Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
Posted: 15 Feb 2014 10:13 AM PST Oleh KAMARUDIN HAMZAH Sebahagian 102 pendatang asing tanpa izin yang ditahan dalam operasi bersepadu di sekitar Besut, Terengganu, kelmarin. BESUT 15 Feb. - Jabatan Imigresen negeri menahan 102 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dalam operasi bersepadu di sekitar daerah ini yang berakhir pagi semalam. Penolong Pengarah Imigresen negeri, Mohd. Shahrir Khalil berkata, operasi disasarkan di kawasan tapak pembinaan projek dan peladangan di sekitar Kampung Raja, Hulu Besut dan Kuala Besut. Hasil serbuan ke lokasi yang ditetapkan, pihaknya memeriksa 257 pendatang dan 102 daripadanya ditahan kerana pelbagai kesalahan. Daripada jumlah itu, 93 pendatang lelaki dan sembilan wanita ditahan ketika mereka sedang berada di rumah sewa masing-masing. "Operasi yang bermula kira-kira pukul 12 tengah malam itu diadakan di lima kawasan melibatkan seramai 125 pegawai dan anggota penguat kuasa jabatan dan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN)," ujar beliau di sini semalam. Mereka termasuklah 53 pegawai dan kakitangan Jabatan Imigresen, 50 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) serta tujuh anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) di samping anggota polis, wakil Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Warga Indonesia adalah yang paling ramai ditahan iaitu 51 orang, Bangladesh (23), Nepal (22), Myanmar (empat) dan India (dua). "Kebanyakannya tidak mempunyai dokumen dan tinggal lebih dari tempoh yang dibenarkan dan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1) (c) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. "Kesemua PATI ini dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Ajil, Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut," katanya. |
Posted: 15 Feb 2014 10:13 AM PST BESUT 15 Feb. - Ketika masyarakat sedang berdepan dengan gejala harga barang naik, seorang pengusaha restoran di sini percaya keuntungan masih ada, jika harga semasa kekal atau diturunkan. Julia Mohamad, 31, tidak terikut-ikut dengan gejala itu. Malah bagi meringankan beban pengguna dan memberi peluang kepada mereka membuat pilihan, pengusaha Restoran Ulam Budu di Kuala Besut itu bertahan dengan harga lama di samping menawarkan tarikan baharu. Bermula hari ini, Restoran Ulam Budu menyediakan nasi putih percuma untuk pelanggan yang menjamu selera dan minuman teh O ais percuma pada setiap Isnin. Katanya, nasi disediakan mulai pukul 10 pagi hingga 3 petang manakala lauk-pauk pilihan pelanggan hanya dikenakan bayaran dengan harga berpatutan. Langkah itu menurutnya, sebagai menghargai kesetiaan dan sokongan pelanggannya sejak restoran itu dibuka pada Mac tahun lalu dan sempena ulang tahun pertama pembukaan restoran tersebut yang diusahakan bersama suami, Suazli Mohamed, 32. Kata Julia, walaupun kebiasaannya setiap sepinggan nasi dijual pada harga RM1.50 dan minuman teh O ais pada harga RM1.20, namun ia dilakukan sebagai sebahagian sokongan untuk meringankan beban pelanggan. Menurutnya, dia dan suami berharap langkah itu membolehkan orang ramai menjimatkan perbelanjaan harian apabila menjamu selera di restorannya yang dibuka setiap hari bermula pukul 10 pagi hingga pukul 12.30 tengah malam. Restoran yang diuruskan dengan bantuan lapan orang pekerja itu, turut menyediakan dua menu istimewa iaitu mi lipat gulung dan gulai kawah berapi. "Gulai kawah berapi yang menggunakan rempah yang dibawa khas dari Bachok, Kelantan sesuai kepada mereka yang meminati lauk yang agak pedas sedikit tetapi masih enak untuk dinikmati dengan nasi putih yang panas," jelasnya. |
Posted: 15 Feb 2014 10:13 AM PST KOTA BAHARU 15 Feb. - Kerajaan Kelantan akan memperkenalkan aktiviti berbasikal sebagai acara tahunan dalam usaha menarik lebih ramai pelancong ke negeri itu. Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan Negeri, Datuk Md. Anizam Abdul Rahman berkata, aktiviti berbasikal dapat membantu memperkenalkan kepada pelancong, destinasi pelancongan terkenal di negeri itu. Kita akan bekerjasama dengan Tourism Malaysia Kelantan serta agensi pelancongan lain dalam usaha menggalakkan pelancong menaiki basikal dan melawat tempat-tempat menarik di negeri ini. Ini kerana pelancong dapat melawat ke tempat-tempat yang tidak dapat dilalui oleh kereta jika mereka menaiki basikal," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Flag-Off Kayuhan Muhibah di sini hari ini. Yang turut hadir Pengarah Tourism Malaysia Kelantan, Nor Aida Ismail. Sebanyak 70 peserta menyertai program kayuhan tersebut membabitkan jarak sejauh 25 kilometer sekitar daerah Kota Baharu termasuk melalui kampung-kampung yang menjadi tumpuan pelancong. Kayuhan akan bermula dari Kota Sultan Ismail Petra di sini dan peserta akan dibawa ke beberapa tempat menarik di kawasan Pantai Cahaya Bulan dan akan kembali ke Kota Sultan Ismail Petra," katanya. Ketika ditanya mengenai sasaran enam juta pelancong melawat Kelantan tahun ini, beliau berkata, setakat ini terdapat perkembangan positif dari segi jumlah kemasukan pelancong ke negeri itu. Kelantan mencatat kedatangan pelancongan sebanyak 5.2 juta tahun lepas. Sementara itu, Nor Aida berkata, Tourism Malaysia Kelantan menyokong tindakan kerajaan negeri untuk menjadikan aktiviti berbasikal sebagai acara tahunan di negeri itu. Kita akan bekalkan peta kepada pelancong yang ingin berbasikal bagi memudahkan mereka berkunjung ke beberapa lokasi menarik yang telah ditentukan," katanya. - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |