{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Pahang

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Pahang


Usah pertikai usaha kerajaan

Posted: 28 May 2014 12:08 PM PDT

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanktn@gmail.com

Abu Bakar Harun (empat dari kiri) memeluk warga emas, Ngah Debut (tiga dari kiri) sewaktu hadir pada Program Jelajah Akar Budi Jalinan Kasih di Dewan Serbaguna Felda Bukit Tajau, Maran, baru-baru ini.

MARAN 28 Mei - Masyarakat digesa supaya tidak mempertikaikan dan menyekat usaha murni kerajaan dan Felda dalam mengangkat martabat, integriti dan keselesaan warga peneroka sebagai komuniti yang disegani dunia.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Abu Bakar Harun memberi ingatan itu kerana ada pihak di dalam dan di luar Felda khususnya pembangkang hanya melihat usaha itu daripada sisi keburukan sahaja.

Menurutnya, jika kerajaan atau warga Felda sendiri terpengaruh dengan dakyah pembangkang itu, sudah tentu kemajuan pembangunan sebagaimana dinikmati sekarang hanya tinggal impian.

"Kini semua pihak mengagumi dan memberi perhatian besar kepada agensi itu malah sudah melakar sejarah dalam berurus niaga ke peringkat global hasil perancangan jitu dan di luar kebiasaan pemimpin negara.

"Pada masa yang sama kebajikan dan kepentingan masyarakat Felda tidak pula diabai malah sentiasa diberi penambahbaikan dalam semua aspek kehidupan komuniti tersebut.

"Ini selari dengan keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberi suntikan dan anjakan baharu kepada masa depan warga Felda dengan lebih gemilang," katanya.

Abu Bakar berkata demikian ketika berucap dalam program Jelajah Akar Budi Jalinan Kasih di Dewan Serbaguna Felda Bukit Tajau di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luit, Norhifdayah Mohd. Shahaimi; Timbalan Pengurus Besar Felda Wilayah Jengka, Sapie Embong dan Pengurus Felda Bukit Tajau, San Hanafi Wan Min.

Dalam perkembangan berkaitan Abu Bakar berkata, program tersebut akan dijadikan aktiviti untuk mendekati warga Felda di 115 tanah rancangan di negeri ini.

Menurutnya, program santai seperti ini mampu memahami masalah masyarakat selain mengetahui kehidupan harian golongan tersebut yang mungkin memerlukan sentuhan tambahan pemimpin kerajaan.

"Pendekatan sedemikian didapati mampu mengukuhkan hubungan ukhuwah antara pemimpin dengan rakyat kerana permasalahan mereka didengari lalu dibantu," katanya.

Katanya, walaupun Felda dan agensi kerajaan lain sentiasa memberi perhatian kepada golongan itu tetapi masih ada masalah rakyat seperti kemudahan infrastruktur, bantuan kebajikan dan sebagainya turut diambil kira.

"Melalui program ini saya sendiri bersama wakil rakyat setempat dan pegawai Felda akan turun padang menemui penduduk khususnya menziarahi warga emas, pesakit kronik dan golongan memerlukan," katanya.

Gempek platform anak muda jana pendapatan

Posted: 28 May 2014 12:08 PM PDT

RAUB 28 Mei - Kelab Generasi Muda Pekebun Kecil (Gempek) yang ditubuhkan dua tahun lalu perlu dijadikan platform anak-anak pekebun kecil menjana pendapatan dan tidak terhad kepada menjalankan aktiviti kemasyarakatan atau luaran sahaja.

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Usahawan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, golongan muda yang menyertai kelab berkenaan perlu merebut peluang dengan menceburkan diri dalam bidang perniagaan termasuklah berkaitan pertanian.

"Semua yang terlibat dalam kelab ini hendaklah muafakat menggunakannya bagi menjana pendapatan dengan melibatkan diri menerusi bidang perniagaan.

"Bersungguh-sungguh fikir apa perniagaan sesuai dan berpotensi dengan memanfaatkan segala peluang yang ada seperti daun getah, kayu getah, sawit dan sebagainya," katanya ketika berucap dalam perasmian Karnival Gempek peringkat daerah di Taman Tasik Raub, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Pekebun Kecil Getah (RISDA) negeri, Zulkefli Zaini.

Menurut Shahiruddin, agensi kerajaan seperti RISDA dan juga pelbagai agensi lain bersedia memberi bantuan seperti bantuan kewangan serta khidmat nasihat bagi membantu golongan muda menceburkan diri dalam perniagaan.

Justeru katanya, golongan itu perlu berani melibatkan diri dalam bidang tersebut yang dapat menjamin masa depan lebih hebat dan cerah.

"Perasaan malu hendaklah dibuang bagi memastikan mereka mampu berdaya saing dengan kaum lain yang telah mencapai banyak kejayaan menerusi bidang itu," ujarnya.

Dalam pada itu, Zulkefli berkata, Gempek yang ditubuhkan pada 2012 kini mempunyai kira-kira 1,700 ahli di seluruh negeri terdiri daripada anak-anak pekebun kecil.

Katanya, berdasarkan perancangan dalam tempoh dua tahun pertama pihaknya akan mengenal pasti sebanyak mungkin generasi muda bagi menyertai kelab tersebut sebelum menggerakkan mereka melibatkan diri dalam bidang perniagaan.

"Selepas ini kita akan mula menggerakkan anak-anak muda ini melibatkan diri dalam bidang yang dikenal pasti berpotensi. Kita akan terus membantu dengan memberi khidmat nasihat malah menyediakan geran sebanyak RM10,000 bagi memulakan perniagaan," ujarnya.

Pelajari ilmu penyembelihan haiwan

Posted: 28 May 2014 12:08 PM PDT

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanktn@gmail.com

SHAFIK Fauzan Sharif (kanan) melihat peserta kursus penyembelihan menjalani latihan pada Seminar Penternakan dan Kursus Penyembelihan Halal di Kampung Chat, Benta, baru-baru ini. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD

KUALA LIPIS 28 Mei - Pengusaha sektor penternakan terutama golongan muda diminta menimba pengetahuan dan kemahiran penyembelihan menurut kaedah Islam tanpa bergantung kepada pihak lain.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, ramai pengusaha berkenaan masih mengharapkan bantuan mereka yang lebih tua untuk melaksanakan penyembelihan ternakan bagi tujuan komersial.

Menurutnya, tugas itu sepatutnya dilaksanakan sendiri oleh mereka tanpa meminta bantuan pihak lain atau yang dikira layak khususnya warga emas.

"Saya amat mengharapkan pengusaha terbabit menimba pengetahuan dan kemahiran tanpa bergantung pihak lain sekali gus menjadi sebahagian daripada pengurusan dalam menyelenggarakan ternakan komersial," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Penternakan dan Kursus Penyembelihan Halal di Kampung Chat dekat sini kelmarin.

Menurut beliau, bukanlah sesukar mana untuk menyelenggarakan penyembelihan secara halal dan kekurangan tenaga muda berpunca daripada keengganan mereka sendiri berbuat demikian.

"Tuntutan mendapatkan produk makanan halal menjadi perkara penting di mana sahaja bagi setiap umat Islam kerana pemakanan merupakan ciri utama dalam pembentukan fizikal serta perkembangan minda.

"Pengetahuan tepat dan menyeluruh mengenai kaedah penyembelihan mengikut lunas syariat amat penting kerana berkait rapat dengan faktor kesihatan," katanya.

Shafik Fauzan berkata, Islam meletakkan garis panduan dalam penyembelihan haiwan supaya dagingnya halal dimakan dengan kaedah terbaik dan bersih di samping melaksanakan sembelihan dengan nilai perasaan kasih sayang terhadap ternakan tersebut.

Sehubungan itu katanya, kursus berkenaan dapat memberi pendedahan yang signifikan kepada pengusaha muda dalam sektor ternakan kerana masih ramai tidak yakin dan ragu tentang cara penyembelihan sebenar.

"Kursus berkenaan membolehkan mereka mendapatkan sijil halal untuk operasi di premis dan juga produk keluaran masing-masing.

"Selain teori sembelihan, saya yakin pengusaha benar-benar faham dan menghayati sembelihan menerusi praktikal untuk mengelakkan rasa sangsi sama ada haiwan yang disembelih itu halal dimakan atau sebaliknya," ujarnya.

Dalam pada itu katanya, sembelihan menurut kaedah Islam juga menzahirkan keyakinan sesetengah penduduk dan pengusaha ternakan di negara-negara Barat yang menolak sistem stunning yang disifatkan oleh mereka sebagai proses penyeksaan dan kejam terhadap haiwan sebelum disembelih.

"Islam menitikberatkan keselesaan haiwan itu sebelum disembelih di samping jaminan kebersihan dan kualiti daging selepas proses sembelihan," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat