Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
Posted: 22 May 2014 11:37 AM PDT Oleh radhuan hussain Baitiyamin Mamat menyerahkan replika MyKad untuk Yazid Aziz (dua dari kanan) kepada Fauziah Ngah di Flat Kolam, Kuala Terengganu, baru-baru ini . KUALA TERENGGANU 22 Mei - Orang kurang upaya (OKU) dan warga emas di negeri ini tidak perlu lagi bersusah payah berurusan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mendapatkan MyKad apabila jabatan itu kini menyediakan perkhidmatan Unit Mobile Ehsan (UME). Menurut Pengarah JPN negeri, Baitiyamin Mamat, unit yang baru diwujudkan itu akan membantu golongan berkenaan mendapatkan dokumen pengenalan diri tanpa perlu ke pejabat JPN seperti sebelumnya. Beliau berkata, pada masa ini, pihaknya telah menyiap serta meluluskan sebanyak 56 permohonan OKU di sekitar bandar raya ini khususnya mereka yang menghadapi kesukaran untuk berurusan di JPN. Jelas beliau, pihaknya masih dalam proses menyiapkan beberapa permohonan lain yang disediakan secara percuma dengan keutamaan untuk golongan OKU. "Menerusi UME yang kita tubuhkan ini, kita sudah menyiapkan 56 permohonan dan ada lagi beberapa permohonan serupa yang masih dalam proses. Perkhidmatan ini (UME) adalah percuma," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam majlis penyerahan MyKad kepada dua beradik OKU, Mohd. Amir Haiqal Aziz, 11, dan Yazid, 30, di rumah mereka di Flat Kolam di sini baru-baru ini. Majlis itu turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd. Sabri Alwi dan timbalannya, Datuk Wan Hisham Wan Salleh. Baitiyamin berkata, selain itu, pihaknya juga menyediakan perkhidmatan My12 dan My18 khusus untuk murid tahun enam dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memiliki kad pengenalan. "Bagi My12, kita beri tumpuan kepada murid tahun enam di sekolah rendah bagi membolehkan mereka mendapatkan MyKad manakala My18 pula untuk membantu penuntut IPT menukarkan MyKad lama kepada yang baharu," jelasnya. Dalam pada itu, ibu kepada dua beradik OKU itu, Fauziah Ngah, 56, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu anak bongsu dan anak ketiga daripada lapan beradik itu mendapatkan MyKad. Pada majlis itu, Mohd. Amir Haiqal menerima MyKad pertamanya manakala Yazid mendapat penukaran MyKad baharu. "Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak terutamanya JPN memandangkan sebelum ini anak bongsu saya sering hadapi kesulitan untuk berurusan," tambahnya. |
JPN sasar kumpul 1,020 pek darah Posted: 22 May 2014 11:37 AM PDT PASIR MAS 22 Mei - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan menyasarkan sebanyak 1,020 pek darah disumbangkan oleh pelajar prauniversiti, guru dan kakitangan sekolah di seluruh negeri pada Program Derma Darah Sempena Sambutan Hari Guru tahun ini. Ketua Sektor Pembangunan JPN negeri, Rosnah Ibrahim berkata, sasaran tersebut mampu dicapai berdasarkan sokongan padu yang diberikan oleh pelajar, guru dan kakitangan sekolah dalam menjayakan program berkenaan. Beliau berkata, sepanjang tahun lalu pihaknya berjaya memperoleh sekitar 1,000 pek darah sahaja sepanjang penganjuran program tersebut. "Sehingga semalam kita telah berjaya mengumpul 557 pek darah, saya jangkakan jumlah tersebut akan terus meningkat memandangkan program itu akan berakhir pada 25 Mei ini. "Program ini melihatkan 50 lokasi di 10 kawasan selain pejabat pendidikan daerah (PPD). Setiap PPD menjalankan aktiviti ini antara empat hingga lima buah sekolah," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Derma Darah Peringkat PPD Pasir Mas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan dekat sini hari ini. Program itu turut mendapat kerjasama daripada Unit Tabung Darah Hospital Pasir Mas. Rosnah memberitahu, objektif utama penganjuran program tersebut adalah membantu mengisi bekalan tabung darah di negeri ini sebagai persiapan menjelang bulan Ramadan dan Syawal. "Derma darah merupakan salah satu bentuk amalan murni yang perlu dihayati. "Hal ini kerana setitik darah yang disumbangkan cukup bernilai bahkan ia mampu menyelamatkan nyawa. "Kita berhasrat untuk menjadikan program ini sebagai acara tahun tanda sokongan pihak JPN negeri dalam membantu mengisi bekalan darah negeri," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |