Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
- Bongkah batu mengundang tragedi
- Ambil tindakan letak kereta di bahu jalan
- Babi hutan berkeliaran sekitar Parit Tok Kadzi
Bongkah batu mengundang tragedi Posted: 19 May 2014 11:54 AM PDT BONGKAH batu di tepi lereng bukit Hutan Lipur Sungai Bantang, Bekok, Segamat perlu dialihkan segera bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku. Saudara Pengarang, Kewujudan bongkah batu tersebut boleh mengancam keselamatan pengunjung kawasan tersebut terutama ketika musim hujan dan keadaan tebing yang curam tanpa ditumbuhi pokok turut mengundang kejadian tanah runtuh. Kita semua tidak mahu sebarang kejadian tidak diingini berlaku, namun ini tidak bermakna kita boleh menutup mata terhadap situasi bahaya yang ada di sekeliling kita dan hanya berserah kepada takdir. Apa yang menjadi persoalan kepada saya, kenapa pihak bertanggungjawab tidak mengalihkan bongkah batu tersebut sebelum kerja-kerja membina dewan terbuka yang terletak betul-betul di bawah bongkah dijalankan dahulu. Dalam situasi sekarang, selepas kewujudan bangunan dewan tersebut kerja-kerja untuk mengalihkan batu tersebut mungkin lebih sukar dan memerlukan kos yang lebih besar berbanding sebelumnya. Pada musim cuti kawasan riadah ini menerima lebih 3,000 pengunjung setiap hari selain menjadi lokasi pilihan pihak sekolah dan jabatan kerajaan yang terdapat di sekitar Segamat untuk menganjurkan pelbagai program di sana. Seandainya berlaku kejadian tanah runtuh atau bongkah batu tersebut terjatuh pada ketika itu, tentu sekali boleh mengundang padah dan mungkin ada yang terkorban akibat kecuaian kita sendiri. Sehubungan itu, saya bukan sahaja meminta pihak berwajib untuk mengalihkan bongkah batu tersebut dengan segera, tetapi saya juga menasihatkan orang ramai yang berkunjung ke sana agar lebih berwaspada serta berhati-hati kerana bimbang berlakunya sesuatu yang tidak diingini. Pihak yang bertanggungjawab menyelenggara kawasan tersebut perlu melarang pengunjung menghampiri kawasan tersebut atau sekurang-kurangnya meletakkan papan tanda amaran bahaya di kawasan berhampiran bongkah batu tersebut. Semua pihak harus sentiasa ingat bahawa tragedi boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana-mana tanpa sebarang amaran dan perlulah kita semua berusaha untuk menjauhi sebarang situasi berbahaya. PENCINTA ALAM Segamat |
Ambil tindakan letak kereta di bahu jalan Posted: 19 May 2014 11:54 AM PDT Kenderaan yang diletakkan di atas garisan kuning sepanjang Jalan Sri Pelangi, Taman Pelangi, Johor Bahru menyusahkan pengguna jalan raya di kawasan berkenaan. Saudara Pengarang, Bagaimanapun, sebaliknya yang berlaku di Jalan Sri Pelangi, Taman Pelangi, Johor Bahru apabila sepanjang jalan berkenaan dipenuhi dengan kenderaan yang diletakkan pada bahu jalan. Keadaan tersebut bukan sahaja menyalahi kesalahan lalu lintas malah boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain apabila pemandu berkenaan hendak meletak atau mengeluarkan kenderaan masing-masing. Lalu lintas akan menjadi lebih sibuk apabila adanya pasar malam hingga menyebabkan perjalanan trafik di kawasan berkenaan menjadi perlahan. Apa yang peliknya, tiada sebarang tindakan undang-undang atas kesalahan trafik diambil kepada pemandu yang terlibat hingga mereka merasakan tindakan itu bukanlah satu kesalahan. Justeru, pihak yang berwajib diminta mengambil tindakan yang sewajarnya berhubung perkara ini bagi memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya yang lain. FADZLY Taman Pelangi, Johor Bahru |
Babi hutan berkeliaran sekitar Parit Tok Kadzi Posted: 19 May 2014 11:54 AM PDT BABI Hutan yang berkeliaran di sekitar kawasan Parit Tok Kadzi mengundang rasa tidak selesa penduduk di Muar, Johor, semalam. Saudara Pengarang, Masalah tersebut menjadi semakin serius sejak pertengahan tahun lalu dikhuatiri mendatangkan bahaya kepada penduduk disebabkan haiwan berkenaan berkeliaran dalam satu kumpulan yang banyak. Haiwan itu datang dari semak berhampiran dan berkeliaran selepas beberapa kawasan belukar dibersihkan untuk projek pembangunan dan kebelakangan ini boleh dilihat tanpa mengira masa serta kerap muncul pada waktu pagi. Sebelum ini masyarakat setempat sering melakukan riadah dan aktiviti luar tetapi selepas kehadiran kumpulan binatang itu, kegiatan tersebut terpaksa dihentikan atas faktor keselamatan. Babi hutan berkenaan seperti tidak takut kepada manusia kerana pernah cuba mengejar penduduk yang menghalaunya menceroboh kawasan rumahnya malah tanaman ubi kayu dan pisang di tepi rumah turut dimusnahkan. Penduduk semakin buntu apabila bilangan haiwan itu dilihat semakin bertambah apabila dilihat dengan jumlah mencecah 10 ekor dalam satu-satu masa. Aduan sudah dibuat kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan tindakan diambil tetapi malangnya operasi itu tidak berjaya apabila babi tidak dapat dikesan dan muncul semula selepas itu. Pihak terbabit diharap dapat meninjau semula kawasan persekitaran di sini bagi menghilangkan keresahan penduduk dan bukan bertindak apabila menerima aduan sahaja kerana bimbang keselamatan kami terutama kanak-kanak. Azmi Mohamed Penduduk Parit Tok Kadzi |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |