Utusan Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Sukan |
Posted: 25 May 2014 12:51 PM PDT Oleh Norzie Mohd. Khasbi Tan Wee Kiong dan Goh V Shem 'Kita kecewa lagi' (kiri) meraikan kejayaan mereka menumpaskan Keigo Sonoda Takeshi Kamura dalam acara beregu kedua pada perlawanan akhir Piala Thomas di New Delhi malam tadi. - REUTERS NEW DELHI - Liew Daren telah berusaha mencatat kebangkitan hebat dan rakan-rakannya juga telah berjuang habis-habisan, namun semangat mereka belum cukup untuk mengembalikan Piala Thomas ke pangkuan Malaysia apabila tumpas 2-3 kepada Jepun malam tadi. Kekalahan ini menyaksikan penantian 22 tahun terus berpanjangan dan impian untuk melihat piala keagungan badminton itu kembali ke tanah air terpaksa ditunda sekurang-kurangnya dua tahun lagi. Selepas kedudukan terikat 2-2, Malaysia sudah di ambang kekalahan apabila Daren tumpas 12-21 pada set pertama. Namun dia menunjukkan semangat melawan yang hebat dengan mengheret lawannya, Takume Ueda bertarung dalam set penentuan setelah memenangi set kedua. Dia ketinggalan 9-15 pada set ketiga dan berusaha keras untuk mengejar namun akhirnya tunduk 12-21, 21-18, 17-21 kepada Takume Ueda. Kemenangan ini memahat sejarah baharu sukan badminton apabila Jepun dinobat sebagai juara buat kali pertama dalam sejarah 65 tahun kejohanan dan Malaysia terus kempunan gelaran selepas kali terakhir memenanginya pada 1992. Biarpun kegagalan bukan nota yang dimahukan oleh 27 juta rakyat Malaysia yang amat mengimpikan kepulangan Piala Thomas sejak kejayaan di Kuala Lumpur itu, namun semangat luar biasa yang dipamerkan pemain-pemain negara wajar diberi pujian, apatah lagi mereka tidak langsung diberi harapan untuk menjejakkan kaki ke final sebelum tiba di New Delhi. Maafkan saya Malaysia. Saya sangat kecewa dengan kekalahan ini, namun saya sudah cuba memberikan yang terbaik tetapi ia tidak memadai. Saya tidak boleh buat apa jika orang mahu menyalahkan saya, tetapi yang penting dalam perlawanan terakhir ini saya berusaha memberikan yang terbaik. Sayang sekali saya gagal memberikan mata kemenangan yang diperlukan oleh pasukan," ujar Daren dengan nada cukup kecewa. Jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei sebelum itu memberi harapan buat Malaysia apabila mengutip mata harapan dengan mudah menundukkan Kenichi Tago 21-12, 21-16 dalam perseorangan pertama. Namun Tan Boon Heong-Hoon Thien How dan Chong Wei Feng gagal meneruskan permulaan baik apabila tewas dalam perlawanan masing-masing untuk menyebabkan Malaysia ketinggalan 1-2. Boon Heong-Thien How tewas 21-12, 17-21, 19-21 kepada pasangan No. 3 dunia, Kenichi Hayakawa-Hiroyuki Endo, manakala Wei Feng gagal memberi tentangan sengit kepada juara remaja dunia, Kento Momota apabila tunduk 15-21, 17-21. V Shem-Wee Kiong bagaimanapun meneruskan rekod baik mereka pada Piala Thomas apabila menyamakan kedudukan 2-2 selepas menumpaskan Keigo Sonoda-Takeshi Kamura 21-19, 17-21, 12-21. Ini adalah pengalaman yang sangat luar biasa buat saya dan saya tidak pernah merasa suasana ini. Saya masih muda tetapi sudah dianggap pemain senior dalam pasukan dan hari ini menyumbangkan mata kemenangan dalam kejohanan yang tidak pernah kami menangi selama ini. Ia perasaan yang sangat mengujakan," kata Ueda yang tidak mampu menyembunyikan kegembiraan sejurus tamat perlawanan. - UTUSAN |
Tengku Abdullah tepati ramalan, menang Presiden FAM Posted: 25 May 2014 12:51 PM PDT Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN dan FADHILUL IZMEL ISHAK Sultan Ahmad Shah menyampaikan watikah penyerahan tugas kepada anakandanya, Tengku Abdullah yang terpilih sebagai Presiden FAM yang baharu menggantikan baginda dalam pemilihan sempena Kongres FAM ke-50 di Shah Alam semalam. - Utusan/Nasirruddin Yazid SHAH ALAM - Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah memenangi jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2014-2018 dalam pemilihan sempena Kongres FAM ke-50 semalam, yang berlangsung sengit dan mendebarkan apabila dibuat dua pusingan. Seperti diduga, penyandang, Sultan Ahmad Shah mengambil keputusan menarik diri pada pemilihan kali ini semasa menyampaikan ucapan perasmian kongres dan menjadikan pemilihan presiden hanya melibatkan dua calon iaitu Tengku Abdullah dan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Pada pusingan pertama, Tengku Abdullah meraih 24 undi sementara Tunku Ismail mendapat 15. Pengundian terpaksa dilakukan sekali lagi kerana berdasarkan Artikel 39.2 bagi pemilihan jawatan presiden, majoriti dua pertiga diperlukan jika terdapat tiga calon memandangkan nama Sultan Ahmad Shah masih terdapat dalam kertas pengundian kerana lewat menarik diri. Apabila keputusan pengundian pusingan kedua diumumkan Tengku Abdullah berjaya mendapat tambahan tiga undi daripada perwakilan, menjadikan 27 undi manakala Tunku Ismail terpaksa berpuas hati dengan 12 undi. Sementara itu, kejutan berlaku dalam pemilihan timbalan presiden apabila calon popular, Datuk Seri Subahan Kamal tewas kepada Datuk Seri Afandi Hamzah dan muka baharu, Datuk Abdul Mokhtar Ahmad. Afandi mendapat 27 undi dengan Mokhtar yang sebelum ini dilabelkan calon underdog, meraih 26 undi untuk menduduki tempat kedua - meninggalkan Subahan yang merupakan Naib Presiden FAM sebelum ini dengan 25 undi. Bagi empat jawatan Naib Presiden pula menyaksikan Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin meraih perhatian apabila mendapat undi paling tinggi dengan 28 undi diikuti Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Rozabil Abdul Rahman, 27 undi, Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datu Sudarsono Osman, 26 undi dan Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM),Datuk Takiyuddin Hassan, 21 undi. Dalam sidang akhbar pertamanya selaku presiden FAM, Tengku Abdullah berkata, beliau tetap memerlukan sokongan daripada semua pihak terutama Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail sambil mengingatkan peminat bola sepak agar jangan terlalu cepat membuat penilaian terhadapnya apabila mengambil alih jawatan itu. Saya mahu mengucapkan tahniah kepada mereka yang berjaya dan pada yang gagal, jangan patah semangat dan patut berbangga kerana dicalonkan. Sebagai Presiden, saya bersedia mendengar pendapat semua pihak dan menghulurkan tangan kepada sesiapa sahaja, saya memerlukan bantuan daripada semua pihak sama ada secara langsung atau tidak langsung, termasuk TMJ juga. Banyak perkara perlu diperbetulkan terutamanya dalam melakukan audit, kewangan, pentadbiran dan hal-hal lain, tambahan pula 10 daripada 15 exco terdiri daripada muka-muka baharu. Nilailah saya dalam tempoh empat tahun, janganlah tunggu hingga 30 tahun dan bersabarlah menunggu perubahan daripada saya. Tidak guna juga pelbagai perubahan dilakukan tetapi para pemain tidak ada sikap mahukan kejayaan," katanya. Jawatan exco pula menjadi milik Datuk Yusof Mahadi, Abdul Aziz Yeop Jamaludin, Datuk S. Sivasundram(penyandang), Alijus@Mohd Ali Sipil, Datuk Osman Salleh(penyandang), Goh Ah Chai, Datuk Mohd. Junid Noor dan Datuk Othman Aziz sementara Exco Wanita yang kali pertama diperkenalkan dimenangi Brig. Jen. Datuk Norhuda Ahmad dan Normala Md. Yusof. Sebanyak 20 badan gabungan terdiri daripada 39 perwakilan layak mengundi dengan setiap persatuan diberikan hak dua undi manakala Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia mempunyai kelayakan satu undi. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |