{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Hiburan

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Hiburan


Cetusan ibu Dazrin, Amyra

Posted:

Cetusan ibu Dazrin, Amyra

Cetusan ibu Dazrin, Amyra

KALAU melihat kepada jadual lakonan Dazrin Kamarudin dan Amyra Rosli yang cukup padat, pastinya bukan mudah untuk mengundang kedua-dua pelakon ini dalam sebuah acara yang membabitkan bersama peminat.

Bagaimanapun, di sebalik kesibukan masing-masing, ternyata kedua-dua pelakon itu masih sudi meluangkan sedikit masa untuk sama-sama memeriahkan acara Potret Bersama Selebriti sempena Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2014 yang berlangsung di pusat membeli-belah Suria KLCC, Kuala Lumpur pada 10 Mei lalu.

Apa yang lebih menjadi tarikan pada acara tersebut apabila Dazrin dan Amyra turut ditemani ibu masing-masing sehingga mereka menjadi tumpuan pengunjung di pusat membeli-belah tersebut.

Menurut Dazrin, kehadiran ibunya ke acara anjuran Kosmo! itu sesuatu yang sangat mengejutkan memandangkan dia langsung tidak mengetahui ibunya bersama bapa dan adik-beradiknya sanggup turun dari Melaka.

"Pastinya ini merupakan satu kejutan yang tidak disangka dan apabila melihat kemunculan ibu, saya berasa sangat terharu. Secara kebetulan pula acara ini dilangsungkan pada hari ulang tahun kelahiran saya yang ke-26.

"Selain itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada tunang saya, Amyra yang telah berhasil memujuk ibu saya untuk datang. Ia memang satu kejutan yang tidak disangka-sangka sama sekali," luahnya dengan nada gembira.

Ketika ditanya mengenai acara yang dianjurkan itu, Dazrin menyatakan penghargaannya apabila diundang untuk memeriahkannya, meskipun memiliki jadual yang agak padat sekarang.

"Hari Ibu pun hanya disambut sekali setahun dan menerusi acara ini saya turut berpeluang mendekatkan diri dengan peminat serta memperkenalkan ibu saya kepada orang ramai," jelasnya.

Tempoh setahun

Ketika berlangsungnya acara tersebut, Kosmo! sempat berbual dengan ibu Dazrin iaitu Dr. Yasmin Hussain berkenaan pembabitan anaknya dalam bidang seni.

Agak mengejutkan apabila Yasmin, 54, mendedahkan bahawa pada peringkat awal dia memang tidak membenarkan Dazrin untuk berkecimpung dalam dunia lakonan.

DAZRIN diberi tempoh setahun oleh ibunya agar dapat membuktikan dirinya mampu berjaya dalam karier seni.


"Kalau boleh, saya mahu Dazrin menyambung pelajarannya, tetapi dia masih berkeras untuk berlakon.

"Kemudian saya beri dia tempoh setahun sahaja untuk membuktikan yang dia mampu berjaya dan sekiranya gagal dia perlu ikut permintaan saya.

"Selepas tempoh setahun, dia ada menghubungi saya dan bertanyakan sama ada dia masih boleh meneruskan karier lakonannya atau tidak.

"Apabila saya melihat kesungguhannya itu, barulah saya membenarkannya terus berlakon," jelasnya yang langsung tidak menyangka anaknya itu begitu meminati bidang lakonan.

Dalam pada itu, Yasmin turut ditanya tentang perasaannya apabila terdapat beberapa cerita kurang enak mengenai Dazrin yang didedahkan di media.

Ujarnya, sebagai ibu, dia lebih mengenali diri Dazrin dan akan segera meminta penjelasan setiap kali timbul cerita yang membabitkan anaknya itu.

"Setiap kali kalau saya membaca surat khabar dan terbaca cerita mengenai gosip seseorang artis lelaki, saya akan terus menghubungi Dazrin untuk mendapatkan kepastian, meskipun gosip berkenaan tidak menyatakan nama.

"Selain itu, saya turut berpesan kepadanya supaya sentiasa menjaga nama baik keluarga setelah bergelar pelakon serta mendoakannya agar terus berjaya dalam bidang yang diceburinya," jelasnya.

Ibu urus kerjaya

Bagi Amyra pula, dia berasakan sangat beruntung kerana segala urusan dalam kerjaya seninya telah diuruskan sepenuhnya oleh ibu sendiri.

Ujarnya, memiliki ibu yang bertindak selaku pengurus ternyata memberi kelebihan buat dirinya memandangkan dia baru sahaja hendak menempa nama dalam bidang yang diceburinya itu.

"Saya beruntung kerana ibu seorang yang berpengalaman luas memandangkan dia sudah lama berkecimpung dalam industri seni.

"Walaupun sebelum ini ibu bekerja sebagai pegawai perhubungan awam di sebuah syarikat rakaman, tetapi ia bukan satu masalah yang besar untuk dia menguruskan kerjaya lakonan saya," jelasnya yang mula dikenali ramai selepas berlakon dalam drama bersiri Cinta Dan Wahyu.

Menurut Amyra lagi, memiliki ibu yang bertindak sebagai pengurus juga lebih memudahkan dirinya untuk memberi sepenuh tumpuan kepada lakonan memandangkan sebarang urusan lain akan diuruskan oleh ibunya.

"Pengalaman luas yang dimiliki oleh ibu sememangnya banyak membantu dalam perjalanan karier saya. Selain itu, seorang ibu pastinya sudah maklum mengenai karakter anaknya sendiri serta tahu apa yang saya mampu lakukan atau tidak.

"Namun begitu, tidak dinafikan ada juga sesekali timbul perselisihan pendapat dan ia dapat diselesaikan secara profesional dan sudah semestinya sebagai anak saya sangat menghormati ibu," ujarnya yang baru sahaja menjalani penggambaran telemovie berjudul Sakat.

DUTA produk Aurawhite ini tidak menafikan pernah berlaku perselisihan pendapat dengan ibunya selaku pengurus karier seni dirinya, namun ia dapat diselesaikan secara profesional.


Berhenti kerja

Demi melihat kerjaya lakonan anaknya berkembang, ibu Amyra, Noor Zaridah Ahmad pula memberitahu, dia sanggup berhenti kerja semata-mata kerana mahu menguruskan sepenuhnya kerjaya anak sulungnya itu.

Ujar Zaridah, ternyata pengorbanan yang dilakukannya itu cukup berbaloi setelah pelbagai tawaran lakonan yang diperoleh anaknya sejak mula bergelar seorang pelakon kira-kira tiga tahun lalu.

"Pada peringkat awal, saya terpaksa berhadapan dengan pelbagai kesukaran sehingga terpaksa menghantar profil peribadinya kepada ramai penerbit memandangkan dia masih lagi baharu.

"Bagaimanapun, setelah dia muncul dalam drama bersiri Jodoh, barulah ramai pihak yang membuka mata sehinggalah pelbagai tawaran lakonan yang diterimanya," luah Zaridah yang gembira dengan pencapaian anaknya itu.

Mengenai pembabitan awal Amyra dalam bidang lakonan, Zaridah menceritakan, dia sendiri tidak tahu mengenai minat anaknya itu sehinggalah Amyra memohon untuk mengikuti kelas lakonan selepas tamat sekolah.

Katanya, selepas mendapat keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia lantas bertanya kepada Amyra tentang perancangannya untuk masa hadapan dan kemudian anaknya memberitahu mahu menyambung pelajaran di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

"Saya langsung tidak membantah kemahuannya itu kerana saya memberi kebebasan kepada dirinya untuk memilih bidang yang digemarinya. Paling utama dia perlu berusaha keras dan memberi tumpuan sepenuhnya kalau hendak berjaya dalam bidang lakonan ini," ujarnya mengakhiri bicara.

Emma enggan seksi bukan kerana Zizan

Posted:

Emma enggan seksi bukan kerana Zizan

Emma enggan seksi bukan kerana Zizan

Oleh MOHD. IZUAN ROSELI
izuan.roseli@kosmo.com.my

PERSOALAN timbul adakah Emma Maembong mengambil tindakan drastik untuk tidak muncul dengan fesyen seksi disebabkan permintaan kekasihnya, Zizan?


PELAKON sensasi, Fatimah Rohani Ismail, 22, atau dikenali umum sebagai Emma Maembong yang kini sedang hangat dilamun cinta dengan pelawak tersohor, Zizan Razak sebelum ini terkenal dengan imej yang moden dan sedikit seksi.

Namun sejak akhir-akhir ini, pelakon yang terkenal melalui drama Projek Memikat Suami itu telah dikatakan berubah apabila menolak untuk memakai baju yang mendedahkan sosok tubuhnya. Angin gosip terus bertiup mempersoalkan adakah perubahan itu atas permintaan Zizan?

Ikuti temu bual Kosmo! bersama pelakon yang sedang meningkat naik itu.

Kosmo! Benarkah Emma menolak untuk berpakaian seksi seperti dahulu?

EMMA: Saya kini lebih suka berpakaian lebih sopan memandangkan saya rasa sudah sampai masanya untuk melakukan perubahan dalam diri saya. Saya ikhlas untuk melakukan perubahan ini dan tidak salah untuk saya berubah ke arah kebaikan. Jadi saya kini sedang berusaha perlahan-lahan ke arah kebaikan.

Adakah perubahan anda disebabkan kekasih anda, Zizan Razak?

Dia (Zizan Razak) tidak pernah terlibat dalam perubahan ini. Saya sendiri berniat untuk melakukan perubahan kepada diri saya. Sebelum ini, dia tidak pernah melarang saya mengenai bab pemakaian. Dia juga pernah pesan kepada saya, jika hendak berubah, biarlah ia lahir daripada hati yang ikhlas. Dia juga sentiasa menyokong dalam setiap apa yang saya lakukan.

Adakah anda tidak takut tawaran lakonan yang diterima akan berkurangan sekiranya melakukan perubahan terhadap diri anda?

Saya rasa ia tidak menjadi permasalahan kerana buat masa sekarang, semua pihak memberi kerjasama yang amat memberangsangkan, malah pereka fesyen juga memahami kehendak saya dan mereka tahu apa yang saya mahukan.

Apakah pandangan keluarga dan kekasih apabila anda bertindak untuk berubah?

Alhamdulillah, mereka merupakan orang yang sentiasa berada di sisi saya dan menyokong setiap apa yang dilakukan. Saya sangat bersyukur, malah mereka sangat memahami terutamanya ayah saya, Ismail Embong.

Adakah anda akan mengubah perwatakan sama seperti anda mengubah imej sebelum ini?

Saya tetap akan berperwatakan seperti biasa kerana itulah diri saya. Saya cuba untuk menjadi diri sendiri tetapi pada masa yang sama, saya akan melakukan perubahan sedikit demi sedikit untuk kebaikan saya dan semua orang di sekeliling saya.

Apakah perkembangan terbaharu anda?

Kini saya baharu sahaja selesai daripada penggambaran telemovie Bintang Hati bersama Shaarnaz Ahmad. Bagaimanapuni ia masih belum mempunyai tarikh siaran.

Adakah anda akan berhijab pada masa akan datang?

Ya, Saya juga ada perancangan untuk berhijab pada masa akan datang, tetapi buat masa sekarang, saya masih lagi dalam proses untuk ke arah itu. Saya juga teringin untuk berubah apabila melihat teman-teman artis lain yang banyak berhijrah ke arah kebaikan.

Muzik hip hop kini tembusi Istana Budaya

Posted:

Muzik hip hop kini tembusi Istana Budaya

Muzik hip hop kini tembusi Istana Budaya

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN
roni.ridwan@kosmo.com.my


DARI kiri, Altimet, Joe Flizzow dan SonaOne bakal menggegarkan Istana Budaya, Kuala Lumpur dengan muzik hip hop.


SETELAH membuka ruang untuk kumpulan rock tampil membuat persembahan di Istana Budaya, kali ini muzik hip hop yang cukup sinonim dengan golongan urban pula bakal muncul di pentas yang cukup berprestij itu.

Menerusi Showcase Havoc @ Istana Budaya yang bakal berlangsung pada 22 Mei ini, para peminat akan dihiburkan dengan persembahan tiga artis hip hop terkenal tanah air iaitu Joe Flizzow, Altimet dan SonaOne.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, pihaknya membuka pintu kepada muzik hip hop untuk tampil di Istana Budaya kerana mahu memberikan kelainan kepada orang ramai.

"Sebenarnya showcase ini dibuat bagi menggantikan slot untuk pementasan teater Mata Hati yang dianjurkan oleh ZI Communication sepatutnya berlangsung pada tarikh berkenaan, tetapi ia terpaksa ditunda atas masalah yang tidak dapat dielakkan.

"Kemudian atas rasa tanggungjawab yang diberikan oleh pihak penganjur, mereka memberikan cadangan untuk menganjurkan pula sebuah showcase yang dibarisi penyanyi hip hop terkenal," ujarnya dalam satu sidang akhbar baru-baru ini.

Ketika ditanya mengenai penerimaannya apabila pihak ZI Communication meluahkan hasrat mereka untuk membawa penyanyi hip hip ke Istana Budaya, beliau berkata, bahawa pihaknya berasa tertarik memandangkan ia julung-julung kalinya diadakan.

Menurutnya, pihak Istana Budaya sentiasa mengalu-alukan sesuatu yang baharu dan menampilkan kelainan dalam menyajikan pelbagai bentuk persembahan kepada para pengunjung.

"Sudah tentu saya berharap agar ini bukan kali pertama muzik hip hop bergema di pentas Istana Budaya. Selain itu, saya mahu muzik ini juga akan terus berkembang dengan lebih luas lagi.

"Walaupun ramai yang melihat muzik ini lebih dilihat kepada golongan urban, namun saya percaya semua golongan akan memberikan sokongan yang padu terhadap showcase ini nanti," jelasnya.

Berkenaan dengan kawalan terhadap penonton yang akan datang menyaksikan persembahan tersebut, beliau yakin bahawa penonton dapat mengawal diri masing-masing dan berkelakuan baik.

"Dahulu saya pernah juga berasa bimbang ketika membawa muzik rock ke pentas Istana Budaya yang membabitkan konsert Wings. Bagaimanapun, saya berasa lega apabila melihat penonton yang hadir cukup berdisiplin dan mampu menjaga tingkah laku," ujarnya.

Satu penghargaan

Bagi penyanyi hip hop popular, Joe Flizzow yang sebelum ini popular dengan kumpulan Too Phat, dia menyatakan bahawa dapat membuat persembahan di Istana Budaya merupakan satu penghargaan buat penyanyi hip hop seperti dirinya.

Menurut Joe, jika dahulu penyanyi-penyanyi hip hop sekadar mampu mengadakan persembahan di lokasi tertutup, tetapi kini peluang untuk beraksi di pentas yang berprestij itu merupakan pengiktirafan yang tersendiri.

"Sejak berkecimpung dalam dunia nyanyian hip hop pada tahun 1998, agak sukar untuk persembahan diadakan di kawasan terbuka, apatah lagi persepsi segelintir pihak yang beranggapan muzik ini hanya sesuai kepada golongan tertentu sahaja.

"Sekarang ini kami berasa cukup bertuah dengan peluang yang diberikan dan inilah masa yang paling sesuai untuk kami membuktikan yang hip hop ini sebuah muzik yang menarik menerusi persembahan kami yang terbaik," luahnya.

Sementara itu, Altimet pula menyatakan peluang beraksi di pentas Istana Budaya dilihat sebagai satu mercu tanda muzik hip hop itu sendiri supaya berkembang dengan lebih luas lagi.

"Sebenarnya sejak lima tahun yang lalu kami sudah mempunyai perancangan untuk lebih aktif dalam arus perdana seperti menyertai Anugerah Juara Lagu atau Anugerah Industri Muzik dan kini kami melihat ia merupakan satu pencapaian yang positif," ujarnya.

Bagi yang berminat untuk menyaksikan Showcase Havoc @ Istana Budaya, bolehlah mendapatkan tiket berharga RM380, RM280, RM220, RM180 dan RM100 di kaunter tiket di Istana Budaya atau menerusi laman web www.ezitix.net atau www.ticketpro.com.my.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat