Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- KADA peruntuk RM15 juta
- 157 anggota JPJ di 11 lokasi kerap kemalangan
- Maik teruskan bela golongan miskin, OKU
Posted: 31 Jan 2014 11:55 AM PST Oleh TOREK SULONG PASIR PUTEH 31 Jan. - Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) memperuntukkan lebih RM15 juta untuk melaksanakan projek di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang dikenal pasti akan memberi manfaat kepada 3,000 petani di kawasan operasinya tahun ini. Pengurus Besar KADA, Ibrahim Mat berkata, projek aktiviti penanaman padi itu melibatkan kawasan seluas 600 hektar di beberapa daerah seperti Pasir Puteh, Bachok, Kota Bharu, Tumpat dan Pasir Mas. Kawasan bendang di daerah terbabit sudah dikenal pasti termasuk mengesan pemilik tanah terbiar untuk diusahakan dengan tanaman padi tersebut. Pemilik tanah yang tidak mahu mengusahakan sendiri boleh menyerahkan kerja pengurusan penanaman padi kepada KADA dengan menjanjikan pulangan sebanyak RM450 semusim bagi setiap 0.4 hektar tanah," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penerangan dan perasmian pembahagian wang insentif kepada pemilik tanah projek NKEA KADA Cherang Rotan, di sini hari ini. Majlis berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Pembanguan Pertanian Parlimen Pasir Puteh, Zawawi Othman yang turut dihadiri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising, Zulkifli Ali serta lebih 100 petani di kawasan terbabit. Tambah Ibrahim, kawasan bendang Cherang Rotan yang membabitkan lebih 100 hektar kini dalam proses untuk dilaksanakan dengan projek berkenaan dan bakal memberi keuntungan kepada lebih 243 petani. |
157 anggota JPJ di 11 lokasi kerap kemalangan Posted: 31 Jan 2014 11:55 AM PST Abdul Rahman Emang Anyie (kiri) memeriksa dokumen salah seorang penunggang motosikal dalam operasi di Kuala Terengganu, malam kelmarin. - Bernama KUALA TERENGGANU 31 Jan. - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri akan menempatkan 157 anggota terutama di 11 lokasi yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan di negeri ini sepanjang Operasi Penguatkuasaan Tahun Baharu Cina. Pengarahnya, Abdul Rahman Emang Anyie berkata, ini termasuklah di Kilometer (KM) 40 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, Sungai Tong, KM30 Kuala Terengganu- Kuantan, Kampung Pulau Kerengga, Marang, KM40 Kuala Terengganu-Ajil, KM90 Kuala Terengganu-Kota Bharu, Kampung Gerai, Jabi dan KM74 Kuala Terengganu ke Kota Bharu. Katanya, anggota turut ditempatkan di KM60 Kuala Terengganu-Kota Bharu, Belara, KM60 Kuala Terengganu-Kuantan Kampung Jara, Dungun, KM76 Jalan Bukit Besi-Kuala Terengganu, KM138 Jalan Jerangau-Jabor, Simpang 3 Kampung Air Putih, Kemaman, KM90 Kuala Terengganu-Kuantan, Kampung Nyior, Paka dan KM82 Jalan Kuantan-Kijal, Kemaman. "Pihak JPJ bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati kawasan berkenaan kerap berlaku kemalangan sekali gus bagi memastikan pengguna jalan raya memandu dengan berhemah," katanya semasa operasi di Bukit Kecil di sini malam semalam. Sementara itu, bagi memastikan kelancaran lalu-lintas, Abdul Rahman berkata, pegawai dan anggota penguat kuasa JPJ akan turut mengadakan penguatkuasaan secara statik dengan memasang 'tuntun mata' di 120 lokasi iaitu setiap jarak 30km di jalan utama negeri. Katanya, langkah itu supaya persepsi 'kemungkinan ditahan' dapat dipertingkat kepada pengguna jalan raya selaras usaha mengurangkan kadar kemalangan sempena musim perayaan tahun ini. Abdul Rahman berkata, JPJ juga mengadakan pemeriksaan bas di depoh atau bengkel, di terminal-terminal bas serta mengadakan kerjasama dengan PDRM untuk menjalankan pemeriksaan urin. |
Maik teruskan bela golongan miskin, OKU Posted: 31 Jan 2014 11:55 AM PST Kamarudin Mohd. Zain (dua dari kanan) menyampaikan bantuan kepada Mat Saat Mamat di Bachok, Kelantan, semalam. BACHOK 31 Jan. - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) meneruskan tanggungjawab membantu fakir miskin menerusi program Asnaf Fakir Miskin bagi memastikan golongan itu mendapat pembelaan sewajarnya. Timbalan Yang Dipertua Maik, Datuk Kamarudin Mohd. Zain berkata, antara bantuan menerusi program berkenaan adalah sumbangan bulanan kepada individu berumur 60 tahun ke atas dan dalam keadaan uzur, tidak bekerja serta tidak mampu mencari nafkah, termasuk asnaf yang wajib dibantu dan tidak menerima mana-mana bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Selain itu, katanya, dalam membebaskan golongan asnaf daripada belenggu kemiskinan, Maik juga membantu mereka berdikari menerusi bantuan pemulihan perniagaan membabitkan ketua keluarga yang memperoleh pendapatan tidak tetap dengan menanggung ahli keluarga ramai. "Bantuan kecemasan pula diberikan membabitkan keluarga miskin, golongan orang kurang upaya (OKU) dengan tanggungan yang ramai dan mereka (golongan memerlukan) yang ditimpa musibah seperti kebakaran dan pelbagai lagi. "Bantuan sentiasa disalurkan kepada mereka yang terlibat di seluruh negeri di mana Maik menerusi pelbagai maklumat dan informasi awal berkaitan kemiskinan dan musibah akan melakukan ziarah ukhuwah," katanya di sini hari ini. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarah dan menyampaikan bantuan kecemasan kepada keluarga Che Awang Che Mis di Kampung Wakaf Zin yang dihimpit kemiskinan termasuk gagal mendapatkan MyKad anaknya, Mohd. Azmeer, 15, sehingga tercicir daripada mengikuti alam persekolahan. Turut menerima bantuan ialah keluarga buruh kasar, Mat Saat Mamat, 45, yang mengalami musibah kebakaran rumah papan miliknya pada 14 November tahun lalu menyebabkan dia bersama isteri serta tiga anak yang masih kecil terpaksa menumpang di rumah ibu mentua di Kampung Baru, Kandis di sini. Menurut Kamarudin, lain-lain bantuan disediakan Maik termasuk rawatan perubatan, persekolahan dan bantuan awal melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi. Katanya, golongan asnaf dan mualaf yang mencapai akademik cemerlang juga akan dibela dengan bantuan biasiswa kecil pelajar Yayasan Islam Kelantan terutama membabitkan keluarga yang tidak memiliki sumber pendapatan tetap. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |