{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Selatan

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Selatan


Terap patriotik peringkat sekolah

Posted: 23 May 2014 12:03 PM PDT

Oleh FADZLY IZAB
utusanmelaka@utusan.com.my

IDRIS Haron (dua dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada penceramah undangan, Ustaz Wan Sohor Bani Leman pada Seminar Suntikan Semangat Patriotisme Melalui Penghayatan Islam Peringkat Negeri Melaka anjuran Institut Kajian Sejarah dan Patriotik di Seri Negeri Ayer Keroh, Melaka, semalam. - UTUSAN/GAIE UCHEL

MELAKA 23 Mei - Semua sekolah rendah dan menengah di negeri ini akan diwajibkan untuk menyanyikan lagu Melaka Maju Negeriku Sayang pada perhimpunan sekolah sebagai usaha meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan pelajar dari peringkat awal.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, usaha mensyaratkan tambahan lagu itu sudahpun dimulakan dan surat pekeliling mengenainya telah dikeluarkan oleh portfolio pelajaran negeri awal bulan lalu ke semua 298 sekolah di negeri ini.

Menurutnya, semua sekolah rendah dan menengah ini juga telah dibekalkan dengan cakera padat lagu berkenaan sebagai tambahan bagi lagu sedia ada iaitu Negaraku, Melaka Maju Jaya serta lagu sekolah.

"Buat masa ini, beberapa buah sekolah telah mula melaksanakannya semasa perhimpunan serta program rasmi dan ia diharap dapat dilaksanakan di semua sekolah seluruh negeri dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Suntikan Semangat Patriotisme Melalui Penghayatan Islam peringkat negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Yang turut hadir, sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Othman Muhamad; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Warisan negeri, Datuk Norpipah Abdol dan Pengerusi Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme (Iksep), Prof. Datuk Dr. Mohd. Jamil Mukmin.

Idris berkata, beliau percaya tambahan lagu tersebut akan mampu menaikkan rasa sayang terhadap negeri ini khususnya dengan lirik yang cukup baik.

"Rentak dan melodi lagu ini juga sesuai dan diminati golongan muda dan dengan menghayatinya kita boleh menerap dan membuka fikiran mereka serta mempunyai semangat cintakan tanah air yang mendalam," kata beliau.

Sementara itu katanya, program suntikan semangat patriotik melalui penghayatan Islam itu amat bertepatan malah bersesuaian dengan Hari Kemerdekaan negara yang bakal disambut tiga bulan lagi.

Namun katanya, usaha menanam semangat patriotisme tidak perlu berlaku mengikut musim tetapi harus dilaksanakan sepanjang masa serta konsisten bagi mengingatkan kumpulan masyarakat untuk bersyukur atas nikmat kemakmuran dan keamanan negara.

"Melalui program ini, orang muda dapat diterangkan mengenai betapa penting rasa kasih dan sayang kepada watan mengikut penghayatan Islam dan jika tidak dilakukan, ia dikhuatiri akan mengakibatkan kelalaian seterusnya merosakkan apa yang telah kita bina selama ini," tegasnya.

Tambahnya, masyarakat bukan Islam turut diseru untuk sama-sama meningkatkan semangat patriotisme mengikut cara masing-masing berlandaskan kepada rukun negara.

Penswastaan penuh pengurusan sisa pepejal kini di peringkat akhir

Posted: 23 May 2014 12:03 PM PDT

SEREMBAN 23 Mei - Syarikat pengurusan sisa pepejal SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM) kini di fasa terakhir bagi menjayakan penswastaan penuh pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Menurut Pengurus SWM Wilayah Selatan, Dr. Uzir Abdul Malik, syarikat itu percaya dengan bermulanya penswastaan sepenuhnya, pihaknya mampu melaksanakan tanggungjawab pada tahap sebenar.

"Sebelum akhir tahun ini, kita akan melaksanakan dasar penswastaan sepenuhnya untuk tiga negeri dan ini akan dapat menyaksikan SWM menggunakan sepenuhnya petunjuk prestasi utama (KPI).

"Pada masa yang sama juga, ia akan menyaksikan penambahan aset SWM untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik," katanya kepada pemberita selepas hadir Majlis Makan Malam Bersama Media di sini malam tadi.

Jelas beliau selama ini, perkhidmatan yang dijalankan SWM adalah di peringkat interim yang mana ia terbelenggu dengan isu utama seperti bayaran rendah serta bayaran lewat daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan tunggakan bayaran pengurusan yang tinggi.

"Perjanjian interim juga menghalang syarikat mendapat pembiayaan pinjaman daripada institusi kewangan bagi pelaburan kos modal yang amat diperlukan untuk pembelian kenderaan, jentera dan kelengkapan kerja," kata beliau.

Menurutnya, dengan cara ini, SWM ingin meningkatkan tahap perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam mulai tarikh pengumuman dibuat yang mana prestasi kerja akan mengikut KPI baharu yang ditetapkan.

"Dari segi persiapan, secara ringkasnya SWM telah merancang dengan teliti berhubung keperluan tenaga kerja, kenderaan, jentera serta kelengkapan kerja," tambahnya lagi.

Dr. Uzir berkata, kerja-kerja yang dilakukan sama ada perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam setiap hari diatur dan dipantau mengikut jadual yang telah ditetapkan serta menepati kehendak KPI yang ditentukan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPA).

Sementara itu pada majlis yang berlangsung malam tadi beberapa acara diadakan yang turut dihadiri pegawai SWM peringkat negeri, Ketua-Ketua Biro agensi media serta wartawan, bagi menghargai sumbangan media terhadap SWM.

"Media telah banyak membantu mempromosikan segala usaha yang dilakukan oleh SWM dan untuk itu, kita amat menghargai sumbangan media serta berharap hubungan baik ini dapat dipertingkatkan," kata beliau.

Murid cemerlang SK Datuk Akhir Zaman diraikan

Posted: 23 May 2014 12:03 PM PDT

MOHAMAD Hasan bersama pelajar cemerlang dalam UPSR dan Kokurikulum sewaktu majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan UPSR/ UPKK dan Bantuan KWAPM di Sekolah Kebangsaan Datuk Akhir Zaman, Rantau, kelmarin.

REMBAU 23 Mei - Lebih 200 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Akhir Zaman, Rantau dekat sini yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan awam sepanjang tahun 2013 diraikan dalam majlis Anugerah Khas Kecemerlangan di sini semalam.

Mereka menerima sijil penghargaan dan sagu hati berdasarkan keputusan cemerlang dalam Ujian Penulisan Kelas Kafa (UPKK), Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Turut menerima anugerah ialah murid yang cemerlang dalam peperiksaan pertengahan tahun ini, kokurikulum serta penyampaian bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP).

Majlis penyampaian anugerah tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan di dewan sekolah berkenaan.

Mohamad dalam ucapannya berkata, ibu bapa dan guru perlu melakukan gerak kerja secara bersama dalam usaha membantu murid mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang sama ada akademik dan kegiatan di luar bilik kelas.

Katanya, tanpa gandingan kedua-dua pihak itu, usaha untuk melihat murid mencapai kejayaan tidak akan akan kesampaian.

Beliau berkata, sikap sesetengah ibu bapa yang menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab mendidik anak mereka kepada guru adalah tidak baik dan perlu dihindarkan.

"Tidak ada yang mustahil dalam kehidupan ini kerana yang penting ialah meletakkan matlamat untuk berjaya dan bergerak secara bersama menuju ke arah itu," katanya.

Yang turut hadir, Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Kalsom Khalid dan Guru Besar SK Datuk Akhir Zaman, Fadilah Haroon.

Dalam ucapannya, Mohamad mengucapkan tahniah kepada sekolah tersebut yang telah mencatatkan pelbagai pencapaian akademik, kokurikulum dan kegiatan luar sekolah sepanjang tahun lalu.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan bantuan sebanyak RM285,000 untuk 16 buah sekolah di Dewan Undangan Negeri Rantau.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat