaan. Dalam hal ini, Coop-OKB menyokong penuh saranan Tokoh Koperasi 2013, Tan Sri Sanusi Junid pada 24 Disember lalu agar GLC memberi peluang kepada koperasi untuk membeli saham-sahamnya. Cadangan itu ada asasnya kerana sektor koperasi mampu mewakili suara rakyat dalam GLC sekali gus berupaya memastikan perjalanan operasi dan urus tadbir yang lebih baik. Bagaimanapun, senario hari ini menyaksikan kebanyakan GLC hanya memikirkan keuntungan tanpa melihat secara serius ruang dan peluang perniagaan kepada rakyat. Kita harap kerajaan beri peluang dan menawarkan kepada koperasi saham dalam GLC. Ini bukan bermaksud kita mahu jadi pemilik tetapi kita mahu ada ekuiti dalam GLC dan berkongsi dengan kerajaan. Langkah penambahbaikan seperti itu perlu. Sejauh mana pegangan saham dalam GLC ini dapat membantu sektor koperasi sekali gus dimanfaatkan rakyat khususnya bumiputera? Kita yakin dengan membuka ruang kepada koperasi untuk memiliki ekuiti dalam GLC akan mengurangkan keresahan rakyat yang merasakan suara mereka tidak mendapat perhatian dalam keputusan-keputusan yang dibuat oleh GLC terutama yang berkaitan utiliti. Contohnya, pengumuman kenaikan tarif elektrik yang secara langsung akan memberi kesan kos sara hidup rakyat. Sekiranya koperasi mempunyai saham dalam Tenaga Nasional Berhad (TNB), keputusan diambil berhubung tarif elektrik akan mengambil kira suara rakyat atau orang ramai yang diwakili koperasi. Rakyat merasa tidak dipinggirkan dan mereka juga gembira kerana akhirnya akan menikmati keuntungan yang disalurkan menerusi dividen. Kerjasama seperti ini tidak merugikan sebaliknya menepati konsep menang-menang. Ini kerana dalam koperasi, tiada tempat untuk orang tamak. Koperasi dapat menjadi medan menyemarakkan semangat perpaduan menerusi penglibatan semua kaum dalam aktiviti ekonomi negara. Dengan adanya pemilikan saham dalam GLC, sektor koperasi negara juga akan mempunyai kelebihan untuk bersaing di pasaran antarabangsa. Keuntungan daripada perniagaan oleh GLC sudah pasti dapat disalurkan kembali dalam bentuk dividen kepada koperasi dan seterusnya dapat diagihkan kepada ahli-ahli. Sejauhmanakah cadangan ini berpotensi direalisasikan? Ini tidak mustahil kerana semua GLC diletakkan di bawah Kementerian Kewangan yang mengawal selia dari segi dasar dan amalannya. Dalam hal ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Menteri Kewangan boleh mengeluarkan arahan supaya GLC membuka peluang kepada koperasi memiliki saham dan saya yakin pihak koperasi di negara ini bersedia pada bila-bila masa untuk berbuat demikian. Perbincangan segera antara GLC dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) perlu diadakan untuk mencari satu mekanisme terbaik bagi membolehkan pembelian saham oleh koperasi ini dilaksanakan secepat mungkin. Berilah peluang kepada koperasi untuk menceburi perniagaan berskala besar menerusi pembelian saham-saham bersesuaian dalam GLC. Dalam masa sama, melalui semangat persaudaraan yang diamalkan koperasi, proses keadilan ekonomi akan dapat ditegakkan dan dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama. GLC perlu mengambil pendekatan mesra rakyat dengan memberi lebih banyak peluang untuk koperasi menikmati kek ekonomi negara secara lebih adil dan telus tanpa melibatkan orang tengah. Mungkinkah ada kekangan lain untuk ia dilaksanakan? Landskap politik semasa membuatkan agak sukar untuk menggubal dasar tersebut. Bagaimanapun saya yakin hasrat ini dapat dicapai kerana gerakan koperasi bukan berasaskan kepentingan individu sebaliknya melibatkan kelompok besar yang mewakili suara rakyat tanpa mengira perbezaan fahaman atau ideologi politik. GLC milik kerajaan jadi tidak ada sebab kerajaan tidak boleh menggubal satu dasar baharu berhubung perkara ini. Bagaimana perkongsian pintar ini dapat dilaksanakan? GLC boleh menetapkan peruntukan khusus jumlah saham yang boleh ditawarkan kepada koperasi, contohnya 30 peratus dan kita boleh beli secara terus saham itu daripada GLC. Jika perlu, kita wujudkan satu konsortium koperasi yang menggabungkan beberapa koperasi besar serta kecil. Badan inilah yang akan bertindak membeli saham-saham GLC untuk diagih-agihkan kepada ahli. Bagi koperasi-koperasi kecil, mereka boleh membuat pinjaman daripada bank atau SKM untuk mengambil peluang membeli saham GLC, manakala koperasi besar yang mampu membeli saham, boleh memilih untuk untuk duduk dalam konsortium ini. Dengan hanya 30 peratus pemilikan saham kepada koperasi, ia tidak akan menggugat pengurusan dan pentadbiran GLC. Secara tidak langsung, sebarang pertukaran polisi yang hendak dibuat GLC akan mengambil kira kehendak dan pandangan rakyat menerusi pembabitan koperasi ini. Bagaimana maklum balas GLC berhubung cadangan tersebut? Setakat ini respons diberikan positif dan mereka juga merasakan ia kena pada masanya dalam keadaan ekonomi dan sosial sekarang yang banyak memberi tekanan kepada orang ramai. Saya tidak nampak sebarang sebab kukuh GLC menolak pelaksanaan ini kecuali ada kalangan mereka yang mempunyai kepentingan sendiri dalam mana-mana syarikat terbabit. |
Berapa banyak lagi siri episod 'drama' Kajang? Posted: 02 Feb 2014 10:13 AM PST Oleh Hassan Mohd. Noor DAP akan patuh, Pas akur sahaja. Itu kesimpulan yang sudah pasti diambil apabila Anwar Ibrahim dicalonkan pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang tidak lama lagi. Pada peringkat awal ini, DAP dan Pas masih boleh bersandiwara dengan memberi pelbagai alasan - tidak tahu-menahu atau tidak dibincangkan bersama rakan-rakan pakatan. Hakikatnya jawapan akhir dalam isu Kajang ini, DAP tetap DAP dan Pas tetap Pas. Apabila Anwar turun ke gelanggang, mana ada pihak yang berani menghalangnya. Suara-suara nakal seperti terkejut, tidak puas hati seperti yang dinyatakan oleh pemimpin pembangkang lain termasuk Setiausaha Agung, Lim Guan Eng (tidak pasti sudah disahkan jawatan atau bekas Setiausaha Agung) akan lenyap begitu sahaja. Mana logiknya Guan Eng berkata, beliau tidak dibawa berbincang atau tidak tahu-menahu hal berkaitan Anwar sebagai calon PRK Kajang. Hakikatnya, ayahandanya, Lim Kit Siang ada bersama Khalid Ibrahim dan Anwar semasa sidang akhbar mengumumkan calon PKR itu. Kalau Kit Siang sebagai tuan penasihat sudah ada, apa lagi yang dapat dilakukan oleh tuan setiausaha? Begitu juga dengan kenyataan pemimpin muda Pas yang mulanya seolah-olah menentang tetapi kini semakin kendur dan akhirnya menyebabkan Pas angguk sahaja semua keputusan yang dibuat. Anwar akan terus memberi alasan yang meyakinkan sekutunya sehinggalah kepada hari pengundian. Inilah antara siri episod yang sedang dipentaskan dalam drama sandiwara Kajang ini. Malangnya tidak ada pula suara rakan-rakan pembangkang yang menyatakan inilah sandiwara sedangkan apabila berlaku pencerobohan di Lahad Datu, ada yang berkata, semuanya sandiwara walaupun hakikatnya, ada nyawa manusia yang melayang. Begitulah sikap pembangkang yang menganggap diri mereka sahaja benar dan betul dalam segala perkara. Percayalah, dalam episod seterusnya, DAP dan Pas tidak ada masalah untuk bekerja dan bersatu bagi memastikan kemenangan Anwar pada PRK ini. Ketika itu, ramai pelakon sampingan pada episod awal akan menjadi hero atau pelakon yang memegang watak-watak utama. Ketika itu, tidak ada lagi kata-kata boikot, pengkhianat atau dosa. Semuanya akan bertukar menjadi perjuangan dan mungkin mendapat label jihad. Isu protes ini juga berlaku di Kajang pada PRU lalu tetapi akhirnya semua bersatu untuk memastikan kemenangan calon berkenaan. Apa yang perlu dilakukan oleh pakatan sekarang hanyalah untuk merasionalkan keputusan Lee Chin Cheh mengosongkan kerusi Kajang. Mereka harus memadamkan persepsi pengundi Kajang bakal dijadikan bahan eksperimen politik semata-mata untuk memberi laluan kepada Anwar. Bagi Chin Cheh, dia memang tidak ada alasan kukuh untuk mewajarkan keputusannya. Andainya seorang wanita yang sedang mengandung, usia sembilan bulan selepas pilihan raya umum (PRU), wanita itu sudah pasti melahirkan zuriat. Dalam isu Kajang, adakah Chin Cheh tidak mampu bekerja? Jika benar, apakah jaminan wakil rakyat PKR di seluruh negara yang ada sekarang benar-benar boleh bekerja? Adakah PKR sudah tersilap memilih calon di Kajang? Jika benar adakah kesilapan itu juga berlaku di tempat lain? Jika diselak kembali, episod wakil rakyat PKR letak jawatan untuk membuka laluan PRK ini bukan kali pertama. Tanpa alasan kukuh, sudah ada beberapa wakil rakyat PKR meletak jawatan. Lihat sahaja apa yang berlaku di Permatang Pauh dan Penanti (Pulau Pinang), dua kawasan yang menjadi kubu Anwar. Adakah trend Permatang Pauh sudah berjangkit ke kawasan lain dan sebagai permulaan di Selangor? Ini satu trend yang berbahaya dan merugikan. Adakah demokrasi melalui PRU boleh diliwat, dilacur dan dirogol sesuka hati? Ramai yang masih tertanya-tanya sebab sebenar Chin Cheh meletak jawatan. Pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan kerana timbul pelbagai persoalan dalam isu ini. Hari ini umum letak jawatan, esoknya sudah ada calon gantian. Begitu juga dengan kain rentang ucapan Tahun Baharu Cina yang memaparkan wajah Chin Cheh, seolah-olah wakil rakyat itu belum terlintas mahu meletak jawatan. Mungkin pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh membuat peraturan baharu iaitu sesiapa yang meletak jawatan tanpa sebab kukuh perlu dikenakan denda. Contohnya, jika pada PRU, SPR telah membelanjakan RM2 juta di kawasan berkenaan, maka wakil rakyat yang meletak jawatan itu perlu membayar balik RM2 juta untuk membiayai PRK itu. Langkah ini perlu bagi mengelakkan parti politik menjadikan seseorang wakil rakyat dan pengundi sebagai bahan eksperimen politik. Bagi mewajarkan peletakan jawatan Chin Cheh, pihak pembangkang mengalihkan isu ini daripada peringkat tempatan ke peringkat nasional. Isu DUN Kajang bukan bersifat tempatan tetapi nasional. Cuma tujuannya masih sama iaitu menjadikan Anwar pemimpin bersifat negara. Kajang menjadi loncatan ke Putrajaya. Tetapi kenapa sekarang? Kenapa tidak meninggalkan Permatang Pauh pada PRU lalu dan berhijrah ke Hulu Langat atau Serdang? Apa pula nasib pengundi-pengundi di Permatang Pauh? Adakah selepas ini, sekali lagi kerusi Permatang Pauh akan dikosongkan? Banyak lagi persoalan yang perlu dijawab. Adakah kerana Kajang sudah hampir dengan Putrajaya maka kawasan itu menjadi pilihan? Sebenarnya, paling hampir tentulah di kawasan Serdang, misalnya DUN Bangi yang kini diwakili Pas. Tentunya Anwar tidak berani mengganggu Pas. Kajang pula, pada PRU 1999 pernah diwakili ADUN Pas, Shafie Abu Bakar. Maknanya, sokongan Pas di Kajang masih kuat untuk membantu PKR mengekalkan kerusi itu pada PRK ini. Ada juga yang menjangkakan Anwar sebagai calon Menteri Besar Selangor bagi menggantikan Khalid Ibrahim. Walaupun berbuih mulut pihak sebelah sana menafikan tetapi semuanya itu adalah episod drama bersiri Kajang ini. PKR dan Anwar mungkin ada strategi lain lagi. Seorang pemimpin muda Pas apabila bercakap mengenai perkara ini sedikit-sebanyak sudah menolak Khalid secara terhormat. Jika dulu Khalid sesuai tetapi sekarang dengan tuntutan semasa, Khalid tidak berupaya lagi. Maka mulalah pemimpin berkenaan merapu tidak tentu pasal dengan mengaitkan pula UMNO pernah melakukan episod peletakan jawatan ini bagi membolehkan Abu Hassan Omar menggantikan Muhammad Muhd. Taib sebagai Menteri Besar. Tahukah kenapa berlaku peletakan jawatan itu? Muhammad yang kini dalam Pas mungkin boleh menjelaskannya. Apakah pandangan Pas ketika itu jika Muhammad masih kekal sebagai MB? Tetapi apa yang berlaku dalam PKR bukan kerana Menteri Besar sekarang menghadapi masalah sama yang dihadapi Muhammad. Maka apa kaitan kerusi Kajang untuk PKR memperbaiki masalah dalaman jika ada? Sejauh mana kerusi Menteri Besar tergugat tanpa mengganggu kerusi Kajang? Apakah implikasinya jika Menteri Besar dikekalkan dan kerusi Kajang tidak diganggu? Sejauh mana pula kerusi Kajang relevan dengan Putrajaya? Masih banyak persoalan yang perlu diselesaikan dalam episod drama Kajang ini. Pengundi-pengundi Kajang dan rakyat seluruhnya masih menanti dengan minat apakah kesudahan drama ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |