Utusan Online - Selatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Selatan |
- Melaka Sentral selamat diguna
- Masjid Seremban Jaya mampu muatkan 1,500 jemaah
- MPAG mansuh beg plastik, bekas polisterin mulai tahun ini
Posted: 04 Feb 2014 11:29 AM PST Oleh AMRAN MULUP MELAKA 4 Feb. - Bangunan Melaka Sentral yang menempatkan terminal bas dan pusat perniagaan dijamin selamat digunakan walaupun berlaku mendapan di ruang dalam bangunan tersebut yang dikesan berlaku sejak dua tahun lalu. Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) telah membuat analisis dan kajian berhubung masalah mendapan tersebut dan mendapati tidak berlaku kerosakan pada struktur bangunan tersebut. Malah, kata beliau, Ikram tidak mengesan sebarang aktiviti mendapan yang serius dan bangunan itu selamat untuk digunakan. "Saya minta orang ramai khususnya peniaga di dalam bangunan tersebut tidak perlu panik berhubung mendapan yang berlaku. "Ikram telah membuat kajian terperinci dan mendapati mendapan yang berlaku tidak menjejaskan sebarang struktur bangunan ini, ia masih utuh walaupun ada berlaku mendapan," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan singkat di Melaka Sentral di sini hari ini. Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan Awam, Pengangkutan dan Pemulihan Projek negeri, Datuk Abdul Ghaafar Atan, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), Datuk Ir. Baharam Mohd. dan Pengurus Besar Panorama Sdn. Bhd., Mohd. Saleh Jusman. Idris berkata, kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM4 juta bagi mengatasi masalah mendapan di ruang dalam bangunan Melaka Sentral. Menurutnya, kerja-kerja membaik pulih dijangka bermula tidak lama lagi selepas selesai berbincang dengan peniaga untuk berpindah ke lokasi lain sebelum kerja-kerja dimulakan. Beliau berkata, kajian Ikram mendapati mendapan tersebut berlaku akibat masalah struktur tanah kerana bangunan itu dibina di kawasan sawah padi. Dalam pada itu Idris meminta pihak pengurusan Melaka Sentral meningkatkan tahap kebersihan di seluruh kawasan tersebut. "Setakat ini soal kebersihan nampak bagus cuma tindakan orang ramai membuat sampah merata-rata dan mereka yang menghisap rokok perlu dipantau," katanya. Justeru beliau mahu peraturan di bangunan itu diperketatkan dengan mengenakan denda kepada mereka yang didapati membuang sampah dan menghisap rokok di sekitar bangunan itu. |
Masjid Seremban Jaya mampu muatkan 1,500 jemaah Posted: 04 Feb 2014 11:29 AM PST Mohamad Hasan (dua dari kiri) ketika melakukan lawatan ke tapak projek Masjid Seremban Jaya, Senawang, kelmarin. SEREMBAN 4 Feb. - Masjid Seremban Jaya dekat sini yang kini 90 peratus siap dijangka boleh digunakan sepenuhnya hujung Mac ini. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, masjid yang dibina dengan kos RM4.2 juta itu dimulakan sejak Mei 2012 dikendalikan sepenuhnya oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri. "Saya berpuas hati dengan perkembangan projek pembinaan masjid yang berkeluasan 1,850 meter persegi ini. "Dengan konsep pembinaan yang moden, masjid ini dilengkapi tiga ruang solat, tempat wuduk, tandas serta mesra orang kurang upaya (OKU). "Masjid ini juga menempatkan kedai wakaf bagi pihak pengurusan masjid menjalankan perniagaan koperasi," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak projek masjid itu di Senawang dekat sini semalam. Yang turut hadir Pengarah JKR Negeri Sembilan, Abdul Karim Mohd. Tahir dan Pemangku Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Selamat Paigo. Menurut Mohamad, masjid itu mampu menampung 1,500 jemaah pada satu-satu masa. "Ketika ini jemaah sekitar kawasan ini dibenarkan untuk mengerjakan solat Jumaat di surau berhampiran selain masjid di Taman Tuanku Jaafar. "Apabila masjid ini siap kelak, penduduk sekitar kawasan ini boleh mendirikan solat Jumaat di masjid baharu ini," ujarnya. Tambahnya lagi, masjid baharu ini akan berperanan lebih daripada sekadar tempat bersolat iaitu menjalankan aktiviti komuniti serta sambutan acara dalam kalendar Islam, sekali gus mengukuhkan perpaduan ummah. |
MPAG mansuh beg plastik, bekas polisterin mulai tahun ini Posted: 04 Feb 2014 11:29 AM PST Murad Husin (kiri) ketika melancarkan Kempen Sifar Beg Plastik dan Polisterin peringkat Majlis Perbandaran Alor Gajah di Melaka, semalam. ALOR GAJAH 4 Feb. - Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) bakal menguatkuasakan pemansuhan beg plastik dan bekas polisterin di seluruh kawasan pentadbirannya secara berperingkat-peringkat mulai tahun ini. Yang Dipertuanya, Datuk Murad Husin berkata, usaha itu dimulakan di peringkat ibu pejabat MPAG sendiri dan akan diperluas secara berperingkat ke pejabat kerajaan, premis perniagaan dan sekolah dalam daerah itu. Menurutnya, tindakan berkenaan akan menjadi titik permulaan kepada usaha merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan negeri itu sebagai sebuah negeri berteraskan teknologi hijau selain membantu menjaga kelestarian alam sekitar. "Usaha ini tidak lagi boleh ditangguhkan kerana tindakan menggunakan beg plastik dan polisterin secara berleluasa akan mendatangkan impak negatif terhadap alam sekitar pada masa hadapan. "Bahan polisterin dan plastik sukar dilupuskan dan memakan masa lebih 100 tahun untuk diuraikan, jadi saya amat berharap usaha ini dapat menjadi titik tolak kepada usaha melestarikan alam sekitar yang lebih mapan di masa hadapan," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Sifar Beg Plastik dan Polisterin peringkat MPAG, di sini hari ini. Yang turut hadir Pengarah Urusan Telic Paper Sdn. Bhd., Jack Chin Nam Yee. Murad berkata, mulai hari ini, pengurusan kafetaria MPAG diminta tidak lagi menggunakan bekas polisterin untuk membungkus makanan sebaliknya menggunakan bekas makanan kertas kitar semula yang mesra alam sebagai ganti. Menurutnya, bagi kempen sifar beg plastik pula, MPAG menetapkan Jumaat sebagai hari tanpa beg plastik untuk tempoh tempoh tiga bulan pertama bermula bulan ini. "Setiap tiga bulan akan ditambah sehari menjadikan hari tanpa beg plastik menjadi dua kali seminggu serta seterusnya dan sehingga Februari tahun hadapan, kita sasarkan MPAG bebas beg plastik sepenuhnya," katanya. Beliau berkata, matlamat program itu adalah mendidik dan membudayakan amalan penjagaan alam sekitar di kalangan warga MPAG terlebih dahulu agar apabila inisiatif itu dibawa ke dalam masyarakat setempat ia menjadi lebih mudah dan berkesan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |