Utusan Online - Utara
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Utara |
- 130 samseng jalanan cari padah ditahan
- Lebih 20,000 mohon sertai PVR
- Manfaatkan kelebihan pengalaman warga emas
130 samseng jalanan cari padah ditahan Posted: 08 Feb 2014 10:17 AM PST Oleh AZHARI ZAINOODDIN SEBAHAGIAN penunggang motosikal yang dipercayai samseng jalanan ditahan dalam operasi di Bayan Mutiara, Pulau Pinang, awal pagi semalam. PULAU PINANG 8 Feb. - Tindakan sekumpulan 130 samseng jalanan yang dipercayai cuba menggunakan jalan di sekitar Bayan Mutiara di sini sebagai alternatif untuk mengadakan lumba haram mengundang padah apabila kesemua mereka ditahan oleh sepasukan anggota keselamatan di kawasan berkenaan awal pagi tadi. Dalam operasi yang bermula kira-kira pukul 12 tengah malam itu, sekumpulan anggota dari Unit Trafik dan Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah sedia menanti kumpulan terbabit di kawasan berkenaan selepas pergerakan mereka diperhatikan sejak dua minggu lalu. Difahamkan, kumpulan terbabit menjadikan jalan di sekitar Bayan Mutiara sebagai alternatif untuk berlumba selepas jalan-jalan utama di pusat bandar diadakan sekatan jalan raya. Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik, IPK negeri, Suprintenden Wan Aziz Wan Hussein berkata, pihaknya mendapati kumpulan samseng jalanan terbabit mula mencari laluan lain apabila merasakan kawasan bandar tidak lagi sesuai ekoran sekatan jalan yang diadakan. "Sebaik menyedari kehadiran anggota penguatkuasa di kawasan terbabit ada antara mereka cuba bertindak agresif bagi melarikan diri dengan menunggang motosikal melawan arus dan cuba melanggar anggota bertugas. "Bagaimanapun semua mereka berjaya ditahan dan dibawa ke Pangkalan Polis Marin, Batu Uban untuk pemeriksaan lanjut," katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat operasi berkenaan, di sini hari ini. Terdahulu dalam operasi yang tamat sekitar pukul 6.30 pagi itu, seramai 130 penunggang berusia antara 14 hingga 30 tahun yang menaiki 91 buah motosikal ditahan dan diperiksa. Wan Aziz berkata, sebanyak 50 saman dikeluarkan polis atas pelbagai kesalahan seperti nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan, mengubah suai motosikal dan beberapa kesalahan lain. Tambahnya, sebanyak 23 buah motosikal telah disita kerana penunggangnya tidak mempunyai lesen dan cukai jalan tamat tempoh. "Antara mereka yang ditahan ini juga termasuk beberapa pelajar sekolah dan ada antara mereka didapati tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri. "Selain itu ujian air kencing juga dilakukan ke atas mereka namun hasilnya adalah negatif," ujarnya. Kata Wan Aziz, pihaknya akan sentiasa memantau aktiviti lumba haram dan operasi bersepadu akan terus diadakan bagi membenteras kegiatan berkenaan di negeri ini. Beliau menasihatkan ibu bapa agar sentiasa memantau aktiviti dan pergerakan anak-anak mereka bagi memastikan golongan belia tidak terjebak dengan gejala yang tidak sihat. |
Posted: 08 Feb 2014 10:17 AM PST IPOH 8 Feb. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima lebih 20,000 permohonan untuk menyertai pasukan anggota Polis Sukarelawan Simpanan (PVR) iaitu sekali ganda berbanding 10,000 kekosongan jawatan yang ditawarkan. Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah (JPPJ) Bukit Aman, Datuk Ayub Yaakob berkata, permohonan atas talian yang direkodkan pada tahun ini akan dibuat penilaian terlebih dahulu sebelum diserapkan dalam tempoh dua bulan akan datang. Beliau berkata, tambahan anggota PVR itu dilihat akan meningkatkan kekuatan PDRM sekali gus memainkan peranan lebih aktif dalam menunjukkan kehadiran polis kepada masyarakat. "Strategi mengambil anggota PVR dari kawasan perkampungan dan perumahan membolehkan golongan tersebut melaksanakan peranan di kawasan masing-masing dengan mempunyai semangat kekitaan. "Ini kerana PVR adalah orang awam yang lebih memahami kehendak serta masalah komuniti. "Oleh itu, maklumat yang diperolehi akan dimanfaatkan oleh polis untuk membuat profil setiap kawasan sekali gus merangka operasi dan rondaan yang lebih berkesan berdasarkan keperluan masyarakat," katanya. Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan dengan pasukan PVR di Pusat Latihan Teknologi Tinggi Taiping, di sini baru-baru ini. Ayub berkata, setiap pergerakan polis terutama anggota PVR memainkan peranan dalam hubungan dengan komuniti di peringkat bawah bagi mendengar reaksi masyarakat mengenai semua aspek. Menurutnya, maklumat yang diterima itu akan membantu polis membentuk serta menentukan operasi dan langkah pencegahan jenayah yang perlu dilaksanakan. "Kita mempunyai sumber yang terhad, jadi kita memberi tumpuan dengan langkah serta pendekatan kepada perkara tertentu yang menjadi perhatian, masalah dan isu kepentingan masyarakat," katanya. |
Manfaatkan kelebihan pengalaman warga emas Posted: 08 Feb 2014 10:17 AM PST Norzieta Zakaria menyampaikan sumbangan Bidara kepada warga Tionghua sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2014 di Lebuhraya Sultanah Bahiyah Alor Setar, Kedah, kelmarin. ALOR SETAR 8 Feb. - Golongan warga emas tidak sepatutnya dilabel sebagai pembawa beban kepada mana-mana pihak sebaliknya perlu dilihat sebagai aset penting negara yang mempunyai pelbagai keistimewaan untuk dimanfaatkan dalam kehidupan masyarakat. Isteri Menteri Besar Kedah, Toh Puan Norzieta Zakaria berkata, keistimewaan tersebut merangkumi pengalaman dan kepakaran dalam bidang tertentu yang sekian lama diamalkan golongan berkenaan dalam memacu pembangunan negara selama ini. "Dari segi teori, mungkin orang muda boleh mempelajari apa jua ilmu di pusat-pusat pengajian tertentu tetapi perlu diingat, golongan warga emas merupakan mereka yang terlebih dahulu menabur bakti kepada negara sehingga membawa kita menikmati kesejahteraan sosial dan pembangunan semalam. "Sebahagian mereka mempunyai pengetahuan luas dalam pentadbiran negara. Justeru, generasi muda usah bongkak dan sombong apabila berdepan mereka kerana khazanah ilmu mereka adakalanya tidak ternilai," katanya. Beliau berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Warga Emas sempena Perayaan Tahun Baharu Cina di Rumah Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil Rakyat, Isteri Bekas Wakil Rakyat dan Wakil Rakyat Barisan Nasional Kedah (Bidara), di sini hari ini. Pada majlis itu, beliau yang juga Yang Dipertua Bidara menyampaikan bantuan berupa angpau berserta barangan keperluan harian kepada 50 warga emas kaum Cina dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Derga dan Gurun. Beliau dalam pada itu turut meminta masyarakat agar menjadikan kemusnahan dan kerosakan yang berlaku di negara luar akibat persengketaan sesama sendiri sebagai pengajaran oleh demi mempertahankan keamanan dan keharmonian sedia ada. "Di dunia maya, terlalu banyak hal-hal perkauman disebarkan. Tetapi kita tidak seharusnya terlampau cepat terpengaruh dengan segala bentuk hasutan untuk memecah belah hubungan antara kaum di negara ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |