Utusan Online - Selatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Selatan |
Perpaduan bentuk negara aman - MB Posted: 15 Feb 2014 10:13 AM PST Oleh AINAA MARDHIAH Mohamad Hasan menyampaikan sijil kemahiran jiran wanita kepada seorang penduduk dalam majlis perasmian bangunan Kawasan Rukun Tetangga Taman Tuanku Jaafar, Fasa Tiga, dekat Seremban, semalam. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, masyarakat yang bersatu padu akan hidup dalam keadaan harmoni dan sejahtera. "Negara yang aman sejahtera adalah disebabkan oleh persefahaman antara penduduk setempat di samping menyatupadukan masyarakat khususnya di kawasan kejiranan. "Oleh yang demikian, jangan kita pandang ringan isu perpaduan terutama negara kita yang berbilang kaum ini dan jangan sesekali kita dengar hasutan orang yang mahu melihat kita berpecah-belah, jangan kita dengar cakap orang yang nak lihat kita bergeseran," tegasnya. Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Bangunan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Tuanku Jaafar, Fasa Tiga di sini hari ini. Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Mohd. Ghazali Abd Wahid dan Pegawai Daerah Seremban, Hasnul Mohamed. Dalam pada itu, Mohamad menyarankan warga KRT menjadi jentera yang boleh berfungsi di peringkat akar umbi bagi memastikan masyarakat sentiasa diberi perhatian sewajarnya. "KRT juga perlu berperanan untuk pastikan masyarakat dalam keadaan sejahtera, sihat serta selamat dan dalam masa yang sama menjadi tempat kebergantungan masyarakat. "Jika ada masalah kemasyarakatan jangan dipendam, beritahu kepada wakil rakyat segala isu yang timbul agar dapat diselesaikan dengan kadar segera," ujarnya. Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan hadiah cabutan bertuah serta sijil kemahiran jiran wanita kepada penduduk terlibat. |
Posted: 15 Feb 2014 10:13 AM PST Chuah Ghee Lye mencuba motosikal unit rondaan di IPK Melaka, kelmarin. MELAKA 15 Feb. - Polis negeri yakin dapat memberikan respons lebih cepat dan meluas terhadap sesuatu kes jenayah yang berlaku terutamanya di kawasan perumahan dan industri dengan wujudnya Unit Rondaan Bermotosikal (URB). Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, skuad elit bermotosikal yang baharu diperkenalkan di seluruh negara itu diwujudkan dalam usaha memastikan tugas rondaan dapat dijalankan dengan lebih lancar dan berkesan. Menurutnya, dengan wujudnya skuad URB ini, jangkaan masyarakat terhadap kesannya dalam menangani kejadian jenayah juga adalah tinggi. "Justeru dengan terbentuknya URB di negeri ini, kita amat mengharapkan ia dapat memberi impak positif dalam membendung jenayah. "Ia juga diharap dapat membantu dalam mengurangkan ketakutan terhadap jenayah di kalangan masyarakat seterusnya meningkatkan tahap keyakinan masyarakat kepada polis," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis Penutup Latihan Dalam Perkhidmatan Pengendalian Motosikal URB di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Bukit Beruang, di sini semalam. Dalam majlis itu, sebanyak 51 pegawai dan anggota dipilih menjalani latihan pengendalian motosikal jenis Kawasaki Ninja 250 berkenaan. Kesemua 51 buah motosikal tersebut akan diagihkan ke tiga daerah secara sama rata bagi membolehkan tugas rondaan dijalankan dengan lebih berkesan. Sebelum ini jelas Ghee Lye, unit rondaan hanya memberi tumpuan terhadap kawasan bandar raya terutamanya pusat pelancongan namun kurang dilakukan di kawasan perumahan serta industri seperti kilang dan sebagainya. "Oleh yang demikian, URB akan memberi fokus terhadap kawasan perumahan dan kilang kerana kes jenayah di kawasan tersebut semakin meningkat," katanya. Selain itu tambah beliau, pelbagai latihan lain turut akan diberikan kepada anggota URB dari semasa ke semasa seperti berinteraksi dengan masyarakat serta tindakan yang perlu diambil dalam menangani jenayah. Katanya lagi, impak penggunaan URB ini turut akan dilihat dan dikaji dan jika ia memberi kesan yang amat baik terhadap usaha mengurangkan jenayah maka jumlahnya akan ditambah. |
Panggilan kebakaran meningkat di Melaka Posted: 15 Feb 2014 10:13 AM PST MELAKA 15 Feb. - Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri mencatat peningkatan panggilan kebakaran mencecah 50 panggilan sehari sejak cuaca panas yang melanda seluruh negara kebelakangan ini. Pengarahnya, Zainuddin Md. Alip berkata, purata panggilan yang diterima sepanjang bulan ini adalah antara 30 hingga 50 panggilan sehari. Menurutnya, daripada statistik yang dicatatkan, panggilan berkaitan kes kebakaran di negeri ini meningkat melebihi 500 peratus berbanding hanya lima hingga lapan panggilan sahaja dalam sehari sebelum ini. "Daripada jumlah panggilan yang diterima, 90 peratus membabitkan kebakaran terbuka seperti lalang, belukar, hutan, kebun, pokok dan sebagainya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam menjalankan aktiviti harian kerana kebakaran terbuka ini boleh merebak dengan cepat ke bangunan hingga mampu menyebabkan kehilangan harta benda dan nyawa jika tidak dikawal. Sementara itu beliau menjelaskan, pihaknya sentiasa membuat persiapan bagi menghadapi musim panas yang berpanjangan di negeri ini. Ujarnya, JBPM Melaka sentiasa dalam kesiapsiagaan yang tinggi menghadapi semua kecemasan termasuklah kebakaran terbuka. Beliau berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa punca bekalan air terbuka yang boleh digunakan jika berlakunya bencana terutama kebakaran hutan, lalang dan sebagainya. Selain itu, persiapan seperti peralatan pam angkut, pam flooting dan kelengkapan lain yang boleh digunakan dalam kebakaran terbuka telah disedia di setiap balai bomba," tambahnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |