Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Ulangan pengiktirafan 48 tahun lalu Posted: 02 May 2014 11:27 AM PDT 2009 merupakan tahun Datuk Seri Najib Tun Razak dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Barack Obama dipilih sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) yang ke-44 dan sekali gus memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan AS. Sebaik sahaja memegang tampuk pemerintahan, kedua-dua pemimpin ini menyimpan satu aspirasi untuk membawa perubahan dan transformasi dalam pentadbiran mereka. Dan apabila kedua-dua pemimpin ini bertemu baru-baru ini, Najib dan Obama mempunyai aspirasi yang sama iaitu untuk terus memperkukuhkan kerjasama antara dua negara ini dalam pelbagai bidang. Namun perkara seperti ni bukanlah sesuatu yang baru dan merupakan satu kebiasaan apabila pelbagai kerjasama dapat dihasilkan apabila dua pemimpin bertemu. Apa yang lebih ketara ialah perjumpaan dua pemimpin ini dilihat sebagai usaha untuk mengukuhkan hubungan antara dua buah negara ini yang telah lama terjalin. Ataupun mungkin dalam bahasa yang lebih diplomatik, ialah membina semula hubungan baru setelah agak lama dingin" . Mungkin ini disebabkan semasa pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad dahulu, negara kita tidak gentar untuk memberikan pandangan dan kritikan terhadap dasar-dasar Amerika Syarikat khasnya tentang dasar luar negara itu yang menganggap diri mereka sebagai Polis Dunia. Apa yang dilakukan oleh Dr. Mahathir tidak salah yang mana Malaysia telah membuktikan diri sebagai sebuah negara yang tidak akan mengikut telunjuk kuasa-kuasa besar. Kini pendekatan berbeza dilakukan oleh Najib. Mengukuhkan hubungan tidak bermakna bersetuju dengan apa jua polisi yang dilaksanakan oleh Washington. Lagipun, pemimpin akan bertukar ganti dan di bawah kepimpinan Obama, Malaysia dilihat tidak perlu lantang mengkritik Washington sebagaimana era pentadbiran Dr. Mahathir dahulu. Memang mudah untuk melihat pelbagai isu negatif yang boleh dikaitkan dengan kedatangan Obama ke Malaysia. Apatah lagi apabila ia dikaitkan dengan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA). Dalam hal ini, pendapat tentang kebaikan dan keburukan TPPA adalah berbelah-bahagi. Bahkan di media-media sosial, sudah terdapat pelbagai perbahasan yang menganggap TPPA ini mempunyai risiko yang tinggi jika dilaksanakan. Ini disebabkan terdapat beberapa klausa yang jika dikaji dengan teliti akan merugikan pertumbuhan ekonomi tempatan. Namun begitu, terdapat juga penganalisis ekonomi tempatan yang melihat TPPA dari sudut positif khasnya dari segi dasar perdagangan terbuka yang mana peluang seperti ini perlu direbut oleh negara kita yang sedang membangun dan bakal menjadi sebuah negara maju tidak lama lagi. Mereka menganggap jika Malaysia mahu memainkan peranan yang lebih penting dalam arus globalisasi ekonomi dunia dan tidak mahu ketinggalan hingga boleh dilupakan maka, kita harus menerima hakikat bahawa TPPA adalah kunci kepada jaringan ekonomi antarabangsa. Dengan adanya TPPA akan memperluaskan lagi akses pasaran Malaysia dan merangkumi rakan dagang yang penting seperti AS, Kanada dan juga Mexico. Najib pernah memberi jaminan bahawa Malaysia tidak akan mengikut segala kehendak dan syarat yang terkandung dalam TPPA dan hanya akan menandatangani perjanjian itu mengikut terma dan syarat yang ditetapkan oleh negara kita sendiri. Obama juga faham akan situasi ini dan pernah menegaskan bahawa Tidak pernah ada perjanjian perdagangan yang dipersetujui bulat-bulat oleh semua, pasti ada yang membantah". Obama juga menegaskan lagi yang istilah buli tidak ada dalam kamusnya apabila melaksanakan TPPA itu nanti. Dan pastinya juga Najib telah menyuarakan segala isu ini dan Washington tentunya akan mengambil pandangan daripada Kuala Lumpur akan perkara ini. Perlu diingatkan juga bahawa Malaysia belum menandatangani apa-apa perjanjian yang berkaitan dengan TPPA. Apapun, Kita perlu diberi jaminan yang TPPA akan memberi manfaat kepada perkembangan ekonomi Malaysia. Apakah lagi kesan positif yang kita boleh lihat daripada hasil lawatan Obama ke Malaysia? Selain daripada pengiktirafan kepada kepimpinan Najib yang begitu komited melaksanakan transformasi, Malaysia juga dilihat sebagai sebuah negara yang mampu memainkan peranan yang lebih meluas dan penting dalam isu-isu antarabangsa khasnya di rantau ini. Perkara ini sebenarnya sudah lama disedari oleh Presiden Lyndon B. Johnson ketika melawat Malaysia pada 1966 dahulu yang mana beliau pernah menganggap Malaysia sebagai nadi geopolitik di Asia Tenggara. Itu adalah 48 tahun yang lampau dan itu sebabnya kini Malaysia dilihat sebagai negara yang matang dan mampu menghadapi pelbagai isu di rantau ini. Dan sebagai sebuah negara Islam yang moden dan progresif, Malaysia begitu mudah diterima oleh negara-negara lain sebagai negara yang penting di rantau ini khasnya dari segi ekonomi, politik dan keamanan sejagat. Kedudukan yang stabil di bawah kepimpinan Najib meletakkan Malaysia sebagai salah seorang pemain utama" apabila membincangkan setiap isu antarabangsa di rantau ini. Obama juga pastinya sedar akan perkara ini dan adalah penting bagi Washington untuk terus mengukuhkan hubungan baik dengan Kuala Lumpur agar permulaan baru yang terjalin ini dapat membuka jalan ke arah kerjasama yang lebih mantap dalam pelbagai bidang. * PENULIS ialah Ahli Majlis Perundingan Melayu Malaysia dan blogger Lawyer Pokok Cherry. |
Sekadar gelanggang politik pembangkang Posted: 02 May 2014 11:27 AM PDT Komentar PAKATAN pembangkang mungkin boleh berbangga apabila berjaya menghimpun orang ramai di Dataran Merdeka semalam atas alasan kononnya bagi membantah pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Tetapi perjalanannya sudah jelas membuktikan bahawa perhimpunan yang mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu dijadikan medan politik menyerang kerajaan Barisan Nasional (BN) dan pemimpin-pemimpin negara. Isu GST hanya sekadar menjadi sepanduk sahaja sebaliknya ucapan pemimpin-pemimpin pembangkang lebih banyak melemparkan dakyah kepada kerajaan BN dan membentangkan fakta palsu terhadap pelbagai peristiwa yang berlaku di negara ini. Perhimpunan itu juga dijadikan gelanggang untuk mengecam mahkamah yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan. Itulah sikap pembangkang, mereka mendesak diberi ruang untuk bersuara kononnya ia termaktub dalam Perlembagaan, mereka juga mahu polis akur dengan kehendak mereka berhubung kawasan di mana mereka mahu berhimpun. Semua itu dipenuhi oleh pihak berkuasa tetapi malangnya kebenaran dan sikap tolak-ansur itu dicemari dengan gelagat pemimpin dan penyokong pembangkang yang ternyata mahu mengadakan perhimpunan semata-mata atas dasar politik. Membantah GST hanyalah alasan bagi menghalalkan hasrat mereka untuk menghimpun orang ramai kononnya perjuangan mereka disokong oleh rakyat. Pembangkang memahami majlis-majlis ceramah mereka semakin tidak mendapat sambutan, oleh itu mengadakan perhimpunan jalanan adalah satu-satunya cara bagi menggambarkan bahawa mereka masih ada penyokong. Justeru apabila mereka dibenarkan berarak dan berhimpun di Dataran Merdeka, kesempatan itu digunakan sepenuhnya untuk melaksanakan agenda politik mereka. Atas sebab itulah kita menyaksikan perhimpunan tersebut dicemari dengan pelbagai elemen sehingga menutupi sama sekali bantahan mengenai GST. Oleh kerana pemimpin pembangkang bercakap soal kebebasan maka mereka yang hadir juga menggunakan istilah kebebasan untuk mengetengahkan agenda masing-masing yang tiada kaitan dengan GST, ini termasuklah paling memualkan kelompok pengamal homoseksual. Perhimpunan itu juga sekali lagi menyaksikan sikap tidak bertanggungjawab sesetengah ibu bapa yang akibat ketaksuban politik sanggup mengheret anak-anak mereka dan ada antaranya masih bayi untuk menghadiri perhimpunan tidak berfaedah tersebut. Bayangkan apakah yang terjadi jika tercetus kekecohan di perhimpunan tersebut? Siapakah yang akan dipersalahkan jika sesuatu berlaku kepada kanak-kanak berkenaan? Sudah pasti puak-puak yang taksub ini akan menyalahkan pihak berkuasa, tanpa mahu mengaku bahawa merekalah yang bertanggungjawab meletakkan anak-anak mereka dalam bahaya. Begitu juga apabila ada dalam kalangan peserta perhimpunan yang bertindak liar dengan menyerang jurugambar media. Tindakan ini berlaku kerana mereka sengaja mahu mencetuskan kekecohan supaya pihak polis terpaksa campur tangan, apabila keadaan itu berlaku maka tercapailah matlamat mereka untuk memburuk-burukkan kerajaan. Apa pun, sekali lagi kita berasa kesal apabila seperti biasa, majoriti peserta perhimpunan adalah terdiri daripada orang Melayu khususnya anak muda. Tidak kira yang berserban atau berjubah, bertudung atau berpurdah mereka sanggup menjadi alat dan hamba bagi mencapai agenda politik pakatan pembangkang. Fikirkanlah ketika orang Melayu di dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas begitu ghairah turun ke jalanan untuk berdemonstrasi, bagaimana dengan sekutu mereka khususnya DAP? Apakah kita melihat wajah-wajah penyokong mereka turut berada di Dataran Merdeka? Memang benar, mereka berkumpul tetapi dalam jumlah yang cukup kecil di pekarangan Kuala Lumpur City Centre (KLCC), malah difahamkan mereka menolak ajakan supaya turut berarak ke Dataran Merdeka. Ternyata mereka lebih bijak berpolitik dan mengambil kesempatan berbanding sebahagian orang Melayu yang dilihat seolah-olah begitu mudah diperkudakan dan mungkin juga diperbodohkan kerana ketaksuban politik. Sebab itulah, kita menyaksikan yang sedang memaki-hamun pemimpin negara ialah orang Melayu, yang bergaduh sesama sendiri ialah orang Melayu dan menyerang orang Melayu ialah orang Melayu sendiri. Sememangnya, orang Melayu terlalu seronok mahu berpolitik sehingga ia membuka jalan kepada pemimpin-pemimpin pembangkang untuk mengambil kesempatan ke atas mereka. Atas dasar itu juga, pembangkang bersetuju memilih pemimpin Pas sebagai ketua dalam setiap perhimpunan atau demonstrasi yang telah dan akan diadakan. Bukan kerana pemimpin Pas itu hebat atau mempunyai aura tetapi kerana Pas mempunyai penyokong yang mengamalkan setia membuta-tuli sehingga mereka mudah diperalatkan bagi memenuhi agenda politik PKR dan DAP. Tanpa penyokong Pas belum tentu mana-mana himpunan pembangkang akan dihadiri ribuan orang. Bagaimanapun penyokong Pas sengaja melupakan ketika mereka bersedia memenuhi Dataran Merdeka, perjuangan Islam mereka melalui usaha menegakkan hukum hudud sedang ditentang habis-hbisan oleh kedua-dua parti tersebut. Tetapi politik kebencian yang menyerap dalam pemikiran menyebabkan mereka sanggup diperalatkan biarpun maruah parti menjadi taruhan. Apa pun, perhimpunan anjuran pembangkang itu ternyata tidak mendatangkan apa-apa faedah kepada rakyat apatah lagi negara. Sebaliknya, ia memberi isyarat begitulah pendekatan politik pembangkang selepas ini demi menegakkan perjuangan yang dilihat memaksa rakyat menerima yang benar itu batil, yang batil itu benar. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |