Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
Posted: 18 May 2014 12:36 PM PDT Oleh Mukhtar A. Rahman KEMAMAN 18 Mei - Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu mengingatkan para penternak agar tidak sewenang-wenangnya menyembelih lembu betina bagi mengelak kepupusan baka dan menjejaskan usaha mengembangkan jumlah ternakan di negeri ini. Pengarahnya, Dr. Abd. Razak Mohd. Zailan berkata, mereka tidak harus memikirkan untuk mendapat keuntungan singkat dengan mengabaikan peraturan yang ditetapkan. Katanya ini kelak akan turut merugikan mereka serta menjejaskan usaha memenuhi bekalan tempatan di samping mengurangkan pergantungan kepada ternakan import. "Jika seekor lembu betina disembelih, maka tujuh generasi (baka) lembu berkenaan akan habis. Kita sudahlah tak cukup daging, untuk mengimport berterusan dari Australia, harganya mahal. "Pengusaha yang ingkar boleh berdepan dengan tindakan undang-undang. Lembu betina yang tidak lagi produktif hanya boleh disembelih apabila disahkan oleh pegawai veterinar bahawa ia tidak lagi boleh membiak atau cedera," katanya. Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri 2014 di sini kelmarin. Abd. Razak dalam pada itu turut meminta para pengusaha memelihara haiwan ternakan dengan baik terutama berkaitan aspek penjagaan kesihatan dan pemakanannya. "Dengan menjaga kebajikan haiwan ternakan, mereka pastinya tidak akan mengalami kerugian tetapi dibalas dengan hasil yang memuaskan dan dapat membantu meningkatkan perolehan. "Sekiranya kesihatan haiwan terjejas, kematian haiwan akan meningkat dan kadar kelahiran menurun. Produktiviti dari hasil pengeluaran susu, telur dan daging akan merosot yang tentunya akan merugikan penternak juga," katanya. Beliau memberitahu, terdapat penternak yang sengaja mengabaikan aspek kebersihan kandang, reban dan longkang sehingga memberi kesan kepada pembesaran haiwan manakala jika seekor diserang penyakit, jika tidak diawasi ia boleh merebak kepada semua ternakan dalam kumpulan. |
Tiga keluarga dapat rumah baharu Posted: 18 May 2014 12:36 PM PDT Nor Azlan Jusoh (dua dari kanan) bersama mangsa banjir yang menerima bantuan rumah di Kampung Teladas, Kemaman, Terengganu, kelmarin. - UTUSAN/Mukhatar A.Rahman KEMAMAN 18 Mei - Tiga keluarga mangsa banjir pada penghujung tahun lalu kini menjalani kehidupan yang lebih baik apabila kediaman mereka yang musnah digantikan dengan rumah baharu sumbangan Maybank Islamic Bhd. dan Yayasan Amal Terengganu. Sebanyak RM170,000 dibelanjakan oleh institusi perbankan dan pertubuhan tersebut bagi menyiapkan kemudahan tempat tinggal untuk keperluan keluarga Mohd. Asri Yahya dan keluarga Jasmi Ahmad di Kampung Teladas serta Juhari Jusoh di Seberang Tayor. Wakil Maybank Islamic, Nor Azlan Jusoh berkata, pihaknya memperuntukkan RM100,000 bagi tujuan itu di bawah program tanggungjawab sosial korporat manakala selebihnya ditampung oleh badan amal itu hasil kutipan derma. "Kita berharap mereka dapat menjalani kehidupan lebih baik," katanya selepas menyerahkan kunci rumah itu kepada Mohd. Asri di Kampung Teladas di sini semalam. Sementara itu, Mohd. Asri menyatakan kesyukuran dan berterima kasih kerana tanpa bantuan itu, sukar baginya untuk membina semula rumah yang sudah rosak teruk. "Saya cuma seorang pekerja kontrak dan berpendapatan sekadar cukup makan satu sekeluarga untuk menampung keperluan harian. "Alhamdulillah, akhirnya dapat juga memiliki rumah baharu ini, saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu," ujar bapa kepada enam anak itu. |
Jelajah karnival sukan Orang Asli Posted: 18 May 2014 12:36 PM PDT GUA MUSANG 18 Mei - Yayasan Bank Rakyat bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan melancarkan program gerak sosial dengan mengadakan siri jelajah Karnival Sukan Murid Sekolah Asli di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis di sini semalam. Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, Norashikin Shaharudin berkata, jelajah tersebut adalah bersempena Karnival Sukan Murid Sekolah Asli yang dijadualkan berlangsung pada 27 hingga 31 Oktober ini dengan negeri ini dipilih sebagai tuan rumah. Katanya, karnival sukan itu diadakan adalah untuk membendung kadar keciciran pelajaran dalam kalangan murid Orang Asli yang masih lagi tinggi. Ujarnya, sebanyak RM150,000 telah diperuntukkan bagi mempromosikan serta menaja jersi murid sekolah Orang Asli di seluruh negara. "Program yang julung kali diadakan oleh Bank Rakyat ini adalah untuk menggalakkan murid Orang Asli ke sekolah dengan menyertai aktiviti sukan. "Kami mensasarkan satu murid Orang Asli untuk satu sukan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada jelajah tersebut di SK Kuala Betis di sini semalam. Yang turut Hadir Ketua Pemuda UMNO Bahagian Gua Musang, Sheikh Razali Sheikh Hamad. Terdahulu, warga SK Kuala Betis digamatkan dengan kehadiran rombongan motosikal berkuasa besar dari Kembara Bikers Bank Rakyat (Kebara) sebanyak 22 buah yang terdiri daripada kakitangan Bank Rakyat. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |