Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- PTPT bakal diwujudkan di Terengganu
- Ariffin Embong dianugerah Tokoh Guru Terengganu 2014
- Rayu sumbangan pembedahan jantung anak
PTPT bakal diwujudkan di Terengganu Posted: 23 May 2014 12:03 PM PDT Oleh ISWAN SHAFIQ MAT ISA KUALA TERENGGANU 23 Mei - Kerajaan negeri akan mewujudkan sebuah Pusat Transformasi Pendidikan Terengganu (PTPT) bagi membolehkan kajian dilakukan terhadap keberkesanan segala program ke arah meningkatkan mutu pendidikan dan pencapaian anak negeri. Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pengurusan PTPT itu akan diletakkan di bawah pejabat Menteri Besar dan ia akan diketuai oleh seorang ahli akademik bertaraf profesor. Insya-Allah, dengan adanya pusat transformasi ini, kita akan berusaha untuk mempertingkat dan memperkuatkan bidang pendidikan di negeri ini dengan kerjasama Jabatan Pendidikan negeri. Ia dijangka akan mula beroperasi awal bulan depan. Selebihnya saya tidak dapat umum lagi. Tapi, apa yang pasti adalah PTPT ini akan diterajui oleh ahli-ahli akademik dan pejabatnya juga di bawah pejabat Menteri Besar," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis sambutan Hari Guru peringkat negeri yang diadakan di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini semalam. Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Tugas-tugas Khas negeri, Ghazali Taib serta Pengarah Pendidikan negeri, Zakaria Husin. Sementara itu, Ahmad Razif berkata, bagi mengiktiraf golongan pendidik yang banyak berjasa kepada bidang pendidikan di negeri ini, kerajaan negeri bersetuju untuk menyediakan pakej umrah kepada sebanyak 50 orang guru atau bekas guru yang layak. Katanya, pemilihan itu akan dilakukan oleh Jabatan Pendidikan negeri dengan mengambil kira beberapa perkara terutamanya sumbangan yang diberikan kepada bidang pendidikan dan sebagainya. Bagi yang bukan Islam pula, sekiranya terpilih dalam senarai 50 orang itu, kita akan berikan satu pakej yang sama nilainya dengan kos untuk menunaikan umrah ini. Insya-Allah, dalam bulan depan ini mereka akan bertolak ke sana dengan diketuai oleh YB Ghazali (Taib). Penerbangan dan hal-hal yang berkaitan kita akan uruskan," kata beliau. Dalam perkembangan lain, Ahmad Razif memberitahu, kerajaan negeri juga telah memperuntukkan sehingga RM1 juta untuk diagihkan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di 494 buah sekolah di negeri ini bagi tujuan pengurusan sekolah. Menerusi peruntukan ini, setiap sekolah dijangka menerima sebanyak RM2,000 dan kita hadiahkan wang ini sebagai pendorong atas semangat kerjasama yang dipamerkan mereka dalam memajukan sekolah masing-masing," katanya. |
Ariffin Embong dianugerah Tokoh Guru Terengganu 2014 Posted: 23 May 2014 12:03 PM PDT Ahmad Razif Abdul Rahman (dua dari kanan) dan Pengarah Pendidikan Negeri, Zakarian Husin (dua dari kiri) bersama Ariffin Embong (duduk) yang dinobatkan sebagai Tokoh Guru Negeri pada Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Terengganu di UMT, Kuala Terengganu, kelmarin. KUALA TERENGGANU 23 Mei - Bekas Pengarah Pendidikan negeri, Ariffin Embong, 62, diisytiharkan sebagai Tokoh Guru Terengganu 2014 sempena sambutan Hari Guru peringkat negeri yang diadakan di sini semalam. Beliau dipilih atas komitmennya ketika menjawat jawatan guru selain pembaharuan yang dibawanya semasa menerajui jabatan yang membantu mengekal dan melonjakkan pencapaian anak negeri sehingga Terengganu terus berada di tangga teratas. Ariffin yang telah berkhidmat dalam bidang pendidikan selama 35 tahun membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 bersama beberapa hadiah sampingan yang disampaikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman. Ketika ditemui pemberita, bapa kepada lima orang anak itu menyifatkan, anugerah yang diterimanya itu sebagai penghargaan tertinggi yang diberikan kepada seorang guru dan ternyata sangat bermakna baginya. Tidak semua yang pernah menjadi guru boleh menjadi tokoh guru dan saya rasa gembira kerana apa yang buat dan apa yang saya perjuangkan selama ini dihargai dan dikenang oleh semua pihak. Saya sentiasa berpegang kepada satu prinsip iaitu ajarlah anak-anak murid cikgu seperti yang cikgu inginkan dan jika cikgu ada anak, ajarlah anak murid cikgu seperti mana cikgu inginkan guru lain mengajar anak cikgu," katanya. Ariffin yang bersara empat tahun lalu dan menetap di Mengabang Telipot dekat sini turut berkongsi petua dalam menyampaikan ilmu secara lebih berkesan kepada murid atau pelajar pada zaman sekarang. Guru perlu tahu bahawa cara mengajar dulu dan sekarang amat berbeza sekali sebab ada perkara yang murid tahu tapi guru sendiri tak tahu disebabkan perkembangan teknologi ketika ini. Jadi, kita (guru) perlu mengambil pendekatan adapt and adopt (menyesuaikan diri dan menerima pakai)," katanya yang pernah mengajar di beberapa buah sekolah di negeri ini sebelum ditukarkan untuk berkhidmat di Jabatan Pelajaran negeri sehingga dilantik sebagai pengarah pada tahun 2007. Selain Anugerah Tokoh Guru, beberapa anugerah lain turut disampaikan termasuk Guru Cemerlang (kategori Pendidikan Khas dan Kelainan Upaya) yang diterima oleh Rukmin Md. Rashid dan Tengku Halim Tengku Ahmad. Anugerah Guru Inovatif (kategori prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan berkumpulan) pula disampaikan kepada Hadibah Mohamad, Dahlia Embong dan Rohani Ahmad. Turut disampaikan anugerah Pengurusan Sekolah Cemerlang (sekolah rendah dan menengah) dan Anugerah Kepimpinan TMK/ICT Individu, Pengurusan PIBG Cemerlang (sekolah rendah dan menengah), Pengurusan Sekolah Cemerlang (sekolah rendah dan menengah), Tokoh Kepimpinan PIBG, Guru Berjasa (individu) dan Tokoh Nilam. |
Rayu sumbangan pembedahan jantung anak Posted: 23 May 2014 12:03 PM PDT Nurfarizatul Najwa Mohd. Fadli, kanak-kanak jantung berlubang dan sumbing lelangit bersama ibunya, Nafisah Mohd. Nor ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Jeram B, Pasir Puteh, Kelantan, semalam. PASIR PUTEH 23 Mei - Pasangan suami isteri yang tidak mempunyai pekerjaan tetap di Kampung Jeram B, dekat sini, pasrah dengan ketentuan takdir apabila gagal menyediakan wang sebanyak RM500 bagi membolehkan pembedahan jantung anak mereka berusia 20 bulan dijalankan dengan segera. Mohd. Fadli Ab. Wahab, 32, dan isterinya, Nafisah Mohd. Nor, 32, hanya pasrah melihat keperitan dan penderitaan anak mereka, Nurfarizatul Najwa yang sering demam serta menangis kesakitan setiap hari disebabkan penyakit jantung berlubang. Nafisah ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini berkata, anak bongsu daripada dua beradik itu juga menghadapi masalah lelangit sumbing selain penyakit kronik tersebut yang dikesan pakar perubatan pada awal kelahirannya di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian pada 6 September 2012. Menurutnya, lelangit sumbing itu menyebabkan susu yang diminum oleh Nurfarizatul Najwa sering keluar menerusi lubang hidungnya sehingga menyebabkan kesukaran untuk bernafas. Bagi pembedahan jantung berlubang, saya dimaklumkan bahawa kos keseluruhannya ialah RM5,000 di mana RM4,500 akan ditanggung oleh Badan Kebajikan HUSM. Kami cuma perlu membayar RM500 bagi mencukupkan jumlah bayaran yang dikenakan. Sudah nasib kami yang dihimpit kemiskinan. Usaha untuk mendapatkan RM100 sehari pun susah, apa lagi untuk mendapatkan wang RM500 secara sekali gus," katanya. Nafisah berkata, dia difahamkan mereka sekeluarga terpaksa menyediakan wang sebanyak RM10,000 bagi rawatan susulan dan perbelanjaan harian selepas pembedahan tersebut dilakukan. Katanya, pendapatan suaminya sebagai kelindan lori tidak mencukupi untuk menampung kos keseluruhan perbelanjaan rawatan. Pendapatan suami saya tidak menentu, upah kerjanya mengikut lori yang mengangkut barangan paling tinggi RM60 sehari, itu pun hanya cukup untuk makan minum keluarga sahaja. Saya ada menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai RM300 sebulan tetapi ia hanya untuk keperluan harian Nurfarizatul Najwa seperti lampin pakai buang dan susu," katanya. Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan bagi meringankan bebanan keluarga tersebut boleh menghubungi Nafisah menerusi nombor 0129651803. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |