{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Hiburan

Posted by Admin

Kosmo Online - Hiburan


Panggil saya Sein Qudsi

Posted:

Panggil saya Sein Qudsi

Panggil saya Sein Qudsi

MEMINATI filem sejak di bangku sekolah rendah, Sein mengakui dia memasuki bidang nyanyian dan lakonan terlebih dahulu sebagai langkah awal untuk berjinak-jinak dengan dunia hiburan. Dia menganggap zaman menyanyi bersama MOB dan Ruffedge sebagai zaman 'cuba-cuba'.


JALAN kehidupan setiap manusia dan segala macam kehidupan atau ciptaan yang berkembang serta bergerak pasti ada evolusi tersendiri. Berbunyi mudah namun catatan dalam ranjau yang dilalui ada ketika tidak terduga.

Lelaki dengan nama Syed Hussein Syed Mustafa itu juga punya catatan evolusi. Dahulu dia penyanyi. Sempat menganggotai dua kumpulan vokal suara MOB dan Ruffedge, dia kemudian terevolusi oleh persekitaran, usia dan kematangan. Nyanyian seperti hilang dalam kamus karier apabila lakonan pula mengambil tempat.

Sejak lima tahun lepas, landskap kariernya berubah. Daripada seorang pelakon biasa dia mahukan sesuatu yang lebih, sesuatu yang mengisi obsesi dan kemahuannya sejak kecil. Pernah hampir setahun berdiam diri, Sein kemudian membuka buku baharu. Dia kembali ke perut industri dengan haluan berbeza apabila muncul sebagai pembikin filem.

Gila tonton VHS

"Saya tak anggap kehadiran saya sebagai pembikin filem ini satu evolusi atau transformasi. Sebenarnya ia bukan berubah tetapi inilah hakikat saya. Macam orang nampak orang yang mencangkul tanah, lazimnya orang itu terus dianggap sebagai pekebun atau petani, tapi mungkin orang itu ada benda lain yang dicari.

"Macam saya pula, dari dahulu lagi saya ada dunia filem saya sendiri. Sejak umur lapan tahun lagi saya sudah gila tengok filem. Masa sekolah rendah, saya sanggup kayuh basikal beberapa kilometer dan berulang-alik ke kedai sewa video, cari filem. Ketika itu filem masih dalam bentuk VHS. Nak beli tak berduit, guna pun duit saku sekolah, jadi sewa sahaja.

"Setiap malam kerja saya tengok filem, selalu bangun lambat sehingga ponteng sekolah pasal filem. Tapi bila masuk sekolah menengah, saya mula berkawan dan masa itulah saya sertai MOB, bersama-sama dengan Shaheizy Sam, kemudian dengan Ruffedge pula. Bagi saya, zaman itu ialah zaman cuba-cuba. Minat saya masih terhadap filem tapi belum nampak jalan," cerita Sein mengenai perjalanannya.

Di ruang kerja yang dinamakan Camewerk Studios, milik bersama dua rakan sealiran, Aqasha dan Zain Hamid itu, Sein bercerita hampir terlondeh kesemuanya. Dia hanyut dalam kisah kembaranya ke London bersama isteri dan anak-anak untuk mendalami ilmu perfileman, tentang penghijrahan dalaman yang dilalui, tentang rakan-rakan dalam industri serta cita-cita yang sedang diusahakan.

Korek duit simpanan

"Belajar ilmu filem memaksa saya berjimat. Langsung tak usik duit berlakon drama terakhir waktu itu, dapat cek saya akan simpan. Bila rasa duit sudah cukup, barulah saya tunaikan cek-cek bayaran lakonan, korek semua duit simpanan. Tengok duit lebih RM100,000 dalam tangan, rasa macam boleh beli apa sahaja, tapi bila tukar kepada mata wang pound sterling, dapatlah beberapa puluh ribu sahaja. Dengan itu kami sekeluarga terbang ke London, duduk sana dan belajar.

"Orang dengar macam seronok tapi saya dapat dua benda, satu belajar ilmu filem dan satu lagi belajar untuk terus hidup.

"Ilmu kehidupan akan beri efek kepada 'barang' yang kita buat selain ilmu filem," tuturnya merangkumkan proses pembelajaran dan keputusan yang telah diambil sebelum bergelar pengarah dengan filem pertamanya berjudul Langgar.

Untuk pengarah yang baru pertama kali mengarahkan filem, jumlah kutipan Langgar sebanyak RM1.6 juta semasa ditayangkan di pawagam pada tahun lepas tidaklah suatu catatan yang memalukan.

"Tolak campur dengan pulangan di Astro First, rasanya Langgar itu sudah cukup okey untuk saya. Kalau lebih baik daripada itu mungkin akan memudaratkan saya. Mungkin saya akan jadi sombong, kalau kutipannya buruk daripada jumlah itu, tetap akan memudaratkan saya juga, jadi itulah yang terbaik pada waktu itu," katanya yang dalam proses praproduksi untuk filem terbaharu berjudul Bangunan terbitan bersama Suar Channel.

Dijayakan bersama Aqasha, Zain dan Khir Rahman, filem berkenaan terhasil daripada penemuan luar biasa yang dilalui bersama dua rakannya itu.

"Asalnya kami tengah buat kajian untuk sebuah filem lain, ia hasil penemuan istimewa kami bertiga dan kami sepakat untuk jadikan ia sebuah filem," jelas Sein.

Bangunan hanya dilakonkan oleh Sein, Aqasha dan Khir sahaja, tiada pelakon lain mahupun pelakon wanita.

"Ia sebuah filem genre misteri berkisar sejarah hidup kami bertiga. Ia bukan fiksyen tetapi realiti," kata Sein yang juga sedang mempersiapkan diri untuk memulakan pengarahan filem Penculikan Amar Affendi terbitan bersama KRU Studios sekitar Ogos nanti.

Filem bukan drama

Sebagai seorang pelakon, bapa anak tiga itu sudah terbiasa benar dengan lakonan drama televisyen, namun apabila memilih pengarahan sebagai fokus, Sein belum berminat untuk menghasilkan drama.

"Buat filem dengan dengan drama sangat lain. Kecintaan saya lebih kepada filem. Bagi saya sinema atau filem ada magis," ungkapnya.

Filem juga mengubah kaca matanya terhadap makna kehidupan yang dicari-cari selama ini.

"Saya buat filem bukan untuk membuktikan apa-apa, sekarang ialah fasa bikin filem. Saya dan rakan-rakan yang lain percaya kami di sini kerana bakat yang diasah dengan ilmu. Kami mahu praktikkan dan percaya ada tanggungjawab yang harus dilakukan," katanya mudah.

Mengajak Sein bercakap soal skeptikal segelintir penonton terhadap filem tempatan, khususnya filem Melayu, dia tidak mahu pendapat penonton filem di Malaysia dipandang rendah.

"Mereka ada ilusi tapi tak tahu apa yang mereka suka. Pengarah kena tahu dan faham hal itu, tahu ilusi penonton tetapi penceritaan harus daripada pengarah sendiri dan beri cerita yang penonton suka," lontar Sein.

Jika industri perfileman tempatan dilihat semakin goyah ekoran kemerosotan jumlah kutipan tiket di pawagam, Sein memberi satu konotasi.

Dia percaya naiknya sesebuah empayar hasil daripada kejatuhan sesebuah empayar yang lain. Sein mengaitkan falsafah itu dengan situasi perfileman tempatan yang dikatakan sedang berdepan zaman susut keyakinan peminat.

"Kalau filem tempatan sekarang tengah berdepan zaman kejatuhan, sekarang jugalah zaman kebangkitan itu sedang bermula," kata Sein yang tidak menjadikan pandangan sesetengah individu yang tidak menonton filem Melayu sebagai suatu kesalahan.

Katanya: "Kalau filem itu bagus, orang akan bercakap. Apabila orang mula bercakap, orang yang tidak mahu menonton filem Melayu akan rasa hendak tengok filem Melayu. Jadi tak salah pun kalau ada orang tak suka filem Melayu, saya sendiri pun tak suka dan tak tengok filem Hindustan. Bagi saya filem Hindustan ialah ilusi kegembiraan orang India."

Jauh menyelongkar dan mendapatkan gambaran yang jelas tentang lensa filem daripada pengarah filem generasi baharu itu, di hujung perbualan, lelaki yang pernah dikenali sebagai Sein Ruffedge ini membuat satu permintaan: "Tolong letak nama saya sebagai sebagai Sein Qudsi. Cukuplah, jangan panggil saya Sein Ruffedge lagi, saya kini mewakili diri saya, sebagai pelakon, penulis skrip dan pembikin filem, saya bukan Ruffedge lagi, panggil saya Sein Qudsi."

Ungkap Sein, Qudsi dipilih kerana itu nama leluhur keluarganya.

Saya diberi makan tempe dan tauhu - Tegar

Posted:

Saya diberi makan tempe dan tauhu - Tegar

Saya diberi makan tempe dan tauhu - Tegar


PENGARAH Urusan Media Asia Production, Nasir Deraman (dua dari kiri) bersama Tegar sewaktu majlis pelancaran album keduanya berjudul Kemana Kasih Sayang di Kuala Lumpur.


KALI terakhir penyanyi Tegar bertandang ke Kuala Lumpur ialah sekitar September tahun lalu. Ketika itu, kehadirannya ke negara ini adalah untuk melancarkan album mininya yang berjudul Tegar dan Sahabat.

Baru-baru ini, sekali lagi penyanyi berumur 13 tahun itu berkunjung ke ibu negara bagi melancarkan album keduanya pula berjudul Kemana Kasih Sayang.

Bezanya, penyanyi kelahiran Subang, Jawa Barat, Indonesia itu ditemani oleh seorang pengurus baharu. Dia tidak lagi diiringi pengurus lamanya.

"Saya sudah tidak lagi bersama dia (pengurus lama). Ada masalah," jawab Tegar saat ditebak pertanyaan mengenai ke mana pergi pengurus lamanya, Alfas dan Wawan sewaktu sesi sidang media berlangsung.

Lebih mengejutkan apabila Tegar turut mendedahkan bahawa sepanjang bawah kendalian pengurus lamanya itu, dia seolah-olah dibiarkan menjalani kehidupan seperti orang susah, sungguhpun ketika itu kedudukan kewangannya sudah jauh berubah baik.

"Saya asyik diberi makan tempe dan tauhu sahaja. Buat itu tak boleh, buat ini tak boleh. Semua perbelanjaan saya dikawal," katanya yang memberitahu berasa tidak selesa dengan cara pengurus lamanya itu.

Menurut Tegar, tindakan tersebut dilakukan bekas pengurusnya dengan alasan tidak mahu dia lupa asal usul dirinya.

Lebih menyedihkan apabila penyanyi yang terkenal menerusi lagu Aku Yang Dulu Bukanlah Yang Sekarang itu memberitahu hubungan bersama keluarganya turut dibataskan.

"Keinginan saya untuk berjumpa dengan keluarga di kampung juga dihalang. Sedangkan saya lakukan kerja ini untuk keluarga saya, saya mahu menyara mereka," tutur Tegar yang kini bersama pengurus baharunya, Arif Dollah sejak dua bulan lalu.

Bukan itu sahaja, pengurus lama Tegar juga dipercayai terlibat dalam penyelewengan kewangan penyanyi tersebut.

Bagaimanapun, perkara tersebut masih lagi di peringkat rundingan agar dapat diselesaikan secara baik tanpa mahu melibatkan tindakan undang-undang.

"Mereka tetap berjasa kepada saya kerana pada awal pembabitan saya dalam bidang seni ini, mereka yang bersusah-payah," katanya yang kini berasa lebih gembira berada di bawah seliaan pengurus baharu.

Menganggap apa yang berlaku itu sebagai salah satu cabaran dalam dunia seni, Tegar menjadikan ia sebagai satu pengalaman yang mampu mengajar dirinya pada masa akan datang.

Apa yang lebih penting, penyanyi yang sinonim dengan alat muzik ukulele itu bersyukur apabila matlamatnya untuk membantu keluarga sudah tercapai dalam tempoh dua tahun penglibatannya dalam seni suara.

"Saya berasa seronok apabila impian untuk membantu ahli keluarga yang susah di kampung tercapai.

"Sudah tercapai memberikan ibu rumah batu, belikan tanah sawah untuk mereka dan kirimkan wang untuk keperluan keluarga," katanya yang memberitahu dia kini sudah memiliki dua buah motosikal motorcross.

Menyentuh mengenai hal pelajaran, menurut Tegar dia menjalani proses pembelajaran secara peribadi di rumah.

"Jadual nyanyian agak padat. Jadi akan ada guru yang datang ke rumah sekurang-kurangnya sepuluh kali dalam tempoh sebulan.

"Setiap enam bulan juga akan ada ujian," katanya yang mahu kerjaya dan pelajaran bergerak seiring.

Bercerita mengenai album keduanya itu, menurut Tegar, pengisian tema lagu yang dimuatkan dalam album itu masih lagi berkisar mengenai kisah kehidupannya pada masa lalu.

"Terdapat tujuh buah lagu di dalamnya. Lagu yang dijangka menjadi hit ialah lagu yang berjudul Kemana Kasih Sayang.

"Lagu itu menceritakan saat perpisahan kedua ibu bapa sehingga saya menjadi mangsa keadaan apabila dibesarkan dengan kurang kasih sayang," katanya mengakhiri bicara.

Kena cetak rompak sebelum dipasarkan

Posted:

Kena cetak rompak sebelum dipasarkan

Kena cetak rompak sebelum dipasarkan

WINGS mahu tindakan undang-undang diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab mencetak rompak album mereka, Menakluk Kosmos.


JANJI yang tertunda sejak 12 tahun lalu tertunai sudah. Rockers yang berpadu atas sayap-sayap yang dinamakan Wings akhirnya menamatkan penantian peminat apabila album ke-17 mereka, Menakluk Kosmos yang diuar-uarkan sejak lebih setahun lepas berjaya dilancarkan.

Sayangnya, saat yang diidamkan itu bertukar menjadi detik yang membungkam rasa. Emosi tegang 'empat penakluk kosmos' iaitu Joe, Awie, Eddie dan Black mudah menular. Majlis yang berlangsung di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur itu mendung, suasananya semuram cuaca yang melatari pusat bandar raya.

Dari awal lagi, ada sesuatu telah dikesan dan bau-bauan yang dihidu itu segera dibasuh dengan kepastian. Usai meleraikan keterujaan mendengar beberapa buah melodi dan rentak baharu Wings daripada sebuah diskografi terbitan KRU Music, Joe dan Awie masing-masing menunjukkan bisul yang sedang bernanah dalam jiwa.

"Saya kesal, tersangat kesal, sedih dan kecewa apabila album kami sepenuh kematangan selama lebih 25 tahun dalam arus muzik ini telah dicetak rompak. Lebih menyedihkan lagi album itu dicetak rompak sebelum sempat dilancarkan dan dipasarkan," jelas Joe serius.

Gitaris utama Wings itu masih sempat berfikir secara rasional. Tidak mahu menyalah sesiapa atas kebocoran album mereka ke pasaran, sebagai ketua kumpulan Wings, Joe berharap pihak KRU mengambil langkah serius dan segera menangani masalah itu. Norman Abd. Halim selaku orang kuat KRU juga tidak kelihatan sepanjang majlis.

"Saya belum bertemu dengan Norman, dia sudah maklum dengan perkara ini. Tapi hari ini Norman tidak dapat hadir kerana berada di Perancis sempena Festival Filem Cannes. Kami (Wings) mahukan penjelasan.

"Saya bukan menolak penjualan lagu secara digital menerusi iTunes atau mana-mana aplikasi muat turun lagu dalam internet, tapi cetak rompak ini ada kaitan dengan penjualan lagu secara digital. Lagipun ia berlaku sebelum album fizikal masuk pasaran, ini pertama kali berlaku dalam sejarah Wings, setakat cetak rompak lepas album terjual, biasa," tambah Joe sambil menzahirkan kepuasannya terhadap kualiti pembikinan album studio Wings yang ke-17 itu.

Apalah ertinya kepuasan sekiranya penat-lelah selama ini berbalas dengan pencerobohan. Keras dan sebak, itu pula kenyataan yang terluah daripada bibir si vokalis, Awie.

"Apa guna pelaburan beribu-ribu ringgit jika ini hasilnya, KRU sebagai pihak yang paling bertanggungjawab terhadap isu ini harus segera ambil tindakan tegas," kata Awie sambil menghempas sekeping album lengkap dengan judul berbunyi The New Best Hits Wings Koleksi Terbaik 2014 ke meja.

"Kalau inilah hasilnya, rasa seperti usaha kami selama ini sia-sia. Perasaan kena cetak rompak sebelum album masuk pasaran berbeza dengan cetak rompak biasa. Apa lagi yang nak dibanggakan. Ini bukan sahaja muat turun percuma tapi siap ada CD lagi. CD ini dihantar oleh seorang ahli kelab Sayap-Sayap Wings di Kuantan. Ini kerja pihak yang sangat tidak amanah, tidak bertanggungjawab," kata Awie.

Wings membuat laporan polis berhubung cetak rompak terhadap album mereka itu di Balai Polis Taman Melawati pada Selasa, sehari selepas majlis pelancaran, Isnin lalu.

Seperti Joe, Awie turut tidak bersetuju apabila beberapa lagu dalam Menakluk Kosmos sudah pun memasuki pasaran digital kira-kira sebulan sebelum album fizikal dilancarkan.

"Saya memang tak setuju tetapi itu strategi promosi dan pemasaran KRU, kami ikutkan. Faktor itu juga antara sebab kami sertai KRU sebelum ini," jelas Awie yang dalam masa yang sama lega kerana album yang menyasarkan lagu Ingatkan Dia sebagai single pertama itu antara album terbaik yang pernah Wings hasilkan.

Mengandungi 10 buah lagu termasuk Menakluk Kosmos, Peti Pandora Mu, Bisa Yang Tertunda, Raja Segala Duri, Komplikasi Pramaya dan Gurindam Mahsyar, album edaran Sony Music Malaysia itu boleh didapati di pasaran bermula 22 Mei lalu.

"Setakat ini kami sudah menjalani penggambaran video klip untuk lagu Ingatkan Dia" ujar Joe lagi.

Lagu-lagu lain termasuklah Adoney Dari Paran, Segitiga Piramida dan Penanti.

Apa yang berlaku kepada Wings ini mengingatkan kita kepada cetak rompak yang berlaku terhadap filem KL Gangster 2. Sesuatu yang lebih meragukan Wings, bukan sahaja tiga buah lagu terbaharu daripada album mereka iaitu Peti Pandora Mu, Bisa Yang Tertunda dan Ingatkan Dia sahaja bocor sebelum masanya, sebuah lagi lagu yang sepatutnya tersimpan kemas oleh syarikat rakaman juga sudah turut terkena nasib yang sama.

"Lebih pelik apabila lagu Hey Lihat Sini yang tidak terkandung dalam album tetapi lagu itu untuk runut bunyi sebuah filem KRU akan datang, lagu itu pun kena cetak rompak. Macam mana perkara itu boleh berlaku?" tutup Awie serius tetapi berseloroh.

Leave a Reply

Raja Alias

G. Musang

J. Bahru

Terengganu

A. Setar