Utusan Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Sukan |
Wajar lepas jawatan di persatuan negeri Posted: 26 May 2014 12:08 PM PDT Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Wira Mazlan Ahmad (gambar) mencabar mana-mana pemenang dalam pemilihan baharu pucuk pimpinan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kelmarin melepaskan jawatan tertinggi di persatuan negeri masing-masing bagi mengelakkan kemungkinan berlakunya pertindihan kepentingan. Katanya, tindakan itu akan sejajar dengan janji perubahan suasana bola sepak negara oleh Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang mengambil alih 'kerusi panas' Presiden FAM daripada ayahandanya, Sultan Ahmad Shah yang menarik diri, dan selepas menewaskan pencabar tunggal, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, 27 berbalas 12 undi. "(Melepaskan jawatan persatuan negeri) memang sepatutnya dilakukan. Jika sudah berada dalam FAM, mengapa masih sayangkan lagi jawatan di persatuan negeri? Cukuplah kalau sebelum ini jawatan itu dibuat sebagai platform untuk ke FAM. "Nanti sebarang keputusan (setelah dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa tertentu dalam FAM) sukar pula dibuat kerana terasa masih terikat dan seperti ada kepentingan tertentu (apabila melibatkan negeri asal mereka). "Tengku Abdullah sudah memenuhi hasrat perwakilan yang mahukan perubahan pucuk pimpinan dan beliau berjanji untuk melakukannya malah meminta dinilai dalam tempoh empat tahun. "Justeru sewajarnyalah, dan jika betul-betul ikhlas demi bola sepak negara, sebahagian proses perubahan itu ialah supaya penyandang jawatan baharu yang lain tumpukan sepenuh perhatian kepada FAM sahaja," katanya kepada Utusan Malaysia semalam. Mazlan mengulas mengenai kehadiran Timbalan Presiden baharu FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah dan Datuk Abdul Mokhtar Ahmad yang masing-masing merupakan Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan dan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor. Terdapat juga Naib Presiden baharu FAM yang masih menyandang jawatan di peringkat negeri seperti Presiden Persatuan Bola Sepak Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin; Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman dan Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak, Datuk Sudarsono Osman. Mazlan turut melahirkan kebimbangan bahawa suasana atau perjalanan bola sepak negara hanya akan kembali ke takuk atau stail pengurusan lama sekiranya perubahan berkenaan masih enggan diambil serius oleh mereka yang terlibat. "Juga satu tekanan baharu kepada Tengku Abdullah untuk mengotakan janji perubahan itu setelah lawannya yang kalah, pernah tampil dengan beberapa idea (antaranya peruntukan kewangan), yang walaupun mungkin tidak sesuai, masih sesuatu yang menarik perhatian perwakilan," katanya. Namun Tengku Mahkota Pahang itu kata Mazlan, tetap mempunyai kelebihan dari segi pengalamannya sebagai Timbalan Presiden FAM selama beberapa penggal serta kedudukan selaku Naib Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk meniupkan angin perubahan kepada FAM. "Beliau seorang tokoh yang sudah mengenali bola sepak dalam satu tempoh yang lama dan lebih tahu selok-belok FAM. Itulah kelebihannya untuk membuat perubahan berkenaan," katanya. |
Siapa ganti Chong Wei pada 2016 Posted: 26 May 2014 12:08 PM PDT Daripada NORZIE MOHD. KHASBI BAM seharusnya telah memiliki pengganti Lee Chong Wei kerana usianya semakin meningkat dan mungkin tidak bermain selepas Olimpik Rio. NEW DELHI - Tiada siapa pada mulanya memberi harapan kepada Malaysia untuk membawa pulang Piala Thomas di India kerana pasukan negara hadir selaku skuad paling lemah, namun selepas berjaya melangkah ke final dengan menundukkan beberapa pasukan gergasi seperti Indonesia, Denmark dan Korea Selatan harapan itu tiba-tiba naik memuncak. Daripada pasukan yang tidak diberi perhatian, skuad Piala Thomas mencetus fenomena di tanah air sehinggakan sebuah stesen televisyen 'dipaksa' mengadakan siaran langsung pertemuan menentang Jepun kelmarin. Di Facebook dan Twitter pula, perlawanan itu menenggelamkan beberapa perkara penting lain yang berlangsung pada hari yang sama. Selepas 22 tahun tidak merasa nikmat bergelar juara, rakyat Malaysia tiba-tiba terbayangkan Piala Thomas dalam dakapan sebelum akhirnya semua impian mereka dihancurkan oleh Jepun - sebuah pasukan yang sebelum ini hanya dipandang sebelah mata - dalam final yang penuh drama, sengit dan berakhir dengan keputusan skuad negara kalah 2-3. Kekalahan itu menghancurkan hati berjuta rakyat Malaysia, walaupun sebahagian daripada mereka pada awalnya mungkin tidak mengambil peduli terhadap perkembangan badminton negara. Ternyata, skuad yang diketuai oleh jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei itu berjaya meninggalkan kesan besar kepada rakyat negara ini. Biarpun gagal pulang bersama kejuaraan yang sememangnya tidak disasarkan, persembahan dan keyakinan yang ditunjukkan mereka sepanjang hampir dua minggu di New Delhi benar-benar mencuri tumpuan. Chong Wei Feng dan dua kombinasi pecahan, Goh V ShemTan Wee Kiong serta Tan Boon Heong-Hoon Thien How paling menjadi sebutan, manakala Liew Daren yang dikritik kerana mempamer aksi tidak bermaya di awal persaingan, akhirnya memulihkan maruah selepas berusaha sedaya mungkin sebelum akhirnya tumpas 12-21, 21-18, 17-21 kepada lawan yang berada di ranking 25, Takuma Ueda dalam perlawanan penentuan sebelum akhirnya kalah. Fenomena Piala Thomas yang melanda Malaysia seharusnya membuka mata Persatuan Badminton Malaysia (BAM), biarpun Sukan Olimpik di Rio dua tahun dari sekarang menjadi tumpuan utama, kepentingan trofi berpasukan dunia itu juga tidak boleh diketepikan. Jika mereka benar-benar serius untuk membawa pulang gelaran, perancangan lebih tersusun sepatutnya sudah dimulakan dari sekarang. Bayangkan kalau dengan hanya mengadakan kem latihan 10 hari saja pasukan negara sudah berjaya menjejakkan kaki ke final dan menewaskan Indonesia, Denmark dan Korea Selatan, keputusan mungkin akan menjadi lebih baik sekiranya mereka melakukan persiapan lebih serius serta insentif. Selain Chong Wei, pemain-pemain lain seperti Wei Feng, V Shem-Wee Kiong serta Boon Heong-Thien How juga mampu menjadi penyumbang utama mata, dan perkembangan ini sebenarnya menjanjikan harapan kepada Malaysia apabila kejohanan ini kembali dua tahun lagi. Seandainya Chong Wei memilih untuk tidak beraksi pada 2016, Wei Feng dan Daren harus dipersiapkan untuk menggalas tanggungjawab perseorangan utama. Pemain muda seperti Goh Soon Huat, Misbun Ramdan Misbun, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Zulfadli Zulkifli pula perlu bersedia memainkan peranan seperti Kento Momota dan Ueda untuk pasukan Jepun, Soo Hwang Jong dalam skuad Korea Selatan dan Viktor Axelsen untuk Denmark. Kalau melihat kepada barisan sedia ada, mungkin peluang untuk membawa pulang kejuaraan pada 2016 masih dianggap mustahil, tetapi tempoh dua tahun dari sekarang masih panjang. Seandainya pemain-pemain muda berjaya dibangunkan serta dipersiapkan dengan baik, tidak mustahil skuad itu akan lebih mantap daripada yang ada. Sebahagian daripada mereka sudah menimba pengalaman dan mula menunjukkan kematangan, sebahagian lagi membuktikan mereka ada bakat tetapi belum mencapai tempoh matang, manakala dalam kalangan pemain beregu seperti Ow Yao Hao mereka bersedia mengambil alih tempat senior seandainya ada yang tidak menyerlah dalam tempoh dua tahun ini. Biarpun Chong Wei, yang menundukkan Kenichi Tago 21-12, 21-16 dalam aksi pembukaan kelmarin, masih kekal sebagai satu-satunya peraih kejuaraan buat Malaysia, namun keupayaan pemain lain juga sudah boleh diberi perhatian terutama menjelang Sukan Asia dan Sukan Komanwel tahun ini. - UTUSAN |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |