Utusan Online - Rekreasi
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rekreasi |
Posted: 15 Feb 2014 05:03 AM PST KESIBUKAN di kota membuatkan sesiapa sahaja akan menggunakan peluang untuk beriadah bagi membebaskan fikiran yang agak serabut dengan hal kerja di pejabat. Peluang sedemikian digunakan oleh penulis bersama beberapa rakan untuk menyertai program berkaitan Tahun Melawat Malaysia 2014 yang berlangsung di Kampung Morten, Melaka baru-baru ini. Perasaan bosan menempuh perjalanan yang memakan masa kira-kira dua jam menggunakan Lebuh raya Utara Selatan (PLUS) dari Kuala Lumpur terus dilupakan sebaik sahaja kami tiba di Kampung Morten. Kampung tersebut merupakan satu-satunya kampung yang terletak di tengah-tengah bandar raya bersejarah ini. Tatkala memasuki kawasan Kampung Morten, terasa seperti berada di kampung halaman sendiri. Hiasan setiap ruang rumah begitu unik dan seperti biasa, rumah kampung kebiasaannya dipenuhi dengan pokok bunga yang merimbun dengan tujuan menghiasi halaman rumah. Kampung ini dianggap sebagai muzium hidup memandangkan ramai penduduknya masih mengamalkan cara hidup yang tidak banyak berubah, selain mempamerkan keunikan reka bentuk dan rekaan rumah masing-masing. Sewaktu penulis tiba di Villa Sentosa, melangkah sahaja masuk ke kawasan vila itu membuatkan hati terasa girang dan tenang, seolah-olah pulang ke kampung halaman untuk berhari raya bersama sanak saudara. Kehadiran penulis dan rakan-rakan lain disambut meriah oleh penduduk setempat yang diketuai oleh kurator muzium hidup Villa Sentosa, Abdul Rahim Hashim iaitu anak kepada pengasas Kampung Morten, Hashim Datuk Demang Abdul Ghani. Dalam pada itu, penduduk kampung telah menganjurkan pelbagai aktiviti untuk kami seperti menganyam ketupat dan membuat kuih Buah Melaka. Setelah selesai, kami bersantai di kawasan sekitar sambil menikmati kuih yang sinonim dengan nama negeri Melaka itu. Jujur penulis katakan, kali pertama menjamah kombinasi dua juadah istimewa iaitu kuih Buah Melaka dan teh O lemon suam dalam satu masa membuatkan selera penulis bertambah. Penduduk Villa Sentosa sememangnya kreatif melayan tetamu, sekali gus ia menggamit seribu memori yang tidak boleh penulis lupakan sampai bila-bila. - RABIATUL ADAWIYAH ZAKARIA |
Bertemu semula di Sungai Chiling Posted: 15 Feb 2014 05:03 AM PST AIR Terjun Sungai Chiling kini menjadi santuari ikan kelah dan tumpuan pengunjung pada cuti hujung minggu. AIR Terjun Sungai Chiling yang terletak di Kuala Kubu Bharu merupakan antara khazanah alam paling indah yang terdapat di bumi Selangor Darul Ehsan. Bagi yang pernah berkunjung ke sana, sudah tentu tidak akan melupai keindahan serta kedamaian suasananya. Malah cabaran yang terpaksa ditempuhi untuk sampai ke lokasi itu juga sudah tentu kekal dalam kotak memori. Bagi pencinta alam, lokasi ini sudah tentu disenaraikan sebagai salah satu lokasi wajib untuk diterokai. Maklumlah laluannya tidaklah begitu sukar. Baru-baru ini, enam sekawan yang diketuai oleh Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Usuldin, 29, memilih lokasi tersebut untuk menyambut majlis pertemuan semula (reunion) bersama rakan sekuliah dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Ia sekali gus mengisi aktiviti pengembaraan di hujung minggu. Dari Kuala Lumpur, kami hanya mengambil masa selama satu jam setengah untuk sampai ke Kuala Kubu Bharu yang terletak kira-kira 63.8 kilometer dari ibu kota. Sampai sahaja di Empangan Sungai Selangor, pengembaraan kami pun diteruskan dengan menyeberangi jambatan gantung dan berjalan kaki melalui denai hutan yang sudah tersedia. Sebelum meneruskan perjalanan ke air terjun itu, kami terlebih dahulu mendirikan khemah di tapak perkhemahan yang disediakan oleh pihak Jabatan Perikanan Daerah Hulu Selangor. Lokasi perkelahan di Sungai Chiling sebenarnya terletak di bawah pengawasan jabatan tersebut kerana terdapat santuari ikan kelah di situ. Mujurlah pada waktu itu tidak ramai pengunjung, maka lokasi pilihan kami sudah tentu yang paling strategik iaitu berdekatan dengan jambatan gantung di situ. Selepas mendirikan khemah, kami pun berjalan menempuh laluan denai, anak sungai dan kemudian mengharungi sungai yang airnya agak deras paras lutut untuk sampai ke lokasi air terjun. Untuk sampai ke sana, laluan yang ditempuh tidaklah sukar, cuma kami terpaksa menyeberangi sungai yang sama sebanyak lima kali. Perlu diingatkan jika hujan lebat, paras air di sungai tersebut boleh mencapai sehingga ke paras pinggang dan arusnya juga boleh bertukar ganas. Selepas berjalan selama sekitar sejam, kami tiba di lokasi air terjun yang cantik dengan kolam sederhana besar. Penat kami pada masa itu sedikit sebanyak hilang selepas menikmati makan tengah hari yang dibawa dari tapak perkhemahan. Kami juga sempat mandi manda di air terjun tersebut. Walaupun hanya menikmati hidangan ringkas, namun ia sudah cukup untuk mengalas perut. Selepas makan, kami berpatah balik ke tapak perkhemahan dan sekali lagi, kami perlu menyeberangi lima kali sungai yang sama. Namun dalam perjalanan pulang, kami singgah di sebuah lokasi air terjun yang lebih rendah. Di situ, suasananya jauh lebih sunyi daripada air terjun yang menjadi tumpuan pengunjung tadi. Malah, kami merasakan lokasi ini lebih sesuai untuk aktiviti berkelah. Disebabkan hari seperti mahu hujan, kami tidak berada lama di situ dan berpatah balik ke tapak perkhemahan dengan kadar segera. Dalam pada itu, kami tidak dapat mengelak daripada ditimpa hujan dan terpaksalah kami meredah sungai yang semakin besar airnya. Oleh kerana tidak mahu menanggung risiko dihanyutkan arus deras sungai, maka kami terpaksa berteduh di tepi sungai selama beberapa jam. Kami melepak di situ sehingga hujan reda dan paras air sungai kembali normal. Memandangkan hari semakin gelap, kami kemudian bergegas pulang ke tapak perkhemahan. Alhamdulillah, perjalanan kami berakhir dengan selamat dan pada malamnya, kami tidur begitu lena kerana kedinginan yang mencengkam tulang. Berbekalkan suasana damai berlatar belakang bunyi unggas yang sangat mengasyikkan, kami dibuai mimpi sehingga keesokan harinya. Menjelang pagi, kami meneruskan aktiviti riadah di tepi Sungai Chiling termasuk menyaksikan ikan kelah berlari-lari di dalam sungai yang jernih. Panorama itu sungguh mengasyikkan sehingga tidak sedar mentari semakin tinggi. Aktiviti memasak pun dijalankan untuk menyiapkan hidangan tengah hari. Sambil memasak, ada dalam kalangan kami mengambil kesempatan terjun ke dalam sungai yang jernih dan sejuk airnya sampai ke tulang sum-sum. Tubuh kembali segar selepas berendam agak lama di dalam sungai ini. Selepas menikmati hidangan tengah hari di tepi sungai, kami pun mengambil kesempatan untuk berehat sambil berbual-bual, maklumlah ada di antara kami sudah lama tidak bersua muka. Apa yang pasti, pengalaman menikmati keindahan alam dan keseronokan berkhemah bersama rakan sekuliah yang dijalankan sepanjang dua hari satu malam ini tidak akan dilupai selagi nyawa dikandung badan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rekreasi To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |