Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
- 2,200 sertai Ronda Riadah Mega Ride
- Segerakan pembinaan rumah mampu milik - Perkasa
- MBFM Tenggaroh 2 juara Anugerah Perdana PBPNJ
2,200 sertai Ronda Riadah Mega Ride Posted: 10 May 2014 12:43 PM PDT ABDUL Rahmad Mohamed Dewam (tiga dari kanan) melepaskan peserta berbasikal sempena Ronda Riadah Mega Ride 2014 di Bandar Dato Onn, Johor Bahru, semalam. - UTUSAN/BAAZLAN IBRAHIM JOHOR BAHRU 10 Mei - Seramai 2,200 peserta menyertai acara berbasikal sempena Ronda Riadah Mega Ride 2014 anjuran Kelab Berbasikal Ronda Riadah Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan (IPDJBS) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Johor Land di sini hari ini. Acara berbasikal yang melibatkan jarak sejauh 56 kilometer itu dibahagikan kepada lima kategori iaitu kategori terbuka PDRM, veteran 45 tahun dan ke atas, lelaki 22 hingga 44 tahun, junior 21 tahun ke bawah dan wanita dengan menawarkan hadiah wang tunai serta pingat. Pengerusi Kelab Berbasikal Ronda Riadah IPDJBS, Hasbullah Noor berkata, penganjuran acara tersebut dimulakan pada tahun 2011 dan dijadikan sebagai acara tahunan di Bandar Dato Onn sejak itu. Pada hari ini sukan berbasikal semakin diminati oleh pelbagai lapisan masyarakat. Aktiviti riadah yang mencerminkan gaya hidup sihat ini boleh dijadikan medium dalam menyatu dan merapatkan hubungan antara kita. Penyertaan pada tahun ini melibatkan lebih 350 peserta dari luar negara, antaranya Singapura, Indonesia, United Kingdom, Australia, Jerman, Filipina, Ireland, Jepun dan Belanda," katanya sebelum acara kayuhan bermula di Balai Polis Bandar Dato' Onn di sini hari ini. Pelepasan peserta disempurnakan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Abdul Rahman Mohamed Dewam. Yang turut hadir Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Supritendan Abdul Wahid Musa. Selain acara berbasikal, turut diadakan Karnival Hartanah Johor Land, pertandingan mewarna bagi kanak-kanak, sukan rakyat, pemeriksaan kesihatan dan cabutan bertuah. Hasbullah memberitahu, acara tersebut adalah contoh terbaik kerjasama antara pihak polis, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan syarikat korporat dalam menjayakan program Community Policing PDRM. |
Segerakan pembinaan rumah mampu milik - Perkasa Posted: 10 May 2014 12:43 PM PDT LEDANG 10 Mei - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) negeri menggesa semua syarikat milik kerajaan (GLC) dan pemaju swasta menyegerakan pembinaan rumah mampu milik bagi membolehkan golongan bumiputera memiliki kediaman di negeri ini. Yang Dipertuanya, Samat Atan berkata, masih ramai golongan bumiputera yang tidak mampu membeli rumah dan pembinaan rumah mampu milik itu dilihat dapat menyelesaikan masalah tersebut terutama di kawasan bandar. Pembinaan rumah mampu milik dalam projek perumahan sudah pun diluluskan di negeri ini. Perkasa Johor berharap agensi pelaksana memastikan syarikat pemaju terbabit membina rumah jenis mampu milik dengan segera terutama di bandar Johor Bahru dan Wilayah Iskandar Malaysia. Selama ini, sebahagian syarikat pemaju ini hanya mengutamakan rumah harga mahal kerana mengejar keuntungan dan melengah-lengahkan pembinaan rumah mampu milik yang menjadi tanggungjawab sosial mereka," katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin Perkasa daerah Ledang di Tanjung Agas di sini baru-baru ini. Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini yang mahu rumah mampu milik dibina lebih banyak di kawasan bandar sekalipun terpaksa membeli tapak bagi tujuan itu. Samat berkata, Perkasa bimbang jika tindakan tegas tidak diambil, syarikat perumahan akan mengambil mudah hal itu dan bakal menimbulkan kesan besar terhadap usaha mengatasi masalah perumahan golongan berpendapatan rendah di negeri ini. Menurut beliau, ini kerana harga rumah teres dua tingkat di kawasan bandar Johor Bahru dan Iskandar Malaysia kini begitu mahal iaitu melebihi RM500,000 seunit, harga yang tidak mampu dibeli golongan berpendapatan rendah. |
MBFM Tenggaroh 2 juara Anugerah Perdana PBPNJ Posted: 10 May 2014 12:43 PM PDT PONTIAN 10 Mei - Persatuan Belia Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Tenggaroh 2, Mersing muncul pemenang Anugerah Perdana Pertubuhan Belia Peringkat Negeri Johor (PBPNJ) pada tahun ini yang membolehkan mereka membawa pulang wang tunai sebanyak RM15,000. Hadiah yang diterima sempena program Karnival Mesra Belia Jom ke Putrajaya di Mini Stadium Pontian, di sini baru-baru ini itu adalah kejayaan yang cukup menggembirakan 187 orang ahli persatuan sejak ditubuhkan pada tahun 2009 sebagai wadah kepada perjuangan generasi kedua Felda. Pengerusinya, Muhamad Nazri Yusof, berkata, kejayaan ini juga besar ertinya kepada usaha yang dilakukan oleh ahli-ahli yang melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan ekonomi bagi menambah pendapatan keluarga mahupun kerjaya pilihan. Antara projek yang dijalankan adalah projek tanaman nanas yang diusahakan bersama Lembaga Perindustrian Nenas Malaysia (LPNM) bagi menambah hasil pertanian. Selain itu, kami juga mengusahakan ternakan ikan talapia memandangkan sambutan yang baik dari pembeli walaupun baru diusahakan. Sokongan dan kerjasama daripada pihak pengurusan Felda, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) dan masyarakat membolehkan anak-anak muda berkecimpung dalam bidang yang memberi manfaat bersama," katanya. Dalam majlis anugerah itu, Saharuddin Md. Taib dipilih sebagai johan Anugerah Perdana Belia Lelaki sementara Anisah Othman memenangi Anugerah Perdana Belia Wanita. Persatuan Belia Batu Anam pula mendapat tempat kedua Anugerah Perdana Pertubuhan Belia Peringkat Negeri Johor. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |