Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- 3 kawasan tanam padi dimaju
- Pusat salur RM60j tingkat syiar Islam di Kelantan
- RM1.8j bantuan sekolah di Kubang Kerian
Posted: 13 Feb 2014 10:42 AM PST Oleh TOREK SULONG BACHOK 13 Feb. - Tiga kawasan penanaman padi di Kemasin, Tok Belian dan Keluat di sini yang melibatkan keluasan 119,13 hektar akan dibangunkan sebagai estet padi komersial di bawah program Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) mulai tahun ini. Timbalan Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP) Bachok, Datuk Dr. Ilias Husain berkata, projek yang akan dilaksanakan itu dikenal pasti berupaya meningkatkan taraf hidup kira-kira 60 petani miskin yang terpilih menyertainya. Beliau berkata, peserta terbabit telah diagihkan bantuan insentif sebanyak RM2,000 bagi mengusahakan setiap hektar kawasan tanaman padi melalui projek itu. "Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM221,880 bagi menjayakan projek ini dan akan membiayainya selama lima musim bagi tanaman di luar jelapang," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bayaran insentif projek NKEA padi di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bachok hari ini. Yang turut hadir, Pengarah Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin Semerak, Nik Hamadi Nik Abdullah. Tambah Ilias, menerusi projek itu, kerajaan berharap petani berusaha gigih dengan mematuhi disiplin penanaman dan menggunakan teknologi moden bagi menambahkan pendapatan hasil padi dari 2 hingga 3 metrik tan semusim sekarang kepada 4.5 tan pada semusim akan datang. Katanya, pemilihan peserta adalah berlandaskan keikhlasan kerajaan membantu petani tradisional keluar daripada kepompong kemiskinan. |
Pusat salur RM60j tingkat syiar Islam di Kelantan Posted: 13 Feb 2014 10:42 AM PST Makhtar Mustapha (tiga dari kiri) menyerahkan replika kunci Masjid Ar-Rahman yang dibina dengan peruntukan RM300,000 kepada Pengetua SMK Datuk Perdana, Khatimas Mohamood (kiri) di Bachok, semalam. BACHOK 13 Feb. - Kerajaan Pusat membelanjakan lebih RM60 juta bagi membangunkan syiar Islam di negeri ini melalui pelbagai projek kerohanian yang memberi fokus terhadap penyediaan prasarana dan keselesaan tempat beribadat sepanjang tempoh 2005 hingga 2013. Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha berkata, perbelanjaan tersebut membabitkan usaha membaik pulih dan menaik taraf kira-kira 913 buah masjid serta membina sebanyak 26 masjid baharu di seluruh negeri ini. Beliau berkata, antara masjid baharu itu ialah di Banggol Judah, Machang, Ketereh dan beberapa masjid lain yang telah siap dibina serta boleh digunakan. "Kerajaan memberi fokus utama untuk memastikan prasarana di seluruh masjid di negeri ini mencukupi yang mana usaha menaik taraf masjid dilaksanakan secara berterusan," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Masjid Ar-Rahman di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Perdana di sini semalam. Majlis Ar-Rahman yang dinaik taraf dengan peruntukan RM300,000 telah diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika beliau dalam siri lawatan ke Kelantan pada 2012. Tambah Makhtar, projek naik taraf masjid berkenaan yang siap pada April tahun lalu itu telah memberi kemudahan kepada 1,000 pelajar sekolah terbabit untuk menunaikan solat berjemaah, selain menjalankan aktiviti keagamaan dan kerohanian. Sementara itu, dalam perkembangan lain, Makhtar berkata, kerajaan Persekutuan juga akan membina lebuh raya di antara Kota Bharu - Machang sejauh 12 kilometer menerusi beberapa fasa bermula dari sekarang. "Di bawah fasa pertama, membabitkan peruntukan keseluruhan melebihi RM200 juta dengan membabitkan urusan pengambilan balik tanah yang terbabit dengan projek itu," katanya. |
RM1.8j bantuan sekolah di Kubang Kerian Posted: 13 Feb 2014 10:42 AM PST Mohamed Che Noh (kanan) mengagihkan Bantuan Khas Awal Persekolahan kepada ibu bapa pelajar Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian 1 di Kota Bharu, baru-baru ini. KOTA BHARU 13 Feb. - Kerajaan Persekutuan telah memperuntukan sebanyak RM1.8 juta untuk Bantuan Khas Awal Persekolahan 2014 bagi pelajar sekolah kawasan Parlimen Kubang Kerian. Pengerusi Biro Pendidikan UMNO Bahagian Kubang Kerian, Mohamed Che Noh berkata, bantuan tersebut telah diagihkan kepada semua pelajar secara berperingkat sejak hampir sebulan yang lalu. "Di dalam kawasan Parlimen Kubang Kerian terdapat 30 buah sekolah semuanya iaitu 22 sekolah rendah dan lapan sekolah menengah. "Kita memastikan kira-kira seramai 18,385 orang pelajar dari 30 buah sekolah itu menerima bantuan ini," katanya ditemui selepas mengagihkan bantuan tersebut sebanyak RM117,700 kepada 1,377 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kerian 1 di sini baru-baru ini. Yang turut hadir, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kubang Kerian, Anuar Safian. Tambah Mohamed, pengagihan bantuan ini akan diselesaikan dalam masa terdekat bagi membantu mengurangkan beban perbelanjaan keluarga menyediakan keperluan sekolah yang masih diperlukan. Menurutnya, pelajar paling ramai menerima bantuan tersebut bagi kategori sekolah rendah di kawasan parlimen berkenaan adalah SK Kubang Kerian 3 iaitu 1,311 orang. "Manakala bagi sekolah menengah pula, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mulong iaitu 1,489 orang yang menerima bantuan ini," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |