{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Rencana

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Rencana


Terlepas perangkap resolusi APPF

Posted: 04 Feb 2014 11:29 AM PST

Oleh Dr. Firdaus Abdullah

SUATU waktu dulu mereka dipanggil pendatang haram jika memasuki negara ini tanpa dokumen yang sah. Manakala yang datang secara halal untuk bekerja, bila mula merasa kuat sebahagiannya menuntut gaji lebih tinggi dan kemudahan bekerja yang lebih selesa. Selain itu ada juga yang datang secara halal untuk melancong, kemudian menukar peranan menjadi pelacur atau bapa ayam.

Sekarang ungkapan pendatang haram telah ditukar menjadi pendatang asing tanpa izin yang disingkatkan menjadi PATI. Manakala yang datang secara halal, sebahagiannya mulai terlibat dalam kegiatan haram seperti pelacuran, penyeludupan dan pengedaran dadah, perkelahian sesama sendiri, pecah rumah, penculikan dan jenayah lain termasuk menembak mati seorang pegawai bank yang tidak berdosa.

Demikianlah, negara Malaysia yang makmur dan pemerintahnya yang baik hati (compassionate) sedikit demi sedikit terjerumus masuk perangkap fenomena pendatang asing dan menghadapi dilema yang semakin rumit untuk diselesaikan serta menanggung beban kewangan yang semakin bertambah setiap tahun.

Semuanya itu mengingatkan saya betapa Malaysia hampir terperangkap sekali lagi bersabit fenomena pendatang asing ini apabila Forum Parlimen Asia Pasifik (APPF) bersidang di Puerto Vellarta, Mexico, minggu kedua Januari lalu.

Sewaktu ratusan ribu PATI sedang memeras dan membazirkan pelbagai sumber negara apabila gabungan tenaga imigresen, polis dan Rela bersiap-sedia melakukan operasi pemburuan dan penangkapan besar-besaran, sidang APPF di Mexico itu cuba hendak meluluskan satu resolusi yang bertajuk Migration Flows in Asia-Pacific (Aliran Migrasi di Asia Pasifik).

Inti daripada resolusi itu ialah supaya pendatang asing (migran) yang mengerumuni sesebuah negara diberi perlindungan dan hak-hak kemanusiaan (terutama peluang pekerjaan untuk memenuhi keperluan asas ditambah dengan kemudahan sosial yang lain) yang tidak mereka peroleh di negara asal mereka.

Resolusi itu juga mengusulkan supaya pendatang asing diberi kemudahan keluar masuk ke negara yang mereka datangi. Dan perlindungan serta semua kemudahan itu perlu diberikan bukan sahaja kepada kepala keluarga yang bertugas mencari nafkah (bread earner for the family), malah seluruh anggota keluarganya.

Sekilas imbas resolusi tersebut membayangkan semangat atau rasa perikemanusiaan sejagat. Satu bayangan tentang hasrat membela golongan yang tidak bernasib baik. Tetapi yang tidak dibayangkan adalah beban berat dan pelbagai masalah yang terpaksa ditanggung oleh negara yang menjadi tumpuan pendatang tersebut.

Resolusi itu seakan-akan tidak menyedari bahawa negara tumpuan (countries of destination) terpaksa menanggung beban yang amat berat, baik dari segi sosial begitu juga keselamatan dan biaya lain yang berkaitan. Sedangkan tanggungjawab negara asal mereka (countries of origin) tidak disebut sama sekali. Malah negara asal pendatang berkenaan seakan-akan dibiarkan lepas tangan.

Kerana itulah maka di bahagian awal artikel ini saya mencatatkan bahawa Malaysia akan terperangkap jika resolusi itu diluluskan. Atau lebih tepat jika dikatakan bahawa beban berat dan pelbagai masalah yang memang sudah ditanggung Malaysia menampung pendatang tersebut sekarang akan menjadi bertambah berat.

Satu perkara yang secara lebih spesifik dianjurkan oleh resolusi itu adalah supaya negara anggota APPF menandatangani International Convention on the Protection of the Rights of all Migrant Workers and Their Families yang diluluskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Disember 1990.

Ini bermakna negara tumpuan pekerja-pekerja migran bertanggungjawab melindungi pelbagai hak pendatang tersebut, sama ada mereka datang secara halal atau secara haram. Dalam konteks Malaysia, PATI tidak boleh diburu atau dihantar kembali ke negara asal mereka, sebaliknya mestilah dilindungi.

Sebelum berangkat ke Mexico, delegasi Malaysia ke persidangan APPF itu telah menghadiri sesi taklimat dengan pegawai beberapa kementerian, termasuk Kementerian Dalam Negeri yang diadakan di pejabat Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Dalam taklimat tersebut, seorang wakil sebuah kementerian menyatakan bahawa selama ini Malaysia memberi perlindungan kepada pendatang asing termasuk pelarian yang tergolong dalam UNHR (United Nation Human Refugees) atas pertimbangan belas kasihan. Dengan demikian, tanpa disedari kita telah menonjolkan diri sebagai satu negara yang pengasih dan bertimbang rasa.

Barangkali dalam konteks itu jugalah kita telah menukar ungkapan pendatang haram kepada pendatang asing tanpa izin. Mungkin penggunaan ungkapan yang lebih halus itu meningkatkan imej kita sebagai sebuah negara yang lebih compassionate dan bertimbang rasa.

Tetapi ternyata imej sedemikian, ditambah dengan kelonggaran dan kelalaian penguatkuasaan peraturan bersabit pendatang asing itu telah menyebabkan negara kita dibanjiri oleh mereka yang merempuh datang tanpa izin atau yang datang dengan izin tetapi membawa bermacam-macam kerenah - menjadi pelacur atau penjenayah.

Sehubungan itu, saya menyarankan dalam taklimat tersebut bahawa yang lebih penting ditonjolkan kepada masyarakat antarabangsa sekarang adalah penderitaan (pelbagai masalah yang kita hadapi) sebagai negara yang menjadi mangsa rempuhan dan kebanjiran orang (pendatang) asing tersebut. Untuk sementara, imej sebagai negara yang compassionate terhadap pendatang asing yang membawa pelbagai masalah itu, tak perlulah diberi keutamaan.

Pandangan atau saranan saya diterima oleh Abu Zahar selaku Ketua Delegasi Malaysia ke persidangan APPF di Mexico itu. Sehubungan itu, sewaktu turut berbahas membincangkan resolusi berkenaan, beliau menyebut tentang ratusan ribu ringgit yang ditanggung oleh kerajaan Malaysia setiap hari untuk membiayai PATI. Selain itu, untuk sekian lama Malaysia juga menghabiskan jutaan ringgit bagi menanggung biaya pelarian di bawah kategori UNHR.

Saya sendiri turut membangkitkan kepincangan lain berkaitan resolusi tersebut. Kepincangan yang paling ketara adalah kebisuan resolusi tersebut mengenai tanggungjawab negara asal (countries of origin). Semuanya hendak dibebankan kepada negara tumpuan (countries of destination).

Resolusi tersebut juga ternyata jahil mengenai banyak perkara tentang pekerja atau pendatang asing tersebut. Pembawa (penggubal) resolusi, iaitu perwakilan dari Chile, seakan-akan menganggap pekerja asing (migrant workers) itu terdiri daripada satu kumpulan yang seragam (homogeneous group) sedangkan hakikatnya mereka terdiri daripada pelbagai ragam manusia (heterogeneous).

Ada yang datang diurus oleh bakal majikan mereka mengikut peraturan dan undang-undang sah, ada juga dibawa oleh sindiket haram. Ada yang datang menyeludup secara sendirian atau bersama kumpulan. Ada yang datang sebagai pelancong atau pelajar yang kemudian bertukar peranan atau tinggal melampaui tempoh izin tinggal (visa).

Resolusi tersebut memang sangat jahil mengenai pengalaman pahit getir negara tumpuan yang dibanjiri oleh pendatang asing (yang haram atau yang mengikut peraturan) seperti Malaysia.

Atas alasan dan hujah tersebut, bagi pihak perwakilan Malaysia, saya mengusulkan supaya resolusi tentang migrant workers itu ditolak.

Untuk memperlihatkan sikap dan pandangan yang lebih wajar dan seimbang , saya cadangkan supaya pelbagai permasalahan yang dihadapi oleh pekerja asing itu digarap secara holistik, mengambil kira segala aspek dan akibatnya.

Alhamdulillah, cadangan saya diterima. Resolusi tersebut ditolak dan pada hemat saya, Malaysia telah dapat mengelakkan diri daripada terperangkap oleh resolusi itu.

PENULIS ialah anggota delegasi Malaysia ke persidangan Forum Parlimen Asia Pasifik (APPF) di Puerto Vallarta, Mexico, Januari 2014.

Benarkah 'ayam jantan' ada di mana-mana?

Posted: 04 Feb 2014 11:29 AM PST

Oleh Fauziah Arof

"HUK aloh, rajin atau malah tu begantung pada seseore, buke pado negeri atau ore jate jo. Ore tino pun rama yang malah jugok," kata seorang rakan lelaki berasal dari Pasir Puteh, Kelantan kepada saya dengan bersungguh-sungguh ketika bercakap tentang dakwaan bahawa orang lelaki Kelantan malas bekerja.

Katanya lagi, janganlah suka menghentam orang lelaki Kelantan kuat-kuat sangat, nanti ramai yang tidak mahu ambil orang lelaki Kelantan jadi menantu. Bukankah itu cubaan untuk menganiaya namanya?

Pun begitu, pada saya, tentu ada asas dan ada sebab-sebabnya apabila Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud baru-baru ini mengeluarkan kenyataan dengan meletakkan golongan lelaki khususnya di Kelantan yang tidak bertanggungjawab dalam melindungi dan mencari nafkah keluarga sama tarafnya dengan ayam jantan.

Bila sudah menyamakan golongan lelaki yang malas bekerja dengan perangai ayam jantan, maknanya mereka ini tidak memberi sebarang manfaat atau berguna pada keluarga. Sebabnya, ayam jantan ini hanya tahu buat bising dengan berkokok dan membiak saja. Ayam betina juga yang membawa anak-anaknya berderet berjalan mengikutnya sambil mengais tanah mencari makan.

Bagi saya, tidak perlulah orang lelaki khususnya di Kelantan melenting sangat dengan kenyataan Mohd. Nassuruddin ini kerana ia lebih kepada memberi peringatan kepada golongan lelaki yang berperangai seperti ayam jantan ini.

Kita semua pun sedia maklum, jika lelaki Kelantan ini malas-malas belaka dan tidak cerdik, sudah tentu institusi-institusi pengajian tinggi awam di negara ini akan sunyi dengan gelagat mereka ini yang selalunya riuh-rendah bila berkumpul di mana-mana saja. Sekarang ini kita dapat lihat betapa ramai lelaki Kelantan yang memegang jawatan yang hebat-hebat di negara ini.

Seorang rakan baik saya juga dulu berikrar tidak mahu berkahwin dengan lelaki Kelantan kerana dalam kepalanya telah ada setting bahawa lelaki Kelantan pemalas dan suka berpoligami. Tetapi akhirnya dengan kehendak Tuhan, dia dijodohkan dengan orang Kelantan, yang berpangkat tinggi dan sehingga kini dia masih kekal menjadi satu-satunya isteri kepada suaminya itu.

Tetapi memang benar jugalah seperti yang dikatakan oleh Mohd. Nassuruddin, fenomena semakin ramai lelaki yang jadi pemalas dan bersikap senang-lenang dengan membiarkan isteri berhempas-pulas bekerja untuk menyara keluarga telah banyak berlaku. Ini bukan baru terjadi tetapi telah lama berlaku dalam masyarakat kita.

Ia bukan saja berlaku di Kelantan tetapi di negeri-negeri lain juga. Perkembangan ini sudah tentu amat membimbangkan. Sebabnya, dengan sikap sebeginilah banyak perkara buruk boleh berlaku. Ia bukan saja boleh mengugat kesejahteraan dan keharmonian dalam sebuah keluarga atau rumahtangga, adakalanya boleh membawa kepada perlakuan jenayah yang melibatkan kecederaan dan kehilangan nyawa.

Ini bukan sekadar cerita drama di televisyen.

Kita sudah biasa dengar dan lihat, ada isteri terutamanya yang tinggal di luar bandar, sanggup berkebun, turun ke bendang, menoreh getah, bekerja di restoran atau menjual kuih-muih tetapi suaminya yang segar-bugar melingkar di rumah seperti ular sawa kekenyangan. Jika tidak duduk di rumah, dia akan melepak dengan kawan-kawan dan balik hingga jauh malam. Bukan mahu membantu kerja-kerja rumah. Duit belanja makan, minum dan pakaiannya, semua guna duit isteri.

Di bandar juga ramai yang berperangai begini. Tidak kiralah isteri itu berpendapatan kecil atau besar. Kalau berpendapatan besar, lagilah suami jenis berat tulang ini mengambil kesempatan dan lepas tangan, membiarkan semuanya menjadi tanggungan isteri.

Sudahlah begitu, pengorbanan isteri seperti ini ada yang tidak dihargai pula. Si isteri sering dimarah-marah, dipukul dan paling menjengkelkan apabila suami yang tidak bekerja ini ada hati mencari perempuan lain dengan alasan si isteri asyik sibuk bekerja.

Jika perkembangan ini berterusan dan kelak menjadi satu perkara biasa pula di negara ini, maka tidak hairanlah ramai wanita memilih untuk hidup membujang kerana bimbang terpaksa menanggung semua ini.

Oleh itu, tidak perlulah ditanya-tanya lagi, disindir-sindir atau dibuat kaji selidik mengapa ramai wanita di negara ini lebih senang hidup sendiri dan sanggup digelar andartu.

Sudah tentulah mereka tidak mahu hidup bersusah payah dalam perkahwinan kerana terpaksa menyara hidup seorang lelaki, sedangkan hidup mereka jauh lebih senang dan gembira semasa bujang.

Bukankah ini menggugat institusi kekeluargaan dan macam-macam lagi masalah sosial akan terus ditambah dan bertambah melaluinya?

Maka, biarlah saja ayam jantan dengan resminya. Sudah tentu tidak boleh diubah. Yang lelaki pula, kembalilah kepada fitrahnya, menggalas tanggungjawab menjadi pemimpin dan dalam masa sama mencari nafkah untuk keluarga.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat