{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Rencana

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Rencana


Aliran ahli sunnah asas perpaduan

Posted: 22 May 2014 11:37 AM PDT

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my

Sebahagian peserta Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah Keenam Pencerahan Tasawwur Ahli Sunnah Wal Jamaah tekun mengikuti perbincangan di Masjid Kuala Lumpur, kelmarin - UTUSAN/Halim Khalid

APAKAH rahsia rakyat berbilang kaum dapat hidup dengan aman dan damai di Malaysia? Jawapannya kerana kaum Melayu beragama Islam yang merupakan penduduk majoriti di negara ini berpegang kepada aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Ketika membuat pendedahan itu semasa merasmikan Wacana Pencerahan Tasawwur ASWJ, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, aliran itu yang telah sebati dengan masyarakat Islam di Malaysia merupakan faktor utama yang mendidik orang Melayu supaya mengamalkan nilai-nilai wasatiyyah atau kesederhanaan.

Katanya, nilai-nilai kesederhanaan telah dapat mengelakkan umat Islam daripada melakukan tindakan yang melampau dalam hubungan antara kaum dan agama.

"Secara tidak langsung, ajaran ASWJ yang dipegang oleh umat Islam di Malaysia merupakan asas penting yang membawa kepada keamanan, kestabilan dan keharmonian di negara kita.

"Oleh yang demikian, sudah pastilah ajaran ASWJ perlu terus diperkukuhkan dan diperkasakan di Malaysia," katanya pada wacana dua hari anjuran Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur yang berakhir Rabu lalu.

Sejajar dengan saranan Muhyiddin itu, Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Dr. Mohamad Zaidi Abdul Rahman mencadangkan supaya kerajaan dan ilmuwan Islam saling bekerjasama bagi mengekang fahaman asing seperti Syiah, Islam liberal, pluralisme agama dan sekularisme yang dilihat boleh melemahkan aliran ASWJ di negara ini.

"Ini termasuk juga aliran Salafi-Wahabi yang dibawa oleh Muhammad Abdul Wahab serta fahaman akidah yang dibawa oleh Ibnu Taymiyyah, Ibnu Qayyim, Muhammad Abduh dan Rasyid Ridha.

"Fahaman terbabit jelas sekali bertentangan dengan ASWJ yang berpegang kepada ajaran Imam Abu Hasan al-Asyari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi dari segi akidah; Imam Syafie dari segi fikah manakala aspek akhlak dan kerohanian pula berpandukan kepada pendekatan yang dibawa Imam al-Ghazali," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Malaysia Sebagai Benteng ASWJ Alam Melayu: Strategi untuk Memperkasakannya.

Menurutnya lagi, Panel Kajian Akidah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pula memberi definisi ASWJ sebagai golongan yang memahami dan berpegang kepada al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW menerusi para sahabat, tabii dan tabi tabiin serta setia bersama mereka dalam prinsip-prinsip akidah, syariah dan akhlak.

"Antara ciri-ciri umum aliran ASWJ yang digariskan oleh Jakim ialah sikap mengutamakan perpaduan, persaudaraan Islam dan perdamaian; berpegang kepada prinsip tidak memuja pemimpin serta tidak taksub hingga mengkafirkan atau menyesatkan sesama Islam," katanya.

Jelas beliau, penolakan terhadap fahaman asing seperti Syiah, aliran liberal dan sekular mudah dilakukan kerana mereka sendiri tidak mahu dikaitkan dengan identiti ASWJ.

"Tetapi wujud polemik yang boleh mewujudkan perpecahan antara Salafi-Wahabi dan ASWJ kerana sistem rujukan sumber hukum yang sama, malahan masing-masing dengan tegar mendakwa merekalah kelompok ASWJ yang murni," jelas Mohamad Zaidi.

Aliran Salafi-Wahabi adalah bersifat radikal berbanding ASWJ yang sederhana, malahan pengikutnya dikatakan cenderung kepada tindak tanduk bengis dan suka mengkafirkan umat Islam lain selain diri mereka.

Golongan berkenaan mengkafirkan pengikut jemaah tabligh dan menganggap ahli tasawuf Islam sama seperti Yahudi yang perlu diperangi.

Mereka juga menganggap bidaah amalan seperti bacaan qunut ketika solat Subuh, sambutan maulidur rasul, bacaan yasin berjemaah, mengangkat tangan semasa berdoa, bacaan talkin dan majlis tahlil.

Dalam pada itu, pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Zakaria Stapa berkata, pegangan terhadap aliran ASWJ telah berjaya menyumbang kepada kedamaian dan keharmonian dalam kehidupan beragama di Malaysia.

"Dalam lain perkataan, aliran ASWJ sebagaimana yang dipegang, diamal dan dihayati di negara ini telah menjadi paksi perpaduan ummah, sehingga sejarah kita tidak pernah mencatatkan berlakunya pertumpahan darah dan huru-hara atas nama agama.

"Dengan itu, ASWJ merupakan satu aset amat bernilai yang mesti dijaga dan dipertahan sebaik mungkin walaupun terpaksa melibatkan harga yang amat tinggi demi perpaduan dan kemajuan ummah," katanya.

Bagaimanapun, ujarnya, akhir-akhir ini aliran ASWJ cuba digugat oleh pihak-pihak tertentu yang muncul dalam satu gelombang, dengan menggunakan pelbagai pendekatan dan peralatan, bertujuan untuk mengkaburkan identiti ASWJ yang sudah meresap pada asas-asas akidah, fikah, tasawuf dan sistem perundangan di Malaysia.

Katanya, tanpa disedari kurikulum Pengajian Islam di sekolah-sekolah juga sudah diresapi dengan fahaman yang bertentangan dengan ASWJ.

Beliau berkata, dalam kurikulum berkenaan terdapat fahaman Salafi-Wahabi berasaskan ajaran Ibnu Taymiyyah tentang akidah yang membahagikan konsep tauhid kepada tiga bahagian iaitu Tauhid Rububiyyah, Tauhid Uluhiyyah dan Tauhid al-Asma Wal Sifat.

"Keyakinan terhadap tiga jenis tauhid ini adalah bertentangan dengan ayat al-Quran dan hadis yang tidak pernah membezakan makna Rabb dengan makna Ilah.

"Terdapat beberapa implikasi yang menakutkan dari perspektif pegangan akidah hasil daripada kenyakinan terhadap tiga jenis tauhid ini termasuk kecenderungan untuk mengkafirkan sesama Islam.

"Dalam konteks semasa, umat Islam sudah tiada masa untuk berpecah dan berperang sesama sendiri atas sebab apa sekalipun, lebih-lebih lagi atas nama agama, seperti yang sedang terjadi di beberapa negara orang Islam masa kini," katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ASWJ: Satu Kerangka Umum.

Tambahnya, umat Islam di negara ini tidak wajar membiarkan diri mereka dipengaruhi dengan fahaman-fahaman lain sebaliknya perlu terus berpegang kepada aliran ASWJ yang telah terbukti berjaya membawa kesejahteraan.

"Pengikut aliran ASWJ meliputi 90 peratus daripada keseluruhan umat Islam di dunia masa kini dan hakikat berkenaan menunjukkan ia merupakan golongan arus perdana umat Islam sejak zaman berzaman.

"Dari sudut ini sahaja pun sudah boleh menunjukkan betapa ASWJ merupakan satu aliran atau mazhab yang ortodoks dan autentik mewakili keseluruhan ummah dengan membawa bendera kebenaran dan ketulenan ajaran Islam yang maha suci.

"Ini kerana, menjadi amat sukar diterima akal majoriti, sebegitu besar umat Islam akan bersekongkol memperakui perkara yang sesat dan tidak benar," ujar beliau.

Sanggahan berasas humanrightisme

Posted: 22 May 2014 11:37 AM PDT

POLEMIK Hak Asasi Manusia (HAM) memang menarik minat ramai. Ada yang mengatakan ia Islamik, tidak Islamik, anti-Islamik atau tiada kena-mengena dengan Islam.

Justeru apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyanggah agenda HAM versi sekular barat yang digelar sebagai humanrightisme itu baru-baru ini, ada pelbagai respons masyarakat termasuk ada yang 'kepanasan dan kecewa.

Mereka mengatakan Malaysia hipokrit apabila menjuarai perjuangan kesederhanaan Islam di peringkat antarabangsa sementara hakikat di negara sendiri menindas sekelompok minoriti berlainan kefahaman. Sejauhmana kebenaran dakwaan ini?

Ikuti temu bual wartawan Utusan Malaysia, MOHD. RADZI MOHD. ZIN dengan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), DATUK OTHMAN MUSTAPHA bagi mengupas isu ini.

UTUSAN: Apakah perspektif Islam terhadap agenda HAM ?

OTHMAN: Dalam mendepani polemik HAM ini terdapat sekurang-kurangnya tiga tanggapan berbeza terhadapnya. Yang pertama, golongan yang saya istilahkan sebagai ultras HAM yang merasakan bahawa HAM ini tidak ada kena-mengena dengan tradisi Islam. Ia merupakan produk eksklusif tradisi sekular barat (barat bukan hanya merujuk kepada geografi dan bangsa tetapi cara berfikir dan menanggap sesuatu) yang haram dikaitkan dengan peradaban selain barat terutamanya Islam.

Jika ada cubaan untuk menyerap tradisi Islam ke dalam wacana HAM ini, agama (Islam) dan syariah itu harus disesuaikan dengan tradisi barat terlebih dahulu.

Pendapat kedua menyatakan bahawa Islam telah lama beragenda dalam membela HAM ini. Bukti terbesarnya adalah kedatangan Islam itu sendiri yang membebaskan manusia daripada belenggu kejahilan yang mengakibatkan bermacam-macam kezaliman dan penindasan.

Sementara ketiga ialah golongan anti-HAM yang menolak secara total fenomena HAM yang dirasakan sebagai sebuah agenda sekular yang mahu menjauhkan Islam daripada hati penganutnya dengan menerapkan pandangan alam barat secara menyeluruh. Nyata daripada tiga kelompok ini, kelompok kedua adalah yang mewakili pandangan yang menepati.

Jika begitu, kenapa ramai pendokong HAM versi liberal/sekular ini merasakan Islam sebagai bermusuhan dengan agenda HAM?

Islam memang bertentangan dengan agenda HAM versi yang mereka bawa. Agenda hak manusia sekular yang meletakkan manusia pada posisi paling sentral berbanding ketuhanan ini adalah tempias humanisme peradaban barat moden yang bertentangan dengan Islam.

Hakikatnya apabila bercerita mengenai HAM yang sebenar, Islamlah yang paling memelihara hak manusia itu.

Perjuangan Islam yang mengangkat darjat persamaan, kebebasan dan penghormatan ini terzahir melalui idea persamaan manusia tanpa mengira bangsa, kaum dan agama, hak kepada keadilan, kebebasan individu, tanggapan tidak bersalah sehingga disabitkan, hak asasi golongan tertentu seperti wanita, kanak-kanak, pelarian, tawanan perang dan lain-lain termaktub secara jelas di dalam al-Quran dan juga hadis.

Melalui asas ini generasi ulama dan para pemikir Islam beransur-ansur dan sistematik membina struktur hak asasi yang menyeluruh berkaitan dengan Tuhan, alam dan manusia itu sendiri.

Persepsi bahawa HAM itu melampaui batas agama Islam nyata satu kekeliruan. Jika ada yang menjustifikasi kenyataan tersebut berdasarkan kurangnya penekanan terhadap perbahasan hak asasi oleh agama Islam, nyata ia adalah sejauh-jauh kefahaman. Kurang perbahasan khusus HAM tidak bermakna hal ini dikesampingkan.

Hakikatnya penekanan terhadap HAM itu tertuang secara transcendent di dalam syariah melalui prinsip maqasid syariah (menerusi ad-dharuriyatul khamsah atau juga disebut al huququl insan fil Islam) yang meletakkan hak insan sebagai salah satu syarat pentingnya. Ini bermakna perbahasan mengenai HAM ini tidak dapat lari dari agama malah ia adalah semangat yang ditekankan di dalam syariat itu sendiri.

Sebahagian pendokong liberal dan HAM ini sebenarnya menyedari HAM adalah tidak mutlak dan adanya batasan dalam kebebasan namun mahu agar diri mereka sendiri yang menentukan batasan tersebut, apa komen Datuk?

Perjuangan menentang adanya apa yang diistilahkan sebagai autoriti agama sudah sekian lama berkembang sejak lahirnya liberalisasi agama itu di barat. Hakikatnya mereka mahukan sebuah agama yang private.

Bagaimanapun Islam bukan agama persendirian. Konsep amar-maruf nahi munkar itu sangat rapat dengan prinsip membela kemaslahatan umum. Sebenarnya merekalah yang mahu menjadi autoriti itu.

Saya juga ingin tekankan dalam konteks perbahasan HAM ini, adakah seorang hamba mempunyai hak melangkaui apa yang ditentukan Tuannya? Namun seringkali tatkala membahaskan hubungan antara insan dan Tuhan seakan-akan konteks hamba dan tuan ini diabaikan. Tanpa mengerti kedudukan manusia, mana mungkin kita mampu menentukan apa yang menjadi hak bagi sesebuah jiwa itu.

Pengertian agama itu sendiri berkait rapat dengan konsep keberhutangan makhluk kepada Tuhan yakni hutang kewujudannya itu sepatutnya telah meletakkan manusia pada posisi yang sangat hina di hadapan Tuhannya. Justeru mempertikaikan atau menuntut hak yang tidak diberi Tuhannya adalah satu kejanggalan.

Golongan pendokong HAM ini sering menempelak golongan agamawan ataupun autoriti agama sebagai terlalu prejudis dan bersikap konservatif. Apa komen Datuk ?

Prejudis kita berasas. Trend HAM ini dengan sengaja didoktrinkan secara manis sarjana di barat kononnya ia tiada kaitan dengan agama ataupun wacana pandangan alam barat yang komprehensif. HAM kononnya tidak menjejaskan mana-mana agama. Namun hakikat yang berlaku adalah agama itu ditundukkan di hadapan HAM.

Memanglah Islam tidaklah ditumbangkan secara zahir, namun syariat-syariat yang ditundukkan apabila bertentangan dengan teori HAM sekular itulah yang meruntuhkan Islam.

Sejauh mana Datuk melihat ancaman akidah yang boleh memberi kesan kepada masyarakat melalui perjuangan HAM ini ?

Umat Islam sudah berpecah disebabkan parti politik dan kini berpecah disebabkan berbeza kefahaman akidah sama ada di dalam akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) ataupun di luar ASWJ itu sendiri. Justeru perpecahan ini sangat merugikan bangsa dan agama. Kita bimbang umat Islam bergaduh di tengah lebuh orang lain sedang makan di dapur.

Perselisihan ini kini dirumitkan dengan serangan pemikiran berbentuk perjuangan HAM sekular ini. Kita boleh melihat trend golongan HAM sekularis dan juga liberalis masa kini yang memperjuangkan isu-isu HAM ini melalui apa yang mereka katakan sebagai wacana Ilmiah.

Natijahnya hak-hak penganut fahaman Syiah kini bukan didokong oleh mereka yang mengaku Syiah sahaja, malah turut didokong oleh pro-HAM ini. Begitu juga hak-hak kumpulan-kumpulan Qadiani, LGBT dan seumpamanya.

Pendek kata perjuangan HAM ini memangkin pelbagai penyelewengan akidah yang dihalalkan atas dasar kebebasan beriktikad dan berkeyakinan yang mereka anggap teras dalam perjuangan HAM. Mungkin mereka hanya akan percaya bahawa perpecahan ini akan memberi kesan kepada keselamatan dan keharmonian apabila keharmonian itu telah lenyap.

Saya juga ingin tekankan jika pun penyelewengan-penyelewengan akidah ini tidak membawa kepada perpecahan sekali pun, tidakkah menganut atau menyokong kefahaman yang menyimpang itu adalah sebesar-besar kesilapan. Sungguh wacana mereka ini begitu jauh daripada ilmu.

Jika begitu serius agenda HAM ini, bagaimana pendekatan pihak berkuasa menanganinya?

Kita amat menyedari bahawa serangan berbentuk pemikiran sebegini harus dibentengi dengan ilmu jua. Justeru pihak berkuasa agama dengan kerjasama agensi-agensi lain serta badan-badan bukan kerajaan sentiasa bekerjasama mengadakan program-program pencerahan melalui seminar, ceramah dan lain-lain bagi memberi penjelasan kepada masyarakat bukan sahaja berkenaan isu HAM malah isu-isu pemikiran dan akidah yang lain.

Program-program jangka panjang berbentuk pendidikan sentiasa diperhalusi dengan menyemak semula modul-modul pendidikan supaya ia selaras dengan cabaran semasa.

Selain itu, sebagai sebuah negara Islam yang memelihara kesucian agama negara ini, tindakan berbentuk sekatan dan penguatkuasaan terhadap mana-mana usaha untuk menggugat kesucian agama Islam di negara ini harus diambil bagi menutup ruang yang boleh membawa kepada kemudaratan tersebut. Seterusnya kita menyerahkan segala usaha tersebut kepada Allah SWT jua untuk mengadilinya.

Golongan yang merasakan tindakan penguatkuasaan sebagai satu kekerasan sebenarnya sedang mempertikaikan Islam dari segenap sudut. Mereka mempertikaikan tradisi keilmuan Islam sepanjang zaman, mereka mempertikaikan undang-undang dan penggubal dasar-dasar tersebut dan mereka juga sedang mempertikaikan agama itu sendiri.

Permasalahan ini akan lebih diinsafi seandainya kita mengenali siapa seteru atau tandingan kita, apakah helah dan tipu daya serta apakah kekuatan dan kelemahan yang perlu kita baiki.

Semoga kita sentiasa digolongkan dalam kalangan yang melihat kebenaran sebagai kebenaran dan melihat kebatilan sebagai kebatilan.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat