{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Keluarga

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Keluarga


PKOKM satukan cinta Katijah dan Abdul Halim

Posted: 02 May 2014 11:27 AM PDT

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
Foto ASWAD YAHYA

KATIJAH Abu Samah bersama suami, Abdul Halim Hapiz Md Yusop dan anak lelakinya, Muhammad Iman Naim.

IKATAN cinta di antara pasangan Tokoh Guru Orang Kelainan Upaya (OKU) 2010 Katijah Abu Samah 38, dan suaminya Abdul Halim Hapiz Md. Yusop, 38, yang menjalankan perniagaan sendiri boleh dikatakan sangat unik.

Ini kerana kedua-duanya dipertemukan dalam satu mesyuarat Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia (PKOKM) di Kuala Lumpur sebelum berkenalan secara rapat dan mendirikan rumah tangga tidak lama kemudian.

Tarikh 3 Disember 2005 pastinya menjadi kenangan yang paling berharga buat mereka, apabila mereka bergelar pasangan suami isteri.

Malah mereka bersyukur kerana mereka mendapat restu dari keluarga yang banyak menyokong hubungan mereka.

Biarpun mereka pada awalnya agak sukar untuk memahami kerjaya masing-masing namun kini perkara itu menjadi sebati dalam kehidupan mereka berumah tangga.

Untuk dia (suami) memahami peranan saya sebagai warga pendidik yang mengawasi kelas pendidikan khas, saya bawa dia ke program sekolah dan dari situ dia mengetahui kerjaya saya sebagai guru," katanya kepada S2 di kediamannya di Taman Tuanku Jaafar, Senawang, Negeri Sembilan.

Kata Katijah yang berasal dari Kampung Rantau, Negeri Sembilan, berkata mengenali suaminya merupakan saat paling indah kerana Abdul Halim dilihat sebagai seorang yang bekerja keras dan sangat memahaminya selaku pendidik.

Tugas saya sebagai guru bukan sesuatu yang mudah kerana dalam kelas itu pelbagai karenah dan fiil pelajar terpaksa dihadapi tetapi bagi saya sebagai seorang pendidik tanggungjawab itu perlu digalas dengan sebaik mungkin.

Sebaik sahaja pulang dari rumah pastinya pelbagai kisah di sekolah akan diceritakan kepada suami. Bagi saya Abdul Halim Hapiz adalah seorang pendengar yang setia kerana dia tidak pernah jemu mendengarnya," katanya.

Bercerita mengenai kerjayanya sebagai seorang guru, Katijah pernah menjadi guru sandaran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan mengajar di Sekolah Menengah Agama Teluk Kemang, Port Dickson dan Sekolah Menengah Agama Sains, Selaru, Kuala Pilah.

Beliau juga pernah mengajar pelajar normal di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Serting, Jempol pada tahun 2004 hingga 2006 sebelum mengajar pelajar pendidikan khas selama tujuh bulan di SMK Sri Jempol.

Sesudah itu beliau kemudiannya terus menabur bakti ke SMK Mantin pada tahun 2007 dan SMK Taman Tuanku Jaafar sebelum bertugas di Sekolah Kebangsaan Taman Tuanku Jaafar, Seremban.

Kerjaya beliau sebagai warga pendidik tiba ke kemuncaknya apabila Katijah terpilih untuk menerima Anugerah Tokoh OKU Wanita peringkat negeri pada tahun 2010

Beliau sebelum itu memperoleh Diploma Pendidikan di Institut Bahasa Melayu Malaysia pada tahun 2003 sebelum mengorak langkah melanjutkan pengajiannya di Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam bidang Sarjana Muda Pengajian Bahasa Melayu.

Beliau kemudiannya menamatkan pengajiannya dalam bidang yang sama Sarjana dalam Kajian Bahasa di Universiti Kebangsaan Malaysia baru-baru ini.

Kejayaan ini adalah hasil dorongan daripada semua pihak yang menyokong kerjaya saya. Tetapi usaha saya tidak akan terhenti setakat itu sahaja malah menjadi harapan saya untuk terus memastikan kejayaan pelajar di tahap tertinggi biarpun mereka kelainan upaya.

Mungkin ada yang mengangap bahawa kekurangan itu satu kelemahan tetapi bagi saya itulah kelebihan yang membuatkan saya terus kuat dalam profesion pendidikan," katanya.

Hasil perkongsian hidup selama lapan tahun bersama suami, Katijah kini dikurniakan dua orang putera kesayangannya Muhammad Iman Naim, 7 dan Muhamad Imran Wafi, 2.

Abdul Halim Hapiz pula ketika berbicara mengenai isterinya berkata, Katijah merupakan insan yang bukan sahaja penyayang sebagai seorang isteri malahan dia mempunyai jiwa yang sangat besar dalam hal-hal berkaitan pendidikan.

Malah katanya, apabila dia diajak untuk menyertai program sekolah bersama isterinya barulah dia mengetahui tugas seorang guru yang cukup berat untuk digalas dan memerlukan ketabahan dan jiwa yang besar untuk menempuhnya.

Apatah lagi skop untuk mendidik anak-anak OKU yang diamanahkan kepada isterinya cukup berat dan beliau sendiri kagum atas semangat dan dedikasi Katijah untuk terus mendidik anak bangsa.

Walaupun dia menjadi isteri dan ibu penyayang kepada anak-anak, baginya pendidikan adalah penting dan dalam soal itu dia tidak ada kompromi.

Biarpun pelajarnya dapat melakukan perkara yang sedikit dalam bidang pelajaran baginya ia merupakan satu kejayaan dan kepuasan hasil dari usaha berterusan," katanya.

Tanpa ragu Abdul Halim Hapiz berkata, harga sebuah percintaan itu menuntut satu pengorbanan.

Susah dan senang, kami lalui bersama. Hari ini, saya dan suami menghormati antara satu sama lain termasuklah memahami kerjaya saya. Saya menyokong apa yang dilakukannya demi kebaikan keluarga," katanya.

‘Saya dituduh menggoda bekas suami’

Posted: 02 May 2014 11:27 AM PDT

SEMBANG-SEMBANG

PERCERAIAN memang pahit. Namun jika sudah ditakdirkan jodoh hanya setakat itu, haruslah diterima dengan reda walaupun kesannya mengambil masa lama untuk dilupakan.

Bagi pasangan yang tidak mempunyai anak mungkin mudah untuk melupakannya tetapi bagi yang ada anak agak sukar tambahan pula jika anak-anak rapat dengan ibu dan bapa mereka.

Namun sesetengah perceraian menghadapi dugaan apabila si suami bernikah lain. Isteri tidak mudah menerima kehadiran anak-anak tiri dalam rumah tangganya tambahan pula jika suami masih berbaik-baik dengan bekas isterinya.

Inilah cerita yang ingin dikongsi oleh Asma (bukan nama sebenar) dengan pembaca minggu ini.

Ini cerita Asma.

Saya berusia awal 30-an mempunyai sepasang anak perempuan berusia 7 dan 10 tahun. Suami seorang pegawai bank berusia lewat 30-an.

Saya tidak mahu bercerita tentang kenapa kami bercerai cukup saya katakan semuanya kerana jodoh saya dan dia, hanya setakat itu. Saya reda dan pasrah dengan takdir Allah terhadap saya.

Enam bulan setelah kami bercerai, suami berkahwin lagi dengan seorang gadis...masih muda berusia awal 20-an, baru habis belajar dan bekerja di sebuah syarikat terkenal.

Orangnya cantik dan bergaya. Tidak hairanlah kenapa suami cepat terpengaruh dan jatuh hati kepadanya. Saya tidak kisah dia nak kahwin lain asalkan kebajikan dan tanggungjawab terhadap anak-anak kami dijaga dengan baik.

Setakat ini Alhamdulillah. Tapi yang buat saya sakit hati adalah sikap isterinya. Dia suka syak yang bukan-bukan terhadap saya. Dia juga selalu tabur fitnah tentang saya kononnya saya masih terhegeh-hegeh untuk kembali kepada bekas suami.

Dia mereka macam-macam cerita kepada keluarga bekas mentua dan kawan-kawan yang kenal saya dan bekas suami. Kesemuanya memburukkan saya. Saya malu kerana dia telah mengaibkan saya.

Kononnya saya gila talak dan selalu menggoda suaminya. Saya juga dituduh tidak tahu malu kerana menggunakan anak-anak untuk melepaskan rindu kepada bekas suami dan selalu ajak bekas suami keluar bersama anak-anak.

Pada hal dia tidak tahu, anak-anak keluar dengan ayah mereka tanpa saya. Itu pun kerana menurut perintah mahkamah, sebulan sekali atau bila-bila bekas suami teragak untuk membawa mereka keluar saya tidak pernah menghalang.

Itu anak-anak dia. Dia boleh datang jemput dan bawa anak-anaknya keluar bila-bila dia suka. Siapa saya nak halang? Tapi isterinya yang tidak panjang akal itu buat fitnah yang saya goda suami dia.

Kalau saya masih hendak suaminya itu, buat apa saya bercerai dahulu? Lebih baik saya kekal bersama dia? Saya pun hairan dengan perempuan itu. Hendak dikatakan tidak sekolah, belajar sampai universiti.

Tidak cukup dengan itu dia selalu mengirim mesej yang tidak elok kepada saya. Minta saya bernikah cepat kalau tidak tahan hidup seorang dan pelbagai lagi yang tentunya menyakitkan hati saya.

Sudah lama saya berdiam diri, malas nak layan perempuan sakit jiwa macam itu. Tetapi semakin saya diamkan diri, semakin galak dia menjaja cerita tentang saya.

Pernah juga dia bercakap yang bukan kepada anak-anak saya apabila mereka dibawa ke rumahnya oleh bekas suami. Anak-anak saya disindir dengan kata-kata sinis, bila nak dapat ayah tiri, mak kamu ada boyfriend? Soalan soalan bodoh yang sepatutnya tidak diajukan kepada anak yang belum tahu apa-apa tentang hidup ini.

Saya tidak pernah mengajar anak saya supaya bencikan ayah mereka sebab bagi saya, yang ada masalah saya dan ayah mereka, bukan mereka. Sebab itu hubungan saya dengan bekas suami tetap rapat tetapi hanya sebagai kawan, tidak lebih daripada itu.

Yang isteri barunya ini pula cemburu buta. Sangka yang bukan-bukan apabila saya dan bekas suami bertemu. Kadangkala ada perkara yang memerlukan kami berjumpa, contohnya di hari mengambil kad laporan anak-anak, sukan dan sebagainya.

Kami telah berjanji, apabila membabitkan hal persekolahan dan masa depan anak-anak, kami akan buat apa sahaja dan mengetepikan masalah yang kami hadapi. Dan saya yakin bekas suami juga ikhlas dengan kata-katanya.

Selepas berpisah kami tidak pernah buat perkara yang didakwa oleh isteri barunya. Walaupun berjumpa, itu atas urusan rasmi sahaja. Selesai, saya dan dia balik, itu pun anak-anak ada bersama.

Semua yang saya buat kerana anak-anak sebab tidak mahu mereka merasakan yang ayah mereka tidak ambil berat dan tidak sayangkan mereka. Saya rasa itu satu perkara baik yang sepatutnya dilakukan oleh semua pasangan yang telah berpisah, demi anak.

Baru-baru ini isteri baru bekas suami mengamuk lagi. Kononnya saya telah mengajak bekas suami pergi bercuti. Sedangkan bekas suami pergi dengan keluarganya dan membawa anak-anak kami bersama.

Secara kebetulan dia (isteri baru suami) tidak dapat ikut sama sebab ada kursus. Saya tidak pergi sebab tidak mahu berlaku perkara yang tidak diingini. Pun begitu ia berlaku juga.

Dia kirim mesej mengata saya gatal. Masih tergila-gilakan bekas suami, suka menggoda dan macam-macam perkataan tidak enak yang dilemparkan kepada saya, pada hal saya tidak ikut pun pergi.

Kerana tidak tahan dengan kata-kata penghinaannya itu saya hantar mesej berkenaan kepada bekas suami, biar dia tahu perangai isterinya. Saya tidak larat lagi hendak melayan perangai buruknya itu.

Harap rupa sahaja cantik, bergaya tetapi perangai macam orang tak sekolah, sesuka hati buat fitnah. Selepas saya hantar mesej kepada bekas suami, keadaan tenang sedikit. Dia tidak lagi mengganggu saya. Pada masa yang sama, saya tidak lagi membenarkan anak-anak saya dibawa ke rumahnya. Itu antara syarat yang saya berikan kepada bekas suami jika hendak membawa anak-anak kami keluar.

Alhamdulillah setakat ini, bekas suami mendengar cakap saya dan anak-anak juga gembira kerana tidak dibawa lagi ke rumah ibu tiri yang suka bertanya itu.

Saya tidak mahu perkara ini dibesarkan. Keluarga bekas mentua tidak tahu hal ini walaupun anak-anak adakala terlepas cakap. Saya diamkan sahaja sebab saya masih hormat keluarga bekas mentua sama seperti dahulu.

Doa saya semoga keadaan ini akan pulih dan saya bebas daripada gangguan perempuan tersebut. Saya hendak hidup tenang dengan kehidupan baru saya bersama anak-anak. Semoga Allah berikan saya petunjuk dan bimbing saya ke landasan yang betul. Amin," Asma menamatkan ceritanya.

Begitulah lumrah dunia. Ada wanita yang tidak bersyukur dengan nikmat Allah dan tamak dalam menagih kasih sayang. Apa pun saya kagum dengan kekuatan semangat Asma, seorang wanita yang sporting dan berfikiran positif.

Semoga Allah makbulkan doa Asma dan melindungi kehidupannya bersama anak-anak. Nasihat saya, mana-mana perempuan yang di luar sana yang menghadapi perceraian, elok mencontohi Asma untuk meneruskan kehidupan.

Yang lalu biarkan berlalu, yang mendatang perlu ditempuh dengan tenang. Semoga Allah mudahkan urusan hidup kita dan merahmatinya selalu.

Menamatkan catatan, sepatah kata buat renungan bersama, kebahagiaan itu pasti ada tetapi tidak siapa pun yang akan mendapatkan dengan mudah melainkan melalui kesabaran dan pengorbanan.

Salam.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat