Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Empayar seni dan famili Ricky
PERNAH menggegar dunia menerusi lagu Livin La Vida Loca dan The Cup of Life pada Piala Dunia 1998, penyanyi antarabangsa Ricky Martin kini tampil dengan sebuah lagi lagu untuk Piala Dunia FIFA 2014 berjudul Vida. Bezanya, penyanyi kelahiran Puerto Rico itu pada tahun 1998 dan 2014 jelas pada faktor usianya. Kini usia Ricky atau nama sebenarnya Enrique Ricky MartÃn Morales sudah mencecah 42 tahun. Berbanding ketika dia beraksi menyanyikan lagu The Cup of Life, Ricky pada waktu itu baru berusia 27 tahun. Namun, lontaran vokalnya tetap mengalir hebat dan sarat penghayatan. Malah, wajah dan sosok tubuhnya tidak sekali dimamah usia. Cuma, harus diakui lenggok tariannya tidak lagi selincah dahulu saat lagu Vida didendangkan kepada media-media dari tiga buah negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura baru-baru ini. Klip video Vida ternyata berjaya mengumpan jiwa dan mengubat penantian sebelum kami menemu bual Ricky melalui aplikasi Skype pada hari itu. Video berdurasi tiga setengah minit itu sebahagian besar menunjukkan penampilan Ricky menyanyi, menari, dan berpesta dengan beberapa temannya. Klip itu juga menunjukkan sekilas beberapa remaja, orang tua, dan anak-anak yang sedang bermain bola sepak. Turut sama pada majlis memperkenalkan lagu tersebut ialah penyanyi Alif Satar (Malaysia), Judika (Indonesia) dan Sezairi (Singapura). Tiga penyanyi itu mendapat kesempatan untuk berkolaborasi dengan Ricky Martin dalam lagu Vida versi Asia, biarpun rakaman lagu dilakukan secara terpisah. Senang berkolaborasi Sedetik kemudian, talian Skype yang menghubungkan Ricky di Sydney, Australia, dihubungkan, ungkap Ricky: "Saya berharap dapat berada di sana bersama anda semua. Tetapi apakan daya, saya terpaksa berada di Australia untuk rakaman album baharu yang bakal dipasarkan pertengahan tahun ini dan juga merakamkan video promosi untuk pertandingan The Voice Australia." Bicara penyanyi, penulis lagu dan pelakon itu juga, dia sudah berada di sana (Australia) selama tiga bulan dan selepas ini dia akan bertolak ke Miami, Amerika Syarikat untuk mengadakan persembahan di sana. Berasa seperti kembali ke era 1998, Ricky mengakui tertarik dengan tawaran Sony Music yang mengajaknya berkolaborasi bersama tiga penyanyi Asia menyanyikan lagu untuk Piala Dunia FIFA 2014 versi Asia. "Beberapa bulan lalu, saya dihubungi Sony untuk rakaman ini. Sungguh menyenangkan dapat berkerja sama kembali dalam projek Piala Dunia. Ia mengembalikan memori saya menyanyikan lagu The Cup of Life pada tahun 1998. "Saya tertarik dengan lagu Vida kerana ia memiliki unsur tropika dengan adanya sentuhan Caribbean dalam susunan muziknya, serta terdapat sentuhan Afrika. "Lagu ini catchy dan mampu menembus batas setiap budaya di seluruh dunia. Apatah lagi dapat berkolaborasi dengan penyanyi Asia seperti Alif, Judika dan Sezairi," tuturnya merendah diri. Bagi Ricky, keindahan daripada muzik itu tidak hanya terletak pada muzik itu sendiri, tetapi juga kesempatannya untuk dinikmati secara universal. Sejak terjun dalam industri muzik dahulu, Ricky memilih keutamaan bahawa muzik dan lagu yang dibawakan itu selayaknya dapat menyatukan budaya dari mana-mana belahan dunia. Vida yang muziknya dihasilkan oleh Salaam Remi, pemuzik yang terkenal dan handal dalam menangani muzik The Fugees, Amy Winehouse dan Nas sudah dirakam dalam pelbagai bahasa termasuk Inggeris, Indonesia, Malaysia dan Sepanyol. Sama seperti The Cup of Life yang kaya dengan nuansa Latin, Vida turut dirakam dalam jalur muzik hampir serupa. Ia seperti cukup sinonim dengan Ricky. "Lagu Vida versi Asia turut masuk dalam album Piala Dunia 2014, One Love, One Rhythm. Album itu juga mengandungi lagu kolaborasi saya bersama Pitbull, Jennifer Lopez & Claudia Leitte (We Are One Ola-Ole). Anak kembar Bagaimanapun, pihak media sedikit hampa apabila pihak pengurusan Ricky tidak membenarkan pihak media bertanya tentang soalan peribadi bintang terkenal itu. Akur dengan permintaan mereka, soalan mengenai Vida sahaja yang dapat diutarakan kepada pemenang anugerah Grammy itu. Tetap mahu menyorot tentang kehidupan peribadinya, sebenarnya pada usia melewati 40-an, Ricky masih belum berumah tangga. Bagaimanapun kehidupan sunyi Ricky terisi dengan dua cahaya mata angkat kembar bernama Valentino, 6, dan Matteo, 6. Matteo dan Valentino dilahirkan menerusi ibu tumpang (identiti wanita berkenaan dirahsiakan) dan Ricky memperoleh kembar tersebut pada Ogos 2008. Terbaharu, Ricky dilihat bersama-sama anak angkat kembarnya di Sydney sempena lawatannya ke sana. Ternyata, meskipun sibuk, Ricky tampak begitu menyayangi mereka dan tidak kelihatan kekok mengasuh pasangan kembar itu. Sebagai anak kepada penyanyi popular, Matteo dan Valentino juga nampak cukup bergaya. Malah, tata rias rambut Matteo dan Valentino juga seperti bapa angkat mereka. Begitupun, Ricky tidak mahu terlalu memanjakan anak-anaknya. Dia kelihatan membiarkan anak-anaknya itu menarik beg pakaian mereka sendiri. Memetik ulasan Ricky dalam satu temu bual bersama Ellen DeGeneres baru-baru ini, penyanyi bertubuh sasa itu memberitahu, kedua-dua anak kembarnya itu fasih bertutur dalam tiga buah bahasa. "Matteo dan Valentino belajar bercakap bahasa Inggeris daripada saya, manakala bahasa Sepanyol menerusi ibu bapa mereka," jelasnya. Malah, Ricky juga memberitahu, dia menghantar kedua kanak-kanak itu di sebuah sekolah Perancis di New York, sekali gus membuatkan mereka turut fasih berbicara dalam bahasa Perancis. Ternyata, sikap Ricky yang cintakan pelbagai budaya itu turut diturunkan kepada anak kembarnya. Menerusi autobiografi yang ditulis Ricky berjudul Me, ia mendedahkan bagaimana kehidupan dirinya berubah selepas bergelar bapa kepada dua cahaya mata kembar itu. Antara kata-kata Ricky mengenai anak-anaknya dalam buku tersebut adalah: "Matteo dan Valentino ialah anak-anak saya. Kehadiran mereka mengubah hidup saya. Dan sejak mereka ada baru saya sedar, kemampuan saya dalam melakukan semua perkara termasuk menjadi bapa kepada mereka." | |
Posted: Anuar Zain tak pilih buluOleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA ANUAR mengambil kesempatan untuk merakamkan gambar selfie bersama peminatnya. LELAKI bernama Anuar Zain seharusnya menjadi ikon kepada setiap artis. Pada usia 44 tahun apa yang tidak dimiliki oleh pemilik nama penuh Shahrul Anuar Zain itu. Kehebatan, kemasyhuran, kekayaan, dan juga dipuja peminat-peminatnya. Dia seharusnya boleh mendabik dada dengan kejayaan yang dikecapinya. Namun, Anuar bukan seperti itu. Dia sedar sebagai seorang selebriti yang diagungkan, sikap rendah diri, bersyukur dan bersederhana adalah kunci untuk hidup bahagia. Kehidupan adalah sebuah kelangsungan. Bukan untuk kepentingan diri mencipta ego, memilih 'bulu', meraih pangkat atau darjat. Disebabkan itu, Anuar sentiasa melayani peminat-peminat mahupun media dengan sama rata. Perkara itu diaplikasikan Anuar menerusi persembahan Terindah...Anuar Zain sempena Minggu Setiausaha yang berlangsung di Hotel One World, Petaling Jaya, baru-baru ini. Usai melantunkan lagu Ketulusan Hati, adik kepada penyanyi Ziana Zain itu turun ke pentas merapati setiap meja peminatnya tidak kira yang membeli tiket pada harga RM1,380 mahupun RM480 untuk merakamkan gambar 'selfie'. Dengan menggunakan telefon pintar miliknya, Anuar juga menggunakan monopod (peralatan 'selfie') dan ia adalah kejutan yang dimaksudkannya dalam sidang akhbar terdahulu mengenai persembahan minggu setiausaha yang akan dilakukannya. Sedetik kemudian, Anuar memanggil pula teman-teman media untuk merakamkan gambar 'selfie'. "Terima kasih kerana berada di sini hari ini. Anda (peminat-peminatnya) boleh berada di mana-mana sahaja tetapi anda memilih untuk bersama saya. Terima kasih banyak-banyak kerana sudi berjumpa dengan saya pada hari ini. Saya harap anda semua suka dengan makanan yang dihidangkan. Kepada semua rakan media terima kasih kerana memberi sokongan padu terhadap Terindah...Anuar Zain sehingga ramai yang datang pada hari ini," getus Anuar pada hari itu. Biarpun tidak mempunyai laman sosial Twitter mahupun Instagram, pelantun lagu Sedetik Lebih itu memaklumkan foto yang diambilnya itu boleh didapati menerusi #anuarzain dan #terindahanuarzain termasuk mengunjungi Facebook Anuar Zain Network. Tolak negatif Penyanyi kelahiran Merlimau, Melaka itu pernah mengaku, untuk kekal dan terus menyanyi sampai ke saat ini, dia harus mempunyai strategi ampuh. Dia juga memutuskan menjadi seorang yang kekal menyimpan privasi dan pemilih dalam banyak perkara. "Macam dalam soal media sosial, saya tiada Twitter, Instagram dan cuma ada satu akaun rasmi Facebook, Anuar Zain Network yang baru dibuka tahun lalu. Itu pun diuruskan oleh pihak pengurusan saya. Saya selesa begini dan masih tidak berhajat mengikuti gaya hidup sebegitu," ujarnya yang melihat media sosial lebih banyak mengundang negatif berbanding positif menerusi satu petikan artikel Kosmo! keluaran 22 September 2013 yang ditulis oleh Tengku Suzana Raja Hamat. Anuar sememangnya berada dalam kelas tersendiri. Mengusung pesona seorang bintang. Mungkin bukan seperti sesetengah artis yang menggunakan laman sosial secara kerap sehingga mampu mengundang negatif pada diri sendiri dan khalayak yang melihatnya. Turut hadir pada persembahan minggu setiausaha pada hari itu ialah kakak Anuar iaitu Ziana dan suami, penyanyi Adibah Noor serta rakan duet lagu Kain Pelikat, Ellina Abd. Razak. Sambil bergurau Anuar turut mengajak Ellina berduet bersamanya menyanyikan lagu tersebut. Persembahan eksklusif Seperti persembahan minggu setiausahanya yang lalu, kerlipan lampu kamera setiap masa memenuhi segenap ruang dewan dan Anuar tetap dipeluk apabila dia menghampiri peminat-peminatnya. Biarpun, persembahan Anuar dilakukan dengan ciri standard dan eksklusif seorang bintang namun, 700 tetamu yang hadir menonton persembahan minggu setiausaha Terindah...Anuar Zain pada hari itu dapat merasai rasa akrab dan mesra yang diberi penyanyi itu. Majlis yang dianjurkan syarikat Anuar sendiri iaitu Anuar Zain Network Sdn. Bhd. itu sememangnya diatur menerusi citarasa Anuar sendiri. Daripada hidangan makanan seperti kek coklat yang merupakan makanan kegemaran Anuar sendiri, sehinggalah tata rias dewan dan pentas serta pilihan barangan untuk 'goodies bag' para tetamu pada hari itu. Berkongsi momen persembahan Anuar pada hari itu, Anuar muncul secara mengejut di pintu utama (bukan di atas pentas) kira-kira pukul 2 petang. Mengalunkan lagu Keabadian Cinta, tetamu yang setia menunggu sejak pukul 12 tengah hari lagi bangun untuk melihat dan merakamkan wajah penyanyi kesayangan mereka menerusi kamera masing-masing. Persembahan Anuar diteruskan dengan lagu permintaan daripada peminat iaitu Pernahkah dan kemudiannya dia menyanyikan lagu Bila Resah dengan susunan muzik yang baharu dan lebih segar. Selaut kepuasan terpancar di wajah peminat-peminat tatkala Anuar mengalunkan lagu-lagu popularnya seperti Ajari Aku, Sedetik Lebih dan Lelaki Ini. Anuar turut menyanyikan lagu baharunya, Kembali Padamu Illahi. "Lagu ini ditulis oleh Dalilah Tamrin yang telah meninggal akibat penyakit kanser. Ketika hayatnya, dia mahukan saya menyanyikan lagu ini dalam persembahan saya," ungkap Anuar. | |
Posted: Saya tak makan orang! - Ogyoleh HARYATI KARIM
EBUT sahaja nama Fauziah Datuk Ahmad Daud atau Ogy, pasti khalayak sudah terbayang kelantangan dirinya dalam memberi pendapat sebagai juri program realiti TV, selain keberkesanan mutu lakonannya di layar kaca mahupun layar perak. Berpengalaman selama 40 tahun sebagai anak seni, pelakon, pengarah, pengacara dan penerbit terkenal itu meluahkan rasa kecewanya apabila melihat kualiti lakonan yang diberikan oleh golongan pelakon baharu. "Saya juga menonton program di TV jika ada masa terluang. Ramai pelakon baharu yang cantik tetapi tidak ada ilmu lakonan. "Semua orang suka lihat orang yang cantik tetapi biarlah cantik dengan ilmu. Amat berbeza istilah seorang pelakon dan aktor atau aktres. "Pelakon merupakan orang yang boleh berlakon tetapi aktor atau aktres berlakon dengan penuh penghayatan dan pengisian," ujarnya yang ditemui pada majlis sidang akhbar program Fenomena Impak Kecantikan Eksplorasi Dirimu di Hotel Summit, USJ, Selangor, baru-baru ini. Tambah Ogy, 51, dia juga berasa hairan apabila ramai pelakon baharu berasa takut apabila bergandingan dengannya dalam drama mahupun filem. "Janganlah takut dengan saya, sebab saya bukannya makan orang (ketawa). Tidak ada orang boleh jadi hebat dalam sekelip mata. "Apa yang saya miliki hari ini, hasil daripada ilmu yang saya pelajari sepanjang 40 tahun bergelar anak seni. "Jika mereka salah, jangan malu bertanya kerana saya juga tidak kisah untuk memberikan ilmu yang saya ada kepada pelakon generasi baharu "Bagi saya, jika takut dengan saya bermakna mereka tidak bersedia sepenuhnya kerana saya sentiasa bersedia apabila tiba di set penggambaran," tuturnya. Disebabkan itu menerusi syarikatnya Ogy Ventures & Network, Ogy telah menganjurkan bengkel lakonan untuk mereka yang ingin bergelar pelakon mahupun membina keyakinan diri. "Alhamdulillah, salah satu azam saya tahun ini telah tercapai iaitu menganjurkan bengkel lakonan di bawah kendalian saya sepenuhnya. "Bayarannya RM100 untuk setiap sesi asas yang akan diadakan pada 3, 10 dan 17 Mei ini di Dewan Seri Temuan, Damansara Perdana, Selangor. Terbuka kepada semua, tidak had umur. Setakat ini sambutan amat menggalakkan," ujarnya yang pernah menjadi guru lakonan untuk beberapa orang pelakon terkenal termasuk Lisa Surihani. Sambungnya, jika ada peserta daripada bengkel lakonannya yang berpotensi tinggi mereka akan ditawarkan menjadi artis di bawah naungannya. "Sebenarnya sudah banyak bengkel lakonan yang saya adakan sebelum ini. Apa yang saya lihat selepas bengkel lakonan berakhir, peserta tidak tahu ke mana hala tuju mereka untuk bergelar pelakon. "Sebagai orang yang berpengalaman, saya akan mengambil mereka yang berpotensi menjadi artis di bawah syarikat pengurusan saya dan kembangkan bakat mereka dalam bidang seni. Sesiapa yang berminat boleh hubungi talian 017-7396 882 atau e-mel ke ianzfaris.ovn@gmail.com," tuturnya. Beri motivasi Dalam pada itu, Ogy, juga masih aktif sebagai pelakon, namun dia cukup selektif dalam memilih karya yang ditawarkan kepadanya. "Memang saya akui, sekarang ini saya cukup selektif apabila tawaran datang kepada saya. "Jika skripnya menarik dan memberi kepuasan kepada saya, barulah saya akan terima," katanya yang bakal muncul dalam telefilem, Seteguh Kasih Ibu, Seligar dan Malaikat Yang Tersembunyi. Terbaharu, ibu kepada Nur Aminah Aishah, 7, itu juga sibuk dengan program motivasi Fenomena Impak Kecantikan Eksplorasi Dirimu kerjasama antara syarikatnya dan juga produk kecantikan Cosmoderm yang bakal berlangsung pada Jun depan. "Saya bukanlah pakar motivasi tetapi menggunakan ilmu seni dan pengalaman yang dimiliki, saya mencipta modul untuk memberi motivasi kepada peserta. "Seni cukup luas bukan hanya untuk menjadi pelakon atau penyanyi tetapi seni digunakan untuk meningkatkan potensi diri serta membuang aura negatif supaya kita lebih berjaya dalam hidup," terangnya. Program Fenomena Impak Kecantikan Eksplorasi Dirimu itu mengenakan bayaran RM500 kepada peserta untuk program selama dua hari. Bagi mereka yang berminat boleh hubungi talian 03-5879 6150/016-210 4287 atau layari laman web www.cosmoderm.com.my. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |