Utusan Online - Kota
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Kota |
- Dari jambatan ke rumah DBKL
- Enam beranak akan dibantu secara berterusan
- 'Macam tidak percaya dapat rumah'
Posted: 19 May 2014 11:54 AM PDT Oleh MOHAMAD HARITH MOHAMAD NIZAR Empat kanak-kanak ini melompat keriangan setelah berpindah masuk kediaman baharu mereka di Perumahan Awam Desa Rejang, Setapak, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN KUALA LUMPUR 19 Mei - Semuanya bermula selepas jurugambar Utusan Malaysia, Amir Hafiz Abd. Rahman ternampak kelibat empat kanak-kanak gelandangan sedang bermain di bawah jambatan di Lebuh Pasar Besar di sini pada minggu lalu. Selepas dia menghampiri kanak-kanak tersebut dan bertanya lebih lanjut maka terbongkarlah kisah hidup kanak-kanak berkenaan bersama ibu bapa mereka yang mendiami kawasan itu sejak Jun tahun lalu. Kesempitan hidup memaksa keluarga ini hidup gelandangan dengan bergantung harap kepada ihsan orang ramai untuk memberi sesuap nasi bagi mengisi perut. Seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia hari ini, keluarga terbabit tidak mempunyai tempat berteduh daripada hujan dan panas serta menjadikan jambatan konkrit tersebut sebagai rumah mereka. Tinjauan yang dibuat sekali lagi di bawah jambatan di Lebuh Pasar Besar di sini hari ini mendapati, keluarga tersebut baru sahaja bangun daripada tidur dan kanak-kanak terbabit sudah mula bermain serta berlari-lari ke sana sini. Penulis dan jurugambar turun serta-merta ke lokasi terbabit bagi mendekati keluarga itu dan mendapatkan maklumat mengenai kisah hidup mereka. Seperti yang dijangka, bapa kepada empat kanak-kanak terbabit, Ishak Jalil, 49, dan isterinya, Juliana Jalil, 29, tidak mengetahui laporan yang disiarkan Utusan Malaysia mengenai kehidupan daif mereka di kawasan itu. Walaupun pada mulanya terkejut dengan kehadiran kami, dia tetap tenang menghadapi situasi itu apabila kami memperkenalkan diri masing-masing. Menurut pasangan itu, anak-anak mereka tidak mempunyai rakan-rakan selain sesama adik beradik tersebut kerana tidak berpeluang bersekolah seperti kanak-kanak yang lain. Mereka juga hanya mengisi masa lapang dengan membaca buku hasil sumbangan pertubuhan bukan kerajaan dan memancing ikan. Lebih menyedihkan, salah seorang daripada adik-beradik itu yang merupakan anak sulung, Norazman, 10, adalah orang kurang upaya dan amat memerlukan perhatian. Penulis tersentuh seketika apabila dia datang ke arah penulis sambil memeluk serta meminta supaya diajar cara-cara menulis, melukis dan mewarna kerana tidak pernah diberi pendidikan formal mengenai kemahiran tersebut. Ketika itu terbayang bagaimana sukarnya hidup anak-anak kecil ini tidur di bawah jambatan sedangkan kanak-kanak seusia mereka boleh lena dan mengecap nikmat mempunyai rumah yang selesa atau setidak-tidaknya mempunyai bilik tidur. Kedatangan wartawan Utusan Malaysia hari ini turut membawa berita gembira buat keluarga ini apabila disertai oleh Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Wan Muhammad Ghazali Nor serta pihak Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Kehadiran mereka dengan satu matlamat iaitu memindahkan keluarga itu dari bawah jambatan ke sebuah rumah di Perumahan Awam (PA) Desa Rejang di sini bagi keselesaan hidup mereka. Keluarga ini sepatutnya memasuki rumah di bawah kendalian DBKL itu sejak bulan lalu, namun hasrat itu tidak menjadi kenyataan kerana Ishak dan Juliana tidak mampu menyediakan wang bagi membuat penyambambungan bekalan elektrik ke rumah berkenaan. Sebaik pihak DBKL dan MAIWP memberi komitmen untuk memastikan mereka berpindah serta-merta ke rumah yang memiliki tiga bilik itu, anak-anak pasangan itu berteriak riang. Dalam masa beberapa minit, semua pakaian dan barangan mereka dikumpul dan diangkut ke perumahan tersebut sekali gus membuka lembaran baharu dalam hidup keluarga gelandangan ini. Kegembiraan jelas terbayang di wajah anak-anak ini sebaik melangkah masuk ke kediaman baharu di pangsapuri 20 tingkat itu. Paling penting, keluarga ini sudah mempunyai sebuah rumah untuk berteduh. Walaupun tanpa perabot dan televisyen, sekurang-kurangnya mereka tidak perlu tidur bertemankan bunyi cengkerik dan gigitan nyamuk di bawah jambatan berhampiran Sungai Klang. |
Enam beranak akan dibantu secara berterusan Posted: 19 May 2014 11:54 AM PDT KUALA LUMPUR 19 Mei - Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan membantu sebuah keluarga gelandangan yang sebelum ini tinggal di bawah jambatan konkrit di Lebuh Pasar Besar berhampiran Pasar Seni di sini secara berterusan. Pengurus Bahagian Baitulmal MAIWP, Mohd. Nizam Yahya berkata, pihaknya akan membiayai bayaran sewa rumah sebanyak RM124 sebulan bagi meringankan beban keluarga terbabit. Jelasnya, ia termasuk bantuan tahunan seperti kos sara hidup antara RM200 hingga RM700 sebulan, bantuan am persekolahan berbentuk biasiswa untuk anak-anak mereka berjumlah RM400 hingga RM600 setiap seorang selain meningkat mengikut tahap pengajian. Apa yang penting, golongan asnaf seperti ini juga perlu berusaha untuk mengubah taraf hidup dan keluar daripada kepompong kemiskinan. Pihak Baitulmal akan cuba membantu mereka sedaya upaya dengan syarat mereka perlu berusaha mencari pekerjaan bagi menampung perbelanjaan keluarga," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini. Katanya, keluarga berkenaan akan terus dipantau dari semasa ke semasa selain bantuan seperti bantuan persekolahan dan kewangan akan disalurkan. Saya berharap mereka dapat berubah dan meningkatkan taraf hidup demi masa depan anak-anak mereka. Jika mereka mahu meneruskan hidup sebagai geladangan, kami tidak boleh buat apa-apa lagi," ujarnya. Dalam perkembangan sama, Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti DBKL, Wan Muhammad Ghazali Nor pula berkata, pihaknya telah memberi surat tawaran kepada keluarga itu untuk memasuki PA Desa Rejang pada 15 April lalu. Jelasnya, mereka lewat memasuki unit tersebut disebabkan masalah kewangan selain tidak mampu membuat pendahuluan pembayaran untuk penyambungan bekalan bil elektrik berjumlah RM150. Sebelum ini pihak DBKL dan Baitulmal telah berbincang bahawa Baitulmal akan membiayai segala pembayaran deposit sewa dan bulanan terus kepada DBKL termasuk bantuan lain. Mengenai bil elektrik itu, saya bersetuju untuk memberi bayaran pendahuluan dan ia telah diselesaikan hari ini," katanya. Menurut beliau, selepas pembayaran itu dijelaskan, keluarga tersebut dibenarkan menduduki unit PA Desa Rejang itu mulai hari ini. Kami berharap selepas mereka menduduki unit tersebut mereka dapat mendiami kediaman yang disediakan itu dengan baik. Pihak Baitulmal bersedia untuk memantau bagi memastikan mereka mencari pekerjaan untuk menyara keluarga. Selain itu, diharapkan anak-anak mereka dapat bersekolah dan menjalani kehidupan normal seperti orang lain dan bukan semata-mata mengharapkan bantuan," katanya. Sementara itu, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun bank CIMB bernombor 7003099079 atas nama Ishak Jalil. |
'Macam tidak percaya dapat rumah' Posted: 19 May 2014 11:54 AM PDT Ishak Jalil (kiri) bersama isteri dan anak-anaknya dipindahkan dari bawah jambatan ke Perumahan Awam Desa Rejang, Setapak, Kuala Lumpur, semalam. KUALA LUMPUR 19 Mei - Macam tidak percaya dapat rumah. Begitulah ungkapan ibu kepada empat anak, Juliana Jalil, 29, apabila melangkah masuk ke rumah mereka hari ini di Perumahan Awam Desa Rejang setelah mendapat bantuan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Menurutnya, keluarganya akan memulakan kehidupan baharu sambil melupakan segala kisah silam yang menghantui diri mereka sehingga terpaksa menjalani kehidupan di bawah jambatan. Harap tiada lagi rintangan untuk kami meneruskan kehidupan seperti insan yang lain kerana setiap keluarga menjadikan perumahan sebagai asas dalam hidup ini. Kini, kami perlu memastikan anak-anak dapat kembali ke sekolah bagi mendapatkan pendidikan seperti kanak-kanak yang lain kerana mereka masih mempunyai masa depan," katanya ketika ditemui di sini hari, ini. Sementara itu, suaminya, Ishak Jalil, 49, berazam untuk terus mendapatkan pekerjaan selepas anak-anaknya itu berjaya ditempatkan di sekolah bagi menjana pendapatan dalam menyara kehidupan keluarga. Saya masih berpegang kepada janji iaitu hanya mencari pekerjaan yang halal kerana Allah S.W.T. boleh menarik segala kemewahan kita dalam sekelip mata jika sumber kewangan itu haram. Segala yang terjadi selama ini saya ambil sebagai satu pengajaran dan saya bersyukur kerana hari ini saya dapat masuk ke rumah ini selepas beberapa bulan tinggal di bawah jambatan," katanya dengan nada tenang. Mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu dua orang anak lelaki, Norazman, 10, dan Norhaikal, 5, serta dua perempuan, Nurhidayah, 9, dan Nurfatehah, 4. Sementara itu, Ishak berkata, Norazman yang merupakan orang kurang upaya bercita-cita mahu menjadi anggota bomba. Menurutnya, anak-anak yang lain mahu menjadi anggota polis, peguam dan doktor. Ishak turut menafikan bahawa keluarganya menerima bantuan kewangan yang besar selama ini kerana hanya makanan, minuman, pakaian serta barangan lain yang disalurkan oleh orang ramai serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Menurutnya, mereka sekeluarga hanya bergantung kepada belas ihsan orang ramai selain NGO Ketika ini, saya tidak boleh melakukan sebarang pekerjaan kerana perlu menjaga anak-anak, tetapi jika sudah mendapat rumah, barulah perkara itu dapat dilakukan kerana mereka terjamin apabila hidup dibawah bumbung," tekadnya. Menurutnya lagi, mereka sudah hidup di bawah jambatan tersebut apabila mereka sekeluarga diminta berpindah dari rumah didiami selama ini yang dianggap kawasan setinggan di Selayang. Mengakui hidupnya penuh dengan kisah hitam dan pernah hidup mewah, Ishak menyatakan, dia kini sudah insaf. Kalau betul saya mahu kembali menjalani kehidupan lama, tidak mungkin kami sekeluarga akan tinggal di bawah jambatan ini yang tidak selesa dan mempunyai persekitaran kotor. Saya sudah berubah dan insaf terhadap segala aktiviti yang dilakukan selama ini kerana tiada guna hidup mewah jika hati tidak tenang," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |