Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
- Primadona muda kesayangan Hollywood
- Neelofa jadi artis untuk jenamakan diri
- Selera saya memang mat saleh - Siti Saleha
Primadona muda kesayangan Hollywood Posted: Primadona muda kesayangan HollywoodDIA masih muda, jelita dan berjaya. Dialah Jennifer Lawrence, buah hati Hollywood yang telah menembusi peta filem dunia menerusi judul-judul box-office dan trofi gah Oscar yang sudah dua kali jatuh ke genggamannya. Pada usia 23 tahun, aktres kelahiran Kentucky, Amerika Syarikat ini memiliki segala-galanya. Dia menjadi artis berprofil tinggi namun, Jennifer yang kini dimanjai dengan panggilan J. Law itu mudah dirundung dilema. Gelaran Wanita Paling Seksi di Dunia hasil pengiktirafan majalah terkemuka, FHM tidak menjadikan bintang yang terkenal menerusi karakter Katniss dalam The Hunger Games itu mudah lupa diri. Dia sedar suatu masa nanti penonton akan bosan dengannya. Baginya, populariti tidak akan kekal selama-lamanya. "Saya percaya, tidak ada orang akan kekal disayangi dan disenangi. Saya mahu tunggu dan lihat. Lama-lama nanti, khalayak akan muak dengan saya," katanya. "Saya berasal dari Kentucky dan sepatutnya menjadi seorang yang peramah serta selesa bertentang mata dengan khalayak. "Tetapi, sekarang saya banyak menundukkan wajah, contohnya semasa sedang menikmati makan malam, apabila seorang demi seorang datang meminta untuk merakamkan gambar bersama saya, saya rasa terganggu. "Pada ketika itu, saya mula merasakan tidak boleh berterusan mendepani situasi begitu," katanya semasa ditemu bual secara eksklusif untuk terbitan majalah Marie Claire keluaran Jun. Tidak lahir di kota metropolitan, gadis dari Louisville itu meraih tajuk utama dunia apabila dilaungkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Academy ke-85 menerusi filem Silver Linings Playbook. Pada usia 22 tahun, dia menewaskan pelakon yang lebih senior seperti Jessica Chastain yang bertanding atas tiket filem Zero Dark Thirty, Emmanuelle Riva (Amour) dan Naomi Watts (The Impossible). Kali pertama terjatuh akibat memakai gaun yang dikatakan terlalu berat, kemunculan Jennifer pada Anugerah Academy ke-87 sekali menarik perhatian dunia. Bukan sahaja atas pencalonan dan kemenangannya sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, tetapi kerana dia terjatuh lagi.
Selepas jatuh ketika hendak naik ke pentas, dia tersembam dan memalukan diri lagi di karpet merah pada sebuah acara paling berprestij di dunia! "Rasanya, saya sudah mula menjengkelkan semua orang. Saya jadi begitu kerana banyak mengambil minuman keras," katanya mengingati peristiwa jatuh dan tersembam di hadapan media semasa hendak melangkah masuk ke dewan berlangsungnya majlis itu Februari lalu. Ada yang mengatakan, insiden itu dirancang oleh Jennifer supaya kisahnya menjadi lebih dramatik memandang dia antara yang diramal menang. "Saya telah cuba melakukan apa yang terbaik seperti melambaikan tangan kepada peminat, cuba lebih mesra tetapi di situ saya terlanggar sesuatu. Saya ketawa tapi dalam hati (menyumpah). "Orang fikir itu satu lakonan, tapi kalau saya mahu berlakon terjatuh, saya sudah lakukannya ketika Anugerah Golden Globe lagi. Saya takkan buat perkara yang sama pada acara yang sama. Saya pengikut setia siri Homeland, jadi saya lebih bijak dalam soal merancang," katanya. Wanita paling seksi Jujur, kelakar, sedikit kurang sopan tetapi masih seorang yang sederhana, atas sebab itu juga dia disenangi. Jennifer pernah membuat pengakuan bahawa dia seorang gadis tidak tahu apa-apa tentang fesyen atau peka dalam soal pemakanan. Dia tidak kisah menjadi terlalu kurus kerana risaukan bentuk tubuhnya yang sedikit berisi. "Saya jenis orang yang makan apa saja. Saya juga ada kawan-kawan perempuan seperti saya, yang tidak tahu pasal fesyen dan makan tanpa perlu bimbangkan berat badan," katanya. Mungkin itu penyebab peminat mengundi J. Law sebagai wanita paling seksi di dunia. Bermula di tangga ke-74 pada tahun 2012, kemudian memanjat tangga ke-20 (2013), undian menjadikan aktres American Hustle itu sebagai Wanita Paling Seksi di Dunia menerusi majalah FHM awal Mei baru-baru ini bukanlah sesuatu yang luar biasa. Jennifer mengatasi penyandang gelaran itu untuk tahun 2013, Mila Kunis yang jatuh ke anak tangga keenam. "Dia bukan sahaja artis yang paling diburu ketika ini, rasanya semua lelaki pun sudah jatuh cinta terhadap tarikan luar biasanya," komen pengarang FHM 100 Sexiest, Dan Jude atas pengumuman J. Law. Jennifer percaya, menjadi seksi tidak semestinya sentiasa mengenakan solekan tebal, rambut yang hebat atau memiliki lekuk tubuh yang menawan. "Seksi itu tentang keyakinan diri, selesa dengan diri sendiri, sentiasa tersenyum dan hidup gembira," lentur Jennifer yang membesar bersama dua orang abangnya. Biarpun berbesar hati dengan pilihan peminat, bintang yang bakal kembali dengan karakter Mystique, si mutan yang boleh bertukar rupa itu masih menganggap gelaran 'terseksi di dunia' sebagai satu penipuan besar. Menumbangkan nama-nama diva seperti Rihanna, Beyonce, Taylor Swift dan Kaley Cuoco, dianggapnya tidak masuk akal.
"Saya tahu, kebenarannya ialah Beyonce tetap seorang ratu di dunia ini," katanya. Berada di ranking nombor satu sebagai wanita paling seksi membuatkan pelakon-pelakon filem X-Men: Days of Future Past yang lain turut bangga dengan kehebatan si mutan biru itu. Shawn Ashmore yang melakonkan watak Bobby atau Iceman mengungkapkan, J. Law layak berada di ranking pertama dunia kerana dia seorang yang mengagumkan, berbakat, seksi, cantik dan kelakar. Sementara bintang utama X-Men, Hugh Jackman sempat memuji Jennifer sebagai wanita muda yang luar biasa manakala Michael Fassbender (Erik Lehnsherr) menyifatkan gelaran itu sebagai satu penghargaan yang menyuntik nilai sempurna kepada penampilan, dan kemampuan bakat Jennifer. Tidak layan kekasih Usai memenangi trofi kedua Oscarnya, J. Law diberitahu akan bercuti selama setahun, namun sehingga hari ini aktres yang memuncak popular dengan karakter Katniss menerusi francais The Hunger Games itu masih sibuk dengan penggambaran. Gara-gara perlu meneruskan penggambaran The Hunger Games: Mockingjay Parts 1 dan 2 di Paris, Jennifer tidak dapat menghadiri tayangan perdana filem X-Men: Days of Future Past di United Kingdom minggu lepas. Sesuatu yang menarik, francais X-Men juga menjadi lokasi berputiknya cinta Jennifer bersama kekasihnya, Nicholas Hoult. Nicholas melakonkan watak Dr. Hank McCoy atau Beast dalam filem itu. Percintaan Jennifer dan aktor Britain itu sebenarnya sudah terjalin sejak penggambaran filem X-Men: First Class pada tahun 2011. Sehingga hari ini, J. Law dan Hoult kelihatan masih mengekalkan sebuah perhubungan yang sering terpisah oleh jarak dan jadual yang padat. "Apabila masing-masing sibuk dengan kerja, kami saling tidak mempedulikan antara satu sama lain. Walaupun tidaklah sepenuhnya, tetapi daripada kami meradang atau naik angin kerana mesej tidak berbalas atau tidak ada panggilan telefon, itu lebih baik. "Rutin hidup saya sangat sibuk. Kami tahu apa sedang dilakukan dan saling percaya," akui Jennifer. Tambah pelakon yang dijadualkan terlibat dalam filem Dumb and Dumber To itu juga, jika Hoult dan dia tinggal di sebuah kota yang sama, mungkin sudah lama mereka tinggal sebumbung. "Kami masih muda. Setidak-tidaknya dengan cara ini kami masih boleh buat hal sendiri tetapi dalam masa yang sama tahu sedang mempunyai seseorang dalam hati," katanya yang dijadualkan terlibat dalam penggambaran X-Men: Apocalypse yang mungkin dapat disaksikan sekitar tahun depan. Jennifer bagaimanapun memuji kekasihnya, Hoult sebagai lelaki yang hebat. Mereka juga sudah membeli sebuah rumah di London. Bercakap tentang karakternya sebagai Mystique, Jennifer membayangkan mutan biru dalam francais terbaharu X-Men itu mungkin tidak sejahat seperti sebelum ini. "Masa depan biasanya tidak menentu. Kali ini watak-watak itu mengambil laluan yang berbeza dan kami ada sedikit kebebasan. "Adakah dia (Mystique) akan menjadi pembunuh atau adakah dia akan menjadi seperti yang dimahukan oleh Prof. Charles yang menentang segala pembunuhan?" ulas Jennifer menyimpan misteri si Mystique untuk disaksikan sendiri peminat filem itu. | ||
Neelofa jadi artis untuk jenamakan diri Posted: Neelofa jadi artis untuk jenamakan diri
UMUM sudah mengetahui mengenai percintaan antara Neelofa dan Hans Issac yang sedang galak memadu kasih. Namun, pemilik nama sebenar Noor Neelofa Mohd. Noor itu berkata, banyak lagi perkara yang harus didahulukan dalam memperkukuh perniagaannya sebelum mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga. "Apabila semuanya sudah dicapai, sasaran saya seterusnya adalah untuk bersuami dan mempunyai zuriat. "Saya tidak boleh meramalkan bila saya akan menamatkan zaman bujang kerana kalau diikutkan saya sangat sibuk menguruskan perniagaan dan karier seni. "Tidak adil rasanya apabila pasangan saya membuat persiapan perkahwinan manakala saya sibuk berniaga," ujar Neelofa ketika ditemui Sensasi Bintang baru-baru ini. Memiliki Neelofa Enterprise dan Neelofa Sdn. Bhd. yang menjual produk abaya dan kanta lekap, Neelofa berkata, dia menyertai dunia hiburan kerana mahu mencari platform bagi meluaskan rangkaian perniagaan. "Kehadiran saya dalam industri seni ada matlamat. Saya mahu memperkenalkan jenama saya sebagai usaha mengukuhkan masa depan. "Jiwa saya lebih kepada perniagaan kerana bidang itu lebih menjamin masa depan serta memberi kepuasan. Namun, dalam masa yang sama saya masih memberi fokus terhadap kerjaya seni," jelas Neelofa yang kini berumur 25 tahun. Menurut Neelofa, dia menggunakan 100 peratus wang simpanannya untuk memulakan bisnes. "Modal perniagaan yang sedang saya usahakan hasil wang pendapatan dalam bidang seni. "Alhamdulillah, jubah atau abaya yang saya usahakan mendapat sambutan yang luar biasa. Dalam tempoh sebulan sehingga 10 Mei lalu, sebanyak 1,000 helai telah terjual," kata Neelofa. Menjawab dakwaan kononnya dia berniaga kerana terikut-ikut trend artis sekarang gemar mempunyai perniagaan sendiri, Neelofa bertegas, dia sebenarnya lahir dalam keluarga usahawan. "Keluarga saya terdiri daripada usahawan. Saya menceburkan diri dalam dunia perniagaan sejak berumur 20 tahun. Ketika itu saya bekerja sebagai model iklan. "Dakwaan saya meniru perniagaan artis lain itu kurang tepat kerana saya sudah pun memulakan perniagaan atas talian sebelum bergelar pelakon lagi," jelas Neelofa. Mengulas lanjut mengenai pengalaman menguruskan perniagaan tanpa bantuan ahli keluarga, Neelofa mengatakan ada kebaikan serta keburukan apabila melibatkan ahli keluarga dalam perniagaan. "Sebelum ini terdapat dua perniagaan saya yang membabitkan keluarga. Tapi kali ini saya mahu menjalankan perniagaan bersama pasukan saya sendiri. "Apabila berurusan dengan keluarga, masalah yang dihadapi di tempat kerja itu akan berlarutan sehingga ke rumah dan mungkin ada yang terasa hati. "Kali ini saya cuba bekerja dengan orang lain kerana mahu menambah ilmu serta pengalaman," katanya. Terbaru, pelakon popular menerusi filem Lemak Kampung Santan itu mengakui sedang mempertimbangkan tawaran untuk membintangi sebuah filem aksi yang dijadual memulakan penggambaran bulan depan. | ||
Selera saya memang mat saleh - Siti Saleha Posted: Selera saya memang mat saleh - Siti Saleha
KISAH hubungan mesra pelakon Siti Saleha dengan seorang lelaki kacak persis mat saleh sememangnya sudah lama diperhatikan. Malah, hubungan yang terjalin antara mereka berdua juga sudah diakui secara terang-terangan oleh si empunya badan yang juga berdarah kacukan Melayu-Inggeris itu. Cuma baru-baru ini, Siti Saleha membawa teman lelakinya menghadiri majlis perkahwinan penerbit filem Kerat 14, Harvinder Uppal. "Itulah kali pertama saya bawa dia menghadiri majlis secara terbuka," katanya. Bagaimanapun, pelakon drama Nora Elena itu sehingga kini masih lagi berteka-teki mengenai identiti jejaka yang dikenalinya sejak 10 bulan lalu itu. "Dia seorang pemuda kacukan, tapi saya tak boleh beritahu kacukan apa. Apa yang boleh saya katakan, buat masa ini saya selesa dengan dia," tutur pelakon berusia 24 tahun itu. Menurut Siti Saleha, lelaki yang enggan didedahkan namanya itu memiliki ciri-ciri seorang lelaki idamannya. "Dia penyayang dan matang. Lebih penting, saya dapat rasakan yang kami serasi antara satu sama lain. "Kami suka melancong," kongsi pelakon filem Kerat 14 itu. Bagaimanapun, ketika ditebak soal kahwin, cepat-cepat Siti Saleha menegaskan bahawa dia masih muda dan belum terfikir ke arah itu. Katanya, banyak perkara yang perlu diambil kira sebelum ingin mengakhiri zaman bujang. "Kami masih lagi dalam fasa mengenali hati budi masing-masing. Lagipun, saya masih muda. Nak fikir fasal kahwin dalam masa terdekat ini belum lagi rasanya. "Saya belum bersedia nak kahwin," katanya yang tidak pernah meletakkan sebarang umur untuk mendirikan rumah tangga. Sungguhpun begitu, menurut adik kepada vokalis kumpulan Bunkface, Sam itu, hubungan mereka berdua sudah pun diketahui oleh ahli keluarga masing-masing. "Kami dah pernah jumpa ahli keluarga. Mereka okey. Penerimaan keluarga pun baik," ujarnya. Melihat kepada kisah hubungan cinta yang melibatkan pemilik nama sebenar Siti Saleha Mohd. Baharum itu, dia sebelum ini pernah menjalin hubungan istimewa dengan seorang jejaka Inggeris, Robin Coenraad. Kali ini, teman lelaki baharunya itu juga berwajah persis lelaki Inggeris. Bezanya cuma kini identiti lelaki berdarah kacukan itu mahu disimpan Siti Saleha sebagai privasi. Siti Saleha mengakui yang dia selesa dan hanya meminati lelaki yang mempunyai darah kacukan sepertinya. "Sejujurnya, selera saya memang lebih kepada lelaki berdarah kacukan. Tapi itu tidak bermaksud saya tak pandang langsung lelaki tempatan," katanya yang pernah menjalin hubungan dengan pemain bola sepak negeri Sabah, Syed Adney Syed Hussein. Sementara itu, Siti Saleha berkata dia tidak mahu menggunakan huruf tertentu untuk merujuk pangkal nama teman lelakinya itu. "Tak ada huruf tertentu untuk membahasakan siapa dia (teman lelaki). Tapi saya panggil dia baby," seloroh Siti Saleha. Dalam perkembangan lain, menurut Siti Saleha, dia kini sedang sibuk dengan penggambaran drama Manis untuk siaran Astro Ria. "Ia drama 13 episod arahan pengarah Joza. Saya memegang watak seorang akauntan yang cuba menyelamatkan sebuah syarikat daripada jatuh muflis," tutupnya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |