Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Litar pintas, rokok punca kebakaran
- Wan Abdul Aziz kini Ketua Siasatan Jenayah Terengganu
- Seni khat makin mendapat tempat
Litar pintas, rokok punca kebakaran Posted: 16 May 2014 11:46 AM PDT Oleh TOREK SULONG Sebahagian daripada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kelantan yang menyertai Pertandingan Kawad Kecekapan Kebombaan di Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Bachok, Kelantan, kelmarin. BACHOK 16 Mei - Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan mendapati punca utama kebakaran sepanjang tahun ini adalah disebabkan litar pintas dan puntung rokok yang dibuang di merata-rata tempat. Kebakaran yang berpunca daripada puntung rokok menunjukkan peningkatan sebanyak 1,900 peratus iaitu 80 kes dilaporkan sepanjang empat bulan pertama tahun ini berbanding hanya empat kes untuk tempoh yang sama pada 2013 di negeri ini. Bagi kebakaran yang disebabkan oleh litar pintas, sebanyak 56 kes dicatatkan sehingga April lalu dibandingkan enam kes pada jangka masa yang sama tahun lalu dan ini mencatatkan peningkatan sebanyak 833 peratus. Pengarahnya, Azmi Osman berkata, selain itu, musim kemarau yang panjang juga menyebabkan api mudah merebak terutama di kawasan hutan kecil, kebun dan belukar sehingga memaksa pihaknya meningkatkan pemantauan. "Sepanjang Januari hingga April tahun ini, sebanyak 131 kes kebakaran hutan berbanding hanya 20 kes pada tahun 2013. Kebakaran lalang dan belukar pula meningkat kepada 518 kes bagi tempoh sama berbanding hanya 90 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu. "Kebakaran kebun yang dilaporkan ialah 58 kes berbanding 11 kes pada tahun 2013," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas penutupan Pertandingan Kawad Kecekapan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kelantan di Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Bachok dekat sini petang semalam. Azmi berkata, masalah tersebut bagaimanapun berjaya ditangani pihaknya dan keadaan kembali pulih terutama selepas hujan mulai turun baru-baru ini. "Saya menasihatkan orang ramai tidak membakar hutan hanya kerana untuk menebus guna tanah milik mereka untuk kerja-kerja pertanian sehingga menyebabkan kebakaran itu merebak dan sukar dikawal. "Pelbagai pendekatan termasuk penerangan tentang kesedaran kebakaran dan pencegahan awal telah dilakukan, sebagai contoh kita mengadakan kempen kesedaran secara berterusan di masjid, pasar raya dan hotel," katanya. |
Wan Abdul Aziz kini Ketua Siasatan Jenayah Terengganu Posted: 16 May 2014 11:46 AM PDT K. Manoharan (dua dari kiri) menyerahkan dokumen serah tugas kepada Wan Abdul Aziz Wan Hamzah manakala Md. Tahir Kassim (dua dari kanan) menyerahkan dokumen serah tugas kepada Fajarudin Agos sambil disaksikan oleh Jamshah Mustapa (tengah) ketika Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Terengganu di IPK Terengganu di Kuala Terengganu, kelmarin. - UTUSAN/Shaifudin Mohd. Nor KUALA TERENGGANU 16 Mei - Ketua Penolong Pengarah Urusetia, Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Asisten Komisioner Wan Abdul Aziz Wan Hamzah, 56, dilantik Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, berkuat kuasa semalam. Beliau menggantikan Asisten Komisioner K. Manoharan yang akan mengambil alih jawatan yang dipegangnya di Bukit Aman. Selain itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supritendan Md. Tahir Kassim bertukar ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dengan jawatan sama. Tempat Md. Tahir kini diambil alih oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perlis,Supritendan, Fajarudin Agos. Upacara penyerahan dan penerimaan tugas antara keempat-empat pegawai yang diadakan di IPK di sini turut disaksikan Ketua Polis negeri, Datuk Jamshah Mustapa. Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Hamzah Md. Jamil. Ketika ditemui, Wan Abdul Aziz yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan berkata, buat masa ini beliau perlu menilai beberapa perkara sebelum melaksanakan beberapa perubahan mahupun rancangan bagi memperkukuhkan Jabatan Siasatan Jenayah. "Mungkin ada perubahan tetapi kita akan kaji tindakan-tindakan yang bersesuaian untuk meningkatkan keberkesanan perkhidmatan. "Harapan saya adalah untuk memastikan Jabatan Siasatan Jenayah mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada orang ramai sekali gus mengekang jenayah di negeri ini," katanya. Sementara itu, Jamshah berkata, kehadiran kedua-dua pegawai baharu itu diharap dapat membantu polis Terengganu meneruskan perkhidmatan yang cemerlang dalam membanteras jenayah. |
Seni khat makin mendapat tempat Posted: 16 May 2014 11:46 AM PDT KUALA TERENGGANU 16 Mei - Sambutan yang begitu menggalakkan dengan sebanyak 755 peserta menyertai Bengkel dan Pertandingan Seni Khat Al-Qalam peringkat negeri memperlihatkan kesenian Islam itu semakin subur. Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Mohd. Rozali Salleh berkata, selain menyemai kecintaan terhadap seni itu, program bertujuan merangsang kemunculan bakat-bakat pelapis dengan daya cipta bertaraf dunia. Katanya, penganjuran program selama dua hari yang berakhir semalam bertepatan dengan usaha menjadikan Terengganu sebagai negeri Anjung Ilmu dan sehubungan itulah, sebarang aktiviti berkaitan seni khat akan didokong sepenuhnya oleh jabatan atau agensi kerajaan negeri. "Saya melihat Terengganu akan terus menjadi pengeluar produk-produk hasil seni khat memandangkan kerjasama erat dengan pelbagai pihak yang memungkinkan usaha murni ini diteruskan dengan jayanya," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan perasmian penutup dan penyampaian hadiah program itu di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini semalam. Yang hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah TTI Management Sdn. Bhd. (TTIMSB), Datuk Zuber Embong. Program yang julung kali diadakan di sini dianjurkan dengan kerjasama TTIMSB dan bengkel dikendalikan oleh dua orang penulis khat terkemuka Abdul Baki Abu Bakar dan Halias Abu Bakar. Menurut Rozali, dalam usaha menjadi menjadikan negeri ini sebagai pusat perkembangan kesenian Islam, Institut Kaligrafi Islam Antarabangsa (IKIA) yang telah diumumkan pembinaannya di TTI yang dijangka siap sepenuhnya pada 2016. Katanya, IKIA yang menelan belanja kira-kira RM20 juta itu bakal menjadi menjadi pusat kaligrafi yang pertama seumpamanya di rantau ini. Sementara itu, daripada jumlah 755 peserta itu, sebanyak 195 orang menyertai pertandingan seni khat spontan yang terbahagi kepada tiga kategori dengan hadiah keseluruhan bernilai hampir RM17,000. Bagi kategori terbuka, Mohd. Fathy Rosely muncul sebagai juara, diikuti Syed Ubaidillah Syed Mohamad (kedua) dan Muhammad Yazid Samsudin (ketiga) manakala kategori sekolah menengah, Mohammad Amir Nashrullah Mohd. Razib (pertama), Mohamad Afiq Anam (kedua) dan Muhammad Khairul Mukmin Mohd. Saidi (ketiga). Bagi kategori sekolah rendah, Syed Ahmad Syafiq Syed Ibrahim Halmi mendapat tempat pertama, Nur Aina Nasuha Mohd. Jaafar (kedua) dan Muhammad Amir Hassan Shamsulkamal (ketiga). |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |