{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Keluarga

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Keluarga


Cinta kampus satukan pasangan guru

Posted: 23 May 2014 12:03 PM PDT

Oleh ZAMZURINA AHMAD

KELUARGA besar Ab. Hamid dan Narimah ketika meraikan majlis perkahwinan anak mereka di Kuantan, Pahang.

BERMULA sebagai seorang rakan ketika menuntut di Universiti Malaya (UM) 41 tahun lalu, Datuk Ab. Hamid Md. Shah, 62, dan isteri, Datin Narimah Daud, 61, tidak pernah terfikir akhirnya mereka menjadi pasangan suami isteri.

Ketika itu, Ab. Hamid merupakan seorang senior yang cukup aktif bersukan terutama bermain ragbi dan masing-masing sering bergerak di dalam kumpulan.

Entah bagaimana, ajakan Ab. Hamid yang merupakan Tokoh Guru Pahang 2013 supaya Narimah menemaninya untuk menonton wayang pada satu hari cukup menyakinkan rakan-rakan ada sesuatu di antara mereka.

Bagi Narimah yang juga bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abu Bakar, Kuantan, Pahang, dia juga tidak menyangka perkenalan selama tiga tahun akhirnya membuahkan bibit-bibit cinta.

"Saya sendiri tidak sedar, tidak tahu bila kami bercinta. Bila mengenali hati budinya sebagai seorang rakan, akhirnya kami mengambil keputusan untuk berumah tangga.

"Boleh saya sifatkan sebagai kahwin posting, sebab Datuk ketika itu mengajar di SMK Rompin, Pahang dan saya di tahun ketiga Diploma Pendidikan, UM," kata ibu kepada tujuh cahaya mata ini kepada S2 ketika ditemui di kediaman mereka di Medan Tok Sira, Kuantan, Pahang.

Sementara itu, menurut Ab. Hamid, beliau sendiri tidak menyedari sejak bila hatinya terpaut kepada suri hidupnya itu sehingga mereka diijabkabulkan tanpa melalui majlis pertunangan.

BERTOLAK ansur, saling memahami dan menyokong satu sama lain, resipi kebahagiaan Ab. Hamid Md. Shah dan Narimah Daud sejak 38 tahun lalu.

"Perkenalan selama tiga tahun di kampus sudah cukup untuk kami mengenali hati budi masing-masing sebelum kami membuat keputusan untuk berkahwin.

"Bagi saya, dalam perkahwinan perkara paling utama adalah saling memahami antara satu sama lain sama ada minat pasangan, karektor atau apa sahaja.

"Begitu juga dengan anak-anak, kami sentiasa memberikan kebebasan kepada mereka terutama dalam memilih pasangan dan anak-anak juga akan terus berkahwin apabila sudah bersedia tanpa melalui proses pertunangan seperti kebiasaan pasangan lain," jelasnya yang berkhidmat sebagai Pengarah Buku Teks, Kementerian Pelajaran (kini Kementerian Pendidikan) sebelum bersara pada 2008.

Bahtera yang dibina selama 38 tahun itu diserikan dengan kehadiran 10 orang cucu. Kedua-duanya setiap hari berdoa agar rumah tangga yang dibina terus kekal, utuh dan penuh harmoni buat selamanya. Apatah lagi, pasangan ini sering bertolak ansur dalam apa jua perkara, di samping memahami dan menyokong minat masing-masing, sekali gus menjadi kunci kebahagiaan yang dinikmati hari ini.

Seperti sesetengah pasangan lain yang tinggal berjauhan akibat tuntutan tugas, Ab. Hamid tetap akan meluangkan masa setiap hujung minggu untuk pulang ke Kuantan dari ibu negara bersama keluarga.

Tambah Narimah, ketika berjauhan kira-kita empat tahun sebelum suaminya bersara, Ab. Hamid pasti akan pulang setiap hujung minggu walaupun hanya mendapat sehari bercuti.

"Selepas masing-masing bersara, saya akan memastikan sebelum Maghrib anak-anak akan berkumpul di rumah, minum dan berbincang atau bercerita mengenai aktiviti seharian.

"Sudah menjadi kemestian, sesibuk mana pun, setiap petang kami akan berkumpul, jika anak-anak mempunyai urusan pada waktu malam, mereka boleh keluar selepas solat Maghrib. Aktiviti berkumpul ini yang mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga," jelasnya yang kini aktif dalam berpersatuan.

Berhenti kerja digoda isteri orang

Posted: 23 May 2014 12:03 PM PDT

Oleh Normala Hamzah
normala.hamzah@utusan.com.my

DI kala nilai kasih sayang dipinggirkan dan sifat benci serta dendam lebih mekar, maka dengan sendirinya akan terhakis nilai-nilai murni yang selama ini menjadi kekuatan seorang manusia.

Pengalaman membuktikan bagaimana akan hancur sebuah hubungan lantaran sikap manusia yang membelakangkan nilai kasih sayang sesama manusia.

Hakikat yang sukar untuk dinafikan iaitu budaya dendam dan membenci yang kian membarah dalam diri, sekali gus menghakis tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi ini. Keghairahan merebut kuasa sering kali menjadikan masyarakat semakin hilang pertimbangan rasional dan nilai kasih sayang sehingga ada yang tergamak memasukkan pasir ke dalam periuk nasi orang lain.

Ini cerita yang saya pilih untuk dikongsi dengan pembaca minggu ini. Kisah kiriman Zabidi (bukan nama sebenar) yang telah hampir 10 tahun berlalu tetapi masih segar dalam ingatan.

Kata Zabidi, ia sekadar pengalaman hidup yang ingin dikongsi dengan pembaca di luar sana. Jika anda pernah teraniaya, jangan gundah atau kesal, sebaliknya berusahalah untuk memajukan diri dan bertawakal kepada Ilahi kerana segala yang tersurat akan ada hikmahnya.

Begini kisah Zabidi.

"Ketika menuntut di universiti, saya berkenalan dengan seorang gadis bernama Suri (bukan nama sebenar). Kami kerap bertemu di perpustakaan untuk mencari maklumat dan juga menghabiskan masa membaca dan mengulang kaji pelajaran.

"Di luar bilik kuliah, kami keluar secara berkumpulan dan begitulah hari-hari yang saya lalui sehingga terbit bibit-bibit kasih, namun kami masing-masing memendam perasaan.

"Mujur seorang sahabat sanggup menjadi orang tengah dan kami disatukan sebagai pasangan kekasih. Syukur kerana cinta kami mendapat restu daripada keluarga. Akhirnya setelah hampir setahun bertunang, kami disatukan sebagai suami isteri.

"Kami dikurniakan dua orang anak, yang sulung berusia 11 tahun dan yang kedua lapan tahun. Melihat mereka membesar, satu kepuasan dan keluarga adalah segalanya dalam hidup kami.

"Anak-anak umpama permata yang menyinari dan membahagiakan sesebuah keluarga. Oleh itu, setiap ibu bapa wajib menyempurnakan amanah tersebut. Jika betul didikan maka terhasil sebuah kehidupan yang harmoni. Itulah yang kami lakukan untuk mendapatkan anak soleh dan solehah serta keluarga bahagia mengikut syariat.

"Isteri saya mohon untuk bersara awal kerana mahu menumpukan perhatian kepada keluarga dan saya amat gembira dengan keputusan Suri.

"Hari bertukar tahun akhirnya saya dinaikkan pangkat. Ini rezeki untuk keluarga dan saya bersyukur kerana mendapat perhatian daripada pihak atasan serta berjanji untuk meningkatkan lagi prestasi tugasan yang telah diamanahkan.

"Suasana di pejabat tidak sama seperti di rumah yang mana setiap kerja boleh ditangguhkan. Di pejabat, segalanya memerlukan kepantasan untuk menyiapkan tugasan jika diminta berbuat demikian.

"Rakan sekerja saya, Siti (bukan nama sebenar) menjadi teman setia saya dalam melakukan kerja-kerja di pejabat, sebab kami berada di unit yang sama.

"Dalam diam, Siti menyimpan perasaan terhadap saya walaupun dia berstatus isteri orang. Saya pura-pura tidak memahami perasaannya, sebaliknya terus menumpukan pada perkara yang melibatkan tugasan rasmi kami seperti yang diarahkan.

"Saya selalu berpegang kepada pesanan ibu saya, kita perlu rasional dalam tindakan jika terbabas sukar untuk berpatah balik atau membuat pusingan U.

"Setiap kali bila kelapangan saya akan menghubungi isteri di rumah, bertanyakan khabar dan menu apa yang disediakan untuk kami sekeluarga.

"Walaupun disindir oleh rakan-rakan tetapi bagi saya itu satu cara untuk mengelak daripada terjebak dengan hubungan terlarang yang amat dahsyat kesannya.

"Siti sesekali menyindir saya kerana menolak pelawaannya untuk makan bersama. "Hai takutkan orang rumah ke?" tetapi saya tidak memberi apa-apa respons kerana sudah masak dengan kerenahnya yang suka mengambil kesempatan.

"Kerana terlalu marah dengan saya yang tidak melayannya, Siti telah menyebarkan cerita yang kononnya rumah tangga kami sedang dilanda badai. Berita yang kurang menyenangkan ini sampai ke pengetahuan isteri saya.

"Suri amat memahami situasi di pejabat kerana dia juga pernah bekerja, jadi dia abaikan sahaja hal tersebut bila saya menceritakan hal yang sebenar. Untuk apa mengundang dosa jika kebahagiaan telah berada dalam genggaman.

"Pelbagai idea Siti lakukan untuk menjerat saya tetapi saya tidak sebodoh yang dia fikirkan. Setelah berbincang dengan isteri di rumah, saya akhirnya mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan yang tinggi dan lumayan gajinya demi menyelamatkan rumah tangga saya.

"Tindakan saya telah mencetuskan pelbagai tanggapan dalam kalangan rakan-rakan tetapi saya diamkan sahaja kerana tidak mahu mendedahkan aib seorang wanita yang bergelar isteri orang.

"Jika dilayan akan menjadi-jadi perangainya, mengalahkan orang bujang. Malah dia langsung tidak rasa bersalah dan malu dengan perangainya itu.

"Kini, saya merasa tenteram dan aman dengan tugasan baru yang saya pikul. Sekurang-kurangnya saya tidak diganggu oleh isteri orang yang menggoda saya di pejabat.

"Kehidupan saya kini lebih membahagiakan dan kerja baru saya juga memberi rezeki yang lebih lumayan untuk kami sekeluarga. Saya amat bersyukur kerana diberi kesedaran lebih awal oleh Allah untuk menyelamatkan rumah tangga saya. Alhamdulillah, terima kasih kepada Suri yang sangat memahami masalah saya dan tidak melatah dengan apa yang saya hadapi.

"Bukan mudah untuk mendapat kepercayaan isteri terutama apabila membabitkan orang ketiga tetapi saya dikurniakan seorang isteri yang baik dan penyabar orangnya.

"Sebagai lelaki, saya amat pelik dengan sikap wanita sekarang yang terlebih berani. Mereka tidak ada perasaan malu dan segan hingga sanggup menggoda lelaki lain sedangkan mereka juga ada suami.

"Apa hendak jadi dengan dunia sekarang, saya pun tidak tahu. Saya berdoa supaya Siti sedar akan perangainya yang salah itu dan mudah-mudahan dia akan insaf dan bertaubat. Hidup ini hanya sementara, jadi sebelum terlambat elok kembali ke pangkal jalan.

"Sepatutnya dia malu dengan sikap buruknya itu setelah saya tidak melayannya tetapi ini tidak, dia semakin menjadi-jadi hingga saya terpaksa mengambil keputusan berhenti kerja.

"Selepas ini, saya tidak tahu siapa pula yang akan menjadi mangsanya. Harapan saya, semoga dia menghentikan perangai buruknya itu dan kembali mentaati suami yang sangat mencintainya.

"Saya kesal kerana suaminya tidak tahu isterinya berperangai begitu dan mudah-mudahan Allah akan membuka pintu hatinya untuk kembali menjadi isteri yang solehah. Kepada para suami di luar sana yang mungkin menghadapi situasi sama seperti saya, jangan melatah dan mengikut arus. Kalau boleh elak, elok mengelak.

"Fikirkan masa depan anak-anak, fikirkan pengorbanan isteri. Tumpukan perhatian terhadap keluarga kerana mereka adalah amanah Allah. Masalah boleh selesai jika kena caranya. Semoga Allah merahmati keluarga saya di dunia dan akhirat. Amin, Zabidi menamatkan ceritanya.

Terkedu saya dengan cerita Zabidi. Memang Zabidi terbukti seorang suami yang baik, prihatin dan sayangkan isteri dan anak-anaknya.

Sebagai ketua keluarga, Zabidi telah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik. Pengorbanannya meletak jawatan kerana menjaga maruahnya amat dipandang tinggi. Alangkah bahagianya rumah tangga jika ada ramai lagi lelaki seperti Zabidi dalam masyarakat kita.

Doa saya agar Allah makbulkan doa Zabidi untuk kebahagiaan keluarganya di dunia dan akhirat.

Menamatkan catatan, pesanan saya, wanita insan yang dikurniakan dengan keajaiban, dia boleh menjadikan sesebuah rumah itu seperti syurga dan bisa menukarnya menjadi sebuah neraka.

Salam

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat