Utusan Online - Dalam Negeri
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Dalam Negeri |
- Kastam dikorporatkan tahun depan
- Sedia perancangan strategik daulatkan syariah-Sultan
- Kajian kesihatan reproduktif dan seksual remaja akan dilaksanakan
Kastam dikorporatkan tahun depan Posted: 18 May 2014 01:10 AM PDT SUNGAI PETANI 18 Mei - Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan dikorporatkan pada tahun hadapan, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah. Beliau berkata langkah tersebut amat baik dalam usaha meningkatkan produktiviti anggota Kastam. "Hasil cukai yang dikutip turut bertambah dan akan disumbangkan kepada negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bangunan Pejabat Kastam (Penguatkuasaan) bernilai RM13.02 juta di Tanjung Dawai dekat sini hari ini. Beliau berkata, kajian mengenai perkara itu telah siap dan pindaan beberapa akta berkaitan cukai dibuat dan akan dibentang di Parlimen Oktober depan. Katanya, jabatan itu mengambil contoh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang selepas dikorporatkan berjaya menyumbang hasil begitu tinggi kepada negara. - BERNAMA |
Sedia perancangan strategik daulatkan syariah-Sultan Posted: 18 May 2014 01:08 AM PDT KUALA TERENGGANU 18 Mei - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyarankan agar kerajaan negeri menyediakan satu perancangan strategik dan secara holistik dalam usaha mendaulatkan syariah dari semasa ke semasa. "Beta menyeru agar semua umat Islam di negeri ini bersatu padu kerana hanya dengan perpaduan sahaja akan mampu mengekalkan kekuasaan Islam di Terengganu," titah baginda ketika merasmikan sambutan tiga abad pentadbiran Islam di sini hari ini. Baginda bertitah, institusi pentadbiran hal ehwal Islam sedang melalui proses penyusunan semula ke arah memperkasa pelaksanaan ajaran Islam dan maslahat ummah di negeri Terengganu. Keberangkatan tiba Sultan Mizan bersama Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah disambut Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dan isteri, Toh Puan Halina Zakaria; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah; dan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Datuk Mohd Rozali Saleh. Program selama lima hari itu adalah inisiatif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dalam menyambut ulang tahun ke 300 pentadbiran Islam dengan kewujudan institusi kesultanan Terengganu yang bermula pada tahun 1708. "Beta berharap sambutan ini dapat memaparkan sejarah perkembangan syiar Islam di Terengganu kepada seluruh rakyat jelata dan orang luar Terengganu," titah baginda. - BERNAMA |
Kajian kesihatan reproduktif dan seksual remaja akan dilaksanakan Posted: 17 May 2014 09:15 PM PDT SRI AMAN 18 Mei - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan melaksanakan Kajian Faktor Risiko dan Pelindung Terhadap Kesihatan Reproduktif dan Seksual Remaja di Sarawak. Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, hasil maklumat yang diperoleh daripada kajian sama yang dilakukan di Semenanjung pada 2011, kementerian mendapat maklumat yang empirikal terhadap fenomena masalah reproduktif dan sosial dalam kalangan remaja pada masa kini. "Objektif bagi kajian ini adalah untuk mengkaji prevalens tingkah laku seksual yang tidak sihat yang dilakukan remaja, mengenal pasti faktor-faktor risiko berkaitan kesihatan seksual dan reproduktif remaja dan mengenal pasti faktor-faktor pelindung berkaitan kesihatan seksual dan reproduktif remaja," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Sambutan Hari Guru dan Hari Jururawat anjuran Bank Rakyat Cawangan Sri Aman, di sini. Rohani yang juga anggota Parlimen Batang Lupar berkata hasil kajian itu akan dijadikan asas dan panduan ke arah membentuk generasi muda yang sejahtera. - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |